29.2.08

48 Jam Sehari

Sebenarnya aku sedang merancang untuk mengusung kamera SLR digital pejabat untuk merakam suasana pilihanraya. Perlu aku ingatkan, walaupun aku kerja kerajaan, aku nonpartisan. Jadi tidak perlu fikir gambar apa yang aku akan tumpukan. Aku mahu rakamkan sepanduk, poster dan papan iklan parti-parti politik yang aku fikir menarik dan amat-amat membosankan. Kalau terserempak, mungkin aku boleh ambil gambar pemasang poster. Atau ahli-ahli politik sedang berkempen. Itu yang aku mahu lakukan.

Tapi entah bila ada masa untuk aku lakukan semua itu. Banyak masa aku habiskan di pejabat. Selasa depan aku perlu ke Port Dickson untuk menjadi urus setia (sekali lagi, ejaan yang betul) kursus selama 8 hari.

Mungkin aku perlu ada 48 jam sehari...

28.2.08

Fotografi

Nak praktis fotografi. Ilmu sudah berkarat.

27.2.08

frossonice.com Versi-3 Circa 1999 Ditemui!

Entah macamana aku tersesat ke Alexa, sebuah penyedia maklumat internet. Apa yang menarik adalah di dalamnya ada sebuah link ke WayBackMachine, di mana kita boleh lihat arkib kandungan internet sehingga 12 tahun yang lalu. Maka bermacam-macam kata kunci laman web laman lama aku telah aku guna untuk mencari mungkin ada laman web lama aku tersimpan dalam arkib.

Aku temui versi ke-3 dan seingat aku versi ini wujud sekitar tahun 1999. Sudah amat lama, hampir mencecah 10 tahun. Walaupun aku cuma dapat capai 4 laman web asal tersebut, ianya sudah cukup membuat aku tersenyum. Itu semasa aku begitu naif dengan internet. Sayangnya versi ke-2 tidak ada dalam koleksi arkib walau aku jumpa snap-shot laman web tersebut. Cuma ianya tidak dapat dipaparkan. Versi-1 sebenarnya tidak pernah ada.

Lihat SINI untuk versi-3. Korang pasti tersenyum.

Aku fikir aku takkan mungkin dapat temui versi-2. Satunya server asal sudah tidak wujud. Keduanya, sudah terlalu lama, 1998 mungkin. Tetapi tidak banyak bezanya dengan versi-3 baik dari segi rekaan dan konsep.

Selama itu aku sudah bertapat di internet ini...

26.2.08

Bukan Rahsia Aku

Sudah aku duga sebenarnya manusia ramai yang berhasad dengki. Atau mungkin dalam kes aku, memikirkan bahawa mereka lebih mengetahui mengenai hidup aku dari aku sendiri tahu. Akibatnya mereka menceritakan apa saja yang mereka percaya ianya benar walaupun mereka sendiri mendengarnya dari orang lain sebelum ini dan mungkin orang lain itu juga mendengar dari orang lain sebelum itu. Akhirnya mungkin berita yang benar cuma jadi 10% betul dari kenyataan.

Entahlah, aku rasa kecewa. Aku tidak kecewa kalau ianya tidak menyusahkan orang lain. Tetapi aku kecewa kerana ianya telah menyusahkan orang lain dan juga merugikan aku sedikit sebanyak. Aku yang sekarang perlu pergi dan memperbetulkan keadaan.

Letih...

Kisah Baju Batik Baru, Jumper dan Mengenai Seseorang

Semalam aku beli dua helai baju kemeja batik dengan harga RM120. RM60 sehelai. Murah. Kira aku dapat separuh harga kerana harga asal sehelai adalah RM120. Kualitinya bagus dan harganya berpatutan. Jadi sekarang aku sudah ada 3 helai baju batik yang boleh aku guna setiap hari Khamis nanti. Kalau kamu kakitangan kerajaan dan masih tercari-cari baju batik yang menarik, bermutu dan harga yang berpatutan, pergi ke The Mines dan cari di aras bawah berhampiran pasaraya Giant. Ada jualan murah baju kemeja lelaki di situ.

Kemudian aku menonton Jumper. Cerita yang menarik, cuma jalan cerita yang amat longgar dan perjalanan cerita yang tidak membangun sepenuhnya. Pengakhiran cerita agak tergantung, membayangkan ada sambungan sekiranya filem tersebut berjaya dari segi kutipan.

Oh lupa, aku ada seseorang. :-) Aku perlu senyum dahulu. Tidak, masih tidak ada ada apa-apa lagi. Cuma berutusan msg dan berbual di telefon. Aku pernah bertemu dengannya semasa di Cameron Highlands dua minggu lalu. Perjalanannya kini agak menarik tetapi masih begitu samar. Jadi, biarkanlah dulu. Aku tidak mahu terburu-buru mengejar bayang-bayang. Siapa? Nanti kamu akan lihat sekiranya semua jigsaw puzzle yang sedang aku bina siap sempurna. Sehingga tiba waktu itu, cukup sampai setakat ini. (Semua ini agak berkaitan dengan post aku yang sebelum ini)

Betul juga kata orang; kamu akan tersenyum dan hati seperti terbuka luas dan gembira sekiranya kamu dalam keadaan yang sedang aku lalui ini.

25.2.08

Menjerit!

Baru saja aku hendak capai sesuatu dengan cara paling baik, ada pula halangan yang muncul. Yang aku fikir lebih mengetahui mengenai diri aku dari aku sendiri. Ada saja yang mahu memberi pandangan mengenai aku sedang mereka sendiri tidak pernah mengenali aku dan aku sendiri tidak pernah mengenali mereka.

Kenapa begitu?

Hendak aku tiru ayat yang biasa diucapkan dalam wayang-wayang gambar;

"Apa aku pernah buat salah kepadanya suatu masa dahulu? Atau semasa waktu hidup yang lalu?"

Susah juga hendak aku jelaskan kepada seseorang sekiranya mereka berada jauh dari mata dan hanya mendengar bisikan 'jahat' ketelinga mereka dari orang yang aku sendiri tidak kenali. Mahu saja aku berlari kesana dan mengunci bisu mulut sang durjana agar tidak lagi cereka palsu mengenai aku terluah ketelinga-telinga orang yang tidak bersalah.

Jelas, manusia penuh dengan hasad dengki.

Undi Aku Tidak Rahsia

Sebelah kedai makan depan rumah aku yang selalu aku pergi untuk makan malam sudah bertukar menjadi pusat gerakan pilihanraya PAS. Jangan semasa aku sedang makan orang datang untuk berkempen. Aku pasti akan halau. Bukan bermaksud aku tidak suka PAS. Aku cuma tidak suka diganggu ketika sedang makan.

Aku balik mengundi nanti? Aku sepatutnya mengundi di Kuala Kangsar. Nampaknya Rafidah Aziz akan mempertahankan Parlimen Kuala Kangsar untuk kali ke-7. Aku tidak ada apa-apa yang menentang Rafidah. Cuma sepanjang aku hidup di sana, aku tak pernah nampak dia. Malah aku yakin beliau tidak ada sebuah rumah pun di Kuala Kangsar dan tidak pernah terfikir untuk tinggal di sana. Beliau lebih selesa di Kuala Lumpur, mungkin. Begitu juga dengan ADUNnya yang sekarang, aku tidak kenal dan aku tak nampak apa perubahan yang dia telah lakukan di Kuala Kangsar. Selain dari melonggokkan sejumlah peralatan tentera lama (kereta perisai, APV dan jet pejuang) sebagai barang perhiasan memperindahkan Kuala Kangsar yang aku fikir tidak masuk akal kerana di Kuala Kangsar cuma ada sebuah kem tentera yang amat kecil, aku tak nampak apa signifikan yang telah dilakukan oleh ADUN dan ahli Parlimen yang sedia ada.

Walaupun aku tidak suka Samy Vellu (yang amat bongkak) tetapi aku kagum dengan pembangunan yang beliau bawa di Sungai Siput, kawasan Parlimen beliau. Sekarang Sungai Siput jauh lebih maju dan besar dari Kuala Kangsar walaupun ianya berada dalam daerah Kuala Kangsar. Aku faham Kuala Kangsar adalah bandar di Raja, maka pembangunannya mesti lebih tersusun dan kemas sejajar dengan tarafnya.

Aku fikir Kuala Kangsar boleh dijadikan bandar ilmu kerana adanya Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan beberapa sekolah yang penuh bersejarah. Namun setakat itu saja. Semua pembangunan keilmuan sekarang lebih tertumpu di koridor kinta dan selatan Perak. Sedang Kuala Kangsar yang sejak awal dahulu menjadi tempat lahirnya tokoh Malaysia kini sunyi sepi tanpa apa-apa pembangunan yang nyata.

Satu rasa tidak puas hati aku hingga sekarang adalah Padang Polo yang ditukar menjadi padang golf oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Padang polo tersebut suatu ketika dahulu menempatkan beberapa padang bolasepak, padang hoki dan padang ragbi di samping menjadi tempat orang ramai berjogging dan bersenam. Sekarang anak-anak muda lebih selesa ber'jogging' dan ber'senam' di stesen bas. Melepak tak tentu arah. Apa motif menukar sebuah padang besar yang setiap masa di penuhi oleh orang awam untuk bersukan menjadi sebuah padang golf mendatar 9 lubang yang hanya di gunakan oleh golongan elit yang beberapa kerat sahaja? Tukar balik padang golf menjadi padang sukan untuk orang awam, aku pasti banyak masalah sosial dapat di selesaikan. Integrasi kaum pun boleh selesai sebab semasa kecil dahulu aku masih ingat, orang melayu, cina dan india berkongsi padang yang sama untuk bersukan tanpa apa-apa masalah.

Masalah yang ada di Kuala Kangsar sekarang adalah pembangunan superfisial. Pembangunan luaran, mencantikkan kawasan dan menghias seluruh bandar Kuala Kangsar menjadi seolah-olah taman cahaya dan taman poket sana sini. Berapa banyak taman diperlukan untuk sebuah bandar kecil seperti Kuala Kangsar? Kawasan Bazaar lama sebelah bulatan jam besar pun sudah bertukar menjadi taman. Untuk apa? Sedang suatu masa dahulu, situlah tempat untuk orang dari jauh yang pulang beraya pergi untuk membeli pakaian, songkok dan apa saja. Kemudian di kawasan Lembah pula ada sebuah struktur binaan yang amat-amat menghairankan aku. Mula aku fikir ianya sebuah stadium tertutup untuk orang ramai bersukan. Tetapi ianya cuma ada bumbung melengkung tanpa dinding dan lantainya berturap tar. Aku rasanya mereka mahu ianya menjadi sebuah piazza atau 'square' untuk orang ramai bersosial dan acara-acara di jalankan. Cuma bangunannya agak aneh dari segi senibina dan tidak memberi banyak manfaat selain mencacatkan suasana Lembah. Seperti ada sebuah gudang besar tidak berdinding tiba-tiba muncul di situ.

Paling aku kecewa adalah robohnya rumah-rumah besar lama di Bukit Chandan dan Bukit Kerajaan dan diganti dengan rumah batu yang senibinanya memualkan. Sepatutnya sejarah sebegitu dipelihara dan dibanggakan. Itukah pembangunan yang orang Kuala Kangsar mahukan? Aku tidak fikir begitu. Aku tahu orang Kuala Kangsar amat berbangga dengan statusnya sebagai sebuah bandar di Raja. Sepatutnya bangunan yang mahu di bina perlu signifikan, perlu bersifat art-deco yang melambangkan kemegahan institusi beraja di tempat tersebut. Seterusnya ia mampu menarik pelancong kerana kehebatan senibina dan suasana persekitarannya. Bukannya dipenuhi oleh arca-arca aneh seperti labu sayong yang besar, tepak sirih besar, kereta kebal, kereta perisai dan jet pejuang lama. Ianya langsung tidak melambangkan 'di Raja' Kuala Kangsar. Kalau mahu superfisial, cara sekarang tidak betul.

Dari sudut lain, ekonomi di Kuala Kangsar masih tidak berubah. Kali terakhir aku di kawasan perindustrian di Kuala Kangsar, ianya masih sama dengan apa yang aku lihat 10 tahun yang lalu. Tidak ada apa yang berbeza.

Perlukah aku mengundi nanti? Realitinya kebanyakkan orang yang pergi mengundi masih memikirkan parti yang boleh membantu mereka. Jadi mereka tidak peduli siapa yang mereka undi selagi parti tersebut sudah terbukti baik untuk mereka, mereka akan undi. Samada orang yang mereka pilih boleh membantu mereka mengubah keadaan, mereka tidak peduli. Mereka hanya yakin parti saja yang boleh mengubah mereka. Jadi apa motif aku mengundi kalau satu undi aku tidak boleh menghasilkan apa-apa? Baik aku ikut saja... jalan yang sedia ada tanpa perlu bersusah payah. 

24.2.08

Senja Berlabuh



Selalunya setiap kali perjalanan pulang aku dari kerja, aku akan lalui keadaan seperti di atas. Senja sedang berlabuh. Hidup sekarang sepenuhnya dengan kerja. Tiada masa rehat, tiada masa santai. Tiada kehidupan.

Tidak perlu aku terangkan kenapa dan mengapa. Aku tidak perlu ceritakan.

Semoga damai selalu.

23.2.08

Selesai Seminggu

Selesai satu lagi minggu yang meletihkan. Selesai d'Fiesta Kesenian Nasyid & Koir JPN Peringkat Kebangsaan Tahun 2008. Nyata, aku perlukan seorang pembantu. Seorang yang boleh membuat grafik design yang menarik. Seorang yang tahu menggunakan Adobe Photoshop dan Adobe InDesign untuk membuat kad jemputan, sijil dan lain-lain kerja grafik. Juga, aku perlukan jurukamera yang mahir dan boleh kerja dengan penuh dedikasi.

Malangnya, aku tak boleh nak cari begitu saja. Bukan kerja aku untuk cari semua itu. Aku tak boleh offer dalam akhbar. Aku kena tunggu. Aku kena cari dari kalangan kakitangan yang ada sekarang. Ada jumpa beberapa tapi hasilnya masih kurang memuaskan.

Akibatnya aku terpaksa buat kerja itu ini dan ianya amat-amat meletihkan. Kalau Lewis Hamilton dan Fernando Alonso hilang 8 kilo berat badan dalam satu-satu perlumbaan, aku rasa aku juga turut kurang berat badan bila tiba hari pertandingan. Cuma tak sebanyak mereka.

Tapi aku puas dengan rakaman video tadi. Semuanya dapat dirakam dengan sempurna. Ini kerana aku guna kamera video milik bahagian lain yang menggunakan rakaman hard disk. Jadi aku tidak perlu bersusah payah untuk tukar DVD semasa merakam. 

Letih. Menaip pun letih. 

22.2.08

33 Tahun Kemudian

33 tahun kemudian, aku berada di sini. Putrajaya. Kota Pentadbiran Kerajaan Malaysia. Aku bekerja di sini. Hidup sekarang bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu realitinya. Masih belum stabil walau sudah separuh hidup aku lalui.

Namun kali ini aku tidak mengeluh. Tidak perlu. Ya, aku pasti akan sambut hari lahir aku seorang diri di mana-mana fast food yang berdekatan. Itulah yang biasa aku lakukan sejak beberapa tahun yang lalu. Duduk di meja dengan set makanan yang telah dibeli dan senaskah surat khabar atau majalah untuk aku baca. Itu treat aku untuk diri sendiri. Aku gembira dengannya. Tidak perlu menyusahkan sesiapa. Kalau kamu baca ini dan kamu berasa sedih dengan keadaan aku, jangan. Tidak perlu. Kerana aku sedikit pun tidak bersedih. Ini rutin aku dan walaupun ianya membosankan bagi kamu, ianya menggembirakan hati aku. Sekurang-kurangnya pada saat itu aku gembira.

Kemana arah perjalanan aku selepas ini, aku tidak peduli. Aku lalui saja tanpa banyak bicara dan persoalan. Hidup ini lebih senang begitu, tanpa bicara dan persoalan. Langit petang yang damai, cahaya pagi yang indah, malam di kala bintang-bintang berkerdipan, angin dan pantai, hujan... Semua itu lebih indah dinikmati tanpa bicara dan persoalan. Aku cuma perlu duduk diam dan menikmatinya. Kenapa aku perlu persoal dan bicarakan segala teori dan falsafah mengenai sekeliling aku? Aku tidak cukup bijak untuk semua itu.

Sahabat-sahabat, orang yang mengenali dan sesiapa saja; biarkan saja mereka dengan hidup mereka. Aku tidak mahu mereka bersusah payah mengingati hari lahir aku dan mengucapkan selamat kepada aku. Tidak perlu. Kerana mereka tidak seperti aku, mungkin. Mereka tidak perlukan nostalgia untuk hidup. Mereka tidak perlu melihat apa yang ada di hadapan mereka kerana mereka sedang melihat nun jauh di sana. Masa depan mereka. Sedang aku pula sentiasa terhenti-henti dalam perjalanan dan melihat apa yang ada di hujung jari kaki ada selalu juga menoleh kebelakang dan melihat apa yang telah aku lalui. Itu aku, bukan kamu. Aku tidak mahu berlari. Aku mahu berjalan dan menikmati hidup dengan cara aku sendiri.

33 tahun aku di sini dan ianya amat memuaskan. Tidak ada apa dalam dunia yang aku sanggup gadaikan untuk ditukar dengan apa yang telah aku lalui. Aku takkan lakukannya. Ini hidup aku dan aku menghargainya.

Terima kasih kerana sudi membaca.

20.2.08

Empat Rangkap

Engkau berjalan-jalan, tanpa arah tujuan. Dalam hati dirasakan begitu berat beban hidup yang dipegang. Seperti mahu saja engkau lepaskan dan terus berlalu pergi. Bukan semudah yang difikirkan.

Engkau berjalan-jalan, tanpa arah tujuan. Engkau melihat di sekeliling manusia bahagia, atau sekurang-kurangnya engkau nampak sebegitu. Sedang engkau sudah lupa apa maksud bahagia itu dan engkau mahu mencarinya tetapi tidak pasti dari mana hendak engkau mulai.

Engkau berjalan-jalan, tanpa arah tujuan. Mata dirasakan berat dan engkau ingin pejamkannya supaya engkau tidak perlu hadapi dunia sekurang-kurangnya untuk beberapa jam lagi. Engkau pasti apabila bangun kelak, dunia masih begitu kosong. Masih tidak memberi makna.

Aku berjalan-jalan, tanpa arah tujuan. Aku sedang lalui apa yang engkau sedang lalui.

14.2.08

Terima Kasih Asyikin Untuk 6 Tahun Yang Indah...



Mahu saja aku katakan aku sudah kenali Asyikin seumur hidup aku. Semenjak dari aku membuka mata dan melihatnya. Semenjak lama itu.

Namun ianya cuma 6 tahun yang lalu di hari Valentine's (dalam semua hari yang ada sepanjang tahun), aku bertemu dengannya. Di malam itu 6 tahun lalu, ketika penghujung 14 Febuari hampir tiba, dia hadir dan memberi senyuman.

6 tahun dan hari ini, aku adalah seorang yang amat-amat bahagia. Kenapa tidak kalau kamu temui seorang yang seindah dia. Seperti orang lain juga, inilah Angel aku. Bidadari aku sejak 6 tahun yang lalu dan tiada siapa lagi melainkan dia yang layak aku gelarkan begitu.

Aku tidak memberi apa ucapan istimewa kepadanya hari ini. Tiada hadiah yang menanti diterima olehnya. Tiada sejambak ros kuning atau teddy bear yang aku kirim. Tiada kad ucapan. Cuma ada ini, hati ini. Hati ini yang sering mengenangkan dirinya sepanjang masa.

Oh, betul persoalan kamu. Aku amat menyayangi dia. Lebih dari segalanya. Tapi cuma setakat itu. Selebihnya, tidak perlu kamu tahu bagaimana keadaannya. Seperti yang kamu biasa dengar, kalau tidak dapat rasanya, baunya sudah cukup. Begitu juga aku. Mengharap? Tidak. Tidak perlu. Kerana aku sudah perolehi dia dengan cara aku sendiri.

Dia adalah Asyikin, bidadari aku di dunia ini. Terima Kasih Asyikin Untuk 6 Tahun Yang Indah Ini...

12.2.08

Apple Lagi

Aku join MyMUG. Mac User Group. Oh, untuk yang ada produk Apple kira sesuai la sebab semuanya berkaitan benda itu saja.

Apple user lame?
Apple user pemalas?
Apple user gay?
Apple user berlagak bagus?

Ye la tu. Guna dulu baru tau.

11.2.08

Aku RV, Jadi Aku Perlahan


Raziq, anak saudara aku. Setiap kali nampak aku, dia akan membebel perkara yang aku langsung tak faham.

2.43 pagi, Isnin, 11 Februari. Aku masih belum tidur. Aku menunggu si Aliah, kawan aku yang dalam perjalanan balik dengan bas dari JB tengah malam buta ini. Kalau aku tidur, pasti susah untuk aku dengar bunyi telefon atau bangun sekalipun. Sepanjang siang tadi aku memandu pulang dari kampung menempuh jalan yang sesak dan panas yang terik. Jadi ya, aku letih. Maka kalau aku tidur, aku pasti akan tidur. Memang mata ini sudah terasakan amat berat.

Ada iMac depan mata. Wireless broadband di rumah dalam keadaan baik. Jadi aku ambil kesempatan untuk menulis dan berlayar. Sekurang-kurangnya hilang bosan dan leka menghabiskan masa. Aku mencari siaran Top Gear di YouTube. Tapi loadingnya agak patchy. Sempat aku melihat aksi tiga orang pengacara Top Gear memperbodohkan diri mereka dengan pergi berkaravan dan akhirnya membakar secara tidak sengaja (mungkin sengaja) karavan yang mereka tunda. 

Aku sebenarnya suka berkaravan. Atau lebih spesifiknya orang Amerika memanggil aktiviti tersebut sebagai RV. Aku lebih suka kenderaan RV ala Amerika yang besar dan penuh dengan peralatan. Mahu saja aku miliki sebuah RV dan jadikannya sebagai rumah aku sepanjang masa. Aku tidak perlu risau dan berkira untuk menyewa rumah. RV adalah rumah aku dan aku bawa kemana saja apabila perlu. Aku mungkin boleh tidur di mana saja, tetapi memandangkan kadar jenayah di Malaysia ini amat tinggi, aku fikir tempat paling selamat adalah di hadapan pintu pagar balai polis saja.

Aku tak fikir buat masa sekarang budaya RV akan berkembang di Malaysia. Kebanyakkan orang Malaysia lebih selesa dengan berkereta, ada rumah atau kalau hendak bercuti, tidur di hotel saja. Sebab lain mungkin kerana harga petrol yang tinggi dan cukai jalan yang amat-amat membebankan. Lagi pun, tidak ada satu pun pusat RV di Malaysia, walaupun hentian rehat sepanjang lebuhraya adalah satu lokasi yang baik. 

Jangan tanya, tapi memang betul aku kehilangan idea semenjak kebelakangan ini. Seperti tidak ada apa yang hendak diperkatakan walau ada perkara yang boleh diperkatakan.

Esok siang mungkin aku lebih bergeliga untuk menulis.

6.2.08

Hujung Minggu di Tengah Minggu

Esok Tahun Baru Cina. Sepatutnya aku balik kampung esok dengan bas. Entah. Kerja menimbun dan minggu depan aku cuma ada 3 hari di opis.

Aku tukar design blog ini. Entah kenapa. Aku cuma bosan dengan putih tidak bermaya.

Jadi harini adalah hujung minggu? Okey.

5.2.08

Kultus Sfera Blog Melayu

Kalau si penjaga NERAKA sudi berkunjung dan meninggalkan komen dalam penulisan aku yang sebelum ini, maknanya apa yang aku tulis ada signifikan. Hey, aku signifikan!

Sigh...

Aku tak peduli pun. Apa yang lebih penting, orang faham apa yang aku tulis dan mengapa aku tulis. Tidak perlu berprosa dan berbunga-bunga dalam penulisan hanya cuma untuk menarik perhatian orang membacanya namun langsung tidak faham apa maksudnya. Atau tidak perlu juga kita tiru gaya penulisan orang lain hanya semata-mata kita suka gayanya namun kita tidak pernah faham maksudnya.

Seperti ada kultus (cult) dalam blogging ini. Apabila ditemui seseorang yang menulis begitu menarik dan mengujakan hati dan jiwa, maka bakal tumbuh bagai cendawan penulis-penulis blog 'wannabe' yang cuba meniru gaya penulisan blog pujaan mereka. Awal 2002 dahulu semasa aku masih baru dalam penulisan blog, Rudy "Blue Hikari" adalah 'cult' kepada pembaca-pembaca blog. Semua orang mahu menjadi sepertinya; menceritakan suram hidup dan kadang-kala diselang selikan dengan bahagia. Dari kalangan mereka itu wujud Geng Jurnal, himpunan penulis-penulis blog Malaysia (90% berbahasa Malaysia) pertama. Sewaktu kemuncaknya dahulu ratusan mahal ribuan senarai blog boleh di lihat di website Geng Jurnal. Sungguh meriah hingga beberapa kali mereka adakan gathering.

Kemudian timbul lagi nama-nama besar dunia blog melayu (aku tidak membicarakan blog politik) seperti Sultan Muzaffar dan Nizam Zakaria yang memberikan pengkhususan kepada penulisan dunia glamer industri hiburan.

Lewat masa sekarang pula adalah giliran penulis rebel yang tidak mengaku rebel atau sekurang-kurangnya melihat orang lain adalah rebel sedang mereka sebenarnya normal. Blog seperti Semusim di Neraka, Aku Tak Peduli, Trankuiliti Tronoh dan beberapa blog lain lagi adalah peneraju imej masa kini penulisan blog.

Sebenarnya setiap dari mereka ini ada pengikut sendiri yang sedaya upaya cuba meniru gaya penulisan penulis asal. Ada yang berjaya dan membangkitkan niche mereka sendiri. Namun ramai dari mereka yang gagal sepenuhnya. Tidak saja ianya menjadi begitu mual untuk dibaca, namun mereka sanggup mengada-adakan cerita hanya kerana mahu mencapai tahap yang sama dengan blog idola mereka.

Rudy "Blue Hikari" yang pernah berhenti, sudah kembali menulis dan masih ada peminat tersendiri. Malah kalau di perhatikan betul-betul, mereka adalah pengikut cult Blue Hikari dengan gaya penulisan dan adunan ayat yang hampir sama gayanya. Sultan Muzaffar dan Nizam Zakaria sudah jarang aku berkunjung namun masih terus aktif dalam blog hiburan mereka.

Masa kini adalah masa Semusim di Neraka. Blog yang cuba memelayukan blog lain (kerana penulisnya mengajak pembaca menulis blog dalam bahasa Malaysia) dengan arak, punk, seks bebas, falsafah-falsafah hasil penulisan nama-nama besar di Barat (yang kebanyakkan orang melayu tidak pernah tahu dan tak mungkin mahu mengetahuinya) dan ideologi-ideologi lagi. Dan lihatlah serpihnya bertaburan jauh di dalam dunia blog. Semua orang mahu meniru gaya penulisannya. Semua orang mahu marah, kutuk dan pujinya. Semua itu adalah penghuni 'cult' baru musim 2007-2008 ini, dan mungkin untuk beberapa tahun akan datang.

Boleh dikira dengan jari (mungkin perlu sedikit ingatan yang kuat) blog-blog yang bersifat 'neutral' yang ada dalam internet. Neutral di sini membawa maksud, ianya tidak membawa apa-apa perubahan kepada pembaca yang membacanya. Tidak mempengaruhi walaupun amat-amat popular. Secara umumnya, blog sebegini yang akan terus bertahan tahun demi tahun dan bertahan terhadap peredaran masa dan perubahan budaya. Sampai masa orang tidak mahu lagi membaca poetik Blue Hikari dan Semusim di Neraka. Sampai masa mereka (pembaca blog - tetapi tidak mahu menulis sendiri) ini akan beredar dan mencari.

"Ye, apa lagi yang menarik?"
"Apa lagi yang berlainan?"
"Apa trend terbaru penulisan?"

Sekali sekala mereka akan kembali berkunjung dan membaca (sebagai isyarat yang mereka sedang mengenang sejarah lalu). Namun mereka tidak lagi terlibat dalam cult-cult segera yang sering tumbuh dalam sfera blog ini.

Terdetiknya aku mahu menulis sebegini kerana aku berkunjung ke blog Blue Hikari dan membaca beberapa post beliau. Kemudian aku membaca Semusim di Neraka (ditambah lagi dengan komen yang ditinggalkan oleh penulis SDN di post aku yang sebelum ini), maka aku terdetik berfikir begini. Mungkin segala telahan aku ini tidak benar. Namun, kalau kamu sudah berada di sini sejak lama dahulu, kamu akan faham maksud aku.

Perlukah aku kemukakan tips untuk bakal penulis blog supaya dapat bertahan lama dan ada pembaca setia yang membacanya? Sedang aku sendiri tidak sehebat blog-blog yang aku sebutkan tadi, maka tips aku cuma 1/10 efektif.

1. Tulis apa yang kamu rasa kamu ingin tulis. Apa saja. Jangan terbeban dengan had/limitasi.
2. Tulis dengan jujur. Kalau kamu bukan perokok, jangan kamu kata aku sedang menulis bait-bait ayat di blog sambil sebatang Dunhill terselit di jari (atau di telinga). Orang akan dapat hidu pembohongan kamu.
3. Jangan meniru. Meniru adalah alasan paling bodoh untuk cepat popular. Kamu tetap tidak akan popular.
4. Gaya kamu sendiri. Ya, seperti di no. 3, kamu takkan boleh tiru gaya orang lain. Kamu takkan boleh tiru Rudy atau AKAB biar kamu tontoni Catch Me If You Can(belajar teknik meniru) sejuta kali pun. Mereka adalah unik.
5. Jangan cerewet dengan ayat. Kalau kamu bukan seorang yang puitis, tulis saja dalam bentuk penulisan biasa. Kalau kamu ingin berpuitis, tulis betul-betul puitis.
6. Jangan menghentam orang lain atau blogger lain kerana ruginya kamu juga. Blogger lain itu mungkin sebenarnya boleh jadi kawan baik kamu di waktu susah.
7. Jangan fikir orang lain akan baca penulisan kamu sebaik saja kamu post 100 post dalam masa sejam. Sfera blog amat-amat besar dan 100 post kamu itu adalah sama seperti suku titik air di lautan. Tulis dan tulis lagi hingga mungkin ada orang yang take notice secara sengaja atau tidak (terjumpa blog kamu).
8. Ya, ini blog, open diary. Jangan terlalu sensitif dengan kritikan orang yang membaca.
9. Ya, ini blog, open diary. Jangan kamu fikir kamu bersembunyi, orang takkan jumpa.
10. Blogger yang baik adalah blog yang bercerita mengenai apa yang ada sekelilingnya, bukan apa yang tiada disekelilingnya.

Bukankah aku kata aku tidak pandai memberi tips?

4.2.08

Baris-Baris Kata Dengan Seribu Cerita

Nasib baik juga kebanyakkan kawan opis lebih gemar bermain dengan Friendster dan Facebook. Baik kerana aku tidak perlu bersaing untuk blog. Bukan mahu bersaing pun, tetapi kurang tekanan apabila orang lebih taksub dengan Facebook dan Friendster. Aku tidak perlu memikirkan risiko apabila menulis. Aku tidak perlu pertontonkan gaya-gaya potret syok sendiri yang diambil dan ditempel dalam Facebook atau Friendster. Aku cuma perlu letak gambar berkaitan dengan penulisan aku.

Apabila melawat beberapa website kawan lama dari zaman sekolah dahulu, kini timbul trend menulis pengalaman semasa di persekolahan dahulu. Siapa mulakan? Tidak kiralah siapa pun namun ianya mengimbau kenangan lama dan membuat diri tersenyum apabila membacanya. Siapa kata sejarah lama tidak perlu dikenang? Inilah penting sejarah lama. Kerana ianya mengajar kita erti hidup. Kerana ianya tidak akan berulang kembali seperti DVD yang kamu tontoni. Ianya cuma ada dalam kenangan; dalam fikiran, dalam gambar dan dalam tulisan sebegini.

Aku bertuah kerana aku mulakan blog ini sejak lama dahulu dan aku tidak pernah padamnya. Aku cuma bertukar lokasi dan caranya saja. Blog aku dahulu ada menceritakan perihal peristiwa 11 September 2001. Sebegitu lama. Blog aku menceritakan banyak perkara yang bila aku baca kembali, aku sendiri akan tersenyum. Inilah kenangan aku, dalam bentuk penulisan sebegini. Tiada potret gambar yang boleh aku tempel di Facebook atau Friendster. Cuma baris-baris ayat sebegini menceritakan hidup aku ketika aku sedang menulis baris-baris ini. Bukankah si pengembara dahulu hidupnya begini juga? Mencatatkan pengembaraannya dalam bentuk penulisan.

10 tahun lagi, kiranya masih ada usia dan masih ada blog ini, apabila dibaca kembali baris-baris ini, pasti akan aku tersenyum sendiri.

Baru aku sedar kenapa suatu masa dahulu manusia rajin menulis di dalam diarinya. Kenapa diarinya menjadi begitu rahsia dan begitu berharga sehingga dibawa kemana-mana. Berbekal torchlight, pelita dan lampu malam lewat malam, manusia-manusia ini tekun menulis dengan mata pena tentang hidup mereka di diari.

Kini dengan blog sebegini, manusia masih menulis diari hidupnya tetapi untuk tatapan umum. Dan apabila penulisan itu menjadi jujur dan tidak berpura-pura, ianya mampu menarik ribuan pembaca untuk menikmati sedetik masa di internet sambil membaca perihal orang asing dalam hidup. Namun sesekali kita temui penulisan yang jujur dan amat-amat menarik minat kita, maka kita jadi peminat dan sentiasa menunggukan hasil penulisan yang sepenuhnya. Seperti yang terjadi kepada SDN dan PaulTan. Mereka adalah 'celebriti' dunia blog Malaysia. Ada ramai lagi, tapi aku melihat contoh yang paling mudah.

Aku? Aku cuma ingin terus menulis. Itu saja.

3.2.08

Web Jaringan Sosial

Kalau tengok list posting, post pertama adalah pada tahun 2002 yang lalu. Sudah 6 tahun. Namun aku cuma mula menulis dengan aktif di sini pada tahun 2004. Sebelum daripada itu, aku menggunakan website sendiri untuk menulis blog.

Sepanjang waktu itu, timbul web-web social networking yang menawarkan rangkaian atau jalinan sosial antara kenalan dan orang yang kita tidak kenali. Suatu kelebihan web jaringan sosial seperti Friendster, Facebook, MySpace dan lain-lain lagi ini adalah kebarangkalian untuk bertemu dengan rakan lama adalah cerah. Begitu cerah. Hendak jumpa officemate juga cerah.

Cuma aku tidak berapa berminat untuk terlibat didalamnya walaupun aku ada mempunyai akaun Friendster dan Facebook. Aku tak faham konsep yang sebenarnya. Apa motif hendak kita promote diri kita sendiri dikalangan orang yang langsung kita tidak kenali.? Kemudian dengan gambar yang diupload sebanyak mungkin. Apa semua itu?

Sehari dua ini aku bertemu dengan group-group dalam Friendster atau Facebook. Ini pertama kali aku lihat. Oh, sekarang web jaringan sosial ada juga klik-klik atau geng yang mereka boleh bergabung. Kononnya mungkin, satu tempat kerja, tempat belajar atau lebih jelas untuk aku, geng-geng kawan lama. Semua mahu menubuhkan kumpulan atau pasukan masing-masing.

Aku tidak untuk menyertainya. Tetapi aku tidak singkir atau menafikannya. Jadi biarkanlah. Itu bukan cara aku.

1.2.08

frossonice.com Kembali

Kalau dua hari selepas kamu berusaha untuk masuk ke blog ini baru kamu berjaya, bermakna aku telah selesai dengan masalah domain name aku. Aku kembali menggunakan www.frossonice.com sebagai address rasmi blog/website aku. Maaf kepada sesiapa yang terpaksa menunggu lama.

Kalau sudah masuk, aku jemput ke sini pula,

http://www.freewebtown.com/frossonice/

Ini salah satu koleksi website aku zaman dulu-dulu. Kalau lihat pada tanda tahun di website tersebut, tahun 2001. Sudah lebih 6 tahun terbiar. Sudah lama. Ada beberapa lagi web address untuk website lama aku. Aku akan letak kemudian.

Kamu juga boleh ke website ini,

http://fross.8m.com/index.htm

untuk melihat website aku circa 2001-2003. Sebelum aku menggunakan sepenuhnya blogspot sebagai alat untuk aku menulis. Aku sudah menulis di sana.

Ya, aku sudah tua di internet ini.