18.6.13

Mengenai 5S

Semalam selesai audit 5S di pejabat. Sudah lima tahun pejabat ini terlibat dengan 5S, jadi ini adalah perkara biasa bagi kami di pejabat. Aku sendiri kenal mengenai 5S lebih lama dari itu kerana suatu ketika dulu aku pernah ditugaskan untuk membukukan slaid 5S.

Tetapi aku tidak pernah suka 5S.

5S itu sendiri adalah bagus. Sebuah konsep yang baik untuk diamalkan di pejabat bagi memastikan efisiensi kerja. Tetapi apabila diberikan kepada kakitangan kerajaan, ianya bertukar menjadi ritual mencantik dan menghias pejabat. Perkara lain cuma 30%. Ianya dalam banyak segi menyekat kebebasan berkreatif. Kreatif tetap atas tetapi dalam keadaan terkawal. Satu design/corak mengisi ruang yang luas sedangkan ruang itu sebenarnya boleh dimuatkan dengan pelbagai corak yang lebih menarik.

Sebab itu aku sedaya upaya tidak mahu terlibat dengan serius hal-hal 5S dan aku jelaskan secara literal kepada bos aku mengenai pendirian aku itu. Cuma untuk semalam, aku membantu sedikit mengikut kehendak mereka. Cukup sekadar ada dan mereka boleh melihatnya.

Kalau diberi pilihan, aku mahu biarkan pejabat aku seperti di Googleplex atau Pixar. Ianya lebih personal. Malah aku lihat pejabat-pejabat Jepun pun tidak 'semeriah' pejabat aku. Ianya sekadar bersih, tersusun dan kemas. Asas utama 5S. Hiasan hanya side-show. Tetapi di pejabat ini, hiasan adalah perkara utama. Kebersihan dan kekemasan adalah side-show.

Entah berapa lama program 5S ini akan diterap di pejabat-pejabat kerajaan. Sampai masa nanti ianya akan pudar juga. Jangan biarkan aku bercakap mengenai kos 5S pula. Kebanyakkan adalah palsu dan plastik.

Agak sukar hendak menukar persepsi orang lain mengenai konsep sebenar 5S. Kalau di pejabat ini, ianya berpunca dari sinambungan terhadap pertandingan keceriaan perjabat yang pernah diadakan sebelum 5S dipraktik di sini. Keceriaan pejabat mampu membuat ruang pejabat menjadi sangat cantik dan selesa tetapi dalam masa yang sama juga, kalau salah buat, boleh jadi macam tadika.

Entahlah. Lima tahun lebih aku alami 5S. Ianya masih tidak mengubah persepsi aku mengenainya.

Lagi lima tahun pun belum tentu.

No comments:

Post a Comment