19.8.07

Rumah - Pejabat - Rumah - Pejabat - Rumah - Wayang?



Hari ini hari Ahad. Aku masih bekerja di pejabat. Semalam pun kerja. Esok hingga penghujung minggu depan pun akan masih bekerja. Isnin kemudiannya aku akan terus sambung bekerja. Entah sampai bila tapi selagi belum ada yang mampu buat kerja yang aku buat, aku tak fikir aku boleh rehat dihujung minggu.

Apabila tiba dirumah, badan sudah letih. Minum la berapa tin Ali Cafe Tongkat Ali, Livita atau Red Bull, badan akan tetap letih. Ia sudah banyak kali protes. Semalam kaki aku protes habis-habisan. Hingga hari ini masih terasa sakit di tumit kaki akibat berjalan di MidValley tanpa arah tujuan.

Hidup sudah jadi monotone. Makan pun benda yang sama setiap hari. Balik rumah, tidur. Mungkin disebabkan aku telah pinjamkan PC aku kepada seseorang, maka malam aku tidur lebih awal. Kalau tidak mungkin aku akan terus berjaga hingga lewat malam. Aku habiskan masa sebelum tidur dengan games SimCity atau membaca. Itu yang lebih kurang aku lakukan. Sekarang ini lebih banyak membaca. Maka timbunan National Geographic sentiasa ada disebelah tilam. Kadang-kadang aku beli sendiri, yang secondhand. Murah dan masih banyak yang aku belum baca terutama sebelum tahun 2000. Selebihnya aku bawa pulang dari library pejabat. Tidak ada sesiapa selain dari aku yang membaca National Geographic di library tu. Aku boleh ambil edisi yang terbaru dan perap di meja kerja sehingga sebulan dan tiada sesiapa yang akan bertanyakan mengenainya. Mereka lebih selesa membaca majalah Kereta, URTV dan yang berkaitan dengannya.

Entah kenapa aku suka baca National Geographic. Mungkin kerana gambarnya yang menarik. Mungkin artikelnya yang menarik. Tapi pastinya gaya ianya diceritakan. Tidak seperti rencana tetapi lebih kepada suatu perjalanan. Penulis seperti membawa kita bersama dalam pengembaraan mereka. Aku jarang baca novel. Terlalu jarang. Satunya kerana novel mahal dan aku tidak cukup kaya untuk beli. Keduanya novel cuma ada satu cerita... National Geographic ada banyakkkk cerita.

Oh, aku baca majalah. Popular Mechanics, Popular Science, Newsweek, Time, Tempur, Perajurit, Max-It, Top Gear dan beberapa majalah lain. Tapi entah kenapa, aku tidak suka pada URTV, Mangga dan yang serupa dengannya. Tidak menarik untuk membaca perihal artis yang 99% darinya aku tidak kenal.

Tapi aku bukan buta seni. Aku suka muzik, filem dan seni. Cuma aku tidak suka rencah seni ala Malaysia. Tidak sedap. Terlalu masin, terlalu manis dan terlalu tawar. Aku suka lagu yang menyanyikan lirik-lirik yang indah, dan tak ada mengenai tapak sulaiman! Aku suka filem. Malah sejak aku kecil aku dah jadi kaki wayang. Aku sanggup beli tiket RM2.50 untuk menonton wayang cina yang aku langsung tak faham jalan ceritanya. Atau mungkin masa tu aku nak skodeng orang buat projek dalam panggung wayang? Hahaha. Mungkin. Sekarang aku akan pastikan yang aku menonton filem baru yang ditayangkan di pawagam. Cuma aku agak keberatan nak menonton filem melayu. Setakat tahun ini aku cuma menonton Mukhsin, Zombie Kampung Pisang dan Jangan Pandang Belakang saja. Yang lain, tak payah la. Aku nak menonton cerita tikus dah beberapa hari ni. Aku dah book untuk menonton Khamis lepas tetapi terpaksa batalkan. Aku fikir-fikir, mahu saja aku menontonnya petang ni... dan seterusnya...

Menyebabkan aku berfikir kembali mengenai keadaan diri aku. Amat-amat letih dan perlukan rehat yang banyak. Bangun pagi tadi seperti aku tidak mahu bangun. Sudah lama tak tidur sepanjang hari. Sudah lama tak tidur siang. Sudah lama tidak berehat dihujung minggu di rumah. Maka mungkin aku batalkan saja niat aku untuk menonton wayang harini. Ada baiknya aku berehat saja.

Esok-esok pun ada lagi.

No comments:

Post a Comment