11.2.08

Aku RV, Jadi Aku Perlahan


Raziq, anak saudara aku. Setiap kali nampak aku, dia akan membebel perkara yang aku langsung tak faham.

2.43 pagi, Isnin, 11 Februari. Aku masih belum tidur. Aku menunggu si Aliah, kawan aku yang dalam perjalanan balik dengan bas dari JB tengah malam buta ini. Kalau aku tidur, pasti susah untuk aku dengar bunyi telefon atau bangun sekalipun. Sepanjang siang tadi aku memandu pulang dari kampung menempuh jalan yang sesak dan panas yang terik. Jadi ya, aku letih. Maka kalau aku tidur, aku pasti akan tidur. Memang mata ini sudah terasakan amat berat.

Ada iMac depan mata. Wireless broadband di rumah dalam keadaan baik. Jadi aku ambil kesempatan untuk menulis dan berlayar. Sekurang-kurangnya hilang bosan dan leka menghabiskan masa. Aku mencari siaran Top Gear di YouTube. Tapi loadingnya agak patchy. Sempat aku melihat aksi tiga orang pengacara Top Gear memperbodohkan diri mereka dengan pergi berkaravan dan akhirnya membakar secara tidak sengaja (mungkin sengaja) karavan yang mereka tunda. 

Aku sebenarnya suka berkaravan. Atau lebih spesifiknya orang Amerika memanggil aktiviti tersebut sebagai RV. Aku lebih suka kenderaan RV ala Amerika yang besar dan penuh dengan peralatan. Mahu saja aku miliki sebuah RV dan jadikannya sebagai rumah aku sepanjang masa. Aku tidak perlu risau dan berkira untuk menyewa rumah. RV adalah rumah aku dan aku bawa kemana saja apabila perlu. Aku mungkin boleh tidur di mana saja, tetapi memandangkan kadar jenayah di Malaysia ini amat tinggi, aku fikir tempat paling selamat adalah di hadapan pintu pagar balai polis saja.

Aku tak fikir buat masa sekarang budaya RV akan berkembang di Malaysia. Kebanyakkan orang Malaysia lebih selesa dengan berkereta, ada rumah atau kalau hendak bercuti, tidur di hotel saja. Sebab lain mungkin kerana harga petrol yang tinggi dan cukai jalan yang amat-amat membebankan. Lagi pun, tidak ada satu pun pusat RV di Malaysia, walaupun hentian rehat sepanjang lebuhraya adalah satu lokasi yang baik. 

Jangan tanya, tapi memang betul aku kehilangan idea semenjak kebelakangan ini. Seperti tidak ada apa yang hendak diperkatakan walau ada perkara yang boleh diperkatakan.

Esok siang mungkin aku lebih bergeliga untuk menulis.

No comments:

Post a Comment