30.4.13

Desakan Kerja

Entah kenapa aku terlalu sibuk. Hingga di saat lewat malam begini aku masih menyiapkan kerja-kerja pejabat. Ramai yang tidak faham bagaimana kerja-kerja grafik dan reka letak dilakukan. Selalunya mereka sangka kerja ini sangat mudah dan boleh disiapkan dengan cepat.

Yeah, right.

Kerja sebegini sungguh memenatkan. Otak perlu diperah sentiasa untuk mencari hasil kerja yang terbaik. Tambah menyusahkan apabila orang di atas sana sentiasa mahukan sesuatu dalam tergesa-gesa. Sentiasa mahu yang bagus dan itu memerlukan masa.

Masa aku di rumah setelah pulang dari kerja adalah bersama keluarga. Bermain dan melayan karenah Qaseh sehinggalah dia tertidur. Selepas itu aku ada sejam dua di lewat malam untuk membuat kerja sedaya mampu. Begitu rutin kini.

Pulangan dari kerja ini langsung tidak seberapa. Kadang-kadang tidak berbaloi dengan hasil kerja yang aku persembahkan. Kadang-kadang puas juga aku menolak permintaan dan arahan orang di atas untuk hasilkan beberapa bahan. Aku kepenatan secara mental.

Mungkin ada cara lain yang lebih menguntungkan untuk menyara keluarga kecil aku ini. Kerja sekarang tidak mampu menjanjikannya.

9.4.13

Seluar Ketat, Rock Kapak & Walkman Merah

Lama tidak menulis. Biar aku letak lagu dulu. Entah kenapa sekarang terkenang-kenang zaman rock kapak suatu ketika dahulu. Ya, zaman yang pernah aku lalui sendiri. Seluar sekolah sendat si Zack tolong jahitkan kakinya supaya makin sendat dengan upah Lima Ringgit.



Penghujung 80an dan awal 90an adalah puncak kegemilangan rock kapak di Malaysia. Apabila menonton filem Rock Oo tempohari, aku tersenyum sendirian.

Aku pernah lalui zaman itu.

Kerana aku belajar di sekolah berasrama penuh, maka banyak peraturan yang terpaksa dipatuhi. Tetapi atas sebab apa yang aku sendiri tidak pasti, seluar ketat jarang dihukum. Sekurang-kurangnya sepanjang aku pakai seluar ketat, aku tidak pernah kena tindakan oleh cikgu. Naik tingkatan lima, seluar aku sudah kembali ke saiz biasa (lilitan 18 inci seingat aku). Mungkin kerana ketika itu zaman grunge sudah tiba. Rambut kalau tidak boleh panjang di belakang, kami panjangkan di bahagian depan dan disisir rapi ke belakang. Kalau dibiarkan terjurai, rambut akan menutupi seluruh muka seperti hantu jerangkung. Aku pun buat. Mestilah. Rock!

Tetapi zaman rock langsung tidak pernah mampu dilupakan. Sanggup pinjam walkman Kodek (nama glamer Khaidir) yang berwarna merah untuk dibawa bersama ketika trip kelas ke Batu Ferringhi. Apabila Search menghasilkan fenomena, kami duduk berkumpul di bilik kawan-kawan yang ada pemain kaset untuk mendengar lagu dari kaset satu per satu.

Masa-masa lalu yang penuh dengan kenangan. Rock tetap rock!

1.4.13

Selamat Hari Lahir Yang Pertama, Qaseh Nurzahra

1 April 2013, Qaseh Nurzahra berusia satu tahun.

Terasa begitu pantas masa berlalu. Masih aku teringat ketika pertama kali aku menyambut kehadiran Qaseh, lebih kurang jam 3.30 pagi di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Ianya suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Segalanya ada.

Setahun berlalu dan Qaseh semakin membesar menjadi seorang manusia yang sungguh bijak dan penuh telatah dan karenah yang menghiburkan. Sepanjang tempoh setahun itu juga aku dan Zura pernah lalui saat-saat getir dan meresahkan ketika Qaseh tidak sihat, atau ketika melayan kehendak Qaseh yang masih belum mahu tidur di lewat malam walaupun kami sudah terlalu mengantuk dan keletihan.


Qaseh adalah anak papa ketika bermain dan gembira dan anak mama ketika sakit dan mahu tidur. Kecil-kecil sudah pandai membahagi masa untuk papa dan mamanya. Tidak salah kami memilih nama Qaseh (atau Kasih) kerana itulah yang kami rasakan setiap masa ketika bersama Qaseh Nurzahra.

Aku tidak mahu menjanjikan apa-apa yang besar atau hebat. Cukup sekadar aku berusaha untuk memberikan yang terbaik buat Qaseh sepanjang masa agar dia dapat membesar dan menjadi manusia yang berguna.

Aku tidak mampu nak janjikan kemewahan harta benda. Aku cuma boleh berikan kemewahan kasih sayang kepadanya.

Selamat Hari Lahir Anakku, Qaseh Nurzahra.