28.8.12

Aidil Fitri Di Dua Kuala

Tahun ini pertama kali aku beraya di perantauan, jauh dari kampung halaman. Tidaklah jauh mana, sejauh Kuala Kedah saja. Rumah mertua. Ikut 'turn' seperti yang aku dan Zura rancangkan. Nasib baik juga perjalanan menghala ke Kuala Kedah perlu melintasi Kuala Kangsar terlebih dahulu. Maka, sebelum hari raya, aku singgah di Kuala Kangsar menziarahi ibu.

Qaseh & Opah
Qaseh yang pada mulanya merengek apabila didukung oleh opah, lama kelamaan menjadi biasa dan senang bergurau senda dengan opahnya. Syukur. Sekurang-kurangnya terubat hati opah melihat cucunya.

Bersama Zura & Qaseh di Kampung Sematang, Kuala Kedah
Tidak ada bezanya beraya di Kuala Kedah dan Kuala Kangsar. Rutinnya tetap sama. Solat sunat Aidil Fitri, maaf memaafi dan kunjungi saudara mara sebelah Zura. Cuma istimewanya tahun ini kami berdua menerima begitu banyak sampul duit raya!

Terima bagi pihak. :D

Qaseh Berhari Raya
Ratusan ringgit duit raya Qaseh sudah diamanahkan oleh Zura kepada aku untuk disimpan di dalam bank. Buat masa ini kami masih menggunakan akaun bank aku yang aku sendiri tidak gunakan. Biar di situ sehingga umurnya enam bulan. Mungkin selepas itu kami akan laburkan ke dalam amanah saham untuk masa depan Qaseh. Ya, sudah ada seribu ringgit lebih. Banyak sungguh duit untuk seorang bayi berusia hampir lima bulan. Terima kasih kepada yang sudi menghadiahkannya.

Kami di Padang Besar, Perlis
Aku tidak hanya beraya di Kuala Kedah. Kami sekeluarga menziarahi saudara mara sehingga ke negeri Perlis dan sempat kami singgah di Padang Besar di hari ketiga Aidil Fitri. Seronok berjalan ke sana sini di hari raya. Kalau di Kuala Kangsar, aku pasti akan terdampar di rumah tanpa arah tujuan. Bukan apa, hendak ziarah sahabat lama, ramai yang sudah terputus hubungan. Hendak ziarah saudara, mereka ada dekat saja di Kuala Kangsar dan Gerik. Tambahan pula jenis aku yang anti-sosial, makin susah hendak aku ke mana-mana.

Namun kerana aku sudah berkeluarga, aku perlu buang sifat anti-sosial aku dan rajin-rajinkan diri mengunjungi saudara mara. Kalau di Kampung Sematang, Kuala Kedah, satu persatu rumah di sepanjang jalan kampung kami ziarah. Kebetulan tahun ini, hampir setiap rumah menyediakan laksa Kedah dan air oren. Mungkin mereka berpakat. Bila tiba di rumah ketiga, aku sudah tidak mampu hendak menjamah apa-apa lagi.

Hari keempat Aidil Fitri, aku bergerak ke Kuala Kangsar untuk sambung beraya di sana dan seterusnya menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Sempat juga aku sekeluarga menziarahi pusara Ayahnda. Hati begitu tenang melihat pusaranya. Aku pasti beliau sangat damai di sana.


Anugerah
Aku belajar banyak perkara. Kehidupan ini tidak mungkin akan sempurna seperti yang kita mahukan. Tetapi ianya cukup sempurna buat momen-momen yang kita lalui biarpun suasananya perit, sedih atau derita. Apa yang ada di sekeliling kita adalah anugerah dan hanya dengan izinNya kita dapat menikmati semua itu. Setiap saat kita lalui ini telah dirancangNya sesuai dengan kehidupan kita biarpun keadaannya tidak seperti yang kita mahukan. Maka bersyukurlah kita sentiasa.

Aku tidak dapat bayangkan jika di sepanjang garis hidup ini, aku diberi jalan yang lain. Memikirkannya  sambil menatap wajah insan tersayang, aku pasti akan berasa hiba. Maka apa yang ada di tangan ini, cukuplah buat aku. Aku mensyukurinya kerana aku tahu itulah yang terbaik buat aku.

Dalam kesempatan ini, masih belum terlambat untuk aku mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin buat anda semua.

No comments:

Post a Comment