11.12.06
No. 12, Jalan Sultan Idris, Gerik, Perak
Inilah dia rumah aku yang pertama, seingat aku la. Rumah kerajaan yang ayah dapat setelah berkahwin dengan emak pada tahun 1974. Aku dilahirkan pada tahun 1975 di hospital. Tapi adik aku yang kedua lahir di dalam rumah ini pada tahun 1976. Kawasan rumah ini memang penuh ketenangan, sehingga sekarang. Kali terakhir aku pulang ke Gerik, aku merayau-rayau ke kawasan ini untuk memerhatikan perubahan sekelilignya. Tidak banyak yang ketara. Rumah asal masih ada. cuma ada tambahan beberapa buah bangunan lain. Tapi seingat aku, pokok yang sebelah kiri gambar memang tak ada sebelum ni. Masa aku kecil dulu ada sebuah pokok jambu batu betul-betul ditepi kiri rumah. Di situ aku mencari buah jambu bila tiba musimnya. Disebelah kanan pula ada sebuah pokok yang agak besar. Mungkin sebab itu aku tidak berapa ingat apa yang ada disebelah kanan rumah kerana mungkin aku takut dengan pokok tersebut.
Rumah kerajaan era lama ni memang besar. Ada satu bilik tidur utama sebelah kanan rumah dihadapan kereta tu. Disebelah kirinya ada sebuah bilik kecil yang merupakan bilik permainan aku suatu masa dulu. Dinding dalam bilik ini cuma ada pagar besi. Jadi kita boleh nampak apa yang berlaku dalam bilik tersebut biarpun pintu tertutup rapat. Pernah jadi cerita sedang aku bermain-main dalam bilik ni (sebab ada kotak besar penuh dengan permainan), pintu bilik tersebut terkunci. Aku tahu macamana, mungkin aku kuncikan sendiri. Tapi emak tak boleh nak bukanya dari luar menyebabkan aku terperangkap di dalam bilik tu sampai tengahari. Bila ayah balik, baru boleh dia buka pintu bilik. Tapi aku masih ingat emak berikan aku air oren dan biskut melalui ruang pagar besi bilik tu.
Sebelah kiri rumah adalah ruang tamu yang agak besar. Set sofa rotan dihadapan sekali. Peti TV mengadap kepintu utama. TV hitam putih dengan pintu yang boleh ditarik. Kalau hujung minggu, orang kampung berhampiran akan datang kerumah aku untuk menonton filem-filem melayu lama dan kalau tak silap mereka juga datang untuk menonton Drama Minggu Ini. Ramai, mungkin hampir 20-30 orang. Yang paling best, aku dapat duduk di sofa, tuan rumahlah kononnya.
Ruang tengah sebelah kiri rumah pula ialah ruang makan. Ada meja makan besar disitu dengan 6 buah kerusi tipikal set meja makan tahun 80an. Di situlah selalunya ayah buat kerja (aku tak tahu apa yang dia buat). Ada sebuah rak almari yang dibina sendiri oleh ayah disebelah meja makan. Rak almari tersebut kali terakhir aku lihat, beberapa tahun yang lalu. Adik aku yang nombor lima pernah terhantuk kepalanya ke pintu cermin rak almari tu hingga pecah cerminnya. Nasib tidak ada apa yang berlaku di kepala budak sorang tu. Menjerit aku marahkan dia sebab memang betul salah dia.
Ruang tengah sebelah kanan pula adalah ruang terbuka yang berdinding tinggi dengan pintu besar untuk parking kereta. Disitu juga terdapatnya bilik mandi dan bilik air yang berasingan. Jarang aku mandi situ, budak kecik, penakut. Jadi aku mandi dibawah garaj tempat letak kereta di ruang terbuka itu juga. Aku ada gambar aku mandi disitu. Hehe. Emak dan ayah pernah bela ayam di ruang terbuka ni, dalam reban sebelah bilik mandi.
Ruang belakang rumah pula adalah dapur. Dapur yang cukup luas. Setiap kali aku dengar lagu Tiga Kupang, aku pasti akan teringatkan dapur dan juga kuali yang tergantung di dinding dapur. Masa tu emak masih guna dapur minyak tanah untuk memasak. Kalau mungkin korang masih ingat, dapur ada tangki kaca yang berisi minyak tanah dibawahnya dengan tapak zink berwarna biru. Masa tu masih ada kukur kelapa yang sering aku jadikan alat permainan, jadi motosikal. Ada almari/gobok lauk kayu yang berdinding depan jaring plastik. Emak akan simpan makanan yang baru dimasak atau yang tak habis didalamnya. Ada peti air jenama National satu pintu. Ada Tudung saji asli yang dibuat dari lapisan plywood dan kain batik.
Aku ketika itu masih makan nasi guna pinggan ayan. Cawan tin pun aku guna juga. Pinggan kaca pyrex masa itu terlalu mahal untuk budak sekecil aku.
Jiran sebelah kiri rumah adalah keluarga cina yang betul rapat dengan kami. Pernah suatu senja aku yang masih kecil dan sedang makan nasi, merayau kearah rumah jiran cina tu kerana mencari ayah. Kerana tidak nampak jalan dan mungkin asyik dengan makanan dalam pinggan, aku duduk ditengah padang antara dua rumah tersebut. Puas ayah dan emak cari, akhirnya keluarga cina tu yang nampak aku sedang duduk makan ditengah padang dalam senja yang semakin gelap.
Di sebabkan rumah ini terletak bersebelahan dengan pejabat ayah, dia cuma menggunakan basikal untuk berulang-alik kepejabat. Kiranya pada waktu itu, ada basikal sudah cukup okay. Keluar dari rumah, belok kekiri. Lebih kurang 30 meter, belok kekiri lagi dan berkayuh menaiki curam landai tepi padang bola. Lebih kurang 50 meter, tiba disimpang empat, belok kekanan dan terus kayuh lebih kurang 30 meter, sampai pejabat. Dekat. Tak panas sebab ada pokok angsana yang besar di tepi jalan memayungi dari terik matahari.
Sungai pun dekat, cuma lebih kurang 100 meter dari rumah, keluar rumah terus melintas jalan dan terus kehadapan hingga tiba ke jambatan gantung (waktu itu). Sungai Kenderong. Di tepinya sekarang ada rumah Dato' Seri Tajol Rosli, Menteri Besar Perak sekarang. Tapi kawasan tersebut selalu mengalami banjir.
Keluarga aku menetap di rumah ini dari tahun 1974 hingga 1981. Kemudian kami berpindah ke penempatan rumah murah yang ayah beli. Tapi kenangan di rumah lama ini masih jelas dalam ingatan.
No comments:
Post a Comment