6.9.11

Rahsia Diari Atok

Ketika beraya di rumah Pak Ndak di Kuala Kangsar, tiba-tiba terbit cerita mengenai arwah Tok Wan. Kalau aku, semua Tok aku dipanggil Tok saja, tidak ada tambahan Wan, Cik atau lain-lain gelaran.

Tok Wan sebelah ayah meninggal dunia kira-kira 20 tahun lalu, ketika aku berusia enam tahun. Tetapi aku masih ingat wajahnya. Aku masih ingat ketika usia tuanya, beliau sering duduk di tepi tangga belakang rumah menghadap ke jalan besar dan melihat kereta lalu lalang. Maklum tahun penghujung 70an - awal 80an, kenderaan di jalan raya masih belum banyak. Jadi sekali sekala bila ada yang lalu, kami melihat penuh minat.

Aku tidak pernah tanya kenapa Tok suka duduk di atas tong kayu sambil memegang tongkatnya. Aku juga sudah lupa apa saja perbualan dan ceritanya ketika itu. Jadi memori mengenainya hanya ada dalam beberapa keping gambar dan kenangan sewaktu aku kecil dahulu.

Tempohari, Pak Ndak memberitahu bahawa beliau ada menyimpan sebuah diari milik Tok. Kami sekeluarga agak terkejut dan sangat teruja apabila Pak Ndak menunjukkan diari tersebut kepada kami. Ayah membelek-belek diari Tok dengan penuh minat. Aku bergegas berdiri di sebelah ayah sambil menunggu masa untuk menelitinya.

Bila dapat saja peluang tersebut, aku belek setiap muka dengan penuh minat. Aku bacakan isi kandungan diari tersebut yang pada fikiran aku sebenarnya sebuah memo peribadi seakan catatan rekod-rekod penting sepanjang Tok.

Salah satu catatan dalam diari yang mencatatkan tarikh dan tempat Moyang aku meninggal dunia sewaktu mengerja Haji. Moyang aku, Abdullah bin Kechil meninggal dunia pada 11.7.1958 di atas kapal Anking di laut Aden, sewaktu dalam perjalanan pulang setelah menunaikan haji.
Melalui diari tersebut jugalah kami sekeluarga akhirnya dapat mengetahui tarikh sebenar kelahiran Ayah. Selama ini hari lahir Ayah disambut pada setiap 2 September. Tarikh sebenar kelahiran Ayah adalah 27 Ogos 1946.

Ada banyak isi kandungan diari yang menarik untuk dibaca. Walaupun ianya merupakan catatan-catatan ringkas, tetapi ia mengandungi fakta sejarah yang sangat bermanfaat. Diari tersebut menceritakan bahawa sewaktu penjajahan Jepun, Tok yang sebelum itu bekerja sebagai ahli bomba, meneruskan kerjaya tersebut seperti biasa. Malah setelah Jepun menyerah, jawatan ahli bomba Tok tetap diteruskan oleh pihak British.

Tok Ismail duduk di kiri. Gambar sekitar tahun 50an.
Diari itu juga menceritakan bagaimana Tok pada sekitar tahun 1935 - 1936 berulang alik ke Kuala Lumpur kerana Tok Perempuan menetap di sana. Tetapi diari tersebut tidak menceritakan kenapa. Bila aku bertanya, barulah Ayah dan Pak Ndak menceritakan bahawa ketika itu, ayah Tok Perempuan bekerja sebagai pemandu kepada seorang pegawai British di Kuala Lumpur.

Tok Ismail duduk bersama ayah. Aku duga gambar ini dirakam pada tahun 1980-1981 kerana adik no-3 (Suhana) aku yang kelihatan dalam gambar sudah boleh duduk (Suhana lahir pada tahun 1979).
Sungguh menarik cerita hidup manusia. Aku teruja dengan kewujudan diari tersebut. InshaAllah jika aku pulang ke Kuala Kangsar nanti, aku mahu merekod secara digital setiap isi kandungan diari yang sudah lusuh itu. Aku tidak mahu ianya lusuh ditelan zaman.

Keluarga sebelah emak juga tidak kurang menarik ceritanya. Bila aku balik dari Kuala Kedah dan singgah di Kuala Kangsar, aku dihulurkan oleh adik sebuah buku. Ianya merupakan salinan salasilah keluarga sebelah emak dari generasi pertama hingga ke generasi ke-7. Aku merupakan generasi ke-7 keturunan Tok Saad, orang yang membuka Gerik, Perak pada sekitar 1870.

Tok Saad berasal dari wilayah Pattani, Selatan Thailand sekarang. Itu cerita lain. Mereka ada Facebook mereka sendiri. Baguslah. Agak sukar untuk mengumpulkan salasilah keluarga sebelah Ayah kerana faktor geografi (mereka berpindah randah) dan usia keluarga yang aku duga lebih tua berbanding keturunan Tok Saad. Malah, aku pernah dengar satu cerita bahawa keturunan Ayah berasal dari Parsi kerana nenek moyang mereka dahulu adalah penjual kuda di Pulau Pinang. Salah seorang ahli keluarga mereka mendakwa bahawa penjual kuda di Pulau Pinang ketika itu adalah orang yang berasal dari Parsi (Iran sekarang), bukan dari Gujerat atau Selatan India.

Entah kenapa aku suka sejarah. Dulu waktu SPM, aku tidak ambil pun subjek sejarah. Sekarang baru aku nampak indahnya sejarah...

2 comments:

Ain said...

Oh, terdetik rasa cemburu dengan penemuan diari itu... :)

Kebanyakkan orang dulu-dulu yang boleh menulis dan membaca sebenarnya gemar mencatatkan berbagai info. Kalau rajin, cuba tengok di belakang gambar2 lama.. atau dinding dan lantai kayu rumah tua.. mungkin ada sesuatu dicatatkan di situ.

Sedihnya kalau benda2 ini jatuh ke tangan manusia yang tak tahu menghargai. Bagi kita, diari itu sebuah khazanah bermakna, yang lain mungkin memandangnya sebagai sebuah buku usang yang lapuk.

Perkara ni berlaku dalam famili saya :(

Anonymous said...

Saya pun dari susur galut tok saad grik...sy dari sebelah tok zainab....

Post a Comment