22.4.08

Kurang Sihat

Aku mahu menulis tetapi malam ini selesema datang tak diundang menyebabkan kepala otak jadi berat dan susah untuk berfikir. Hidung tersumbat dan asyik bersin. Sukar hendak bernafas dengan selesa. Begitu keadaannya. Batuk pula semakin datang menjelma.

Aku mahu menulis perihal staf yang memberi seribu alasan apabila ditawarkan untuk berkursus selama dua tiga hari. Bait-bait perbualan antara beliau dan pegawai aku masih terdengar di ruang otak dan ianya melucukan. Tunggulah selesema ini reda.

Aku mahu tidur, rehatkan diri.

20.4.08

Aku Ada Depan Mata Kamu!

Realitinya, aku tak minat dengan Facebook, atau Friendster, atau MySpace, atau Tagged atau segala macam mak nenek community website yang tumbuh sekarang. Ya, aku ada akaun Facebook dan Friendster, tapi maaf, aku tak rajin dan takkan rajin untuk update ruangan tersebut.

Bukan aku tak nampak apa motif dan kebaikannya. Malah kalau lihat dari Facebook, sahabat-sahabat lama yang berbelas tahun tidak ditemui boleh aku nampak di situ sekelip mata. Manakala di Friendster pula, member-member opis sudah ramai yang join komuniti Friendster opis sedang aku hanya melihat. Tak minat.

Aku tak minat nak upload segala gambar peribadi ke ruangan tersebut walaupun aku pasti ramai yang hendak melihat kadar gemuk aku sekarang. Aku rasa blog ini sudah cukup. Hampir setiap hari aku post di blog ini dan kebanyakkan berkisarkan dengan hidup aku.

Aku tidak suka Facebook dengan ratusan atau ribuan add-ons, tools dan sebagainya yang dijemput orang kawan-kawan kamu agar kamu menyertainya. Aku tak suka friendster kerana member-member opis jeles dengan latar belakang friendster aku yang dihasilkan sendiri. Bukan sebab apa, tapi letih nak melayan permintaan mereka agar dibuat satu untuk mereka. Kemudian sibuk bagi email suruh aku add mereka. Add je lah aku, aku akan terima tanpa banyak soal.

Tapi aku suka tengok Friendster dan Facebook. Sekurang-kurangnya aku tak rasa diri seorang je. :-)

17.4.08

Kerja Ini



Sepatutnya warna biru. Entah kenapa bila convert jadi warna lain. Pelik. Ini latar belakang untuk sebuah buku program. Masih dalam pembikinan. Harapnya dapat aku siapkan dalam hujung minggu ni.

14.4.08

Selepas Ribut



Setelah selesai lawatan Dato' Seri Syed Hamid Albar ke JPN tadi. Penat dan aku rasa tenaga aku cuma tinggal suku saja.

12.4.08

10 Tahun Yang Hilang

Saat ini terasa ingin memberi tribute kepada sesiapa yang pernah aku kenali. Mereka sejak 10 tahun lalu aku kenali mengenai cara ini, internet. Namun aku tidak berupaya untuk melakukannya. Benak ini bisu untuk berkata-kata kepada jari jemari aku agar diterjemah dalam baris-baris ini.

Aku membuka kembali kotak email lama. Email aku, idan_alias@yahoo.com adalah email pertama yang aku miliki. Mungkin aku pernah miliki email Hotmail namun ianya sudah lama berkubur. Namun dia idan_alias@yahoo.com, aku masih dapat membaca email-email lama kiriman sahabat-sahabat yang pernah aku kenali suatu masa dahulu. Email paling lama dalam peti email adalah bertarikh awal tahun 1999. Hampir sepuluh tahun yang lalu.

Begitu pantas masa berlalu. Email-email kepada Lily dan Ida Izwani (kawan baik dalam internet) masih terpelihara baik dalam kotak email Yahoo!. Tapi entah untuk berapa lama lagi. Aku perlu backup semua email tersebut. Itu kenangan yang amat sukar untuk dilupakan. Mereka melayan bual bicara aku di lewat malam sebegini. Mereka berbalas email dengan aku. Aku bercinta seketika dengan Lily hingga akhirnya dia kecewa kerana aku langsung tidak mempedulikannya dua tahun lalu. Sekarang dia sudah berkahwin dan bahagia. Kali terakhir aku temui Lily adalah ketika aku pergi ke upacara pengkebumian ibu kesayangnya. Itu tahun lalu. Itu kali terakhir aku bertemu dengan Lily dan tunangnya (ketika itu).

Ada lagi beberapa email yang aku baca dan terdetik kenangan di hati ini.

Suatu masa dahulu aku tidak rajin langsung menulis surat. Namun email adalah sesuatu yang mudah bagi aku. Aku boleh menjalin ayat-ayat dengan mudah dengan hanya menaip. Aku tidak mahir menulis, itu realitinya.

Ya, aku perlu backup email-email tersebut. Aku mahu simpan untuk kenangan 10 tahun lagi, mungkin.

Ah, terasa hidup ini amat rugi. aku seperti kehilangan 10 tahun hidup aku.

Detik

Post 448.

Aku tunduk menghadap keyboard iMac. Aku sepatutnya menulis,

"Mampukah aku lari dari semua ini. Aku tidak mahu bersembunyi. Aku cuma mahu berdiam diri dan tidak lagi berkata-kata kepada sesiapa pun lagi."

Meja komputer rumah ini sudah berdebu. Sudah lama kosong daripada sebuah komputer. Aku menyapu debu dengan tangan. Tidak selesa. Aku sepatutnya juga sudah menulis sesuatu lama dahulu. Sekurang-kurangnya sebuah cerita pendek.

Lagu yang berkumandang di iTunes sengaja aku ulangkan sementara aku habiskan entry ini. Kerana mood, mungkin.

Sudahlah Idan, jangan pedulikan lagi dunia...
 

Rosmawati

Aku pernah bercerita mengenai Rosmawati suatu masa dulu. Mungkin sekitar penghujung 2006. Kami berpacaran seketika walau tidak pernah bertemu muka.

Kemudian aku mendiamkan diri. Aku lakukan kerana aku tidak mampu menahan desakan dia untuk bertemu dan mungkin lebih dari itu, settle down. Jawapan mudah dari mulut aku; aku belum bersedia. Maka aku dan dia terputus hubungan buat beberapa ketika.

Lama selepas itu aku kembali menghubungi dia tak kala hidup aku sunyi tanpa sesiapa di sekeliling. Lalu Rosmawati berkata agar tidak lagi mengharapkan dia dalam hidup aku. Sebulan yang lalu dia beritahu aku yang dia sudah bertunang dan sebentar tadi dia beritahu aku dia akan berkahwin penghujung Mei nanti.

Kadangkala aku seperti sengaja melepaskan peluang yang amat terbuka di depan mata. Mungkin itu satu-satunya peluang yang aku ada. Mungkin. Apabila dalam keadaan begini, mahu saja aku menyesali tindakan aku. Namun sesal itu sudah tiada makna dalam kamus hidup aku. 

Aku pasti Rosmawati adalah seorang yang amat-amat baik. Bagaimana buruk sekalipun layanan aku terhadapnya, dia tetap begitu baik dengan aku. Kata-katanya penuh dengan keceriaan dan sentiasa tenang. Maka bakal suaminya nanti pasti akan menjadi seorang yang amat-amat bahagia.

Rosmawati menjemput aku datang ke majlis perkahwinannya nanti. Malah dia mendesak aku datang untuk akhirnya dapat juga kami bertemu. Mungkin itu saja hadiah yang aku boleh berikan kepadanya. Datang ke majlis perkahwinannya dan mempersembahkan diri aku yang tidak ada apa-apa pun ini. Puas aku bertanya kenapa masih dia mahu melihat aku sedang dia sudah bakal bersama dengan orang lain. Tiada jawapan yang jelas. Jawapan yang aku terima; Nak tengok aku. Itu saja.

Kalau aku hensem macam Brad Pitt, okaylah. Ini aku gemuk dan tidak ada rupa. Tanya Asyikin, tanya Ima dan tanya sesiapa saja, pasti betul.

Memang aku menolak tuah yang ada di hadapan mata. Ini bukan kali pertama. Sudah berkali-kali. Aku selalu buta dalam hidup, hanya nampak jelas apabila semuanya sudah pergi jauh.

Selamat mendirikan rumahtangga, Rosmawati. Dirimu akan sentiasa dihargai.

3.4.08

Tempat Jatuh Lagi Dikenang

Julai nanti MRSM Balik Pulau akan mengadakan majlis reunion beserta sambutan ulang tahun ke 25 penubuhan Maktab. Aku pasti akan pergi, insyaAllah. Bila lagi mahu pergi dan bertemu sahabat-sahabat lama?

Apa yang sering membuat aku tersenyum sendirian apabila mengenangkan mengenai saat-saat semasa di MRSM Balik Pulau dahulu.

1. Medan Kasa - inilah port untuk sesiapa saja datang duduk dan berehat, dating, sambut keluarga yang datang dari jauh, study (konon), bergaduh, berhimpun, beratur beli nasi lemak Pak Ya dan banyak lagi perkara. Kalau dulu masa zaman aku sekitar 1989 - 1992, sebahagian dari Medan Kasa adalah open air dengan meja dan kerusi batu menjadi tempat lepak utama. Aku masih ingat kata-kata lucu Cikgu ekspetriat (betul ke ejaan ni?) dari England, Mr. Chris yang hairan melihat seorang student yang tidak lekang walkman di telinga sehingga dia bertanya,

"Adakah dia dilahirkan dengan walkman di telinga?"

Aku ingat, selalunya bebudak lelaki yang duduk di situ tidak kira bila pun waktunya selalunya dengan niat untuk tunjuk macho kepada budak perempuan. Maka kadang-kadang boleh dengar usikan dari mereka dan juga siulan-siulan nakal bebudak lelaki kepada bebudak perempuan yang melintas. 

Waktu petang selepas bersukan, di sini juga tempat untuk berehat sementara sebelum makan malam. Duduk berbual sementara menanti senja. Ramai juga pasti ingat, di sini juga tempat mereka mula-mula tiba dan tempat mereka akhirnya meninggalkan maktab.

2. Lampu DB - lampu Dewan Besar (Dewan Sri Budiman?) yang amat lambat untuk terang apabila di pasang. Menunggu lampu dewan untuk terang sama seperti menunggu untuk menghabiskan sebatang rokok (walaupun aku tidak hisap rokok). Jadi tidak hairan ada yang menggunakan perumpamaan,

"Hang ni lembab macam lampu DB!"

3. Merry-Go-Round - Asalnya aku tidak faham kenapa loji memproses najis diberi nama Merry-Go-Round hinggalah aku faham dari mana asal perkataan tersebut. Entah apa punya bodoh engineer atau sesiapa saja yang design susun atur maktab, loji memproses najis dibina di tepi kelas. Jadi ada waktunya bau semerbak boleh datang dari situ tanpa diundang.

Anehnya juga, situlah tempat ramai yang 'fly' untuk lari dari solat maghrib berjemaah atau untuk hisap rokok atau lagi gila, tempat couple buat projek. Tanya Hadzrie Khan, dia tau.

4. Stroboscope - Hanya aku dan geng-geng drama arahan Amron Roni saja yang faham apa guna stroboscope selain di makmal fizik. Kami guna untuk membuat stop motion shot dalam pementasan drama. Kesannya amat menakjubkan. Bayangkan kamu boleh lihat adegan bergaduh di atas pentas dalam mode slow motion akibat efek stroboscope. Hebat idea budak-budak masa tu. Sementara menceritakan hal stroboscope, hendak juga aku ceritakan betapa mudah untuk membuat follow light dengan hanya menggunakan over head projector (OHP). Tebuk kertas A4 menjadi saiz bulat sebesar duit 10sen dan letak atas kaca OHP. On dan pancar pada pentas, jadi follow light. Murah je kan?

5. Segi Tiga Shaari - Entah, cuma bila aku ingat Rahim Razali, aku ingat Segi Tiga Shaari. Aku ingat masa dia hantar anaknya belajar di MRSM Balik Pulau dan dia duduk termenung sambil menghisap rokok di hujung sudut di Segi Tiga Shaari. Aku belajar silat di situ. Ah, baru aku faham kenapa. Aku bukan jenis manusia yang suka terikat dengan disiplin. Patut la aku tak minat sangat dengan silat.

Ingat juga beberapa orang geng ragbi yang pernah berlatih di situ. Aku dan Amron melontar ol' Pig Skin (bola American Football) yang kami perolehi dari stor sukan. Kulit babi la tu Yon!...

6. Anak-anak sungai belakang maktab - situlah kami terpaksa mandi sekiranya bekalan air maktab terputus dan kehabisan. Pagi buta bangun dan merehat sejuk subuh mencari port untuk mandi di anak sungai kecil yang dikelilingi pokok-pokok getah. Aku rasa orang kampung situ sure bengang sebab punca air mereka juga dari situ. Laki ke perempuan sama je, ramai yang mandi situ.

Korang ingat tak pada tiap rabu malam khamis akan ada puluhan kereta mewah di tepi pagar jalan menuju ke anak-anak sungai? Katanya mereka tu pengamal ajaran sesat; sembah matahari. Apa kejadah sembah matahari waktu malam?

7. Projek jualan hujung minggu - Ini sebenarnya aku kena bagi salut kepada Joke, raja projek jualan hujung minggu. Asal hujung minggu je, sure boleh nampak muka dia yang berniaga. Untuk kutipan tabung team ragbi la, team bola la, pengakap la, beli hadiah awek la... 

Biasanya paling selalu dijual adalah burger dan sanwic. Lain-lain makanan 'eksotik' tu ada tapi jarang sangat. Seronoknya, situ jadi tempat berkumpul dan kalau yang bercouple, agak senang mereka untuk mereka bersua tanpa ada sesiapa yang marah, kecuali Cikgu Nor Aini. Kira kami bebudak sekolah ni awal-awal lagi diajar berniaga untuk tambah pendapatan.

8. - Alat muzik sebelah gimnasium - Kamu tahu kenapa? Aku masih tertanya-tanya sehingga kini. Apa motifnya tersadai di situ, aku sendiri tak faham.

Ada beberapa lagi tempat yang bila aku kenang akan membuat aku tersenyum sendirian. Semakin hari usia semakin tua dan mungkin suatu masa nanti aku akan lupa semuanya. Tapi aku tuliskan di sini sebagai tempat untuk aku kenang.

Kamu juga tentu ada tempat-tempat/keadaan atau apa saja yang akan membuat kamu tersenyum dan mengingati MRSM Balik Pulau. Ceritakan kepada aku.