25.2.08

Undi Aku Tidak Rahsia

Sebelah kedai makan depan rumah aku yang selalu aku pergi untuk makan malam sudah bertukar menjadi pusat gerakan pilihanraya PAS. Jangan semasa aku sedang makan orang datang untuk berkempen. Aku pasti akan halau. Bukan bermaksud aku tidak suka PAS. Aku cuma tidak suka diganggu ketika sedang makan.

Aku balik mengundi nanti? Aku sepatutnya mengundi di Kuala Kangsar. Nampaknya Rafidah Aziz akan mempertahankan Parlimen Kuala Kangsar untuk kali ke-7. Aku tidak ada apa-apa yang menentang Rafidah. Cuma sepanjang aku hidup di sana, aku tak pernah nampak dia. Malah aku yakin beliau tidak ada sebuah rumah pun di Kuala Kangsar dan tidak pernah terfikir untuk tinggal di sana. Beliau lebih selesa di Kuala Lumpur, mungkin. Begitu juga dengan ADUNnya yang sekarang, aku tidak kenal dan aku tak nampak apa perubahan yang dia telah lakukan di Kuala Kangsar. Selain dari melonggokkan sejumlah peralatan tentera lama (kereta perisai, APV dan jet pejuang) sebagai barang perhiasan memperindahkan Kuala Kangsar yang aku fikir tidak masuk akal kerana di Kuala Kangsar cuma ada sebuah kem tentera yang amat kecil, aku tak nampak apa signifikan yang telah dilakukan oleh ADUN dan ahli Parlimen yang sedia ada.

Walaupun aku tidak suka Samy Vellu (yang amat bongkak) tetapi aku kagum dengan pembangunan yang beliau bawa di Sungai Siput, kawasan Parlimen beliau. Sekarang Sungai Siput jauh lebih maju dan besar dari Kuala Kangsar walaupun ianya berada dalam daerah Kuala Kangsar. Aku faham Kuala Kangsar adalah bandar di Raja, maka pembangunannya mesti lebih tersusun dan kemas sejajar dengan tarafnya.

Aku fikir Kuala Kangsar boleh dijadikan bandar ilmu kerana adanya Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan beberapa sekolah yang penuh bersejarah. Namun setakat itu saja. Semua pembangunan keilmuan sekarang lebih tertumpu di koridor kinta dan selatan Perak. Sedang Kuala Kangsar yang sejak awal dahulu menjadi tempat lahirnya tokoh Malaysia kini sunyi sepi tanpa apa-apa pembangunan yang nyata.

Satu rasa tidak puas hati aku hingga sekarang adalah Padang Polo yang ditukar menjadi padang golf oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Padang polo tersebut suatu ketika dahulu menempatkan beberapa padang bolasepak, padang hoki dan padang ragbi di samping menjadi tempat orang ramai berjogging dan bersenam. Sekarang anak-anak muda lebih selesa ber'jogging' dan ber'senam' di stesen bas. Melepak tak tentu arah. Apa motif menukar sebuah padang besar yang setiap masa di penuhi oleh orang awam untuk bersukan menjadi sebuah padang golf mendatar 9 lubang yang hanya di gunakan oleh golongan elit yang beberapa kerat sahaja? Tukar balik padang golf menjadi padang sukan untuk orang awam, aku pasti banyak masalah sosial dapat di selesaikan. Integrasi kaum pun boleh selesai sebab semasa kecil dahulu aku masih ingat, orang melayu, cina dan india berkongsi padang yang sama untuk bersukan tanpa apa-apa masalah.

Masalah yang ada di Kuala Kangsar sekarang adalah pembangunan superfisial. Pembangunan luaran, mencantikkan kawasan dan menghias seluruh bandar Kuala Kangsar menjadi seolah-olah taman cahaya dan taman poket sana sini. Berapa banyak taman diperlukan untuk sebuah bandar kecil seperti Kuala Kangsar? Kawasan Bazaar lama sebelah bulatan jam besar pun sudah bertukar menjadi taman. Untuk apa? Sedang suatu masa dahulu, situlah tempat untuk orang dari jauh yang pulang beraya pergi untuk membeli pakaian, songkok dan apa saja. Kemudian di kawasan Lembah pula ada sebuah struktur binaan yang amat-amat menghairankan aku. Mula aku fikir ianya sebuah stadium tertutup untuk orang ramai bersukan. Tetapi ianya cuma ada bumbung melengkung tanpa dinding dan lantainya berturap tar. Aku rasanya mereka mahu ianya menjadi sebuah piazza atau 'square' untuk orang ramai bersosial dan acara-acara di jalankan. Cuma bangunannya agak aneh dari segi senibina dan tidak memberi banyak manfaat selain mencacatkan suasana Lembah. Seperti ada sebuah gudang besar tidak berdinding tiba-tiba muncul di situ.

Paling aku kecewa adalah robohnya rumah-rumah besar lama di Bukit Chandan dan Bukit Kerajaan dan diganti dengan rumah batu yang senibinanya memualkan. Sepatutnya sejarah sebegitu dipelihara dan dibanggakan. Itukah pembangunan yang orang Kuala Kangsar mahukan? Aku tidak fikir begitu. Aku tahu orang Kuala Kangsar amat berbangga dengan statusnya sebagai sebuah bandar di Raja. Sepatutnya bangunan yang mahu di bina perlu signifikan, perlu bersifat art-deco yang melambangkan kemegahan institusi beraja di tempat tersebut. Seterusnya ia mampu menarik pelancong kerana kehebatan senibina dan suasana persekitarannya. Bukannya dipenuhi oleh arca-arca aneh seperti labu sayong yang besar, tepak sirih besar, kereta kebal, kereta perisai dan jet pejuang lama. Ianya langsung tidak melambangkan 'di Raja' Kuala Kangsar. Kalau mahu superfisial, cara sekarang tidak betul.

Dari sudut lain, ekonomi di Kuala Kangsar masih tidak berubah. Kali terakhir aku di kawasan perindustrian di Kuala Kangsar, ianya masih sama dengan apa yang aku lihat 10 tahun yang lalu. Tidak ada apa yang berbeza.

Perlukah aku mengundi nanti? Realitinya kebanyakkan orang yang pergi mengundi masih memikirkan parti yang boleh membantu mereka. Jadi mereka tidak peduli siapa yang mereka undi selagi parti tersebut sudah terbukti baik untuk mereka, mereka akan undi. Samada orang yang mereka pilih boleh membantu mereka mengubah keadaan, mereka tidak peduli. Mereka hanya yakin parti saja yang boleh mengubah mereka. Jadi apa motif aku mengundi kalau satu undi aku tidak boleh menghasilkan apa-apa? Baik aku ikut saja... jalan yang sedia ada tanpa perlu bersusah payah. 

No comments:

Post a Comment