12.10.06

Aku Ada Kerana Apa?

Semasa menulis cerita yang lalu, aku begitu berhati-hati membariskan kata-kata agar tidak mengguris perasaan sesiapa pun. Bukan bermaksud ada hati yang terguris. Cuma aku tidak mahu dianggap seperti melupakan yang lain apabila menemui sesuatu yang baru. Tidak begitu. Tidak sama sekali.

Aku bukan dari jenis yang mudah lupa. Aku masih ingat apa yang berlaku disuatu senja sewaktu aku berumur 4 tahun. Masih begitu jelas dalam ruang mata ini. Begitu jauh ingatan aku kerana ianya seperti gambar-gambar yang tersimpan dalam benak otak. Sebab itu mungkin aku mudah menghafal jalan-jalan yang aku lalui. Jauh lebih mudah dari ingat kepada wajah-wajah yang aku temui. Kenapa?

Kerana aku tidak suka memandang terus kepada wajah-wajah mereka. Selalunya aku menunduk. Itu dahulu. Sekarang tidak lagi. Aku senang melihat ekspresi wajah manusia. Melihat keikhlasan mereka dari memek rupa. Mencari yang terselindung disebalik kata-kata mereka lebih mudah dilihat di wajah mereka.

Maka, tulisan ini tidak membawa apa-apa makna kiranya ada yang berkata sesuatu kerana aku tidak pasti realitinya bagaimana. Namun aku tidak menafikan keikhlasan mereka. Cuma, aku tidak pasti.

Mengenai Rosmawati, begitulah seterusnya aku dengan dia nanti hingga sejauh mana? InsyaAllah, yang Maha Kuasa saja tahu dan menentukannya. Apa yang aku inginkan? Seperti kalian semua, bahagia.

Ada beberapa orang insan yang berada disekeliling aku kini yang aku hargai (selain daripada Rosmawati); Asyikin kerana membiarkan aku mendengar keluhan dan ceritanya sepanjang masa, aku mahu mendengarnya. Kerana dia percayakan aku dengan cerita-ceritanya. Ima kerana menjadi teman aku di lewat malam melalui smsnya. Aku dan dia punyai masalah yang sama. Sukar untuk terlena diwaktu malam biarpun betapa indah dan nyamannya malam tersebut. Apabila berbual dengan Ima, aku seperti melihat dia sebagai aku dan aku sebagai dia. Seorang yang melonjak-lonjak untuk keluar dari kepompong normal kehidupan. Mencari kelainan dan bebas pergi kesana kemari tanpa halangan masa dan keadaan. Itu yang aku mahu dan mungkin itu juga yang dia mahu.

Semoga hidup ini sentiasa mendamaikan. Aku semakin tertekan dengan kerja. Hingga tiba suatu ketika aku mahu lari saja dari semua ini dan berjalan tanpa arah. Tapi itu bukan normal hidup manusia, bukan? Hidup manusia ada aturan, ada jalan, ada laluan, ada tujuan, ada batasan, ada keadaan, ada prasyarat dan syarat-syarat, ada senarai-senarai perkara yang perlu dilakukan, ada segalanya yang merantai kaki dan tangan ini. Ada kunci.

Aku harus mencari kunci itu.