23.4.12

Jalan Baru

Kadang-kadang kita tidak tahu mana yang betul, mana yang salah. Selalunya aku ambil jalan tengah; jangan ambil tahu.

Kerja sambilan sebagai editor video perkahwinan rasanya sudah berkubur. Bukan masalah aku. Ianya lebih kepada masalah dalaman syarikat tersebut sendiri. Ada bayaran untuk aku yang masih belum mereka lunaskan. Ikut hati aku mahu abaikan saja RM400 - 500 itu. Anggap saja bukan rezeki aku. Tetapi ianya sebuah pengalaman yang menarik. Dalam masa setahun dua, aku dapat belajar banyak perkara mengenai produksi video dan software yang aku dapat pelajari sangat membantu untuk masa depan nanti.

Masalah sesebuah syarikat seperti mereka itu adalah kerana tiada disiplin dalam kerja terutama waktu dan kewangan. Aku sanjung kualiti produksi mereka. Ianya berada di kelas atas dan layak dijadikan pedoman banyak syarikat lain yang baru hendak mengasah bakat dalam bidang produksi video.

Satu lagi faktor adalah tiadanya kepelbagaian dalam skop kerja mereka. Aku fikir videografi perkahwinan sudah hampir mencapai titik tepu. Sama seperti fotografi perkahwinan, sudah semakin ramai yang menceburi bidang ini. Namun antara resipe kegagalan adalah ketidakpelbagaian hasil kerja yang dilakukan. Orang tidak akan selamanya setia dengan satu jenis trend dalam jangkamasa yang lama. Perlu ada perubahan yang kadang kala radikal. Apa yang berlaku sekarang adalah seperti sebuah kumpulan glam rock 80an yang tidak mahu berubah mengikut peredaran masa dan masih mahu persembahkan glam rock 80an sepanjang masa. Mereka akan terus ada peminat tersendiri tetapi kadarnya semakin berkurang mengikut peredaran masa.

Ketika seorang sahabat memberitahu bahawa dia mahu melibatkan diri dalam dunia videografi perkahwinan, aku persoalkan rasionalnya. Ya, beliau ada pengalaman beberapa tahun. Malah beliau ada reputasi yang cukup baik di kalangan ramai orang. Aku beritahu kepadanya bahawa beliau wajar memikirkan perniagaan baru yang walau berkait dengan perkahwinan sekalipun, masih merupakan idea baru dan fresh. Sepanjang sejam lebih kami brainstorm mencari ruang perniagaan dalam bidang perkahwinan yang masih belum diteroka. Kami temuinya. Aku fikir ianya sebuah idea yang menarik dan mampu menjana keuntungan mudah berbanding videografi perkahwinan semata-mata.

Jika beliau bersungguh-sungguh, inshaAllah kita akan dapat lihat hasilnya; pelopor kepada teknik baru dalam industri persediaan majlis perkahwinan. Tapi beliau mestilah menolak stigma dan pengaruh negatif yang ada di sekeliling. Beliau juga perlu sedar bahawa cabarannya adalah sangat menyukarkan.

Kalau dia berjaya, saham aku sekurang-kurangnya 10% perlu diambil kira. :D

15.4.12

Qaseh Tiba, Ayahnda Pergi

Sudah lebih sebulan tidak menulis di sini. Di mana hendak aku mula kembali? Terlalu banyak peristiwa suka duka yang berlaku sepanjang tempoh itu.

Ahad, 1 April 2012, jam 1.45 pagi tempohari, lahir ke dunia ini zuriat aku. Setelah 37 tahun, inilah anugerah dan amanah paling besar dalam hidup ini. Lahir di tengah malam, dalam sejuk cuaca, kami namakannya Qaseh Nurzahra. Seperti yang aku pernah tulis sebelum ini, kami tidak mahu anak kami dinamakan dengan nama yang terlalu arabik. Seboleh mungkin, biarlah namanya ada kemelayuannya walaupun separuh.

Qaseh Nurzahra

Qaseh adalah pilihan Zura. Dia sukakan nama Qaseh kerana ianya petunjuk sayang yang paling jelas. Aku mencari-cari sinambungan nama yang sesuai dengan Qaseh. Akhirnya aku memilih Nurzahra, bermaksud cahaya bersinar (http://en.wikipedia.org/wiki/Zahra_(name). Ada maksud lain Zahra tetapi aku berikan maksud yang paling mudah. Ketika lahir, berat Qaseh (singkatan nama yang kami guna sekarang) adalah 2.37kg. Syukur Qaseh dilahirkan secara normal walaupun Zura terpaksa menunggu lebih sehari untuk melahirkannya. Lebih kurang jam 3.20 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya, aku sempat melaungkan azan dan iqamat di telinga Qaseh dan mengucap salam kepadanya. 

Qaseh di hari ke-2

Zura dan Qaseh dibenarkan pulang pada tengahari, 1 April itu juga setelah separuh hari berehat di hospital. Oleh kerana keadaan Zura yang masih kurang bermaya, kami tidak terus balik ke kampung Zura di Kuala Kedah untuk berpantang di sana. Sebaliknya, aku biarkan Zura berehat di rumah kami di Bandar Sunway untuk beberapa hari sebelum kami bertolak balik kampung. Itu perancangannya.

Allah Maha Kuasa menentukan segalanya, yang hidup dan yang mati. Pada hari Selasa, 3 April 2012, ayah telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan stroke ketika berehat di rumah. Ayah yang sudah diketahui mempunyai penyakit kencing manis berusia 65 tahun dan meninggal dunia pada lebih kurang jam 2.00 petang di Hospital Kuala Kangsar setelah doktor gagal mengaktifkan kembali jantung beliau.

Ayah tidak sempat menyambut cucu barunya, cuma sekadar melihat di skrin telefon bimbit. Kami yang mendapat berita bergegas kembali ke Kuala Kangsar petang itu juga kerana menjangkakan ayah akan dibawa ke pusara pada petang itu. Zura yang dalam keadaan masih lemah dan sakit serta Qaseh yang baru berusia dua hari terpaksa dibawa bersama. Nasib ada emak Zura yang turut sama menemani kami. Dalam perjalanan pulang, kami diberitahu bahawa ayah akan disemadikan pada esok hari. Jadi kami tidaklah pulang dalam keadaan tergesa-gesa, Aku menahan hiba sepanjang perjalanan. Sekali sekala melayan si kecil yang merengek meminta susu.

Kami tiba di Kuala Kangsar pada jam 7.00 petang dan orang ramai masih berkunjung di rumah. Ayah ketika hidupnya sangat dikenali ramai. Kenalannya ada di mana-mana. Mungkin kerana kerja ayah yang banyak melibatkan orang ramai.Masuk ke dalam rumah, aku mencari emak. Ketika itulah timbul rasa sedih dan hiba melihat sekujur tubuh di pembaringan. Damai tidak bernyawa. Aku mengucup dahi ayah dan berlalu pergi. Aku tahu lebih lama aku di situ, air mata akan lebih banyak mengalir.

Esoknya aku dan adik lelaki lain turut bersama-sama menguruskan jenazah ayah dan akhirnya ayah disemadikan pada 4 April 2012. Kali terakhir aku bertemu dengannya adalah pada Februari lalu. Kali terakhir aku berbicara dengannya melalui telefon sehari selepas Qaseh dilahirkan.

Selesai urusan, petang itu aku bersama Zura, Qaseh dan emak Zura kembali ke Bandar Sunway. Ikut logiknya, kami patut terus balik ke kampung di Kuala Kedah saja. Tetapi ada kerja yang aku dan Zura perlu selesaikan sebelum Zura boleh bercuti panjang. Zura perlu menandatangani surat perjanjian jual beli kereta baru yang kami tempah kurang seminggu sebelum itu.

Qaseh di hari Ayah meninggal dunia

Kerana keletihan, aku mohon berehat sehari dua sebelum pulang ke kampung kembali. Sabtu, 7 April 2012, kami bergerak dari Bandar Sunway dan kembali menuju ke Kuala Kangsar. Aku fikir biarlah Qaseh menemani emak buat sehari dua buat menghilang rasa hiba di hatinya. Tiba di Kuala Kangsar, aku dapati emak dan hampir semua adik-adik aku kurang sihat. Emak menasihati aku agar tidak tinggal lama di Kuala Kangsar, takut Qaseh dijangkiti selsema dari mereka. Aku dengan keputusan emak yang beberapa kali menasihati aku, kami bergerak ke Kuala Kedah dari Kuala Kangsar pada hari esoknya. Tidak sampai sehari kami di Kuala Kangsar.

Qaseh dengan Papa

Aku menemani Zura dan Qaseh selama lima hari di Kuala Kedah. Ianya sebuah pengalaman yang berharga.

Itu, dua minggu kehidupan ini yang penuh bermakna; suka dan duka.

Syukur kepada Allah atas rezeki dah hidayah yang dilimpahkannya.