9.9.07

Mencari Delilah Dalam Hidup Ini

Menulis sambil dengar 'Hey There Delilah'. Cuma suasana sekeliling agak tidak menyenangkan. Kalau tidak, perfect. Masalahnya aku tidak punya apa-apa yang hendak ditulis. Tidak tahu apa-apa yang hendak diceritakan dan tidak pasti untuk apa aku ceritakan semua ini.

Dalam mata ini aku sedang terbayangkan sebuah kilang di Rembau semasa aku praktikal tahun 1996 dahulu bersama arwah Kak Nor. Kami pernah berjalan hampir dua kilometer untuk sampai ke jalan besar. Along the way, kami berbual-bual tentang kehidupan. Aku lihat seseorang yang sungguh-sungguh fikirkan mengenai orang lain jauh lebih penting dari dirinya sendiri. Dia sekarang sudah hampir 10 tahun meninggal dunia sedang aku masih kalut melalui hari-hari yang penuh dengan kehidupan yang aku tidak dapat duga.

Dalam mata ini aku sedang terbayangkan duduk ditepi pantai berbatu-batu di Tanjung Gila bersama-sama Mazura (waktu kerja) sambil berbual-bualkan tentang kehidupan. Aku melihat seseorang yang hilang semangatnya untuk bekerja lagi ditempat aku kerja sekarang. Sedang aku memikirkan apa yang aku akan lakukan esok hari. Dia sekarang sudah menjadi seorang guru, kerjaya idamannya sedang aku masih disini bekerja sudah hampir 6 tahun ditempat kerja yang dulunya aku tidak pernah terfikir untuk berada disitu.

Dalam mata ini aku sedang terbayangkan hidup aku sewaktu lampau sedang aku tidak mengerti hala tuju hidup aku dimasa depan. Aku yang sedang berkayuh laju menuruni lereng-lereng bukit yang penuh selekoh tajam tanpa risau dan gerun dengan sebuah basikal lumba dalam satu perlumbaan basikal. Aku yang sedang bergambar diatas sebuah basikal lumba yang gambar itu dirakamkan oleh seorang pelancong asing begitu kagum dengan keindahan alam disini. Aku yang sedang berada dalam perut kapal terbang menuju ke Miri untuk bercuti dan bertemu seseorang yang aku tahu akhirnya nanti tidak akan dapat aku bersamanya...

Hidup ini sebenarnya indah. Kita lalui hidup ini dengan leka tentang apa yang kita lakukan tanpa kita sedar apa yang kita lakukan adalah sebuah sejarah untuk diri kita. Untuk kita kenang dan untuk kita hargai. Untungnya aku dapat bayangkan semua itu dimata ini seperti ianya sedang terjadi.

Namun tetap ada dalam hati ini penyesalan tentang apa yang telah berlaku. Kalau boleh aku menulis sebanyak mungkin penyesalan itu, akan aku lakukan. Bukan penyesalan... Cuma sesuatu yang telah aku tinggalkan dan kalau boleh aku mahu ianya terakam dalam suasana yang lebih indah untuk aku kenang dan hargai.

No comments:

Post a Comment