24.2.13

38 Tahun, 2 Hari

Kelmarin hari lahir aku yang ke-38. Kalau ikut tradisi tahun-tahun sebelumnya, pasti aku akan menulis di sini sehari dua sebelum atau pada hari tersebut. Ikut tradisinya juga, pada hari lahir aku, aku akan ke mana-mana restoran makanan segera, makan sambil membaca buku atau majalah atau novel. Biasanya restoran tersebut mestilah jauh dari tempat kebiasaan aku pergi. Aku pernah sambut hari lahir aku di KFC Sungai Pelek. Ya, sejauh itu.

Rasanya semua itu akan hanya tinggal kenangan.

Hari lahir aku kelmarin disambut bersama dua insan; Zura isteriku dan Qaseh, anakku.Ianya suatu pengalaman yang tidak dapat dicairkan dengan tulisan di sini. Kami tidak pergi ke restoran mewah atau membeli sebuah kek besar untuk diletak lilin di atasnya.


 Kami cuma ke Restoran Strawberry di Petaling Jaya, restoran kegemaran kami. Kami pesan semangkuk tomyam seafood, telur dadar bersama daging ayam dan kailan ikan masin, jus tembikai untuk Zura dan air coklat untuk aku. Aku memesan sepotong kek tiramisu sebagai pelengkap jamuan. Qaseh makan apa yang kami makan. Malah lebih dari itu, Qaseh malam kelmarin penuh keceriaan.

Usai makan, kami ke Dataran Merdeka, melihat ramai orang di sana, kanak-kanak bersama keluarga mereka. Seketika kami di sana melihat telatah manusia, kami pulang untuk berehat.

Sabtu pagi kami bertiga ke Kuching untuk selama tiga hari, dua malam.

Ya, tiada lagi makanan segera sebagai penyeri hari lahir. Dua tahun lalu aku berseorangan manyambut hari lahir ke 36. Tahun lalu aku berdua menyambut hari lahir, bersama Zura dan menanti waktu kelahiran Qaseh. Tahun ini kami bertiga. Syukur dengan nikmat dan rezeki yang Allah limpahkan sepanjang masa.

InshaAllah tahun hadapan pada waktu yang sama, aku dan Zura akan dapat mendengar celoteh Qaseh pula.

Terima kasih Allah atas 38 tahun ini. Semoga dipermudahkan segala urusan hidup dan dijauhi dari bencana serta kesusahan. Amin.

19.2.13

Telefon

Aku membelek-belek telefon di tangan. Samsung Galaxy SIII yang baru beberapa bulan dibeli. Sebelum ini aku menggunakan Samsung Galaxy SII yang sekarang sudah menjadi milik Zura. Padahal Zura memang sudah ada telefon pintar, Sony Xperia Neo. Malangnya, Xperia hanya boleh buat panggilan video melalui software internet. Zura sering buat panggilan video dengan ibu dan adik beradiknya. Jadi tanpa fungsi panggilan video secara langsung macam yang ada di Samsung Galaxy SII/III, memang susah kerana tidak semua orang suka guna Skype.

Aku sudah lupa SIII ini telefon yang ke berapa. Biar aku senaraikan telefon bimbit yang pernah aku guna sekadar yang aku ingat;


  1. Samsung Galaxy SIII
  2. Samsung Galaxy SII
  3. Nokia E66
  4. Samsung L700
  5. Motorola SLVR L7
  6. Nokia 3310
  7. Nokia 3250
  8. Nokia 1100
  9. Alcatel One Touch Pocket
  10. Motorola C350
  11. Motorola CD928
  12. SonyEricsson K700i
  13. Blackberry 8250
Itu yang aku ingat. Mungkin ada lagi. Banyak juga rupa-rupanya. Nokia E66 masih ada di rumah tetapi sudah rosak akibat termasuk air. Mungkin boleh dibaiki. Zura sangat sukakan Nokia E66 ini. Blackberry 8250 juga masih ada di rumah. Semenjak aku beralih ke SII, Blackberry aku cuma simpan. Mana tahu dalam keadaan terdesak aku boleh guna balik.


Poin aku sebenarnya begini. Aku guna SIII sekarang. Selepas aku belek-belek software yang ada di dalam telefon ini, aku sedari bahawa aku cuma guna 25% saja software tersebut. Selebihnya terbiar. Masa aku dengan telefon juga lebih tertumpu kepada internet. Sekali sekala aku akan buat panggilan. Tapi itulah, aku sanggup belanja seribu ringgit lebih untuk sebuah telefon hanya untuk melayari internet?

Aku juga fikir bahawa pakej pembekal talian telefon juga sebenarnya tidak menarik. Sudahlah mahal, servisnya langsung tidak memuaskan. Tadi sewaktu aku belek-belek page dalam internet, aku terbaca artikel mengenai telefon lama yang masih dijual. Ada Nokia 3310, ada Nokia 8250 (butterfly), ada Nokia daun... Life was far more simpler back then. Sekarang kalau tiada telefon pintar, memang tidak senang duduk.

Tapi bila tiba bil, lagi tidak senang duduk!

13.2.13

Untuk Sepuluh Tahun Lagi Dan Seterusnya

Aku sebenarnya bukan tiada masa untuk menulis di sini. Banyak masa dan banyak perkara yang boleh ditulis. Kehendak itu saja tiada. Suatu masa dulu aku menulis kerana jiwa ini kosong. Hidup ini juga kosong.

Ketika itu.

Sekarang hidup ini dipenuhi dengan insan tersayang; Zura dan Qaseh. Kalau boleh setiap detik bersama mereka hendak aku lakarkan di sini. Tetapi cuma setakat itu; hanya hasrat. Bila tiba masa hendak menulis, aku tidak melakukannya.

Aku fikir apa yang aku tulis sekarang adalah sebagai legasi untuk Qaseh dan mungkin adik-adiknya nanti. Atau mungkin hingga ke cucu cicit mereka. Seperti sebuah kapsul masa. Sama seperti ketika aku membaca nota-nota tulisan arwah Tok Ismail.

Aku cemburu dengan mereka yang menulis diari. Mereka yang tekun dan berdedikasi mencatat perjalanan hidup mereka sehari-hari. Orang seperti aku tidak mungkin akan menerbitkan sebuah buku biografi peribadi yang menjadi bacaan ramai orang. Namun begitu sekurang-kurangnya anak cucu aku nanti mungkin dapat menikmati saat hidup aku ini di zaman yang begitu asing bagi mereka.

Beberapa hari dari sekarang aku akan menyambut hari kelahiran aku yang ke-38. InshaAllah. Sudah lebih 10 tahun aku menulis di sini dengan lebih 1000 post. Moga aku dapat melakukannya untuk 10 tahun lagi dan lebih. Moga dipermudahkan jalan olehNya.