27.8.10

Rumah Lama, Idea Baru

Dalam perjalanan ke Bahau tadi, aku terpandang rumah-rumah melayu lama yang ditinggalkan. Ada antaranya yang masih kukuh struktur dan bentuk. Seni bina rumah ini sungguh menawan. Lalu aku katakan kepada Zura, alangkah baiknya kalau dapat aku beli saja rumah ini dan dipulihara.

Tetapi kos untuk memulihara rumah sebegini tentulah mahal, apatah lagi kalau hendak membeli keseluruhannya, termasuk tanah di mana rumah berdiri. Tiba-tiba, timbul cadangan yang lebih menarik. Apa kata kalau hanya rumah saja yang dibeli. Kemudian rumah-rumah lama ini dipindahkan (dengan apa cara yang sesuai) ke suatu lokasi dan dibina serta dipulihara kembali.

Timbul masalah penyelenggaraan. Satu idea yang baik adalah dengan menjadikan rumah-rumah lama melayu yang siap dipulihara ini sebagai hotel tema (theme hotel). Hotel ini mengekalkan ciri-ciri asli rumah melayu termasuk hiasan dalaman. Tetapi kelengkapan tempat tidur adalah sama dengan hotel bertaraf 5 bintang lain. Kenapa 5 bintang? Kerana hotel tema lebih sesuai ditumpukan kepada pencinta seni yang berkemampuan. Mereka sanggup belanja besar untuk 'menikmati' suasana autentik persekitaran perkampungan melayu lama.

Seperti yang diberitahu Zura, kalau sekadar rumah, mungkin agak sukar hendak menarik orang datang berkunjung. Jadi persekitarannya juga mesti asli seperti persekitaran kampung-kampung melayu lama. Maka perlu ada item-item minima seperti dusun buah-buahan, sawah padi atau kebun dan kolam ikan atau lebih sesuai, bertepian dengan sungai. Ianya seperti Mini Malaysia di Melaka tetapi lebih asli dan lebih bersifat resort sepenuhnya.

Perkara pertama yang kita perlu fikir adalah kemahuan pemilik asal hendak menjual dan kos yang perlu ditanggung untuk membelinya. Kalau boleh, kita hendak dapatkan rumah lama ini dengan harga yang murah kerana kita perlu juga tanggung kos pemuliharaan dan penyelenggaraannya. Kita tawarkan kepada pemilik asal peluang untuk tinggal di rumah yang diletakkan di resort itu. Contohnya, kita boleh luangkan dua minggu dalam setahun khas untuk bekas pemilik rumah tersebut menginap tanpa cas. Mereka boleh datang bila-bila ada kekosongan dan penuhi tempoh dua minggu yang diberi. Atau mungkin juga kita boleh berikan diskaun kepada mereka bila-bila mereka mahu datang menginap. Paling penting, kita yakinkan mereka bahawa mereka meninggalkan legasi bersejarah disamping berpeluang mengalami suasana zaman kanak-kanak mereka.

Ada banyak lagi cadangan tetapi malam ini aku mahu menulis setakat ini.

26.8.10

Tulis

Aku sudah tidak boleh menulis lagi.

Baris-baris kata sudah tidak boleh terukir dengan indah.

Mungkin hati sedang tenang dan gembira.

25.8.10

Laju

Aku cuba menguji selaju mana aku menaip. Hasil percubaan pertama hari ini;

64 perkataan
Speedtest


Kemudian aku cuba lagi. Hasilnya;

62 perkataan
Speed test


Berapa laju orang yang dapat markah lebih tinggi menaip? Kamu cuba sendiri.

Update

Terbaru aku cuba lagi sekejap tadi. Hasilnya;

72 perkataan
Speed test


72 perkataan seminit. Lebih kurang 1.2 perkataan sesaat. Hehehe. Kalau ikut ranking kelajuan, aku menduduki tangga ke 258 daripada lebih kurang 26,700.

Aku cuba menaip dalam bahasa Inggeris. Hasilnya;

70 words
Typing Test


70 perkataan seminit. Bolehlah. Kalau ikut ranking kelajuan, aku menduduki tangga ke 199,189 daripada 1,117,076.

23.8.10

Ruang Masa

Dua hari ke sana sini. Kelmarin mencari pakaian raya di Jalan Masjid India; bukan untuk aku tetapi untuk Zura. Kemudian kami cuba samakan warna baju yang dibeli. Tidak ada banyak pilihan. Rupa-rupanya warna baju melayu aku agak sukar hendak dicari pasangannya. Berbuka puasa di sebuah restoran tidak jauh dari Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Semalam berjalan-jalan di Taman Burung Kuala Lumpur. Pertama kali aku kesitu sejak sekian lama aku di sini. Ini adalah cadangan Zura dan aku dengan senang hati bersetuju. Bila di dalam taman burung, baru aku sedar bahawa aku patut bawa kamera DSLR dengan lensa yang lebih bagus. Burung di dalam taman ini cukup jinak dan mudah dirakam dengan kamera. Kami berbuka di restoran Ayam Bakar Wong Solo, Bangi. Sempat kami kunjungi pasar Ramadhan Bangi dan membeli beberapa juadah.

Dua hari yang diisi dengan suasana yang bahagia. :-)

Zura bertanya mengenai masa yang diluangkan bersamanya. Jawapan aku berbunyi begini,

"Sudah 35 tahun saya luangkan masa untuk diri sendiri. Biar sekarang saya luangkan masa dengan Zura pula."

Dia senyum dan senyumannya adalah 'estacy'.

20.8.10

Pegangan

"Kau kena ingat siapa yang bayar gaji kau" Kata mereka yang cuba tegur aku kerana mengkritik sebuah parti politik.

Ya, aku ingat siapa yang bayar gaji aku. Kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia yang bayar gaji aku. Bukan mana-mana parti politik. Maaf kalau kamu masih tidak faham apa bezanya kerajaan Malaysia dengan parti politik yang diberi kuasa untuk memerintah.

Kerana aku bekerja dengan kerajaan Malaysia, apa saja dasar dan aspirasi kerajaan, aku akan pertahankan, walau dengan darah aku sendiri. Aku tetap akan pertahankan 1Malaysia walaupun ramai yang tidak faham konsepnya. Aku akan tetap pertahankan Wawasan 2020 walaupun orang meragui kejayaannya. Aku akan tetap pertahankan Proton, KLIA dan apa saja yang dibuat oleh kerajaan kerana ianya menjadi tanggungjawab aku sebagai penjawat awam untuk menyokong dasar-dasar kerajaan.

Tetapi aku sama sekali tidak akan pertahankan Barisan Nasional kerana aku tidak bekerja dengan mereka dan aku tidak dibayar gaji oleh mereka. Kamu boleh kata bahawa BN yang cari duit untuk bayar gaji aku. Bagi aku kamu adalah bebal dan tidak faham keadaan serta mentaliti dan idea sudah dipengaruhi oleh sumber maklumat dari media yang salah.

Sebagai seorang individu, aku mempunyai hak terhadap parti politik mana yang aku mahu sokong dan setakat ini aku tidak sokong mana-mana parti politik. Sebagai penjawat awam pun, aku bertanggungjawab untuk bekerja dan memberi khidmat kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, jantina, agama atau pun parti politik yang mereka sokong. Aku tidak akan tanya parti politik mana yang mereka sokong sebelum memberikan perkhidmatan.

Kesian dengan manusia yang masih tidak faham apa beza kerajaan dan apa beza parti politik. BN tidak ada RM120 bilion untuk membiayai ekonomi negara. RM120 bilion itu datangnya dari tabung negara, cukai dan pelbagai jenis pendapatan lain termasuk pinjaman yang diperolehi oleh kerajaan. BN hanya bertindak sebagai pentadbir yang dilantik oleh rakyat untuk mengurus negara. Negara ini bukan milik BN. Ianya milik rakyat; aku, kamu, keluarga kita dan semua orang yang bertaraf warganegara Malaysia.

Jangan fikir sesaat pun bila aku mengkritik BN, ianya sama seperti aku mengkritik kerajaan Malaysia. Ianya dua perkara yang amat berbeza. BN adalah komponen parti politik yang mewakili lebih kurang lima juta rakyat Malaysia. Kerajaan Malaysia pula ada sebuah negara yang berdaulat dengan penduduk sejumlah lebih kurang 29 juta orang dan mengamalkan sistem politik demokrasi beraja. 29 juta orang ini mewakili semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kaum dan parti politik mereka.

Rasanya sudah berkali-kali aku beritahu ini semua. Tetapi entah kenapa, ramai yang masih tidak faham dan tidak dapat membezakannya.

19.8.10

Tasik Raban

35 tahun berulang alik antara Gerik dan Kuala Kangsar, melalui Tasik Raban, Selasa tempohari adalah kali pertama aku rakam suasananya dengan kamera. Sungguh indah.





18.8.10

KTM ETS - Luar & Dalam

Seperti yang aku tulis dalam post sebelum ini, aku telah menaiki tren KTM ETS dari Ipoh ke Kuala Lumpur. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam.

Tren set baru berkuasa elektrik ini dibina oleh Hyundai Rotem, sebuah syarikat dari Korea Selatan. Kalau sekali imbas, kamu tentu boleh ingat bahawa ianya hampir sama bentuk dengan tren KTM Komuter yang dikeluarkan oleh syarikat yang sama. Cuma suasana di dalam tren lebih selesa dan lapang. Kelajuan maksimum tren ini adalah 160km/j. Dari segi standard, ianya adalah kelajuan normal keretapi. Mungkin selepas ini kerajaan boleh menggunakan Pendolino buatan Italy yang mampu bergerak di selekoh pada kelajuan 200km/j.
Seperti yang aku kata, tren ini dihasilkan oleh syarikat yang sama menghasilkan tren KTM Komuter. Malah keadaan di dalam pun hampir sama. Ada tempat meletak bagasi di sisi atas gerabak. Ada televisyen LCD yang menghidangkan cerita mengenai kehebatan Hyundai Rotem. Tempat duduk agak selesa walaupun sedikit nipis. Mungkin itu bukan tujuan utama kerana perjalanan cuma mengambil masa dua jam. Tidak perlu rehat yang empuk rasanya.
Lihat di skrin LCD sebelah penjuru kiri atas. Kelajuan yang dicatat ketika aku sedang merakam gambar adalah pada 145km/j. Laju tetapi tidak boleh kata high speed.

17.8.10

Dari Sudut Pandangan Dalam Tren KTM ETS

Aku menulis blog dari atas tren! Woohoo! Aku dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur daripada kampung halaman dengan menaiki tren KTM ETS terbaru. Perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur cuma mengambil masa lebih kurang dua jam. Kamu tidak terasa bosan di dalam tren ini kerana terdapat kafe di dalamnya. Cuma bulan Ramadhan, ianya tidak membawa apa-apa makna.

Secara keseluruhan, perjalanan adalah selesa dan pantas. Tren tidak jauh bezanya dengan ERL walaupun diakui ERL lebih selesa dan luas. Kos perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur adalah RM30. Bagi aku ianya agak mahal. Aku rasa harga dalam lingkungan RM20 - RM24 adalah lebih sesuai dan berpatutan. Tetapi berbanding bas ekspres, aku rasa cas RM30 yang dikenakan adalah jauh lebih berbaloi. Ianya lebih selamat.

Perkhidmatan ini perlu diperluaskan ke seluruh negara secepat mungkin. Itu yang pasti.

16.8.10

Kasih Ibu Bapa

Balik kampung dengan masakan ibu terhidang di depan mata ketika menunggu waktu berbuka puasa, kamu wajib membatalkan apa saja rejim diet yang kamu amalkan. Dua hari aku berbuka di kampung, aku sumbat apa saja makanan yang ada di depan mata. Pedulikan diet, pedulikan usaha untuk menjadi kurus sekian lama ini.

Zura pun faham. Malah dia menambah,

"Ala abang, makan saja. Jangan peduli diet. Itu belakang cerita."

Kalau kamu bersama insan sebegini, hati kamu sentiasa akan tersenyum. Dia yang memahami.

Tetapi aku tetap tidak makan sewaktu sahur. Aku sudah kenyang dengan makanan sewaktu berbuka. Jadi tidak perlu lagi aku makan waktu sahur. Cukup dengan minum air kosong. Sejak dulu aku memang terlalu jarang bersahur. Puasa bukan suatu perkara yang sukar bagi aku. Melainkan mungkin apabila berada di tanah gersang dengan matahari sejengkal di kepala.

Esok siang aku akan kembali di Putrajaya. Jelasnya, sepanjang tahun, cuma beberapa hari aku berada di kampung. Rasanya tidak cukup. Tadi dalam diam aku memerhatikan ayah dan emak. Mereka semakin dimamah usia. Jelas kepenatan di raut wajah mereka. Ada seorang cucu, biar betapa degil budak tersebut, itulah cucu yang paling disayangi. Si kecil itu dijaga dan ditatang seperti raja.

Kadang-kadang bila melihat keadaan begitu, kita tersedar dari lamunan. Kita selama ini tidak berada dekat dengan orang yang sentiasa menyayangi kita; ibu bapa kita sendiri. Biar sejauh mana kita pergi, pintu rumah ini tidak pernah berkunci untuk kita masuk, tidur dan berasa selesa di dalamnya.

Itu pengorbanan ibu bapa terhadap aku. Aku perlu lebih menghargainya.

Keretapi

Sekarang di Kuala Kangsar. Bercuti sehingga Selasa.

Semalam tiba di Ipoh, dari Kuala Lumpur dengan menaiki keretapi. Sudah lama aku tidak melakukannya. Terlalu lama. Begitu jauh berbeza perkhidmatan yang disediakan sekarang berbanding dahulu. Semalam, aku tiba dari KL Sentral dalam masa tiga jam saja. 10 tahun dulu, perjalanan yang sama dengan keretapi akan mengambil masa lebih lima jam. Itu pun aku naik keretapi shuttle yang masih menggunakan lokomotif diesel sebagai penggerak tren.

Esok aku akan balik ke Kuala Lumpur dengan tren ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) yang akan mengambil masa kira-kira dua jam saja. Cukup pantas. Malah, lebih pantas dan selera berbanding bas ekspres. Sepatutnya perkhidmatan tren sebegini sudah diperkenalkan di Malaysia lama dulu. Tetapi tiada inisiatif kukuh daripada kerajaan untuk memberikan mod pengangkutan awam yang lebih efisien menyebabkan hanya baru sekarang kita dapat merasa. Itu pun masih belum menyeluruh. Kerajaan perlu perluaskan perkhidmatan tren ini. Bukan saja menggunakan laluan sedia ada, malah menambah laluan lain di seluruh Malaysia.

Negara ini negara kecil dan kita tidak patut penuhinya dengan lingkaran lebuhraya di sana sini. Keretapi adalah mod pengangkutan awam yang cukup baik dan efisien, sama seperti yang diamalkan di Jepun. Kalau kita bina sekarang, walaupun kosnya besar, ianya bakal memacu pembangunan negara dengan lebih cekap dan pantas, serta dalam masa 20 - 30 tahun dari sekarang, kita akan ada jaringan pengangkutan awam yang sangat efisien. Tidak perlu lagi orang berhijrah ke kotaraya besar untuk bekerja. Sebaliknya mereka boleh tinggal di tempat asal mereka dan menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja.

Biar rugi sekarang, jangan rugi masa akan datang. Jika aku diberi pilihan dan kemudahan pengangkutan, aku lebih rela guna pengangkutan awam yang efisien daripada membazir masa memandu kereta. Penat tau tak!

15.8.10

Status

Kenapa aku tukar status perhubungan di Facebook daripada Single kepada In A Relationship With...?

Paling utama, kerana aku dan Zura fikirkan ianya sudah sampai masa untuk diakui perhubungan ini. Tidak ada guna hendak berselindung kalau hari-hari yang berlalu kini kami sibuk berbicara apa yang akan berlaku di masa akan datang, bersama. Apa yang lebih penting, penerimaan keluarga. Orang yang ada di sekeliling; sahabat, kawan baik dan kenalan boleh turut sama tumpang gembira.

Tetapi selagi tidak termeteri apa-apa ikatan sah, anggaplah ini sekadar perjanjian menuju kearah itu. Dan janji wajib ditepati.

Namun begitu, tidak pula aku sangka dengan respon yang aku perolehi. Terima kasih. Aku amat menghargainya. Begitu juga Zura, inshaAllah. Doa kamu adalah pembakar semangat dan pendorong untuk aku berusaha lebih gigih untuk memberikan yang terbaik dalam hidup ini.

Sepetang di Jalan TAR

Siang tadi bersama Zura (si dia) dan ibunya, kami meredah lautan manusia di Jalan Masjid India. Orang berpusu-pusu membeli pakaian baru sempena Aidil Fitri yang bakal tiba tidak lama lagi (walaupun puasa baru selesai 4 hari).

Pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman yang berlangsung setiap petang Sabtu dipenuhi dengan jualan baju raya pelbagai fesyen. Ada set baju melayu lengkap dengan samping yang boleh dibeli dengan harga kurang RM100. Ada songkok tinggi yang aku cari selama ini. Ada kek bersalut coklat yang nampak sedap. Ada mat dan minah salleh yang mungkin terpegun dengan apa yang dihidangkan dihadapan mereka; manusia dan pilihan pakaian yang begitu banyak.

Akhirnya aku membeli sepasang baju melayu berwarna merah kelabu (kata Zura). Dia tahu aku rabun warna. Paling menyenangkan hati aku adalah sikap Zura yang memahami kekurangan aku. Tidak nampak langsung dia mengeluh atau merendahkan ketidakupayaan aku. Sebaliknya kadang-kadang bila dia lupa dan aku ingatkan yang aku adalah seorang yang rabun warna, dia mohon maaf walaupun itu semua tidak perlu. Dia juga berusaha sebaik mungkin untuk terangkan kepada aku tentang warna yang sedang dilihat. Aku tahu mungkin kamu akan kata bahawa orang lain akan buat perkara yang sama. Tetapi hakikatnya, selama ini ramai yang aku kenali seperti tidak memahami keadaan sebenar rabun warna itu. Ada kalanya kamu dapat rasakan bahawa mereka tidak selesa dengannya. Itu aku tidak nampak langsung dari Zura.

Kemudian aku membeli sehelai jersey bolasepak Liverpool FC musim terbaru dengan penaja Standard Chartered. Dulu bila Carlsberg menjadi penaja utama, aku amat berat hati untuk membeli, apatah lagi memakainya. Sekarang kata tuan kedai, jualan jersey Liverpool FC lebih tinggi daripada dulu. Zura sekadar yang aku tahu adalah peminat Manchester United. Aku akan hasut dia untuk tinggalkan Red Devils.

Kami sempat berbuka puasa di tapak ekspo ramadan, belakang Semua House. Makan apa yang ada; laksa, bihun sup dan ayam goreng berempah yang tidak cukup masak. Kalau dulu, aku pasti akan mencari restoran makanan segera untuk berbuka kerana tidak biasa dengan orang ramai disekeliling. Sekarang, hidup kerana ada tolak ansur dan aku gembira dengannya.

Esok tengahari, aku akan berangkat pulang ke kampung halaman dan bercuti hingga selasa.

13.8.10

Selera Puasa

Semalam berbuka di The Mines, makan Carl's Jr.. Terasa seperti tahun sebelum ini, bila tiba saat hampir berbuka, barulah fikir apa yang hendak dimakan. Semalam petang aku berpusing-pusing sekeliling kompleks memikirkan apa yang patut aku makan. Mahukan spageti, burger, ayam dan roti panas. Kalau boleh aku mahu makan semua.

Sedikit pelik untuk tahun ini, setelah dua hari berbuka puasa, aku tidak makan apa-apa lagi selepas itu. Kalau tidak sebelum ini, waktu lewat malam pasti perut kembali lapar dan aku perlu makan sesuatu. Aku masih terasa kenyang dengan burger Carl's Jr. sehingga sekarang. Bagus juga. Harapnya aku boleh kurangkan berat badan sepanjang Ramadan ini.

Esok mahu temankan si dia dan ibunya meninjau barang di Jalan Masjid India. Lusa, aku balik kampung, bercuti.

Sekarang aku perlu fikirkan apa yang hendak aku jamah sewaktu berbuka puasa lewat petang nanti. Apa ya yang menarik?

12.8.10

Puasa Pertama

Hari pertama berbuka puasa semalam, aku berbuka bersama si dia. Juadah istimewa yang disediakan oleh si dia sendiri; Sambal petai ikan bilis, Sotong sumbat udang, telur masin dan ayam goreng kunyit. Cukup menyelerakan. Aku yang jarang makan nasi, boleh habiskan tiga pinggan (walaupun kecil) nasi.

Duduk di sebuah meja di suatu sudut di taman tasik, makanan terhidang dan suasana sungguh damai. Begitu hendaknya harapan agar ia berterusan. Terima kasih atas hidangan juadah yang cukup menyelerakan.

Hari ini, aku makan seorang diri. Menu masih belum tahu. Mungkin bukan nasi.

11.8.10

Apple MacBook Pro + Apple Magic Mouse

Syukur, setelah beberapa ketika merancang, akhirnya aku dapat membeli sebuah Apple MacBook Pro untuk kegunaan kerja sambilan aku. Walaupun ianya cuma spesifikasi asas, jauh daripada perancangan asal, tetapi ianya cukup untuk aku menyiapkan kerja tanpa perlu selalu bersengkang mata di studio.

Inilah MacBook Pro yang aku beli. Spesifikasi MacBook Pro paling murah dengan Prosesor Intel Core2Duo 2.4GHz, 4GB DDR3 RAM, 250GB Harddisk dan skrin bersaiz 13 inci.

Aku juga membeli sebuah mouse, Apple Magic Mouse yang sungguh hebat dan cool.

Aku memberitahu si dia bahawa aku perlu pastikan modal untuk membeli laptop ini diperolehi kembali menjelang hujung tahun ini, inshaAllah. Setakat ini (tanpa mengguna komputer sendiri), dalam satu projek aku boleh dapat hampir 1/4 daripada modal. Jadi untuk mencari selebihnya adalah tidak mustahil.

Satu cara lagi untuk mengurangkan kos adalah dengan menjual laptop lama aku, Acer Aspire 4937G yang aku beli dengan harga RM3100 (termasuk upgrade RAM) lebih kurang setahun lepas. Cuma agak rimas kalau ada yang mahu minta secara percuma atau mahu bayar bulan-bulan jika mereka mahu membelinya. Aku mahu tunai! Acer itu lengkap dengan Windows Vista Home Premium original, Office original dan antivirus yang masih berfungsi dengan baik. Setakat aku guna hampir setahun, ianya amat-amat jarang 'crash'. Berapa harga yang aku letak? Kalau boleh dalam RM2000 kerana ianya masih baru. Tetapi kalau dapat dalam lingkungan RM1600 - RM1800, ianya sudah mencukupi.

Selepas ini, maka 100% kerja aku hanya melibatkan komputer berjenama Apple saja; di pejabat dan studio dengan Apple iMac dan di rumah dengan Apple MacBook Pro. Skil untuk aku baiki PC rasanya sudah semakin hilang. :-)

9.8.10

HRMIS Amat Mengecewakan

Siapa saja yang mencipta laman HRMIS (Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia) yang diwajibkan kepada kakitangan kerajaan oleh JPA, patutnya disekeh kepalanya. Bukan saja sistem tersebut tidak mesra pengguna, namun capaian juga amat sukar dilakukan.

Sekarang aku diarahkan untuk mengisi maklumat mengenai Sasaran Kerja Tahunan (SKT)  di dalam sistem tersebut. Beberapa hari lepas aku mengisi permohonan cuti menggunakan sistem yang sama. Bila hari ini aku mahu log masuk ke sistem HRMIS ini untuk mengisi maklumat mengenai SKT, kata laluan aku dikatakan tidak sah. Setelah admin pejabat kemaskini kata laluan aku, aku mencuba sekali lagi. Kata laluan masih salah. Pelik sungguh. Maka puncanya, dituduh aku salah masuk kata laluan atau CAPS LOCK aku sedang berfungsi. Ye lah tu. salah aku juga.

Bila sudah dapat masuk sistem (setelah aku membebel dengan kebebalan sistem tersebut), sekali lagi aku disajikan dengan antaramuka paling kuno di dunia. Kamu perlu klik berkali-kali untuk tiba ke skrin masukan data. Bila data hendak dimasukkan, ianya langsung tidak mesra pengguna.

Bila kita bangunkan sistem pengguna, ianya patut berfungsi untuk menyenangkan pengguna. Ini tidak. Masa dibazirkan begitu banyak semata-mata untuk mengisi beberapa data. Ada kalanya, semua menu dan arahan yang ada di skrin begitu mengelirukan. Kepada siapa mereka tuju perkhidmatan ini? Geek? Mereka ada buat UAT (user acceptance test) ke? Kalau aku jadi salah seorang panel UAT, jangan harap sistem ini akan dibenarkan beroperasi. Banyak perkara yang perlu diubah, terutama dari segi text-based link yang membosankan.

Suasana menggunakan HRMIS langsung tidak kondusif. Aku bukan mengkritik buta. Aku mahu beri cadangan tambahbaik. Walaupun aku dapati sudah ada laman versi baru yang lebih interaktif, tetapi ianya masih tipikal laman web agensi kerajaan lain; Buat asal jadi dan peduli apa dengan rungutan orang.

Tolonglah. Baiki HRMIS supaya jadi lebih baik.

6.8.10

Lest We Forget










Jangan kita membenci sesama manusia.

Ingat Amanah Yang Diberikan Oleh Rakyat Kepada Kamu Wahai Pembesar Negara

Bila SPRM cadang supaya menteri-menteri isytihar harta, menteri kata tidak perlu kerana sudah diisytihar kepada Perdana Menteri dan ianya sudah mencukupi. Cukup sekadar PM saja yang tahu. Sekeh saja kepada menteri yang berfikiran begini. Mungkin dia sudah lupa yang dia berkhidmat untuk rakyat, maka segala apa yang berlaku terhadap dirinya perlu diketahui oleh rakyat. Kalau tidak, bagaimana hendak kita tahu tingkah laku dan latar belakang pemimpin yang kita mahu pilih mewakili kita?

Mereka, menteri-menteri wajib bertanggungjawab mengisytihar harta benda mereka kerana kita sebagai rakyat tidak mahu mereka menyalahguna kuasa yang ada untuk kepentingan peribadi. Kita lantik mereka sebagai wakil kita dalam kerajaan untuk menyampaikan suara kita. Bukan suruh dia kumpul harta banyak-banyak untuk jadi kaya raya.

Masalah di Malaysia ini, pemimpin bila berkuasa, mereka berlagak seperti raja yang tidak boleh dipersoalkan tindakan dan perilaku mereka. Sebaliknya mereka dengan berani menegur rakyat supaya menerima apa saja yang dicadang mereka, kononnya dengan penuh yakin mereka berkata,

"semuanya yang dilakukan mereka adalah untuk kebaikan rakyat".

Pertamanya, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha politik dan segala jawatan yang dipegang oleh wakil rakyat yang menang bertanding di dalam pilihan raya adalah dengan EHSAN dan PILIHAN RAKYAT. Mereka tidak lepas daripada tanggungjawab mereka untuk membela dan berkhidmat 100% semata-mata untuk rakyat. Mereka tidak wajar menyalahkan rakyat, tidak wajar membentak rakyat dan paling tidak wajar menghalang rakyat bersuara rasa tidak puas hati rakyat terhadap mereka.

Ini bukan negara feudal di mana suatu daerah dikuasai oleh pembesar gah dan tanah di bawah jajahannya diduduki dan diusahakan oleh rakyat jelata. Cukai dikutip untuk kepentingan peribadi. Rakyat tidak ada hak untuk bersuara. Itu feudalistik.

Kita sekarang adalah demokrasi.
Demos = rakyat.
Kratos = Kuasa.
Demokrasi = Kuasa Rakyat.

Rakyat adalah kuasa dan kuasa di tangan rakyat, bukan di tangan sesetengah orang yang berkuasa. Ingat baik-baik perkara ini. Kalau kamu mahu menafikannya, maka kamu lebih rela hidup dalam suasana feudalistik yang kolot. Pemimpin politik yang ada tidak lebih kuasa mereka daripada kita semua. Kita benarkan mereka mewakili kita untuk bersuara. Itu saja. Selebihnya pemimpin politik inilah yang sepatutnya menghormati rakyat yang memilih mereka. Mereka WAJIB bertanggungjawab dengan apa saja tindakan mereka.

BN dan PR serta wakil bebas, ini yang rakyat mahu lihat dan mahu alami. Kuasa dikembalikan ketangan rakyat sepenuhnya. Kamu bukan raja yang berkuasa tanpa batasan. Kita sudah ada sembilan orang raja berdaulat. Cukup. Kita tidak perlu ratusan raja wannabe lain untuk disembah dan didaulatkan.

Rakyat mahu suasana hidup yang selesa, ekonomi yang baik, persekitaran yang paling baik untuk anak-anak mereka membesar dan paling penting, kebebasan untuk rakyat bergerak, berfikir dan bersuara.

Apa kata kalau kamu pak menteri dan wakil rakyat buat semua yang baik untuk rakyat dulu sebelum fikirkan mengenai diri sendiri. Kalau tidak mahu, jangan jadi wakil rakyat kami.

Oh, pergi isytihar harta!

2.8.10

Waktu Kerja

Aku dihulur set artikel surat khabar oleh seorang rakan pejabat. Turut dikepilkan bersama, ruang senarai nama untuk ditandatangan selepas membacanya. Artikel berkaitan kewujudan skuad pemantau yang berfungsi untuk memantau kakitangan kerajaan 'curi tulang' sewaktu bertugas.

Pertamanya, memang ada peraturan berkaitan waktu kerja. Itu kita kena sentiasa patuhi. Cuma bila dilihat balik tarikh peraturan itu dikuatkuasa, satu pada tahun 1974 dan satu lagi pada tahun 1993, aku fikir ianya sudah agak lapuk dan tidak sesuai digunakan lagi dalam suasana kehidupan sekarang. Lagipun kenapa kita beria-ia sangat hendak menguatkuasa peraturan sebegini sedangkan kita tahu kakitangan kerajaan sebenarnya berlebihan dan ada yang kadang-kadang tiada kerja hendak dibuat di pejabat.

Perkhidmatan awam sudah tiba di satu tahap di mana ianya perlu di'streamline' dan dibuat perubahan dari segi cara bekerja. Sampai bila kita masih mahu melakukan kerja-kerja separa manual yang penuh birokrasi. Kalau kita asyik hendak meniru suasana kerja di sektor swasta, kenapa tidak meniru sepenuhnya. Ambil yang baik, dan aku rasa ianya banyak. Salah satu contoh adalah bekerja di rumah. Kemajuan komunikasi sekarang membenarkan kita berinteraksi tanpa batasan. Kerja-kerja pejabat boleh diselesaikan di rumah tanpa perlu seseorang individu pergi ke pejabat untuk menyiapkannya. Bayangkan keluarga yang mempunyai anak, mereka dapat memelihara anak sendiri di samping menyiapkan kerja yang diberikan. Mesti ada time-frame untuk menyiapka kerja. Mereka boleh jimatkan kos yang agak banyak seperti kos pengangkutan dan kos penjagaan anak. Malah pejabat sendiri boleh berjimat dari segi bil eletrik dan air, contohnya.

Mungkin pemantauan agak sukar hendak dilakukan terutama dari segi mutu kerja dan keselamatan dokumen. Tetapi kalau ianya boleh dilakukan di tempat lain, tidak mustahil perkara yang sama boleh dilakukan di sini.

Seterusnya waktu kerja fleksibel. Buat masa ini, ianya bererti waktu masuk dan balik kerja yang berbeza sahaja. Ada tiga waktu bekerja; 7.30 pagi - 4.30 petang, 8.00 pagi - 5.00 petang dan 8.30 pagi - 5.30 petang.  Secara umumnya ia membantu mengurangkan kesesakan jalanraya di bandar-bandar besar. Aku fikir ianya boleh ditambahbaik. Waktu kerja fleksibel sepatutnya meliputi 24 jam sehari. Seseorang kakitangan boleh memilih untuk masuk bekerja pada bila-bila masa dan balik setelah tempoh masa kerja harian dipenuhi. Jadi pejabat secara teori boleh berfungsi 24 sehari. Contoh mudah, kalau ada keluarga yang perlu menyelesaikan urusan persekolahan anak mereka di waktu siang, mereka boleh datang bekerja lebih lewat dan pulang setelah jangkamasa kerja harian dipenuhi. Kerajaan berjimat dari segi cuti dan boleh juga membantu meningkatkan produktiviti.

Contoh paling dekat, diri aku sendiri. Majoriti kerja aku adalah melihatkan kerja-kerja grafik yang memerlukan idea. Kadang-kadang idea datang pada waktu malam. Itu waktu paling selesa. Waktu siang biasanya otak menjadi tepu. Jadi biar aku bekerja di waktu malam dan ianya masih menguntungkan kerajaan daripada membiarkan aku datang di siang hari tanpa mendapat hasilnya.

Aku fikir, kita sudah tiba di suatu keadaan di mana kita mempunyai pilihan untuk berubah. Perkhidmatan awam juga wajib berubah demi untuk kebaikan rakyat. Aku berikan perbincangan dan contoh yang mudah. Ada banyak lagi faedah sekiranya waktu kerja 'fleksibel' ditambahbaik. Kita cuma perlu lebih terbuka mengenainya.