Kita masih dalam bulan kemerdekaan, ya?
Tahun ini paling kurang aku terasa untuk menyambut atau menghayatinya. Punca paling jelas adalah apabila kemerdekaan dipolitikkan dan ditukar menjadi agenda untuk meraih sokongan secara politik. Tiada lagi nasionalisme atau patriotisme. Tinggal cuma politisme yang cenderung menjadi fasis dan sempit.
Perpaduan kaum juga semakin luntur. Kita boleh hitung detik dalam sehari berapa lama kita berinteraksi dengan kaum selain dari kaum kita sendiri secara mesra, layaknya seperti sahabat karib. Kalau ada yang melakukannya, mungkin ianya terlalu sedikit. Aku tercari-cari bagaimana hendak disuburkan semangat perpaduan kaum jika saban hari di media dan perbualan rakyat berbaur perkauman.
Aku tidak faham obsesi manusia dengan kaum. Aku tidak faham obsesi manusia dengan ras dan etnik. Ini kerana apa yang aku nampak cuma manusia, sama saja antara satu lain. Tidak ada kaum yang lebih tinggi nilainya dari kaum yang lain. Nilai manusia terletak pada individu itu sendiri, bukan pada kaum apakah seseorang itu berasal.
Segala ketakutan atau kerisauan mengenai masa depan kaum adalah tidak lebih daripada sengketa politik yang diwujudkan oleh pemain-pemain politik demi untuk mereka terus bergayut di dahan yang mereka berdiri sekarang.
Sebelum anda berkata aku tidak faham keadaan, biar aku bawa anda balik 25 tahun dahulu. Aku tidak kenal apa itu bangsa, ras, perbezaan dan sengketa kaum. Aku cuma kenal mereka yang bernama Sudhir, Singh, Prem, Wong, Teoh dan beberapa orang lain lagi. Aku pasti mereka juga tidak kenal sengketa kaum. Kami bermain bersama, berkongsi makan, tolong menolong dan melakukan apa saja bersama. Tidak pernah terdetik di hati bahawa suatu masa nanti mereka ini akan memijak-mijak kepala sahabat mereka yang lain. Tidak pernah.
Ketika aku berumur 14 tahun, aku terdampar di sebuah institusi pengajian menengah yang pelajarnya 99% melayu dan selebihnya bumiputra Sabah dan Sarawak. Itu pun apabila diketahui bahawa mereka penganut agama kristian, aku tidak sedikit pun mempedulikan keadaan itu. Agama tidak bertujuan untuk bermusuh sesama manusia.
Kami diajar mengenai bangsa, semangat bumiputra khususnya melayu, walaupun bumiputra Sabah dan Sarawak pun ada di waktu yang sama. Kami diajar menyanyi lagu Warisan dan jujur aku katakan, ada waktunya air mata ini mengalir ketika menyanyikan lagu tersebut. Bukan kerana politik, tetapi lebih kerana memikirkan nasib bangsa yang terpinggir dalam banyak segi.
Ironinya, di institusi pengajian sebegitu, ada tenaga pengajar yang bukan bumiputra turut mengajar dan mereka tetap berdedikasi mendidik anak bangsa tanpa sekilas persepsi negatif.
Apabila aku ditawarkan belajar di ITM (UiTM sekarang), aku sedari sekali lagi bahawa institusi ini juga khusus untuk bumiputra sahaja. Maka, sepanjang hampir 10 tahun, pergaulan aku hanya dengan mereka yang sebangsa dengan aku. Tempat ini juga mengajar aku mengenai semangat dan patriotisme bangsa.
Bila keluar dari kepompong, aku bekerja di sebuah kilang kertas di Port Klang milik majoriti bangsa Cina. Ada cuma beberapa orang pekerja berbangsa melayu di situ; seorang di bahagian kejuruteraan, seorang di bahagian stor, seorang di bahagian kualiti (aku) sebelum aku menarik masuk seorang lagi sahabat aku dan seorang di bahagian pemasaran. Itu yang aku ingat. Apa yang aku nampak, mereka ini sangat disenangi oleh majikan kerana dedikasi kerja mereka.
Aku pernah bekerja di tapak projek pembinaan yang di bawah terik matahari dan debu berterbangan sana sini. Tidur di rumah yang sama dihuni oleh pekerja cina dan Bangladesh. Aku perhatikan suatu perkara. Mereka berdedikasi dengan kerja mereka. Mereka tahu itu jalan hidup mereka yang perlu mereka tempuhi.
Aku sebenarnya keliru. Sejak bila kita menjadi terlalu obses dengan bangsa hingga menyebabkan sengketa kaum kembali berbunga. 20 tahun lalu ketika bekerja di sebuah bank sementara menunggu keputusan SPM, aku tidak pernah ditanya atau dipersoalkan mengenai hak istimewa orang melayu oleh ramai bukan melayu yang bekerja di sekeliling aku. 12 tahun lalu juga aku tidak alaminya. Tetapi dalam beberapa tahun kebelakangan ini aku ditanya soalan sebegitu.
Ketahuilah, aku bencikan rasisme dan paling benci manusia yang terlalu mengagungkan bangsa. Bangsa Arab dan Yahudi itu bermula titik yang sama. Sejarah dan agama memperlihatkan dengan jelas bagaimana manusia ini dari asal kejadian adalah satu bangsa yang sama. Tidak ada yang lebih agung atau lebih hebat berbanding yang lain.
Selagi Malaysia ini dibelenggu dengan semangat bangsa dan patriotisme sempit, selagi itu Malaysia ini ibarat kereta semput. Tidak mampu bergerak lancar kerana rakyatnya masih berfikiran remeh. Jangan jual kepada aku cerita nasib bangsa akan tergadai atau tiada lagi kuasa di tangan kerana itu sebenarnya hanya permainan politik cetek dan bebal.
31 Ogos, tarikh keramat kita merdeka tetapi malangnya, kita masih dibelenggu dengan penjara bangsa yang sempit dan tidak bertingkap.