30.5.08

Destinasi Hujung Minggu



Aku akan ke sini malam ini. Esok tiba. Rumah sahabat baik. Oh, diagram/kad kahwin ini aku yang buat.

Jersey... Baju Denim MRSM BP89ers

Aku paparkan 4 gambar contoh baju denim alumni MRSM Balik Pulau Batch 89 (BP89ers) yang dihasilkan sempena sambutan Jubli Perak MRSM Balik Pulau yang akan diadakan pada penghujung Julai nanti. Cuma aku nak pastikan, adakah perkataan "89ers" tu bermula dari idea aku atau sudah ada orang lain yang memikirkannya dahulu. Apa pun jua, ianya menarik dan amat sesuai digunakan. Tidak perlu lagi nak sebut ex-MRSM BP batch 89. Sekarang cuma BP89ers dan semua orang tahu. Aku mahu komen sikit dari segi baju dan design. Maaf kalau ada yang terasa.

 

Secara keseluruhan rekabentuk logo adalah baik walaupun ianya lebih bersifat korporat. Kalau itu tujuannya, maka logo ini adalah logo yang baik. Tapi pendapat aku, untuk logo sebuah komuniti alumni, perlu ada citarasa nostalgik. Penggunaan 4 warna rumah sukan mungkin membentuk nostalgik tersebut tetapi tidak signikan. Ianya lebih berbentuk meniru logo Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan MCOBA mereka sendiri secara sedar atau tidak.

Tetapi kita perlu faham bahawa warna-warna rumah sukan di MCKK adalah amat-amat dibanggakan hingga pada lencana mereka sendiri tercatat nama rumah sukan mereka.

Agak mengecewakan dari segi penggunaan bentuk bulatan sebagai corak utama kerana tiada kaitan dengan logo MRSM sendiri. Sekurang-kurangnya kalau digunakan shield MRSM walau mungkin dalam bentuk yang lebih abstrak akan dapat membantu menimbulkan nostalgik tersebut.

Pemilihan font adalah jelas walaupun bersaiz normal. Adalah lebih menarik sekiranya nombor 89 dapat dibuat dalam bentuk bold dan tulisan BP serta 89ERS dalam saiz normal atau sebaliknya. Penggunaan huruf besar pada ERS juga dirasakan agak kurang sesuai walau ianya memberi keseragamaan. ERS dalam bentuk "ers" dirasakan lebih sesuai disamping memberi balance kepada perkataan BP di sebelah kiri.

Kelebihan logo BP89ERS pula adalah pertamanya logo ini boleh dihasilkan dalam bentuk outlines dengan mudah. Tidak ada garisan-garisan kompleks yang membataskannya. Pengunaan warna hitam kepada garisan keliling bulatan dan pada tulisan juga membantu; sekiranya warna lain hendak digunakan seperti emas dan perak, ianya dapat dilakukan dengan mudah. Logo BP89ERS secara keseluruhannya bersifat korporat dengan garisan-garisan yang jelas dan 'kuat'.

Tulisan "SILVER JUBILEE MRSM BP 1983 - 2008"; Font yang digunakan adalah sesuai walaupun bersifat 'biasa'. Cuma secara umumnya, ia gagal memberi bantuan visual kepada keseluruhan baju. Penggunaan warna perak adalah sesuai dengan motifnya. Cuma pada pendapat aku, font yang digunakan sebolehnya sesuai dengan logo. Font lebih fancy seperti Mistral dirasakan lebih sesuai. Lebih menarik kalau tulisan tersebut boleh disulam di bahagian atas permukaan poket di bawah logo (rujuk atas).
Secara keseluruhan aku amat berpuas hati dengan pemilihan baju denim. Menarik dan simple. Aku fikir kalau t-shirt, ianya sudah biasa dan sudah membosankan.

Rekabentuk secara keseluruhan adalah sesuai dan menarik. Tahniah kepada pereka yang terlibat. Kerja yang baik. Korang jangan marah aku dengan kritikan aku di atas. Itu adalah pendapat peribadi aku.

Update

Aku saja-saja ubahsuai susun atur pada logo dan wordings.

 

29.5.08

Penyatuan Sistem Pendidikan Sebagai Salah Satu Penyelesaian Masalah Integrasi Kaum di Malaysia

Kenapa, dalam sebuah negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini perlu ada sekolah pelbagai aliran? Kenapa perlu ada sekolah kebangsaan, sekolah aliran cina dan sekolah aliran tamil serta sekolah aliran agama (berpaksikan Arab)? Apabila kita mempersoalkan kenapa wujud masalah integrasi kaum, kita tidak boleh lepas dari melihat kewujudan pelbagai aliran sekolah sebagai salah satu punca utama.

Pendapat aku, sekolah sepatutnya ada satu aliran sahaja iaitu sekolah kebangsaan yang memberi keutamaan kepada bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama. Bahasa lain diajar sebagai bahasa pilihan, bukan sebagai bahasa pengajian. Pengajian agama pula dilakukan sebagai pengajian elektif atau boleh diwujudkan sekolah agama (baik apa agama sekalipun) sebagai tempat khusus untuk belajar agama mengikut agama masing-masing.

Bukan tujuan aku untuk mengasingkan agama dari pendidikan utama. Ianya kerana agama di Malaysia masih bersifat peribadi dan pilihan masing-masing. Agama Islam adalah agama rasmi tapi orang masih boleh menganut agama lain tanpa sekatan. Maka atas sebab itu, tidak perlu pengajian agama diajar di sekolah kebangsaan yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama kerana ianya boleh mendatang syak wasangka di kalangan penganut agama lain. Sebaliknya wujudkan sekolah agama yang boleh dihadiri oleh pengikut agama masing-masing selepas dari waktu persekolahan utama. Dari satu sudut, ianya lebih berkesan kerana sekolah agama dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada aspek pengajian agama.

Biarkan sekolah kebangsaan bersifat liberal dan terbuka. Doa boleh dilakukan orang individu. Sebaliknya sekolah kebangsaan lebih sesuai menumpukan kepada pendidikan ilmu duniawi yang lain. Aku faham Islam sebenarnya meliputi semua aspek kehidupan termasuk pendidikan. Tapi apabila sukatan pendidikan kita menjerumus kepada penumpuan kepada aspek Islam (dari segi sejarah, hubungkait dan isi kandungan), bukankah kita sebenar mendiskriminasi orang yang menganut agama lain? Kita memaksa mereka belajar sukatan pendidikan berteraskan Islam sedang mereka sendiri bukan Islam. Ini dilihat sebagai memaksa orang bukan Islam menerima Islam secara paksaan dan itu bukan cara Islam.

Itu satu. Aku pasti ramai akan bantah dengan pelbagai alasan. Tapi fikir dulu sebelum menulis komen. Keduanya, mengenai penggunaan bahasa pengantar pembelajaran. Sebagai bahasa rasmi dalam perlembagaan, maka sepatutnya Bahasa Malaysia saja yang digunakan sebagai bahasa pengantar kecuali untuk kelas bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain. Tidak perlu menggunakan bahasa Cina dan bahasa Tamil. Sebenarnya inilah punca besar masalah integrasi kaum di Malaysia. Aku tidak fikir Thailand membenarkan bangsa lain menggunakan bahasa pengantar selain daripada bahasa Thai di sekolah.  Sama seperti Jepun dan Korea. Sama seperti Amerika Syarikat.

Kenapa perlu ada sekolah aliran Cina dan Tamil di Malaysia? Itu yang menjadi persoalan besar. Kerana selagi ada sekolah aliran berbeza, selagi itu orang Cina dan India akan terus ke sekolah-sekolah ini yang secara jelas menjadikan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar sedangkan kedua-dua bahasa ini bukan bahasa Kebangsaan.

Sekolah Kebangsaan juga perlu mengubah konsep kemelayuan mereka. Apabila kita hapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil, kita kena pastikan bahawa sekolah aliran Kebangsaan tidak dipengaruhi oleh idea-idea dan pemikiran Melayu 100%. Bukan kita mewujudkan sekularisme, kita sepatutnya membentu keseragaman dan kesaksamaan hak. Apabila ini wujud, barulah kita boleh memperkatakan mengenai hasrat mewujudkan BANGSA MALAYSIA.

Kalau selagi kita masih terpisah sejak kecil dengan aliran pendidikan dan pemikiran yang berbeza, selagi itu Bangsa Malaysia hanya wujud sebagai mitos atau angan-angan. Kaum Cina dan India perlu sedar bahawa mereka tidak boleh salahkan kaum Melayu/bumiputra terhadap hak dan keistimewaan orang Melayu/bumiputra sedang mereka masih enggan melepaskan diri mereka dari hak-hak bangsa mereka sendiri. Tradisi dan budaya masih boleh dikekalkan walau tiada sekolah aliran Cina dan Tamil. Ianya boleh dijadikan satu bentuk pendidikan di sekolah kebangsaan dengan penglibatan semua kaum. Budaya, tradisi dan bahasa boleh dijadikan sukatan pendidikan di sekolah kebangsaan dan pembelajaran bahasa Cina dan Tamil juga boleh dijadikan sebahagian daripadanya.

Manakala orang Melayu/bumiputra pula perlu melepaskan beberapa aspek keistimewaan mereka seperti pendidikan agama, pakaian, tradisi dan budaya dalam aspek sekolah kebangsaan sebagai pra-syarat untuk mewujudkan satu jenis aliran sekolah sahaja. Tidak boleh mana-mana kaum meletakkan agenda/tradisi/budaya mereka sebagai keutamaan dalam sekolah aliran kebangsaan. Sebaliknya sekolah aliran kebangsaan hanya wujud dalam satu bentuk dan dipengaruhi oleh satu bentuk sahaja, kebangsaan.

Aku fikir itulah yang dilakukan oleh Indonesia, Thailand, Jepun dan banyak negara di dunia. Kalau kamu sebagai rakyat Malaysia mahu membicarakan hal integrasi kaum, kamu perlu fikir hal ini terlebih dahulu. Ianya salah satu faktor besar kenapa masalah integrasi kaum masih wujud di Malaysia. Setiap kaum (3 kaum besar di Malaysia) masih berdegil dan mahu terus bergayut dengan pegangan usang yang sudah tidak signikan sekarang.

Ini pendapat aku. Kamu komen apa kamu suka, aku terima tanpa ulasan balas.

28.5.08

Star Wars : The Clone Wars



15 Ogos 2008 ini, sebuah lagi filem Star Wars baru akan muncul di pawagam. Star Wars - The Clone Wars adalah cerita antara filem Star Wars II : Attack of The Clones dan Star Wars III : Revenge of The Sith. Berbeza dengan filem-filem Star Wars yang lain, The Clone Wars adalah filem bercorak animasi sepenuhnya dengan sentuhan digital efek yang apabila dilayarkan, ianya menjadi seperti filem-filem anime Jepun. Lari dari tradisi animasi Barat ala Disney.

Kalau ada yang pernah tengok siri animasi Star Wars : Clone Wars, kamu pasti faham konsepnya. Cuma kali ini, animasi filem adalah lebih 'bersih' dan 'hidup'. Star Wars : The Clone Wars seterusnya akan disambung dalam bentuk siri animasi televisyen dengan tajuk yang sama yang akan ditayangkan di Cartoon Network. Maknanya aku kena langgan pakej Fun di Astro untuk menikmatinya...

Adalah dijangkakan sebanyak sekurang-kurangnya 100 episod akan dihasilkan. Banyak tu. Kalau setiap episod sepanjang 22 minit, maknanya ada lebih kurang 2200 minit cerita Star Wars untuk ditonton menjelang Ogos 2008 nanti. Lebih 36 jam.

Kemudian, dijangkakan, menjelang 2010, akan ada siri televisyen Star Wars bercorak seperti siri televisyen Young Indiana Jones. Ianya mungkin berkisar peristiwa sekitar antara filem Star Wars III : Revenge of The Sith dan Star Wars IV : A New Hope. Jurang masa lebih kurang 19 tahun di antara kedua-dua cerita, maka banyak perkara yang berlaku dalam Alam Star Wars, ini termasuk cerita mengenai Hans Solo, Chewbacca dan Lando Calrissian. Tapi mengikut kenyataan yang dikeluarkan, mungkin siri televisyen ini akan lebih menumpukan cerita watak-watak sampingan dalam Star Wars. 

Sementara tunggu yang itu, aku tunggu filem animasi dulu. Tengok trailer di SINI.

Beli Tiket Bas Secara Online

Semalam beli tiket bas ke Johor Bahru. Member kahwin dan aku pergi sebagai jurugambar. Aku naik bas kerana kos menggunakan kenderaan sendiri adalah tinggi. Tol, minyak dan makan. Selama ini aku tak tahu yang ada syarikat bas ekspres Malaysia menawarkan perkhidmatan membeli tiket secara online. Apabila aku mengunjungi website Mara Liner untuk mendapatkan jadual perjalanan, ada sistem belian tiket secara online.

Menariknya, bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit dan debit terus dari akaun bank. Lebih mudah, cepat dan tidak perlu berhadapan dengan ulat-ulat tiket di Puduraya. Tambahan pula, boleh pilih tempat duduk macam pilih tempat duduk panggung wayang. Sekarang. aku takkan beli tiket di kaunter tiket lagi melainkan perjalanan ke destinasi tersebut tidak dikendalikan oleh Mara Liner. Syabas Mara Liner atas usaha yang baik ini. Patutnya syarikat bas lain juga mencontohi usaha Mara Liner, ini termasuk Transnasional yang gah tu. Nama je besar tapi website menyusahkan.

Aku tak hairan kiranya suatu hari nanti si Tony Fernandez ambil alih syarikat bas dan menyediakan bas ekspes No-Frill macam Air Asia. Beli tiket secara online dan ada tawaran tambang murah yang tak masuk akal. Kemudian ada kos-kos tersembunyi yang terpaksa dibayar.

Sekurang-kurangnya usaha Mara Liner harus dipuji. Ianya satu usaha untuk memudahkan pengguna mendapatkan perkhidmatan. Lagi satu yang patut dipuji, membenarkan penggunaan perkhidmatan debit terus akaun bank. Ianya langkah bagus kerana tidak ramai orang Malaysia ada kredit kad dan juga yang penting, mengelakkan orang membeli tak tentu pasal menggunakan kredit kad. Sekurang-kurangnya pembayaran melalui debit akaun bank itu sudah pasti ada duit dalam bank.

27.5.08

Antara Dua Darjat

Malam Ahad tempohari, aku sempat menjenguk Warna-Warna Malaysia yang diadakan di hadapan Palace of Justice. Ramai orang. Ramai pelancong asing. Meriah dengan bunga api dan persembahan-persembahan jalanan.

Tetapi semakin lama aku semakin tidak faham konsepnya. Pertamanya, betul-betul depan pejabat aku, ada kumpulan badut-badut sarkas dan orang Maori yang sebenarnya orang tempatan kita juga. Apa motif memainkan tarian Haka di pesta seni budaya tempatan? Apa motif badut sarkas? Tapi kalau kata hendak memeriahkan majlis, kira ok la. Sebab nak tengok majlis utama, lagi masalah.

Majlis utama diadakan di hadapan Palace of Justice. Ada dua buah tempat duduk bertingkat besar di kiri dan kanan tempat duduk utama. Tapi yang menariknya, tempat duduk utama begitu besar, berbumbung dan hampir sama besar dengan pentas persembahan. VVIP utama adalah Sultan Kedah, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelancongan. VIP lain, ramai. Sejak bila kita membuat persembahan kebudayaan bercirikan motif pelancongan tetapi VVIP yang lebih diutamakan? Aku lihat pelancong asing mundar mandir dan ramai antara mereka tidak tahu hendak kemana. Malah ada ketika mereka dilayan seperti orang biasa, dihalau dari melalui laluan VIP. VIP yang keluar duit banyak untuk pelancongan di Malaysia ni ke?

Itulah yang selalu terjadi di majlis-majlis kerajaan. Contohnya majlis untuk meraikan para pekerja cemerlang dan dihadiri oleh Menteri sebagai tuan rumah. Tapi apabila majlis bermula, Menteri adalah orang paling akhir masuk dan disambut dengan penuh gilang gemilang sedang orang yang hendak diraikan iaitu para penerima anugerah kerja cemerlang pula terpaksa menyambut tuan rumah. Dari segi protokolnya, langsung tak betul.

Biar setinggi mana pun pangkat menteri tersebut, tapi sebagai tuan rumah, dia tidak sepatutnya datang paling akhir dan disambut. Kerana tujuan majlis adalah untuk meraikan pekerja cemerlang. maka, pekerja cemerlang itu patut disambut dan diraikan kerana merekalah sebenarnya VVIP.

Bukan untuk majlis sebegitu saja, apa jua majlis untuk sambutan seperti majlis persaraan, majlis meraikan seseorang kakitangan, yang bila mana pegawai atasan dan menteri adalah tuan rumah, maka merekalah yang disambut, bukannya orang yang diraikan. 

Lihat protokol yang sebenar dan siapa yang patut disambut dan diraikan sebagai VIP, dan siapa yang sepatutnya menjadi tuan rumah. Kalau menteri menjemput ke sesuatu majlis yang dilaksanakannya, maknanya menteri tersebut adalah tuan rumah, bukan VVIP atau VIP yang perlu disambut. 

Jadi, walaupun Warna-Warna Malaysia bertujuan untuk menggalakkan pelancongan dan memperlihatkan kepada pelancong asing seni dan budaya tempatan, tapi jemputan VVIP/VIP jauh lebih diutamakan dan diletakkan dibarisan paling hadapan walaupun sasaran atau yang diraikan bukan mereka. Mereka cuma tetamu yang datang, itu saja. 

Biasalah, orang Malaysia lebih faham kepada pangkat dan darjat dalam menentukan kuasa.

24.5.08

Buka Pintu Otak Dan Mula Berfikir

Sejak dari kecil, kebanyakkan dari kita diajar berfikir secara rasional, linear dan berdasarkan faktor-faktor persekitaran yang ada. Kalau disimpulkan, kita diajar untuk berfikir mengikut logik akal.


Apa yang ada di hadapan mata kita adalah itu, apa yang berada di hadapan mata. Lihat gambar atas, apa yang kamu boleh tafsir/bayangkan? Segi tiga, tiang, bulatan, gelung, arca dan seni. Itu pasti perkara yang pertama bermain di kepala.

Merujuk kepada cerita aku sebelum ini dan aku ingin beri pandangan mengenai mentaliti kebanyakkan rakyat Malaysia. Bukan, aku tidak menyalahkan mereka atau mencari salah sesiapa. Aku tidak ada hak untuk berbuat demikian. Cuma kadang-kadang agak frust apabila melihat orang terlalu berfikiran linear. Ianya berlaku di mana-mana, termasuk politik kita.

Selalunya, kita akan diberikan noktah-noktah kenyataan seperti,
  • kita sudah biasa buat begitu, nak ubah apa lagi?
  • cara ini yang selalu kita buat.
  • untuk pergi dari point A ke point C, kita perlu lalui point B.
Jadi, apa perlu kita lakukan sesuatu yang berlainan sedang kita selesa melakukan perkara yang sama sebelum ini? Aku harap sangat mereka ini boleh tanya kepada Chef Wan, Tun Dr. Mahathir atau Datin Paduka Sharifa Mazlina (kamu tahu siapa dia?) soalan ini. Kenapa perlu lakukan sesuatu yang berlainan dengan norma atau jalan hidup kita? Kerana bagi aku mungkin, lakaran hidupnya nanti akan lebih indah, lebih menarik dan lebih bermakna.

Masalahnya, kebanyakkan dari kita sudah tersemat dalam otak mereka 'brand' atau jenama-jenama yang bagi mereka ianya sudah sebati dengan hidup mereka. Seperti mengatakan Meggi untuk semua jenis mee segera atau Colgate untuk semua ubat gigi. Begitu juga kebanyakkan dari kita, kita meletakkan 'jenama' terhadap perbuatan dan peraturan hidup kita. Jadi apabila kita mahu jadi pandai, perkara pertama sekali disebut orang, baca buku. Itu contoh 'jenama' kehidupan kita. Buku adalah jenama dan buku adalah alat untuk menjadi pandai. Bukan aku kata semua orang bagitau suruh baca buku untuk jadi pandai, tapi mentaliti manusia menetapkan keseragaman berfikir. Untuk bergerak dari point A ke point C, kena lalui point B. Kenapa? Ianya adalah turutan A - B - C seperti yang kita belajar dari kecil.

Bagi kebanyakkan dari kita, sukar untuk kita terima A - D - Z - L - B.... contoh. Ianya tidak logik. Ianya bertentangan dengan norma pemikiran kita. Bagi kita juga, di luar kotak itu adalah cukup sekadar kita membuka penutup kotak dan melihat luar dari kotak. Sementara kita terus kekal dalam kotak samada kita sedar atau tidak. Apabila ditanya, kita kata kita berfikir di luar kotak sedang kita tidak sedar, kita masih berdiri di tempat yang sama.

Ramai antara kita yang tidak berani untuk melompat keluar dari kotak dan lari jauh darinya kerana kotak itu adalah pulau bagi kita di tengah lautan. Jauh darinya dan kita akan tenggelam. Orang istilahkan ini berpijak di bumi yang nyata. Kita tidak mahu terbang tinggi kerana terpengaruh dengan pepatah, setinggi mana burung terbang, akhirnya hinggap di dahan pohon juga.

Juga berkaitan dengan negativiti pemikiran. Apa kamu nampak dengan gambar di bawah?


 
Pasti mungkin jawapan kamu yang pertama, gambar ini salah. SALAH. Itulah kesimpulan negatif yang sebenarnya menutup segala ruang kreativiti kita. Ramai orang Malaysia yang apabila berfikir atau diminta memberi pendapat, perkara pertama yang keluar adalah mengenai sifat-sifat negatif terlebih dahulu. Jambatan bengkok menghubungkan Malaysia dan Singapura. Apa pendapat kamu? Pelik, bodoh, kedegilan Singapura dan bermacam-macam lagi. Apa aku nampak bila pertama kali melihat model jambatan bengkok tersebut? Permandangan yang menarik. Memecah norma biasa. Tapi tidak bermakna aku sokong pembinaan jambatan tersebut. Kenapa ianya menjadi negatif? Kerana manusia lebih suka kepada perkara yang linear, lurus baik horizontal atau vertikal. Perkara-perkara yang bengkang bengkok, tidak sekata, tidak lurus dan tidak 'setuju' kepada norma kebiasaan adalah tidak bagus.

  

Apa pandangan (pertama yang terlintas di fikiran) kamu mengenai gambar di atas? Bagaimana pula gambar di bawah?

  

Ada masa kita perlu benar-benar keluar dari kotak dan lari sejauh mungkin darinya untuk melihat perspektif yang berbeza dari apa yang kita biasa lihat. Ada masa kita perlu mencari posifif dan letakkannya lebih tinggi dari negatif. Lari dari linear. Buat sesuatu yang berlainan. Carpe Diem.

Hidup bukan semata-mata cause and effect. Apa-apa saja yang kita lakukan bukan semuanya perlu ada sebab dan akibat. Kerana sebab dan akibat membataskan ruang.

Suatu ketika dahulu apabila hendak difilemkan Lords of The Ring, ianya dianggap mustahil. Sekarang tidak lagi. Kenapa? Adakah kerana sekarang teknologi 'membenarkan' ianya dihasilkan? Aku tidak anggap begitu. Aku menganggap ada sebahagian dari kita yang berusaha untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dan ada di antara kita yang membiarkan saja tanpa apa-apa penyelesaian.

Mercedes-Benz menjadikan ikan Blowfish sebagai contoh untuk menghasilkan kereta mereka. Kenapa? Kerana mereka ingin mencari jalan penyelesaian dengan masalah 'drag' apabila kenderaan bergerak. Tapi kenapa ikan? Kerana mereka tidak melihat dari satu sudut saja apabila berfikir. Mereka mencari sebanyak jalan yang ada walau dari sumber yang kita tidak sangkakan logik. Atau contoh jelas penyelesaian masalah yang berakar umbi dari benda yang kita tidak fikir boleh berasal dari situ adalah skrin laptop atau handphone yang kamu guna. Kalau dulu skrin ini biasanya ada 'glare' atau biasan cahaya, sekarang ianya sudah dapat diatasi. Bagaimana? Dengan menggunakan mata serangga sebagai contoh. Nah, berfikir tidak semestinya linear. Ada kalanya kita perlu luaskan ruang lingkup pemikiran kita. 

Aku sebenarnya letih dengan negativiti kebanyakkan orang Malaysia. Apa saja perkara pasti ada negatifnya dan lebih hairan, orang lebih suka membicarakan perkara-perkara negatif daripada positif. Kerana yang buruk itu lebih sesuai dihuraikan, begitu? Kerana yang positif itu adalah itu saja, positif. Tidak ada apa-apa penjelasan diperlukan untuk perkara-perkara positif kerana ianya sudah terjelas dengan sendirinya?

Jangan bagitau aku kita perlu juga fikirkan yang negatif untuk mengimbangkan keadaan. Keadaan apa? Kita perlu fikirkan yang negatif sebagai check and balance. Yeah... right. 

Kemudian, jangan malas sangat nak berfikir. Timbulkan satu persoalan dan cukup. Biar orang lain jawab persoalan itu. Kamu hanya perlu tunggu jawapan. Pemalas namanya tu. Apa korang nak buat dengan 90% lagi otak tu?

Kamu mahu lihat dari sudut yang berbeza? Lihat gambar di bawah dan faham maksud aku. Ia adalah gambar yang sama dengan gambar yang pertama tapi dari sudut yang berbeza.


22.5.08

Ideologi Filem Melayu?

Tadi aku berkira-kira dengan sahabat, filem apa yang mahu ditonton malam ini. Indiana Jones IV atau Narnia. Tapi seingat aku dia mahu menonton filem What Happen In Vegas semasa kali terakhir kami menonton dua minggu lalu. Jadi mungkin atas sifat give and take, aku akan menonton What Happen In Vegas. Narnia dan Indiana Jones IV boleh ditontoni kemudian.

Filem melayu terakhir aku tonton di wayang adalah Congkak atas ajakan kawan-kawan pejabat. Semasa di dalam panggung, sepanjang cerita aku ketawa dan komplen itu ini mengenai cerita tersebut sedang kawan-kawan ada yang terkejut, ketakutan dan menutup muka apabila adegan seram terpapar di layar. Untuk Congkak, aku benci sistem bunyinya. Kalau tidak kerana bunyinya, aku tak fikir orang akan terkejut. Bunyinya juga terlampau kuat dan berulang-ulang hingga menyakitkan telinga dan menjadi amat-amat bosan. Namun apa yang perlu dipuji adalah penggunakan efek visual yang semakin maju dalam filem-filem Melayu.

Ada beberapa pemerhatian lain mengenai filem melayu moden yang aku fikir boleh diperbaiki. Maklum ya, ini semua hal-hal trivial saja;
  1. Penggunaan irama keyboard sebagai muzik latar. Cukup. Beralih kepada orkestra atau sistem muzik lain. Kalau miskin sangat, beli sebuah Apple iMac yang dilengkapkan dengan GarageBand, kamu boleh dapat loop muzik yang jauh lebih bagus dari petikan keyboard semata-mata.
  2. Muzik latar juga selalu digunakan tidak kena pada tempatnya atau selalu juga, terlebih guna. Guna bila perlu. Lihat PGL dan Cinta antara contoh yang baik (bagi aku).
  3. Nama-nama seperti Bob, Pian, Man Kapal, Man Dayak, Jin Bab, Carrie dan sebagainya nama singkat adalah tidak sesuai digunakan semasa kredit akhir. Berilah penghormatan yang sewajarnya kepada orang-orang belakang tabir. Letak saja nama penuh mereka dan kalau mahu juga letak nama glamer, letak di belakang nama penuh dalam kurungan. Jadi kredit akhir kamu nampak lebih profesional dan menarik.
  4. Penulis skrip, adakah kamu berbual bicara seharian dengan bahasa-bahasa tersusun skema? Kalau ya, aku diam. Tapi kalau tidak, kenapa kamu masih menulis skrip seolah-olah semua orang di Malaysia ini berbual dengan tatabahasa yang betul? 
  5. Ya, mengenai penggunaan kenderaan terutamanya VAN. Apa kes dengan VAN ni? Aku tahu VAN yang digunakan dalam filem itu tidak lebih dari sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengangkat props dan krew. Tapi tak perlu selitkan dalam filem. Kalau di zaman 80an dan awal 90an dulu mungkin ya. Sekarang tidak lagi. 
  6. Pakaian pelakon. Entah, susah aku mahu jelaskan tapi aku rasa secara umumnya rakyat Malaysia tidak pakai apa yang pelakon dalam filem pakai. Aneh tau tak.
  7. Perlukah ada adegan dalam dikso, pub, kelab malam dan restoran mewah untuk setiap filem melayu?
  8. Ini menarik. Pekerjaan watak-watak dalam filem. Arkitek, jurutera, doktor, penyanyi, pelukis, penghibur dan lain-lain lagi yang secara umumnya pekerjaan-pekerjaan minoriti. Lupa, cikgu dan polis... Sigh...
  9. Sekiranya ada adegan perbincangan mengenai bisnes, ianya tidak pernah detail. Projek itu, projek ini saja yang disebut tapi tidak pernah jelas apa projeknya melainkan kalau melibatkan arkitek dan jurutera.
  10. Banyak lagi...
Mungkin pada orang lain ianya tidak signifikan atau tidak mempengaruhi cerita. Namun bagi aku apabila terlalu banyak memperlihatkan keadaan sebegitu, akhirnya cerita-cerita melayu menjadi generik.

Lihat contoh filem P.Ramlee dan kenapa sampai sekarang ianya masih diminati. Lihat contoh pekerjaan. Cikgu, tukang jual ubat (penipu), penarik beca, pemandu, ahli muzik, doktor, polis, askar dan banyak lagi. Banyak kepelbagaian dan tidak generik keadaannya. Dia melakonkan watak dari seorang yang amat-amat miskin hinggalah yang kaya. Itulah yang menarik.

Filem melayu kini juga terlalu menumpukan kepada kehidupan di Kuala Lumpur. Apa saja keadaan, Kuala Lumpur pasti ada kena mengena dengan cerita. Itu masalahnya. Aku masih belum temui filem yang mungkin berkisar contohnya di Balik Pulau, Pulau Pinang atau Cameron Highlands. Belum.

Entah apa kes aku bicarakan hal filem. Aku bukan mahir.

Wallpaper



Wallpaper iMac opis aku. Terima kasih atas shot yang menarik. Gambar ini diambil di Tanjung Gelora, Kuantan, Pahang. Puisi pendek itu aku hasilkan sendiri. Baju hitam yang dipakai baru sehari dibeli. Badan gemuk itu sudah 2-3 tahun begitu.

21.5.08

Teori Politik?

Politik Malaysia:
  1. Bersifat perkauman yang amat nyata, mana pihak sekali pun.
  2. Dengki dan dendam adalah sebahagian daripada permainan malah sudah menjadi rutin sehingga ianya menjadi biasa dan tidak dipersoalkan lagi. Malah setiap tindakan dendam dan dengki itu adalah dianggap sebagai sebahagian daripada cara berpolitik.
  3. Kronisme, mana pihak sekali pun.
  4. Apabila sesuatu parti politik itu berkuasa, maka keuntungan dan kepentingan ahli dalam parti politik yang lebih diutamakan daripada kepentingan semua orang.
  5. Lebih bersifat peribadi. Cakap pada aku siapa ahli politik yang benar-benar berjuang dalam politik untuk kepentingan orang lain semata-mata?
  6. Tidak telus dan tidak mungkin akan telus.
  7. Menjadikan demokrasi, liberalisme, sosialisme dan apa saja isme dalam politik cuma sebagai alat menghalalkan cara, tanpa mempedulikan etika dan maksud isme itu sendiri.
  8. Tidak pedulikan suara majoriti yang sebenar.
  9. Lebih bersifat memecah belah daripada bersatu padu.
  10. Hanya untuk peguam, ahli korporat dan golongan-golongan yang berwang sahaja.
Mahu saja aku listkan sebanyak mungkin tapi ianya tidak akan membuktikan apa-apa. Kerana itu sejak 3 penggal pilihanraya, aku tidak pernah dan tidak mahu mengundi. Untuk apa? Undi itu adalah hak aku dan aku masih belum nampak mana-mana parti politik yang ikhlas untuk berpolitik.

Kalau aku main games komputer Civilization baik dari yang pertama hingga ke empat, pilihan politik terakhir aku adalah demokrasi/republik. Kerana ianya menyusahkan. Kos yang perlu ditanggung adalah tinggi dan kebebasan kepada manusia adalah satu punca ketidak stabilan sesebuah negara.

Dalam Civilization, selama mungkin aku mahu duduk berpaksikan Nepotisme/Feudalisme kerana kamu tidak perlu pedulikan rungutan dan keluhan orang lain. Kamu cuma perlu tadbir dan urus negara kamu mengikut kemahuan kamu. Kamu lihat Brunei, UAE dan Kuwait. Itu contoh jelas, mungkin. Ya, aku tahu mereka kaya kerana hasil buminya.

Kemudian, apabila kamu mahu berperang dan meluaskan kuasa, tukar kerajaan kepada Komunisme/Fasisme agar rakyat yang mahu tidak mahu akan taat setia kepada kamu tanpa persoalan (mungkin ada, tapi siapa berani bersuara?) dan kamu jajah seluas mana bumi ini, sehingga puas.

Apabila sudah semakin maju dan luas tanah jajahan, tukar kepada Demokrasi/Republik. Republik/Demokrasi tidak boleh berkuasa dalam keadaan rakyat yang miskin dan terbiar. Kerana rakyat yang miskin akan memberontak melihat kekayaan disedut oleh orang yang sudah sedia kaya. Ini Civilization. Sebuah permainan komputer. Realitinya tidak begitu, tetapi hampir.

Mungkin suatu masa manusia tidak perlu berteraskan kepada mana-mana ideologi politik. Manusia bebas menentukan hidup mereka dan sistem ekonomi, politik dan mungkin agama tidak berteraskan kuasa-kuasa politik dari mereka yang dicalon dan diundi oleh manusia. Manusia pada ketika itu mungkin mempunyai "persetujuan umum" tentang semua berkaitan perjalanan sesebuah negara (sekiranya negara itu sendiri masih wujud), perjalanan ekonomi dan perjalan sosial kehidupan.

Kamu perlu ingat bahawa demokrasi itu sudah terlalu tua (lebih 2000 tahun untuk terus dilaksanakan). Manusia perlukan ideologi politik yang baru. Ideologi politik berteraskan "persetujuan umum".

Namun manusia itu sendiri tidak generik dan tidak sama antara satu sama lain dari segi akal fikiran dan tindakan. Maka sifat "persetujuan umum" ini hanya sekadar mitos sehinggalah mungkin suatu masa nanti semua otak manusia yang baru lahir di steril dan di 'embedded' kan ideologi-ideologi "persetujuan umum". Apabila cukup masanya dan ketikanya (seperti Order 66 dalam Star Wars III), secara automatik "arahan" untuk mematuhi "persetujuan umum" akan terlaksana.

Maka jadilah manusia ketika itu seperti android yang walau berfikir namun masih terbatas dengan "arahan tersimpan" yang telah ditanam sejak awal dalam benak otak mereka.

Mungkinkah begitu hidup manusia suatu masa nanti? Tidak mustahil. Ideologi Hollywood sentiasa ada menyatakan bahawa pasti akan ada manusia-manusia android ini menjadi rebelius lalu menentang konsep kawalan minda ini. Maka, ketika itu, kembalilah manusia dalam pusingan hidup ideologi politik mereka.

Sesungguhnya manusia ini banyak keunikannya. Paling unik adalah konsep "self-destruction" (kemusnahan diri). Kerana itulah yang sedang terjadi dalam politik di Malaysia. Memusnahkan diri sendiri. 

20.5.08

Akram Shah

Kawan-kawan 89ers MRSM Balik Pulau, aku jumpa satu blog dari salah seorang senior kita yang amat-amat kita kenal. Aku pasti.

Blog Akram Shah Muamar Ubaidah. Mungkin ada daripada korang yang sudah tahu. Aku cuma baru tahu hari ini. Sudah aktif berpolitik rupanya anak Sanusi Junid seorang ni.

16.5.08

Banner & Iklan



Lama sudah aku memikirkan untuk membuat banner sendiri bagi blog ini. Sebentar tadi baru ada ruang masa dan idea untuk buat. Ini hasil kerja 15 minit. Jadi tidaklah sebaik mana. Aku cuma guna smudge tools dan satu jenis brush.

Sekarang ada banner, rasa meriah sikit blog aku. Aku pun dah letak balik iklan. Fikir-fikir balik,  takde guna nak politically correct sangat dengan blog sendiri. Kalau terasa nak buat duit, buat je. Blog aku.

Setakat ni AdSense aku ada $2.10 USD dan beberapa web ads lain setakat lebih kurang RM5.00 hasil orang klik pada iklan yang terpapar. Sikit. Biarlah.

Kalau boleh setiap post aku mahu letak gambar. Jadi tidaklah kosong sangat cacatan atau tidak la bosan sangat untuk dibaca.

Cikgu Zul & SmartLearning


Cikgu Zul

Kawan-kawan MRSM Balik Pulau hingga 1991, siapa pernah kenal dengan Cikgu Zulkifli Kassim (Cikgu Zul)? Beliau adalah antara pelopor SmartLearning di Malaysia suatu ketika dahulu dan aku adalah antara pelajar-pelajar yang bertuah dapat mempelajarinya dari pakar SmartLearning sendiri. Ada dua tiga orang lagi tenaga pengajar SmartLearning tapi aku sudah lupa nama mereka. Tapi aku sentiasa ingat Cikgu Zul. Berbadan besar tapi lembut tutur kata. Kali terakhir sebelum dia meletak jawatan sebagai guru di MRSM Balik Pulau, dia guna kereta Mitsubishi Galant besar.

Pada masa pelajar lain sibuk dengan kaedah belajar biasa, kami di MRSM Balik Pulau sudah pun dilatih menggunakan kaedah SmartLearning; kaedah peta minda, kaedah study smart dan banyak kaedah-kaedah yang kalau masa sekarang, orang nampak biasa. Ya, aku ingat apabila aku ke UiTM (masa tu ITM) dan melukis awan-awan (peta minda) sebagai nota, member-member nampak pelik. Mereka fikir aku sedang buat ajaran sesat.

Sebentar tadi aku jumpa laman web Cikgu Zul. Nampaknya dia sudah agak kurus tapi gaya dan janggutnya masih sama. Aku yakin, bicaranya juga sentiasa akan diselangi dengan senyuman. Itulah dia Cikgu Zul yang aku masih ingat.

Aku fikir sempena reunion MRSM Balik Pulau yang akan diadakan Julai nanti, wajar dijemput sekali Cikgu Zul untuk memeriahkan majlis.

15.5.08

The Beatles On The Rooftop

Rasanya, persembahan terakhir The Beatles, di atas bumbung syarikat rakaman mereka di London. Damn you Yoko Ono!


The Beatles On The Rooftop - 1


The Beatles On The Rooftop - 2


The Beatles On The Rooftop - 3

:-)

Tengah Hari Tadi

Salah satu punca aku tak berapa suka makan di kafe opis terutama bila dengan seorang perempuan, akan tiba di telefon bimbit beberapa sms;

"Tahniah, dia memang sesuai untuk awak."

"Baguslah Dan, dah ada awek. Bila lagi?"

Pelik juga aku. Memang mereka tunggu ke saat bila nampak aku makan berdua dengan seorang perempuan?

Kemudian dengan mata yang memandang... Boleh tembus baju batik aku tadi. Kamu takde kerja lain ke? Makan saja lah.

Lakaran Batik Hidup Aku



Hari ini aku berbaju batik. Sebenarnya aku lebih selesa berbaju batik kerana yang utamanya, aku tidak perlu tug-in baju ke dalam seluar. Aku tidak minat berbuat begitu. Kalau boleh aku mahu berbaju t dan berseluar trek saja. Senang dan selesa.

Banyak duit habis untuk membeli pakaian kerja sebenarnya. Nasib juga aku bukan jenis suka berfesyen dan mengikuti perkembangan fesyen semasa. Aku tidak akan set rambut ala Mohawk (yang amat-amat ketinggalan zaman) dan berkasut kulit fesyen terbaru yang bermuncung panjang. Aku pakai apa yang aku selesa pakai. Ianya berlaku sejak 1991-1992 semasa di sekolah. Sebelum dari itu, kiranya aku ikut juga perkembangan fesyen. Aku pakai seluar ketat mengikut arus rock yang hebat ketika itu. Aku sanggup upah member untuk menjahit mengecilkan seluar semata-mata untuk nampak rock.

Menjelang 91-92, apabila aku sudah perlu membuat pakaian sekolah baru, aku fikir aku mahu pakai pakaian yang senang saja. Tidak perlu berfesyen mengikut arus semasa. Jadi aku pakai seluar slack dengan keluasan yang biasa dan baju kemeja-T tangan panjang. Aku berkasut kulit hitam jenama Puma (aku masih ingat) dan berstokin hitam serta rambut di sikat lurus kebelakang. Tidak ada lagi fesyen bagi aku biarpun ketika itu sudah mula glamer dengan fesyen seluar slack berlipat di kaki dan buckle tali pinggang yang besar. Juga aku tak pakai kasut dengan buckle. Semasa zaman grunge (kelibat Kurt Kobain masih ada), aku tidak pakai apa yang orang lain pakai atau mungkin aku tak anggap apa yang aku pakai adalah pakaian grunge kerana aku sudah pakainya sejak awal.

Maklumnya aku sudah dengar Nirvana sejak sebelum ianya meletup (kerana aku pelik kenapa cover kaset ada seorang bayi berenang mengejar sekeping dolar Amerika).  Tidak, aku tidak lagi mengikut fesyen. Sehingga kini. Sehingga saat ini aku pakai apa yang aku fikir sesuai untuk aku pakai.

Maka apabila orang di pejabat sibuk mencari kasut dengan muncung yang panjang, aku membelek-belek kasut half-cut kegemaran aku sejak 10 tahun lalu. Kasut yang aku pakai sekarang adalah kasut yang aku beli 4 tahun lalu. Malah, aku baru tukar wallet setelah lebih 12 tahun aku guna. Bukan kedekut, cuma aku tak nampak sebab untuk tukar.

Orang lain sibuk dengan telefon bimbit jenama terkini dengan segala fungsi yang ada, kamera, MP3 player, GPRS, 3G, GPS dan segalanya, aku selesa guna Samsung C130,

 yang aku beli dengan harga RM188. Tiada apa yang menarik selain aku guna untuk membuat panggilan, terima panggilan, jawab dan terima SMS. Itu saja. Oh ya, aku juga gunanya sebagai kalendar, alarm, kalkulator, notepad dan jam. Itu saja. MP3 player? iTunes di iMac ada. Kamera? Canon 400D Digital SLR aku ada. 3G, internet dan segalanya? iMac ada.

Aku sudah lebih 10 tahun tidak pakai jam tangan. Mungkin lebih lama. Kali terakhir aku ada jam tangan (aku tak pakai kerana tiada tali jam), ianya hilang dalam bas semasa perjalanan dari Taiping ke Kuala Kangsar. Selepas itu aku tidak ada jam tangan lagi. Selalunya kalau aku beli jam tangan, ianya samada hilang atau rosak. Pada umur aku 12 tahun, Pak Ngah aku hadiahkan aku sebuah jam tangan Casio warna hitam dengan skrin digital. Itulah jam paling mahal aku pernah terima dan paling lama aku pernah guna. Aku guna hingga habis SPM. Kalau pun aku mahu beli jam sekarang, aku akan cari jam dengan skrin muka klasik. Entah, selera orang tua agaknya. Jam tangan besar? Baik aku pakai jam dinding saja.

Haa... otak aku bukan otak orang tua atau orang yang minat dengan benda-benda lama semata-mata. Aku amat minat dengan teknologi dan alam sekitar. Tapi semenjak aku guna Apple, teknologi komputer aku lihat tidak lagi signifikan atau tidak lagi mengejarnya. Aku tidak perlu bersusah payah untuk upgrade PC setiap 6 bulan kerana Apple iMac ini masih cool walau sudah hampir setahun digunakan. Crash? Blue Screen of Death? Apa tu?

Pasal alam sekitar, ianya meliputi apa saja, sejarah, manusia dan suasana. Sebab itu majalah paling aku suka baca adalah National Geographic. Ya, kamu akan fikir betapa nerd/geek aku ini kerana baca National Geographic. Tapi sekurang-kurangnya aku tahu banyak perkara yang kamu tak tahu.

Ya, berbalik dengan baju batik. Aku beli dengan harga yang murah. RM60 saja. Kata penjual, harga asal RM120. Tidak kiralah berapa pun harganya. Asal cantik dan sesuai, aku pakai je. Ramai orang kata cantik. Aku tak tahu, aku rabun warna. :-)

12.5.08

Oh, Bodohnya...

Aku harap aku dapat huraikan semua ini dengan lebih 'lembut' atau bertimbang rasa lagi. Tapi aku rasa ianya agak susah untuk aku fikirkan. Ini semua berkaitan dengan apa yang sedang berlaku di sekeliling aku, dan terhadap aku juga.

Mulanya aku macam tak percaya bila orang bercinta letak beberapa peraturan untuk mereka bercinta. Pelik tapi tidak mustahil. Ye la, aku tahu ada yang letak peraturan tapi aku tak fikirlah ianya berkaitan dengan masa, keadaan, cara dan segalanya yang aku rasa tak sepatutnya orang bercinta buat. Apa motif bercinta kalau kamu letak peraturan itu ini? Apa yang menarik sangat dengan peraturan?

Lelaki : Saya mahu berehat sehari dalam seminggu di hujung minggu kerana perlu basuh kain, kemas rumah dan mungkin bertemu kawan-kawan.

Basuh kain? Kemas rumah? Okay, basuh kain mungkin aku boleh terima. Tapi kemas rumah setiap minggu? Arrghhh.... Kalau kamu metroseksual mungkin. Tapi kamu BUKAN lelaki metroseksual. Kamu tidak cukup hensem untuk jadi seorang metroseksual. Malah kamu tidak cukup lelaki untuk menjadi seorang metroseksual hanya semata-mata kamu suka main bolasepak.

Basuh kain pun aku fikir alasan yang paling bodoh aku pernah dengar. Aku tahu di rumah tersebut ada ramai orang dan keluarga yang besar. Tapi aku tak fikir kamu perlu basuh baju orang perempuan dalam keluarga kamu atau kamu perlu tunggu 10 jam untuk basuh kain. Tipu la kalau di rumah kamu takde washing machine dan tipu juga kalau kamu kata kamu perlu tunggu kain kering di ampaian...

Kawan-kawan? Kalau kamu seorang lelaki yang ada awek lebih penting kawan-kawan kamu dihujung minggu, kamu adalah lelaki paling bodoh dalam dunia (aku tahu, ramai yang kata tidak atau mungkin juga ada yang kata, itu hak dia). Biar. Aku tetap akan kata kamu bodoh. Hujung minggu la untuk kamu dengan awek kamu bertemu dan err.. buat apa yang kamu berdua perlu buat. Kalau tidak, bila lagi? Waktu sarapan pagi dan makan tengahari di pejabat? Urrghhh... Kayu.

Perempuan : Awak tak perlu hantar saya balik dari kerja. Saya boleh naik bas balik. Saya tak mahu susahkan awak.
Lelaki : Baiklah.

Ya, perempuan mungkin tidak mahu menyusahkan lelaki dan mungkin juga dia mahu menguji. Tapi kamu lelaki, entah apa yang ada dalam otak kamu, aku sendiri tak faham. Hantar awek kamu balik. Kalau tak setiap masa, sekali sekala. Tapi sebenarnya ianya bergantung kepada kemahuan kamu. Entahlah. Kalau aku, aku mahu hantar dan mahu ambil kerana bukan mahu mengongkong, aku cuma rasa senang hati begitu.

Ada lagi sebenarnya. Tapi bila aku baca balik semua ini, aku rasa nanti orang akan fikir aku sedang marah.

Jadi, biar aku sambung kemudian nanti.

10.5.08

Kenapa PM Boleh Naik Kereta Laju Atas Highway?

Semasa dalam perjalanan balik tadi, aku guna Lebuhraya baru KL-Putrajaya. Jalan lurus, lampu limpah sepanjang jalan dan tiada jem (setakat ini).

Tidak lama aku berada di atas lebuhraya tersebut, ada cavalcade lalu. Perdana Menteri (sebab aku kenal no. 13 pada plat kereta beserta dengan 2 buat motosikal Moto Guzzi sebagai eskot di kiri kanan kereta beliau. Laju. Mungkin lebih dari 150km/j.

Aku pernah tengok Agong punya cavalcade, tapi rasanya tidak semeriah cavalcade PM. Mungkin PM lebih banyak risiko berbanding dengan Agong. Mungkin.

Ulat Puduraya

Kalau kamu ke Puduraya dan mahu beli tiket di kaunter, bukan dengan ulat, apabila dihampiri ulat dan ditanya oleh mereka depan muka kamu sama kamu mahu tiket atau tidak, cakap saja sudah beli. Atau,

"Brader, nak kemana?"
"Tak kemana-mana..."

atau

"Brader, nak kemana?"
"Saja jalan-jalan..."

atau

"Encik, mau beli tiket?"
"Tak, saya cari toilet..."

atau

"Encik, JB, Ipoh, Melaka, Penang, Singapore..."
"Saya baru sampai dari sana..."

Aku heran, kata dulu ulat ni tak boleh. apa si polis gemuk buat berdiri tepi kedai Dunkin Donut? Tunggu donut free ke? Sekarang ulat lebih kurang sama banyak dengan orang yang datang beli tiket.

Si Bisu Dengan Nokia N70

Tadi aku hantar Aliah ke Puduraya. Dia balik Johor Bahru dengan bas. Sementara tunggu aku, aku duduk minum di KFC depan Puduraya. Semasa aku beratur menunggu giliran membeli makanan, ada sekumpulan orang bisu beratur di sebelah.

Aku tak peduli sangat mengenai keadaan bisu mereka. Aku cuma agak tertarik dengan penampilan dan gaya mereka. Aku kira mereka dalam usia awal 20an dan mungkin belajar di mana-mana kolej atau institusi khas untuk OKU di KL. Fesyen mereka up-to-date. Malah jauh lebih bergaya dari aku yang cuma berseluar trek dan berbaju t-shirt round next hitam dengan sandal Croc tiruan.

Salah seorang daripada mengeluarkan telefon bimbit dari beg. Nokia N70. Aku yang boleh bersuara ini cuma guna Samsung C130 berharga RM180 ketika aku beli dahulu. Ini seorang bisu menggunakan Nokia N70. Untuk apa? Ya, itu hak mereka. Tapi still, agak pelik. Aku berfikir seorang diri hingga selesai beli makanan dan duduk dengan Aliah tidak jauh dari kumpulan orang bisu tersebut. Aku bicarakan hal yang sama dengan Aliah; kenapa perlu seorang yang bisu menggunakan Nokia N70. Apa signifikan sebuah N70 untuk golongan bisu. 

Akhirnya Aliah beri jawapan yang menarik. Nokia N70 ada 3G. Boleh buat video call. Sign language dapat dilihat dengannya. Ceh, patut la. Maka benar ada kalanya teknologi mampu menyelesaikan masalah untuk OKU juga. 

7.5.08

Ilmu Baru

Potfolio aku sudah bertambah lagi satu. Design kad undangan perkahwinan. Setakat ini aku dapat dua dan sudah siap kedua-duanya. Satunya simple dan straight to the point walaupun design agak radikal berbanding dengan norma-norma kad undangan perkahwinan biasa. Mungkin kerana sampulnya nanti lebih hebat maka kad pada aku biarkan saja agak biasa. Neutral konon. Ini adalah atas permintaan Bos Besar sendiri untuk majlis perkahwinan anaknya.

Satu lagi aku design untuk kawan baik aku, Aliah. Dia bakal melangsungkan perkahwinan penghujung Mei ini dan dia mahu aku design kad undangan perkahwinan yang lain daripada yang sedia ada. Untuk kawan-kawan baik katanya. Jadi aku design satu. Dia suka. Tidak ada banyak beza dengan design yang sedia ada di pasaran, cuma lebih personal dan lebih detail.

Ruginya tak dapat aku post ke internet kedua-dua kad tersebut. Ini kerja amatur dan aku masih perlu banyak belajar.

Sekarang agak kurang sibuk walaupun yang mendatang masih besar. Laporan tahunan dalam progres dan terbantut seketika kerana kerja-kerja kad undangan perkahwinan. Selepas daripada itu aku ada masa lapang sehingga penghujung Mei. Kemudian daripada itu aku tak tahu apa yang akan aku lalui lagi.

Aku kurang menulis kerana entah macamana akses kepada secured web tidak dapat aku lakukan di Safari dan iMac. Entah kenapa. Pejabat saja. Mungkin kerana load time terlalu lama. Aku masih mencari cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah ini. 

Aku perlu tidur.

6.5.08

Tidur

Aku tidur dari jam 9 malam hingga ke subuh tadi. Letih sangat la agaknya tu. Patut la semalam lembik je aku buat kerja.

2.5.08

Che Det

Oh ya, Tun Dr. Mahathir Mohammad sudah mula BLOG. Bagus juga. Tapi kiranya dah 8 tahun lewat dari aku.

Tunggu Pak Lah pula blog. Berani tak dia?