Siang tadi bersama Zura (si dia) dan ibunya, kami meredah lautan manusia di Jalan Masjid India. Orang berpusu-pusu membeli pakaian baru sempena Aidil Fitri yang bakal tiba tidak lama lagi (walaupun puasa baru selesai 4 hari).
Pasar malam Jalan Tunku Abdul Rahman yang berlangsung setiap petang Sabtu dipenuhi dengan jualan baju raya pelbagai fesyen. Ada set baju melayu lengkap dengan samping yang boleh dibeli dengan harga kurang RM100. Ada songkok tinggi yang aku cari selama ini. Ada kek bersalut coklat yang nampak sedap. Ada mat dan minah salleh yang mungkin terpegun dengan apa yang dihidangkan dihadapan mereka; manusia dan pilihan pakaian yang begitu banyak.
Akhirnya aku membeli sepasang baju melayu berwarna merah kelabu (kata Zura). Dia tahu aku rabun warna. Paling menyenangkan hati aku adalah sikap Zura yang memahami kekurangan aku. Tidak nampak langsung dia mengeluh atau merendahkan ketidakupayaan aku. Sebaliknya kadang-kadang bila dia lupa dan aku ingatkan yang aku adalah seorang yang rabun warna, dia mohon maaf walaupun itu semua tidak perlu. Dia juga berusaha sebaik mungkin untuk terangkan kepada aku tentang warna yang sedang dilihat. Aku tahu mungkin kamu akan kata bahawa orang lain akan buat perkara yang sama. Tetapi hakikatnya, selama ini ramai yang aku kenali seperti tidak memahami keadaan sebenar rabun warna itu. Ada kalanya kamu dapat rasakan bahawa mereka tidak selesa dengannya. Itu aku tidak nampak langsung dari Zura.
Kemudian aku membeli sehelai jersey bolasepak Liverpool FC musim terbaru dengan penaja Standard Chartered. Dulu bila Carlsberg menjadi penaja utama, aku amat berat hati untuk membeli, apatah lagi memakainya. Sekarang kata tuan kedai, jualan jersey Liverpool FC lebih tinggi daripada dulu. Zura sekadar yang aku tahu adalah peminat Manchester United. Aku akan hasut dia untuk tinggalkan Red Devils.
Kami sempat berbuka puasa di tapak ekspo ramadan, belakang Semua House. Makan apa yang ada; laksa, bihun sup dan ayam goreng berempah yang tidak cukup masak. Kalau dulu, aku pasti akan mencari restoran makanan segera untuk berbuka kerana tidak biasa dengan orang ramai disekeliling. Sekarang, hidup kerana ada tolak ansur dan aku gembira dengannya.
Esok tengahari, aku akan berangkat pulang ke kampung halaman dan bercuti hingga selasa.
No comments:
Post a Comment