5.1.07

Aku, Berubah.

Aku tidak pasti kenapa, tetapi tahun ini aku mulakan langkah dengan begitu lemah dan tidak bermaya. Hanya satu yang baru bermula (mungkin kerana ianya masih panas) sahaja yang aku rasa berbaloi untuk aku tumpukan buat masa ini. Selain daripada itu aku rasakan sudah lama beku. Mungkin mereka tidak lagi selesa dengan karenah aku yang aku tahu sering menyusahkan.

Aku merasakan mereka semakin jauh. Malah lebih jauh dari yang aku jangkan. Mereka yang begitu hampir dengan aku suatu masa dulu pun aku rasakan begitu jauh. Mungkin, masa telah mengubah segalanya. Susahnya bila aku sentiasa memikirkan yang aku tidak pernah berubah. Sentiasa disini. Jadi apabila berlaku perubahan, aku begitu dapat merasakannya.

Kadang-kadang aku keliru. Sejauh mana lagi perlu aku lakukan untuk mereka nampak watak aku yang sebenarnya? Adakah begitu susah untuk mengenali aku? Mungkin mereka tidak mahu berusaha untuk mengenali atau mungkin aku tidak betul-betul jelas dengan mereka. Apa jua keadaannya, aku tidak faham kemana arah mereka dan kenapa arah itu menuju jauh daripada aku.

Maka, aku telah ucapkan terima kasih kepada beberapa orang daripada mereka. Satu, ianya sebagai sebuah penghargaan atas segala kebaikan mereka terhadap diri aku. Kedua, sebagai ucapan selamat tinggal. Selamat tinggal kerana aku rasa aku tidak diperlukan lagi oleh mereka. Biarlah. Mereka semuanya sudah mampu berdiri dan berlari. Lebih lama mereka berlari, lebih jauh mereka dari aku yang masih terpaku disini. Kenapa perlu aku halang mereka? Itu hak mereka untuk lakukan apa saja dalam hidup mereka dan yang pasti, mereka senang dengan apa yang mereka lakukan.

Aku ucapkan terima kasih kerana aku letih. Letih untuk mengejar mereka sedang aku tidak bergerak walau seinci dari tempat asal aku berdiri. Mungkin aku akur dengan kata-kata,

"Kalau engkau cintakan seseorang, lepaskan dia. Kalau dia cintakan kita, dia akan kembali"

Rasanya aku amat-amat menghargai mereka dan yang mereka telah lakukan. Maka, aku rasa wajar sekali aku lepaskan mereka dari 'belenggu'. Pergilah tanpa perlu fikir apa-apa tentang aku. Kalau mereka hargai aku, mereka akan kembali. Aku tidak mengharapkan apa-apa. Aku cuma mahu lihat mereka bahagia. Itu saja.

Kerana selepas dari ini, aku mahu berjalan seorang. Aku dah letih berhenti temankan seseorang dan akhirnya mereka tinggalkan aku. Aku mahu berjalan dan tidak mahu fikirkan tentang sesiapa. Banyak perkara yang mahu aku lakukan. Banyak yang tertangguh dalam hidup yang mencecah 32 tahun ini. Aku tidak mahu membezakan diri aku dengan orang lain. Rezeki masing-masing.

Kemana aku mahu pergi? Aku tidak akan kemana-mana. Aku cuma tidak mahu memperdulikan apa-apa lagi mengenai mereka. Kerana ianya begitu menyukarkan bagi aku. Sering kali aku tersinggung. Mungkin aku menjengkelkan, tetapi hakikatnya aku tidak pernah mengabaikan. Aku sentiasa ingat walau ada kalanya mengambil masa begitu lama untuk aku ingat kembali. Tetapi sekurang-kurangnya aku ingat. Aku tidak terus untuk abaikan begitu saja. Maka, tidak perlu aku kemana-mana.

Entah, harini ini begitu sayu. Biar ada yang menceriakan, tetapi dia begitu asing dengan hidup aku. Seingat aku, kalau tidak aku mulakan, mereka tidak akan mulakan. Kalau tidak aku katakan sesuatu, mereka tidak akan kata apa-apa. Kalau aku tidak menyampaikan salam, mereka tidak akan tegur aku. Kalau aku tidak memandang, mereka langsung tidak menoleh.

Jadi biarlah. Cukup buat masa ini tentang semua itu. Kecewa? Tidak. Aku cuma ucapkan terima kasih (selamat tinggal). Aku tidak pergi jauh, aku masih disini. Aku tidak menunggu mereka, aku cuma mendoakan sesuatu...

Semoga damai hati kalian dan hidup dalam penuh kegembiraan dan kebahagiaan... tanpa aku.

2 comments:

Max said...

minta izin copy yer. mcm kena ja dgn diri ni.

Ahmad Sharidan said...

Silakan.

Post a Comment