21.3.11

Kemas dan Kini

Nampak malas sungguh aku menulis blog pada tahun ini. Sehingga Mac ini, baru 21 post. Bulan Mac baru ada tiga post. Itu pun satu daripadanya hanya lagu yang dipetik dari YouTube. Jadi aku cuma menulis dua post sahaja pada bulan ini.

Kalau ditanya mengapa, aku tiada jawapan yang pasti. Aku duga, kerana aku lebih gembira sekarang maka aku kurang hendak bercerita mengenai kesedihan, sunyi dan kecewa. Aku hairan kenapa cerita gembira aku tidak boleh terluah dengan tulisan di sini. Mungkin di hati ini berkata, cukup untuk diri sendiri menikmatinya.

Atau mungkin tahun ini adalah tahun rehat aku. tahun meluangkan masa dan kurang menulis. Lebih memerhati. Atau mungkin kerana aku sedang belajar berkomunikasi dengan Zura. Kerana aku sudah lama tinggalkan cinta. Jujur aku tidak tahu jalan dan cara untuk mengambil hati orang. Kena belajar perlahan-lahan. Aku tahu ada kala Zura tersinggung dengan tingkah laku, kata-kata dan perbuatan aku. Dia lebih banyak bersabar. Aku sedang belajar untuk memperbaiki diri sendiri. Jadi mungkin sebab itu juga aku kurang menulis. Tumpuan aku terarah ke sudut lain.

Aku juga dapati pendapat ringkas aku wajar aku luahkan di kala aku terfikir mengenainya. Maka Twitter dan Facebook menjadi ruang untuk aku melakukannya. Kalau dulu aku boleh menulis blog sepanjang satu rangkap hanya untuk menyuarakan rasa. Sekarang, Twitter dan Facebook nampak jauh lebih mudah.

Aku rasa ini sudah kali ke berapa aku bebelkan perkara yang sama. Sekadar hendak menyedapkan rasa. Dulu sewaktu menggunakan frossonice.com, lebih kurang 100 orang pembaca masuk setiap hari. Sekarang, mungkin cuma seorang yang tiba di sini, sesat mencari maklumat lain. Jadi tidak mengapa kalau tidak selalu dikemaskini, bukan?

No comments:

Post a Comment