30.11.13

Tiga PC, Satu Kerja Penting, iTunes dan Otak Beku

Jam dua petang di pejabat pada hujung minggu.

C'est la vie.

My life exactly.

Aku fikir semua ini sudah berakhir dua tiga tahun lalu apabila aku berkahwin dan mempunyai anak. Hujung minggu kononnya hanya bersama keluarga; melayan Qaseh mandi kolam plastiknya di balkoni rumah atau keluar berjalan-jalan.

Namun kerja ini tiada kesudahannya. Hujung minggu ini sementara Zura dan Qaseh ke rumah saudara di Seremban, aku 'terperangkap' di pejabat. Minggu depan mungkin ke Kuching untuk kerja. Penghujung tahun sebegini sepatutnya waktu untuk berehat. Pergi melancong atau sekurang-kurangnya balik kampung.

Apakan daya.

Aku di sini sudah beberapa jam tetapi kerja masih tersangkut-sangkut untuk disiapkan. Tiada 'sense of urgency' walaupun hakikatnya esok pagi aku perlu persembahkan hasil kerja kepada pengurusan tertinggi.

Aku fikir begini; aku seorang yang tahu apa yang sedang aku lakukan dan aku tidak nampak ianya sangat merumitkan yang perlu aku buat sesegera mungkin. Aku selesa kerja di bawah tekanan kerana kerja aku akan jadi lebih pantas dan menarik. Idea membuak-buak dalam kegentingan masa. Mungkin sebab itu aku tidak mampu bergerak pantas sekarang. Aku perlukan secangkir kopi untuk menyegarkan mata walaupun aku bukan peminum kopi tegar. Aku perlukan televisyen atau filem cereka di depan sana supaya aku boleh tumpu bekerja di sini. Aku perlukan muzik yang memberi inspirasi.

Bukan perkara yang aneh apabila aku memainkan lagu-lagu instrumental muzik tarian melayu asli atau lagu-lagu Metallica sewaktu bertungkus lumus menyiapkan kerja. Aku fikir lagu-lagu ini sebenarnya tonik dan juga sebagai dinding yang menghalang gangguan lain (suara manusia berbual-bual terutamanya). Dulu aku ada sepasang headphone besar yang aku guna untuk 'mendiamkan dunia'. Aku mahu berada dalam dunia aku yang penuh imaginasi sewaktu menyiapkan kerja. Ini kerana garisan-garisan, lekuk dan lorekan idea datang pada waktu itu.

Jangan tanya lagu apa yang aku dengar.Sekarang di PC ini bermain lagu lama tahun 60. Sebentar lagi entah lagu apa; mungkin Yuna, mungkin Iron Maiden atau mungkin Zikir Terapi. Terima kasih kepada sistem 'shuffle' dalam pemain lagu PC, aku tidak perlu risau lagu apa yang akan dimainkan seterusnya.

Selamat berhujung minggu kalian semua. Semoga damai sepanjang masa.

16.11.13

Sungai Limau - Suatu Pandangan 2

Sungai Limau adalah platform yang menonjolkan kerakusan manusia. Rakus terhadap kuasa. Pemilih di situ adalah semut-semut pekerja. Mereka ini bekerja untuk memegahkan pemimpin yang mereka pilih.

Itu wajah politik Malaysia di kalangan orang melayu. Selama ini, kita masih tidak boleh lari dari politik dok demang, iaitu politik yang mengangkat dan menyanjung seseorng manusia yang lebih banyak menghabiskan masa untuk kepentingan peribadi berbanding kepentingan ramai. Sebab itulah ada gula-gula walaupun setakat 10 ekor anak ayam. Pada fikiran pemimpin ini, rakyat di bawah sudah cukup sekadar dihadiahkan sebanyak itu untuk setiap tangan yang menyokong mereka.


Masalah utama di kalangan orang Melayu adalah kita ini bangsa yang sangat mudah berpuas hati dan sangat senang dibeli jiwa raganya. Melayu oportunis di kalangan kita akan melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk menguasai kita melalui 'kelemahan' kita ini. Maka dalam keadaan biasa, kita dimomokkan dengan dogma menghormati pemimpin (secara total), tidak mempersoalkan apa yang dibuat oleh pemimpin dan menerima apa saja yang diberikan. Mereka mahukan satu perkara saja dari kita; bersyukur atas pemberian mereka.

Konsep ini sebenarnya adalah tekanan psikologi paling kejam. Kita diajak bersyukur kerana Islamnya kita ini menuntut perkara yang sedemikian dilakukan. Apabila agama dimasukkan dalam acuan dogma, ianya menjadi koktail paling ampuh di kalangan pemimpin untuk 'menekan' rakyat agar tidak bangun mempersoalkan ketidakwarasan pemimpin.

Cukupkah 10 ekor anak ayam sebagai gula-gula pilihanraya?

Semasa aku di situ, beberapa orang di kawasan itu tersenyum lebar membawa beberapa kotak berisi anak ayam yang diperolehinya. Mungkin ada di antara mereka tidak akan mengundi calon yang memberi mereka anak ayam ini. Itu bukan persoalan pokok. Paling penting adalah rasa puas hati di kalangan kita. 10 ekor anak ayam sudah cukup untuk menghiburkan hati mereka.

"Kita bela sampai besaq, lepas tu semelih la..."
"Kita bela lepas tu juai..."

Itu antara ayat yang keluar dari mulut mereka sebaik menerima 'hadiah' istimewa ini. Anak pokok yang diterima juga sangat menggembirakan hati mereka ini. Ianya suatu yang patut disyukuri. Ianya rezeki.

Itulah masalahnya.

Kita terlalu mudah berpuas hati walaupun tidak menyokong orang yang memberi tersebut.

"Orang bagi kita ambik. Sokong belum tentu!"

Itu yang sering kita dengar. Kita mudah berpuas hati walaupun menerima sehelai kain pelikat sebagai gula-gula pilihanraya. Kita lupa bahawa kita bakal menentukan manusia yang akan diamanahkan untuk menguruskan negara ini.

Keadaan di Sungai Limau pun begitu; berderu-deru datang bantuan, hadiah dan imbuhan yang pada orang di situ cukup banyak dan mewah, sebenarnya tidak lebih dari setitis air dalam kolam saja.

Orang kita perlu ingat bahawa pemimpin itu bekerja untuk kita, bukan sebaliknya. Orang kita perlu tahu bahawa gula-gula yang diberikan oleh pemimpin itu adalah dari kita. Mereka tidak akan keluarkan duit poket sendiri untuk gula-gula tersebut. Malah, kalau mereka guna duit gaji mereka untuk tujuan itu, duit gaji itu juga asalnya duit kita, duit rakyat. RM10 ribu gaji mereka adalah duit dari kita yang kita beri untuk mereka jalankan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat.

Jangan kita lupa itu.

Pemimpin juga tidak boleh mengugut kita dengan ayat seperti,

"Jika anda pilih kami, kami akan bawa pembangunan di tempat ini"
"Jika anda pilih kami, kami akan bina masjid baru di sini"

Kita tidak boleh lupa bahawa modal janji dia adalah duit kerajaan, bukan duit dia atau parti dia. Maka adalah menjadi kewajiban mereka untuk membangunkan kawasan itu walaupun tidak dipilih. Lainlah kalau negara kita mengamalkan konsep autonomi negeri-negeri di mana negeri bertanggungjawab sepenuhnya untuk memajukan negeri. Malah kita tidak amalkan konsep autonomi bahagian walau sempadan pilihanraya. Kita sebagai sebuah negara sebenarnya lebih bersifat sentralisasi, lebih dari apa yang sepatutnya. Federalisme hanya sekadar nama. Kita lebih bersifat republik dengan kerajaan pusat menentukan segalanya, hampir sama seperti yang berlaku di Indonesia. Hanya kerana kita ada YDPA, pemusatan kuasa seperti republik tidak nampak sangat.

Sebab itulah wujud ketidak seragaman dalam pembangunan di Malaysia. Hampir semua negeri tidak mampu berdiri sendiri dan sentiasa perlu bantuan dari kerajaan pusat.

Pilihanraya walaupun nampak adil, tidak lebih dari sekadar memilih pemimpin. Hasilnya akan benar-benar terasa apabila pemimpin itu dilantik jadi menteri kerana segala macam pembangunan akan dibawa ke kawasannya. Seperti harta negara ini adalah harta sendiri.

Itulah yang menjadi janji-janji pilihanraya di Sungai Limau.

"Sekiranya..."

Sistem politik kita perlu berubah. Orang kita juga perlu berubah dan perlu sedar. Kita bukan lantik orang untuk jadi berkuasa dan gila kuasa. Kita lantik orang untuk bekerja untuk kita. Apabila mereka dilantik, kerja mereka itu bukan hanya untuk orang yang menyokong mereka. Kerja mereka itu adalah untuk semua orang, untuk semua rakyat di kawasannya. Kalau kita masih berpegang dengan stail politik tok demang di mana orang yang menyokong akan dilindungi, dan orang yang menentang dibebani, sampai bila kita tidak akan bergerak dari sistem sekarang.

Sungai Limau mengajar aku banyak perkara. Paling penting ia mengajar aku mengenai kepincangan sistem sedia ada dan manusia oportunis yang menguasainya.

15.11.13

Sungai Limau - Suatu Pandangan 1

Awal bulan lalu, aku berpeluang menjalankan tugas di kawasan Sungai Limau, Yan, Kedah yang sedang demam menghadapi pilihanraya. Itulah kali pertama aku bekerja di dalam suasana orang sedang hendak menghadapi pilihanraya. Tugas ini tugas rasmi. Tidak ada kena mengena dengan pilihanraya tersebut walaupun secara rasionalnya anda sendiri faham bagaimana. 'Rasmi' hanya pada tiket.

Sehari dua aku di situ, aku banyak belajar perkara baru. Aku faham keluhan satu pihak mengenai ketidakadilan pilihanraya dan aku juga faham satu pihak lagi kenapa mereka bersungguh-sungguh hendak menang pilihanraya.

Aku fikir secara umumnya, demokrasi di Malaysia ini masih dalam keadaan yang baik. Pilihanraya masih tetap diadakan dan kalah menang itu sentiasa berlaku. Aku juga fikir sistem dua parti sangat sesuai dengan lanskap Malaysia. Cuma aku rasa wajar semua pihak biarkan kedua-dua parti ini kukuh dan berguna.

Satu kesilapan besar rakyat terutama orang Melayu adalah kerana kesetiaan yang terlampau. Kesetiaan yang kadang kala membawa ke arah ketaksuban. Mereka sering lupa apa fungsi pilihanraya, apa fungsi wakil rakyat dan apa hak mereka sebagai pengundi. Apa yang berlaku, mereka anggap parti dan pilihanraya seperti sukan. Ada pihak yang bertanding dan perlu disokong.

Sukan adalah sekadar itu; sukan. Keseronokan dan kepuasan melihat pasukan pilihan kita berjaya. Apa yang kita dapat? Selalunya sekadar 'bragging rights' atau hak untuk mendabik dada bahawa pasukan yang anda sokong berjaya. Ramai antara kita langsung tak peduli kesan jangka panjang apabila memilih pemimpin.

Zaman ini bukan lagi zaman memilih pemimpin berdasarkan parti yang diwakilinya. Kita sepatutnya sudah melangkaui zaman itu sejak dulu lagi. Kita sebenarnya perlu jadi masyarakat Cina. Mereka pilih pemimpin untuk kepentingan mereka, untuk kebaikkan mereka. Mereka pilih pemimpin yang mampu memberi pulangan paling maksimum dalam tempoh lima tahun selepas pemimpin itu dilantik.

Realitinya begitu. Pemimpin yang dilantik hasil dari pilihanraya sebenarnya tidak lebih daripada seorang wakil kepada sekumpulan orang. Orang ini sepatutnya menjalankan tugas dan arahan yang kita (rakyat yang memilih beliau) berikan. Sebab itulah mereka digelar Wakil Rakyat. Maksudnya mereka adalah wakil kepada rakyat di kawasannya di dalam sesebuah kerajaan. Fungsi Wakil Rakyat adalah untuk berkhidmat kepada orang di kawasan yang diwakilinya.

Wakil Rakyat bukanlah tok demang atau dewa atau pembesar berdaulat. Mereka adalah di kalangan kita sendiri. Mereka ini sepatutnya berkhidmat untuk kita, bukan sebaliknya. Sebab itulah kita harus memilih pemimpin berdasarkan keupayaan beliau menjalankan tugas yang diamanahkan.

Bersambung... 

8.11.13

Dahulu Lain, Sekarang Lain

Dalam perjalanan balik setelah bertemu sahabat lama di Shah Alam, aku terdengar iklan kicap di radio. Dua iklan berbeza dari jenama kicap berbeza tetapi konsepnya sama,

"Kalau takde kicap, tak lalu makan"

Aku terkenang waktu lalu. Betul, kalau tak ada kicap, memang tak lalu makan. Kadang-kadang balik dari sekolah, lauk di rumah sudah hampir kehabisan. Adik beradik ramai dan maklumlah keadaan waktu itu. Aku goreng telur dan makan nasi berkuahkan kicap. Kalau ada ikan bilis, aku goreng ikan bilis bersama telur. Kicap tetap ada. Makanan itu dirasakan begitu 'heaven'. Duduk di tepi tingkap, aku bayangkan aku sedang makan di sebuah restoran atau hotel mewah. Hinggalah beberapa tahun lalu, kicap adalah pelengkap kepada makanan aku.

Keluarga aku menggemari kicap jenama Tamin. Mungkin kerana kami tinggal di Kuala Kangsar dan kilang kicap tersebut tidak jauh dari Kuala Kangsar.

Aku tidak tahu bila aku berhenti menggunakan kicap sebagai penambah selera makanan. Ianya sudah lama. Mungkin hampir 10 tahun lalu. Aku sudah lupa. Kicap bukan lagi keperluan ketika makan. Malah di rumah ini, aku fikir kami jarang sekali membeli kicap. Mungkin kerana kuah masakan Zura sudah tersedia sedapnya.

Apa lagi perkara yang suatu ketika dulu perlu ada dalam hidup aku tetapi kini tidak lagi?

Selimut. Ya, selimut.

Pernah suatu ketika masa zaman aku belajar di ITM Shah Alam, sekarang UiTM, berlaku gangguan bekalan elektrik. Malam itu kami tidur dalam kepanasan, ditambah pula dengan cuaca yang sudah sedia panas ketika itu. Anehnya, aku tidur dikelubungi selimut. Selimut menutupi aku dari kepala hingga ke hujung kaki. Hanya muka aku saja yang terdedah.

Sehingga beberapa tahun lalu, aku masih perlukan selimut untuk tidur, hatta dalam cuaca yang panas. Selimut adalah 'safety blanket' yang sangat aku perlukan. Aku berasa selesa bila berselimut ketika tidur, walaupun tidur di siang hari.

Tetapi sekarang aku hanya berselimut ketika terasa sejuk. Kadang-kadang selimut menjadi 'bantal' di kepala atau di antara lutut. Aku tidak lagi berkelubung sepenuh badan. Entah kenapa. Tidak ada sebab kenapa aku tidak lagi menggunakan selimut. Sekarang aku lebih risaukan Qaseh yang tidak mahu menggunakan selimut walaupun di waktu sejuk. Dia sangat tidak sukakan selimut. Kakinya pasti akan menendang-nendang selimut sekiranya dia terasa ada kain yang menyelimutinya.

Ada lagi?

Oh, ubat alahan bersin/selsema. Suatu ketika dahulu, aku mengalami bersin dan selsema yang kronik. Orang kata aku ada resdung. Aku pun fikir begitu. Bila aku ke farmasi, ahli farmasi menyarankan aku mengambil ubat alahan bersin/selsema. Jadi untuk beberapa ketika aku gunakan ubat tersebut (Ezede atau Clarinase) untuk meredakan masalah hidung ini.

Namun begitu, sejak beberapa bulan ini... Aku rasa sudah hampir setahun, aku seperti tidak perlu mengambilnya lagi secara kerap. Malah kini, aku cuma makan ketika perlu saja iaitu ketika hidung ini selsema dan aku bersin berterusan dan itu sangat jarang berlaku. Ya, aku masih mengalami alahan yang menyebabkan bersin/selsema tetapi tidak kronik seperti dahulu. Aku tidak tahu apa penawarnya. Mungkin akibat pemakanan. Mungkin akibat gaya hidup. Tetapi ianya membuat aku lebih selesa sekarang.

Dulu juga aku penggemar tegar Coca-Cola atau minuman bergas. Aku fikir aku lebih banyak minum minuman bergas berbanding yang lain. Sekarang, minuman utama aku adalah air kosong atau lebih spesifik, air mineral dan air bertapis. Zura tidak perlu bersusah payah membancuh teh atau kopi atau minuman berperisa di rumah. Gula di dapur entah berapa lama masih belum habis. Kami tidak risaukan kenaikan harga gula kerana kami jarang menggunakan gula. Aku lebih sukakan teh hijau tanpa gula. Tetapi minuman utama di rumah dan di pejabat adalah air kosong. Aku boleh habiskan beberapa liter air kosong sehari.

Sekali sekala aku masih menikmati Coca-Cola atau air bergas. Ianya masih merupakan nikmat walaupun risikonya tinggi. Dalam peti ais di rumah cuma ada air kosong bertapis, dua botol Ribena, beberapa air kotak berperisa soya dan teh bunga. Itu saja. Kalau di pejabat pula, aku memiliki water dispenser sendiri yang aku beli dengan harga RM30. Cukup berbaloi. Sebotol besar air bertapis harganya tidak sampai RM7 dan boleh tahan sehingga dua minggu. Bagi aku, air kosong adalah cara terbaik untuk meneutralkan balik badan kita.

Ada beberapa perkara lagi yang suatu ketika dahulu menjadi keperluan hidup tetapi kini tidak lagi. Ada juga beberapa perkara yang sudah sebati dalam diri ini;

Aku tidak pakai jam tangan. Semua jam tangan yang pernah aku pakai sebelum ini adalah pemberian orang. Seingat aku, aku tidak pernah beli jam tangan sendiri. Waktu kecil dahulu mungkin. Bila besar, aku tidak nampak apa keperluan untuk aku memakai jam tangan. Tambahan pula zaman sekarang hampir semua orang memiliki telefon bimbit, aku tidak fikir aku perlukan seutas jam tangan kerana telefon bimbit aku sudah memadai.

Ya, hidup ini berubah. Kadang-kadang kita tidak sedar.