31.12.12

Yang Terbaik

Sejak beberapa tahun lalu, aku catatkan perkara-perkara yang terbaik berlaku kepada diri ini sepanjang tahun. Tidak ada kategori spesifik sebenarnya tetapi dalam beberapa tahun ini aku sering senaraikan foto, muzik, filem dan perkara terbaik yang aku lalui, dengar dan lihat.

Inilah perkara-perkara yang terbaik pada tahun 2012

Qaseh Nurzahra
 Tidak ada yang lebih baik sepanjang tahun 2012 melainkan kelahiran zuriat pertama kami, Qaseh Nurzahra. Qaseh dilahirkan pada 1 April 2012, jam 1.45 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya dengan berat 2.39kg. Beliau lahir hampir dua minggu lebih awal dari masa yang dijangkakan. Mungkin kerana Qaseh sudah tidak sabar hendak melihat dunia atau kerana Allah sudah tetapkan bahawa Arwah Ayah sekurang-kurangnya dapat melihat cucunya sebelum menghembuskan nafas dua hari kemudian.

Inilah penyeri hidup kami sekeluarga saat ini. Setiap hari adalah seperti menunggu perkara magis yang akan berlaku. Tidak ada apa yang lebih berharga dan istimewa sepanjang 2012 selain daripada ini.

Kereta Baru
Selama ini, aku dan Zura hanya memandu kereta kancil dan ianya kami fikir tidak mampu hendak memenuhi keperluan kami di masa mendatang. Maka kami bersetuju untuk membeli sebuah kereta baru dan setelah beberapa ketika berfikir dan berbincang, kami telah memilih Proton Saga FLX. Cukup buat kami berdua dan anak kami nanti. Ada sistem keselamatan seperti ABS dan beg udara, enjin 1.3 liter yang aku fikir sudah cukup sesuai untuk keperluan harian dan sekali sekala untuk berjalan jauh; balik kampung aku bercuti.

Kami tidak perlukan sebuah MPV atau kereta berkuasa tinggi. Aku tidak mahu membazir wang ringgit ke atas sebuah barang yang susut nilainya sangat tinggi. Setakat ini syukur ianya berfungsi dengan baik walaupun pernah berlaku satu dua perkara yang merisaukan tetapi harapnya tidak serius.

Filem
Tahun ini aku seperti langsung tidak ke pawagam. Aku sudah lupa filem terakhir aku tonton di pawagam. Namun begitu ada satu dua filem yang menarik perhatian aku.
Filem terbaik 2012 pilihan aku adalah The Hunger Games. Aku cuma menonton di televisyen. Tiada ulasan kerana aku sudah lupa.

Muzik
Seperti filem, aku jarang mendengar lagu baru pada tahun 2012. Aku sebenarnya aku tidak dapat membezakan mana satu lagu baru, mana satu lagu lama.

Inilah pilihan aku terbaik tahun 2012. Come As You Are yang dinyanyikan semula oleh Yuna. Sebuah usaha yang sangat baik sehingga mendapat pujian ramai orang di luar sana. Bagi aku inilah yang sepatutnya berlaku apabila seseorang penyanyi mahu nyanyikan semula lagu orang lain; nyanyikan dengan lebih baik.

Fotografi
Tanpa sedetik rasa keliru, ini. Potret pertama Qaseh Nurzahra yang sempat aku rakam pada jam 3.00 di PPUM.

Begitulah lebih kurang perkara-perkara yang terbaik pada tahun 2012 dalam hidup ini. Ianya tidak selengkap tahun-tahun sebelum ini. Mungkin kerana aku lebih menumpukan perkara yang lain.

Selamat menyambut tahun 2013. Semoga lebih mendamaikan hidup kita sepanjang masa.

26.12.12

Meredam Gelodak Jiwa

2012 hampir melabuhkan tirainya. Cuma tinggal beberapa hari saja lagi untuk dilalui, inshaAllah.

Sedikit mendukacitakan apabila blog ini kurang menyerlah pada tahun ini. Sehingga tulisan ini, baru ada 36 post yang sempat aku siarkan. Setelah lebih 10 tahun menulis blog, inilah jumlah paling sedikit sedangkan realitinya tahun 2012 ini sungguh banyak perkara yang menarik berlaku.

Tahun 2012, aku dan Zura menimang cahaya mata yang pertama, Qaseh Nurzahra. Tidak ada perkataan dapat menggambarkan perasaan kami sehingga saat ini. Setiap masa, setiap ketika adalah suatu perkara yang baru setiap kali bersama Qaseh. Aku seperti ramai orang di luar sana; tercari-cari mana perginya beberapa bulan awal Qaseh dan di dalam masa yang sama ternanti-nanti bulan yang mendatang bila Qaseh semakin besar dan matang.

Rumah sebesar 852 kaki persegi terasa begitu kecil bila ada Qaseh di rumah. setiap pelusuk seperti ada saja hendak diterokanya apabila di dalam kerusi berodanya.

Tahun 2012 juga aku kehilangan ayah tersayang, selang dua hari selepas kelahiran Qaseh. Ya, aku menyambut kehidupan baru dengan sebuah kematian. Dia adalah mentor aku dalam mendidik Qaseh. Segala sifat kasih sayangnya terhadap semua anaknya aku mahu terapkan dalam diri ini ketika mendidik dan membesarkan Qaseh.


Aku sedar, sejak Ayah pergi, aku masih belum pernah bercerita mengenai masa hidupnya. Ada banyak yang hendak diceritakan. Pengalaman dan pengajaran dalam hidup ini ketika hayat Ayah. Tetapi pemergiannya masih terasa baru dan belum hilang dari ingatan ini. Mungkin bila tiba masa nanti, inshaAllah aku akan dedikasikan sebuah post mengenai Ayah.

Tidak, ini bukan artikel terakhir untuk tahun 2012, harapnya. Ini bukan penutup. Ini sekadar meredakan gelodak di jiwa hendak menulis sesuatu di sini. Sekiranya ada kesempatan waktu, aku akan menulis lagi sebelum penghujung Disember 2012. InshaAllah.

19.12.12

Qaseh, Lapan Setengah Bulan Kemudian

Bila ada anak, macam-macam kerisauan yang timbul. Sakit sikit, risau. Kepala terhantuk lantai, risau. Menangis sikit, risau. Serba serbi risau. Aku dan Zura sudah lama tidak dapat menikmati tidur yang nyenyak. Aku lebih simpatikan Zura. Rasanya sejak ada Qaseh, beliau langsung tidak pernah lena tidur. Qaseh sehingga kini masih menyusu badan. Maka di tengah malam pasti Zura akan terjaga akibat rengekan Qaseh yang mahukan susu.


Qaseh pula sering sakit; demam, selsema dan batuk. Doktor kata itu perkara biasa dan sakitnya tidak serius. Bayi yang minum susu ibu, pada enam bulan pertama memang mempunyai daya tahan badan yang tinggi. Tetapi selepas itu daya tahan itu akan berkurang. Qaseh selepas enam bulanlah baru sering mendapat sakit. Namun begitu, setiap kali berjumpa doktor, jawapannya adalah sama. Itu perkara biasa.  Kami bukan bawa Qaseh ke klinik biasa. Kami bawa ke pakar kanak-kanak. Bayarannya jauh lebih mahal tetapi itulah pengorbanan yang kami sanggup lakukan. Kami pernah bawa Qaseh ke klinik biasa dan doktor di situ seperti kebingungan apabila merawat Qaseh. Anda ibu bapa pasti tidak mahu hadapi perkara sebegitu, bukan?


Sekarang, Qaseh sedang mengalami sakit perut. Beliau kerap membuang air besar berwarna hijau dan berlendir. Hasil pembacaan aku di Internet, simptom ini mungkin ada kaitan dengan kurang atau terlebih menyusu atau mungkin jangkitan virus. Sekarang sudah lebih 24 jam, jadi kami putuskan untuk bawa Qaseh ke klinik.

Ibu bapa mana yang tidak risaukan perihal anaknya.


Qaseh waktu sihatnya adalah seorang yang sungguh menghiburkan. Susah hendak menangis dan ada saja perkara yang hendak dilakukannya. Sekarang Qaseh sudah mula memanjat dan cuba berdiri. Aku sering sengaja berbaring di sebelahnya supaya dia dapat memanjat badan aku tanpa aku perlu risau. Rutin di rumah selalunya begitu. Pulang dari kerja, aku akan melayan karenah Qaseh sementara Zura menyiapkan makan malam atau mengemas rumah.

Kalau Qaseh menjerit, aku turut menjerit. Kalau Qaseh menjelir lidah, aku turut menjelir lidah. Kalau Qaseh menepuk-nepuk lantai, aku turut sama menepuk-nepuk lantai. Ada saja yang hendak kami lakukan bersama. Walaupun Qaseh lasak dan sangat aktif, aku selesa menjaga Qaseh ketika sihat berbanding ketika sakit. Qaseh mungkin sudah faham keadaan itu maka bila sakit, dia akan mencari tenang bersama ibunya.

Patutlah Bob, sahabat lama aku kata, bila ada anak nanti badan gemuk ini akan cepat jadi kurus. Aku masih belum kurus. Mungkin kerana aku baru hanya ada Qaseh. Bob sudah ada tiga orang cahaya mata. Tapi sekarang pun sudah terasa keletihan bila menjaga Qaseh. Dia sangat aktif!

Ya, bila ada anak ini, ibu bapa sangat mudah risau. Risaukan segalanya.

Semoga lekas sembuh dari sakit ya anak comel papa. Amin.


10.12.12

Wayang Sudah Siap

Setelah bertungkus lumus, akhirnya hasil kerja suntingan video aku siap juga.



Penat memang penat tetapi aku amat berpuas hati dengan hasilnya.

Cuma agak malang apabila pengurusan langsung tidak reti hendak menghargainya.

4.12.12

Bikin Wayang

Kebelakangan ini aku disibukkan dengan sebuah projek pejabat; menyiapkan video pendek hasil inovasi kerja di pejabat. Inilah pengalaman pertama aku membuat suntingan video sepenuhnya. Video sepanjang lebih kurang 15 minit ini akan menerangkan mengenai perkhidmatan kaunter bergerak secara online iaitu menggunakan teknologi hubungan melalui satelit untuk menjalankan urus niaga pejabat di lapangan.

Tugas utama aku adalah membuat suntingan video yang telah dirakam di lokasi tidak lama dulu. Sebelum itu aku ada tugas lain seperti merangka story-board dan juga rangka cerita keseluruhan. Boleh dikatakan penceritaan video tersebut adalah berasaskan idea aku. Tugas sutradara dan videografi diberikan kepada orang lain kerana aku tidak ada keluangan masa ketika mereka membuat proses rakaman.

Hasilnya secara jujur aku katakan aku agak kecewa dengan kualiti rakaman video. Majoriti klip video yang dirakam bergetar, bergoyang, langsung lari sudut rakaman, tidak mempunyai komposisi yang menarik serta kurang kemas. Berbekalkan klip yang telah diberikan, aku mengambil masa lebih dua minggu untuk membuat suntingan. Satu demi satu klip aku buka dan mencari di poin mana sesuai aku potong dan kepilkan ke dalam reel utama.

Sehari dua ini pula aku dan beberapa rakan lain akan membuat proses voice-over. Masalah utama yang dihadapi adalah ketiadaan tempat rakaman audio yang sesuai. Kedua, ketiadaan alat rakaman audio yang sesuai. Jalan pintas adalah menggunakan mikrofon MacBook Pro dan dirakam terus menggunakan GarageBand. Oh ya, aku membuat suntingan video menggunakan Final Cut Pro X. Aku sudah selesa dengan Mac, maka adalah lebih mudah menggunakannya daripada terpaksa belajar perisian editing lain.


 Perkara yang paling merumitkan adalah dimana aku terpaksa membuat editing menggunakan sebuah MacBook Pro berskrin 13 inci. Ada tiga buah iMac di pejabat namun ketiga-tiga buat iMac tersebut sudah terlalu berusia dan tidak mampu untuk membuat proses suntingan yang panjang. Mungkin ini satu alasan yang baik untuk aku memohon pembelian iMac baru, betul?

Orang di luar sana mungkin akan terfikir kenapa sebuah agensi kerajaan perlu membazirkan wang rakyat untuk membeli iMac untuk membuat suntingan video. Pertama, agensi kerajaan turut perlu membuat promosi terhadap aktiviti dan perkhidmatan yang mereka tawarkan. Kedua, aku beri contoh mudah; untuk hasilkan sebuah video korporat jabatan melalui pihak ketika, kosnya adalah melebihi RM10 ribu, malah mampu mencecah ratusan ribu ringgit. Kos kami hasilkan video inovasi perkhidmatan ini tidak melebihi seribu ringgit (tiada bayaran overtime walaupun aku bersengkang mata sehingga lewat malam untuk mendapat ilham membuat suntingan video). Ianya penjimatan yang amat besar.

Ini juga boleh meningkatkan daya kreativiti dan skil kakitangan kerajaan. Kemahiran seperti jururakam video, juru suntingan, sutradara dan pelakon dapat dipelajari dan dimahiri melalui projek sebegini.

Video ini akan digunakan pada 12 Disember nanti. Khamis ini aku perlu bentangkan draf pertama kepada pengurusan. Harap mereka dapat terima usaha ini tanpa banyak karenah. Aku pastikan bahawa aku tidak hasilkan video yang ekstrem moden. Ini penting jika hendak menjaga pegawai atasan yang 'berpengalaman'.

Tetapi malam ini aku mahu tidur lena. Aku perlu rehat untuk mengecas tenaga badan ini.