Aku sebenarnya bukan tiada masa untuk menulis di sini. Banyak masa dan banyak perkara yang boleh ditulis. Kehendak itu saja tiada. Suatu masa dulu aku menulis kerana jiwa ini kosong. Hidup ini juga kosong.
Ketika itu.
Sekarang hidup ini dipenuhi dengan insan tersayang; Zura dan Qaseh. Kalau boleh setiap detik bersama mereka hendak aku lakarkan di sini. Tetapi cuma setakat itu; hanya hasrat. Bila tiba masa hendak menulis, aku tidak melakukannya.
Aku fikir apa yang aku tulis sekarang adalah sebagai legasi untuk Qaseh dan mungkin adik-adiknya nanti. Atau mungkin hingga ke cucu cicit mereka. Seperti sebuah kapsul masa. Sama seperti ketika aku membaca nota-nota tulisan arwah Tok Ismail.
Aku cemburu dengan mereka yang menulis diari. Mereka yang tekun dan berdedikasi mencatat perjalanan hidup mereka sehari-hari. Orang seperti aku tidak mungkin akan menerbitkan sebuah buku biografi peribadi yang menjadi bacaan ramai orang. Namun begitu sekurang-kurangnya anak cucu aku nanti mungkin dapat menikmati saat hidup aku ini di zaman yang begitu asing bagi mereka.
Beberapa hari dari sekarang aku akan menyambut hari kelahiran aku yang ke-38. InshaAllah. Sudah lebih 10 tahun aku menulis di sini dengan lebih 1000 post. Moga aku dapat melakukannya untuk 10 tahun lagi dan lebih. Moga dipermudahkan jalan olehNya.
No comments:
Post a Comment