31.3.08

Aku Serius Dengan Fotografi



Aku sudah beli sebuah kamera digital SLR (akhirnya!). Walaupun setakat kamera entry-level, ianya sudah cukup baik untuk aku buat masa sekarang. Tidak perlu ucap selamat datang untuk aku ke dunia SLR. Aku sudah guna SLR sejak 1991. Kemudian hiatus 10 tahun dan sekarang sambung balik.

Aku beli sebuah kamera SLR digital jenama Canon, model 400D. Sebenarnya tidak lama lagi akan keluar model 450D dengan enjin Digic 3 yang jauh lebih bagus. Tetapi aku fikir ianya takkan mampu untuk aku beli, jadi baik aku settle dengan entry-level canon ini. Pejabat aku sendiri menggunakan 350D jadi menggunakan 400D, tidak ada masalah. Cuma tiada lagi skrin monochrome tambahan di atas skrin LCD. Resolusi piksel juga sudah bertambah ke 10.2. AF point juga sudah bertambah dari 7 ke 9 point. Kemudian ada Custom WB shift yang aku ingat 350D memang takde. Ini lebih senang untuk aku guna.

Sebenarnya aku hendak dapatkan lensa ini, Canon Zoom Lens EF24-105 IS USM.



Tapi, harganya cukup mahal untuk aku batalkan saja niat aku buat masa ini. Kalau dengan pakej beserta badan kamera 400D, harganya mencecah RM3700. Lensa tersebut saja sudah RM2000. Nantilah, aku akan beli juga kalau ada sumber kewangan.

Flash yang aku guna sekarang ialah yang ini, Canon Speelite 430ex. Oklah, setakat basic.



Aku juga ada lensa zoom yang agak bodoh tanpa IS yang menyebabkan gambar selalu je blur bila di ambil. Murah punya pasal. Tapi ini bukan aku punya, opis punya. Hehehe. Lensa ini,
Tapi boleh la setakat nak guna.

Apa kes beli kamera ni? Sebenarnya aku dapat beberapa offer untuk ambil gambar orang kahwin. Member-member opis yang sudah tahu hasil kerja aku. Mulanya fikir mahu saja aku guna kamera pejabat. Tetapi aku rasa itu tindakan bodoh dan menyusahkan nanti. Baik saja aku beli sendiri dan insyaAllah dalam beberapa kali projek, sudah dapat pulangan balik. Untung juga. Patut la semakin ramai jurufoto majlis perkahwinan yang timbul sekarang.

Jangan bising-bising tak tentu pasal kalau kamu tidak faham dengan apa yang sedang aku lakukan. Ini bisnes yang sepatutnya aku sudah lakukan sejak dulu lagi. Tapi terlalu bertangguh hingga merugikan diri sendiri.

Sekarang aku sudah ada kamera sendiri dan laburkan banyak wang untuk itu, baik aku lakukan sesuatu untuk buktikan kepada sesiapa yang berkenaan yang aku serius. Benar, aku serius. 



30.3.08

Mengejar 10 Tahun Yang Hilang

Perlukah aku ceritakan di sini mengenai hidup ini yang semakin bahagia sedang engkau tidak pernah lihat bagaimana bahagia aku? Atau masa sedih aku? Cukup sekadar menceritakan yang aku amat bahagia sekarang kerana pencarian aku selama hampir 10 tahun sudah tiba di penghujungnya, mungkin. Aku sebutkan mungkin kerana ianya masih liku terakhir dan aku masih sedang berlari pantas untuk menggapainya.

Kalau pun aku gagal di penghujungnnya nanti, aku tidak kecewa dan tidak akan bersedih kerana aku tahu keadaannya dan aku terima segalanya. Cuma bukan masa aku dan benar, aku agak terlewat untuk memulakannya.

Sekarang aku sentiasa tersenyum membaca SMS yang tiba di kotak mel handphone aku. Itu yang pasti. Kerana kata-kata dan jawapan yang diterima begitu indah untuk cuma dibiarkan begitu saja. Engkau mungkin tidak merasakannya, tetapi 10 tahun itu adalah begitu lama untuk mencari. Bila di pertengahan perjalanan itu aku disuakan dengan manisan dan bahagia seketika. Tetapi yang ini aku rasakan sesuatu yang benar. Sesuatu yang tidak pernah wujud sejak 10 tahun lalu.

Jadi tidak perlu aku perkatakan apa-apa kerana engkau tidak akan memahaminya.

Lalu aku abaikan yang lain semata-mata untuk memastikan sedikit debu peluang yang terpalit di tapak tangan ini dapat aku tukar menjadi sebesar impian yang sejak sekian lama hilang. Maafkan aku. Aku perlu lakukannya demi kebahagiaan aku. 10 tahun itu terlalu lama untuk tidak merasainya.

Aku gemuk, tua dan letih; tetapi aku akan tetap cuba... aku akan terus berlari untuk mencapai penghujungnya.

Selebih darinya, aku biarkan segalanya tersusun satu demi satu.

27.3.08

Mencari Kamera Digital SLR

Sudah lama tidak menulis. Seminggu masanya aku tidak menaip baris-baris ayat untuk dibaca oleh pembaca (kalau ada).

Isnin lepas aku pulang dari Cameron Highlands setelah menjadi urus setia kursus di sana. Kalau ke-3 aku di Cameron Highlands dalam 3 bulan. Setiap bulan pasti akan ada sekali aku ke sana kerana kursus yang dijalankan ini hanya sesuai diadakan di Cameron Highlands. Tugas spesifik aku adalah sebagai jurukamera dan jururakam video. Kerja menarik tetapi amat memenatkan.

Kemudian dari Kelmarin hingga ke saat tadi aku tidak mampu hendak meluahkan apa yang terbuku di hati kedalam ruangan ini. Seperti yang aku perkatakan sebelum ini, aku tidak mahu selalu menceritakan hal-hal yang sudah berlaku. Bukan tidak ada yang hendak ditulis tetapi tidak ada yang perlu ditulis lagi.

Aku sudah dapat 2 projek fotografi untuk majlis perkahwinan. Bayaran agak lumayan. Semuanya akan berlangsung pada bulan Mei nanti. Jadi aku perlu dapatkan set kamera digital SLR sekarang untuk biasakan diri. Haritu aku sudah survey dan aku jumpa yang berkenan di hati walaupun ianya cuma setakat entry-level digital SLR. Pilihan aku samada Canon 400D atau Nikon D40x. Aku sukakan Nikon kerana semasa di MRSM Balik Pulau dulu, aku adalah jurugambar majalah dan aku menggunakan Nikon SLR. Puas hati kerana ketika itu ada zoom lense 300mm yang boleh aku guna untuk usha awek hujung padang.

Namun sekiranya aku beli Nikon D40x, banyak limitasi nanti. Aku tidak dapat beli flash kerana mahal dan aku tidak mampu beli lense lain. Kalau aku guna Canon 400D, flash dan lense tambahan sudah sedia ada. Tak perlu hendak aku bersusah payah membelinya buat masa ini. Mahal.

Aku ada buat survey di internet dan aku boleh dapat harga kamera tersebut dengan kadar 20% lebih murah. Tetapi macamana aku hendak yakin dengan membelinya secara online sedang aku tidak pernah membeli apa-apa pun secara online sebelum ini. Jadi aku perlu survey lagi.

19.3.08

Aku Cuma Terasa Ingin Menulis

Sehingga Mac, aku sudah hasilkan 66 post, tidak termasuk yang ini. Banyak. Kalau tahun selepas, aku dapat hasilkan sebanyak 140 post untuk sepanjang tahun. Sebenarnya, kalau hendak diikutkan aku boleh menghasilkan lebih banyak post sehingga ke hari ini. Namun begitu aku sebenarnya sedang meletakkan halangan dan batasan dari menulis tentang beberapa perkara. Mengenai kehidupan personal misalnya, seperti yang aku katakan sebelum ini, aku tidak lagi mahu menceritakannya. Aku mahu terus melupakan apa yang telah berlaku.

Ini kerana ada kalanya aku akan baca balik apa yang pernah aku post dan realitinya aku kurang senang dengan apa yang aku tulis sebelum ini. Tidak semua, tetapi ada beberapa daripadanya. Kamu juga perlu tahu, setiap penulisan aku adalah secara spontan dan tidak langsung di edit balik. Maka tidak hairan kalau kamu selalu terjumpa salah ejaan. Bukan disengajakan. Aku tak suka rehearse dalam penulisan kerana kalau aku berbuat demikian, hasilnya nanti jadi seperti plastik. Begitu tersusun dan kemas. Aku mahu raw seperti yang aku selalu lakukan. Penulisan, lenggok bahasa dan puisi (mungkin) semuanya adalah secara spontan. Apa yang terlintas atau lalu lalang di benak otak, itu yang aku akan tulis.

Sasaran aku untuk tahun ini adalah membuat sebanyak 366 post (tahun ini tahun lompat, bukan?), harap ianya berjaya. Namun untuk 3 bulan, aku sudah kehilangan 30 post. Mungkin agak sukar untuk mencapainya. Aku tidak kisah kalau kamu tidak pernah membaca semuanya. Itu tidak penting. Aku cuma mahu menulis. Itu saja.

"Aku cuma terasa ingin berlari." - Forrest Gump, apabila di tanya kenapa beliau berlari merentas Amerika Syarikat.

Aku cuma terasa ingin menulis.

Muzik Dalam Hidup

Alang-alang bercerita mengenai muzik, biar aku ceritakan sikit (mungkin sekadar 2 perenggan) muzik-muzik yang mempengaruhi hidup aku hingga kini.

Aku agak lewat dalam mula meminati muzik. Sehinggalah aku ke MRSM Balik Pulau pada tahun 1989, muzik tidak lebih dari sekadar yang didengar dan yang ditahui wujud. Sudah semestinya ada Sudirman dan Khatijah Ibrahim. Francisca Peters dan Kenny Remy Martin (Ku Petik Bintang-Bintang). Ini yang aku ingat saja tau. Lagu inggeris yang aku fikir begitu signikan dengan hidup aku ketika itu adalah Beat It, Thriller, Billy Jean, Uptown Girl dan Every Breath You Take. Ah, aku sebenarnya tidak pasti apa yang aku dengar sebelum 1989. Yang pasti di dalamnya ada Anuar dan Elina kerana semasa aku form 1, Elina form 6 di SMK Clifford Kuala Kangsar dan dia pernah minta aku tolong ambilkan air minuman untuknya selepas menyanyi di sekolah. Serta Ruhil Amani kerana aku pernah pergi menonton konsertnya di padang SMK Clifford dan sempat berbual dengannya di belakang pentas (kira habis hebat la ye tu?)

Bermula dari MRSM Balik Pulau sejak dari 1989 barulah fikiran aku lebih terbuka dengan dunia muzik. Aku mula dengar irama rock melayu yang amat popular ketika itu. Bayangkan 1989 dan aku masih belum pernah mendengar Mentari Merah di Ufuk Timur! Aku juga mengenali Metallica yang sehingga sekarang menjadi band kegemaran aku (peduli apa orang kata mengenai album sekarang), Iron Maiden, Scorpions, Poison, Guns & Roses, Aerosmith, Slayer, Bolt Thrower, Obituary, M.Nasir, Search, Wings, May, Febians, Sofea, Kromok dan banyak lagi termasuk Phil Collins. Memang sungguh-sungguh terbuka luas kerana student MRSM datang dari segala pelusuk tanah air dan dengan idea serta pemikiran yang berbeza. Maka dunia muzik aku berkembang di sana. Bayangkan terpaksa mendengar Right Here Waiting oleh Richard Mark setiap awal pagi, dipasang oleh Akram, anak Sanusi Junid. Lama-lama kamu juga pasti akan meminatinya.

Nah... dua perenggan. Cukuplah. Nanti aku ceritakan dengan lebih lanjut. 

Iron Maiden Di Pagi Buta

5.30 pagi dan aku sedang mendengar Iron Maiden - Seventh Son of a Seventh Son. Lagu lama dari album lama sebuah kumpulan lama. Aku mula mendengar lagu-lagu Iron Maiden semasa di MRSM Balik Pulau sekitar tahun 1989. Semasa form 2. Aku sukakan melodi dan gaya nyanyian Bruce Dickinson yang memang hebat.

Bermula dengan album Seventh Son of a Seventh Son, aku terus mencari album-album lain (beli kaset je la) seperti Powerslave dan Somewhere In Time. Album terakhir yang aku beli adalah Fear of The Dark, sekitar tahun 1992. Lepas tu aku terus minat dangdut... Hahaha. Tak, selepas daripada itu, Bruce Dickinson keluar dari Iron Maiden dan diganti oleh Blaze Bayley yang nyata tidak dapat menandingi kehebatan vokal Bruce Dickinson. Apa saja album yang dikeluarkan selepas itu  tidak aku beli.

Kira-kira 2 tahun lepas aku berjalan-jalan di Pertama Complex. Terfikir untuk mencari semua CD atau kaset Seventh Son of A Seventh Son. Teringin nak dengar kembali lagu-lagu lama sewaktu aku membesar di MRSM Balik Pulau suatu ketika dahulu. Aku tak jumpa original. Cuma ada salinan kaset yang tinggal. Cukuplah sekadar untuk aku dengar dalam kereta.

Tapi sekarang aku sudah ada beberapa MP3 Iron Maiden dalam playlist iTunes aku. Walaupun aku tak set dalam playlist, sekali sekala seperti di pagi buta ini aku akan memainkan semula. Mengimbau kenangan lama bersama Azrul Hanidi yang sama-sama berjaga malam untuk mendengar lagu-lagu sebegini di Maktab dulu. Terpaksa pinjam kaset Abg Hislimas. Itu aku masih ingat.

Sekarang aku sedang mendengar lagu The Evil That Men Do. Cool...

17.3.08

Meninggalkan Semalam

Sampai suatu masa, tidak terasa langsung hendak menulis mengenai apa-apa walaupun ada sesuatu yang berlaku. Kerana niat di hati ini hanya untuk melupakan saja apa yang telah berlaku dan tidak perlu lagi dipersoal dan dibicara. Tidak mahu ianya menjadi sejarah dan tidak mahu ianya menjadi kenangan. Lupa itu sudah cukup untuk mengubat duka.

Seperti semalam. Hendak saja aku lupakan semalam untuk selama-lamanya. Maka aku tidak mahu menulis apa-apa mengenainya di sini. Cukup sekadar aku katakan aku mahu lupakan semalam.

Cukup.

15.3.08

Menunggumu



Chrisye feat. Peter Pan - Menunggumu

Didalam sebuah cinta…terdapat bahasa
Yang mengalun indah…mengisi jiwa
Merindukan kisah…kita berdua
Yang tak pernah bisa…akan terlupa

Bila Rindu ini..masih milikmu
Kuhadirkan sebuah..tanya untukmu
Harus berapa lama..aku menunggumu..
Aku menunggumu…

Didalam masa indah…saat bersamamu
Yang tak pernah bisa…akan terlupa
Kenangan masa yang…menghancurkan jiwa
Dengan segenap cinta…aku bertanya

Bila Rindu ini..masih milikmu
Kuhadirkan sebuah..tanya untukmu
Harus berapa lama..aku menunggumu..

Dalam hati kumenunggu..
Dalam hati kumenunggu..aku…
Dalam benak kumenunggu..
Dalam hati kumenunggu..aku…
Masih menunggu….

Bila Rindu ini..masih milikmu…
Kuhadirkan sebuah..
Harus berapa lama…Harus berapa lama…
Aku menunggumu..aku menunggumu..

13.3.08

Mereka Tidak Nampak

Kadang-kadang apabila aku melihat rakan-rakan sepejabat, aku terkedu. Aku fikirkan betapa senang kerja mereka setiap hari (aku tahu pasti mereka akan menempelak kenyataan ini) yang cuma perlu datang dan pulang serta menyiapkan kerja-kerja generik. Maksud aku mereka bekerja berlandaskan struktuk kerja yang telah disusun dan tidak perlu berubah sekerapnya. Kiraan kos, surat menyurat, pengurusan dan semua itu adalah kerja-kerja generik yang sebenarnya memerlukan kerajinan dan kesungguhan sahaja. 

Sedang aku berhempas pulas untuk memikirkan corak, warna, design, bentuk dan apa saja yang berkaitan dengan kerja-kerja aku sebagai seorang yang ditugaskan khusus untuk menghasilkan majalah, buku dan apa saja kerja-kerja percetakan jabatan. Nampak selalu aku diam tidak melakukan apa-apa. Sedang dalam kepala mencari-cari idea yang sudah lama hilang. Aku pulang kerumah dengan kepala ini setiap hari dilanda migrain dan tidak ada sesiapa yang tahu. Tidak perlu aku tunjukkan di pejabat kerana nanti aku dituduh mengada-ngada.

Tidak, aku tidak memperlekehkan sesiapa. Setiap orang ada tugas masing-masing. Begitu juga aku. Cuma tugas aku memerlukan aku sentiasa berfikir dengan kreatif sepanjang masa dan ini menyebabkan aku tidak mampu tersenyum dan ketawa di kala mereka sedang bergembira.

Apabila aku ber'cuti' di Port Dickson tempohari, ada yang mempersoalkannya. Ada yang tidak suka dan aku tahu. Aku sudah tahu dari awal. Tetapi aku tidak nampak apa-apa pun lagi yang mereka hasilkan itu kreatif setakat ini. Aku juga tidak persoalkan kemana saja mereka pergi dan kenapa perlu mereka pergi kerana aku sudah bosan dengan retorik bos yang nyata berat sebelah dalam banyak hal.

Inilah permainan pejabat. Kamu kerja di mana-mana saja dan ianya pasti sama. Kalau kamu jenis pendiam dan tidak mesra dengan orang lain, kamu akan terpinggir sedang tanpa sebab yang jelas mereka melakukannya. Jadi aku berasa terpinggir di sini, namun aku biarkan saja. Kerana benak otak ini terlalu banyak memikirkan hal-hal lain daripada memikirkan hipokrasi mereka. Aku lakukan kerja aku sendiri dan aku perlukan masa yang panjang dan mereka tiada yang membantu. Tidak mengapa, aku tidak minta.

Cuma aku terkilan apabila mereka santai mereka. Aku terkilan kerana sedang mereka bersantai, mereka tidak sedar aku terus berhempas pulas di benak otak ini untuk menyiapkan kerja-kerja yang tidak layak aku lakukan.

Jadi lebih baik aku berdiam diri dan menyiapkan apa saja yang ada di hadapan mata. Biarkan mereka gembira dengan hidup mereka; dapat kemana-mana dan dapat setiap hari beberapa jam waktu santai. Aku masih perlu berfikir dan berfikir secara kreatif untuk menyiapkan kerja-kerja aku.

Ah, ini bukan keluhan. Aku cuma terasa mahu menulis.

10.3.08

Hah, Aku Dah Agak!

Aku dah cakap, takkan mungkin. Semua itu hanya mimpi. Pandai-pandai je nak mengelamun lebih-lebih.

Aku rasa baik aku diam saja selepas ini.

6.3.08

Mencari Yang Lain

Oh ya, aku sudah lupa bagaimana hendak kecewa. Atau apa itu kecewa. Mungkin hidup aku kini tidak lebih dari melalui hari-hari yang sinikal. Maka kecewa itu kelihatan seperti sketsa lucu dalam hidup ini. Entahlah. Mungkin begitu. Tetapi aku biarkan saja ianya menjadi begitu. Apa perlu untuk benar-benar berasa kecewa, bukan?

Aku suka angin yang bertiup damai di tepi pantai di Port Dickson ini. Aku sebenarnya tidak pernah suka Port Dickson. Mungkin selama ini ianya terlebih-lebih digambarkan atau mungkin juga tempat yang aku kunjungi sebelum ini tidak menarik minat baik dari segi pantainya atau keadaannya.

Namun di sini berbeza. Pantainya bersih (lebih bersih dari biasa di Port Dickson) dan cuacanya juga indah. Menyenangkan hati sepanjang amsa aku berada di sini. Walaupun hingga isnin minggu depan, tetapi sudah cukup. Aku datang dengan suatu tujuan rahsia (akhirnya tidak tercapai tujuan itu) dan suatu tujuan yang aku war-warkan sepenuh hati agar orang tahu. Aku mencari idea. Itu yang aku beritahu. Tujuan lain itu, biarlah aku pendam saja.

Esok aku mahu bekerja. Meluahkan segala idea yang terpendam ke ruang kerja.

5.3.08

Port Dickson

Port Dickson. Aku yang memohon dari Bos untuk kesini dengan alasan untuk mencari ketenangan dan mencari idea-idea yang tidak terungkap di sebalik kubikel biru pejabat. Aku perlu ilham. Aku perlu kedamaian untuk meluahkan kreativiti yang terpendam di benak otak ini.

Malam semalam aku temui beberapa cebis idea-idea tersebut semasa leka melihat anak-anak ketam berlari menjauhkan diri dari aku. Aku lihat gurisan pasir hasilan alunan ombak yang cantik dan ianya memberi inspirasi untuk aku berkarya. Aku berbual-bual tanpa batasan mengenai senario politik Malaysia bersama seorang yang mempunyai pendapat dan keluhan yang sama dengan aku.

Aku mengenali beberapa orang yang baru. Mereka semuanya mesra dan ceria.

Aku menemui ketenangan. Walaupun untuk sementara ini, tetapi mungkin cukup untuk aku berkarya dan mencari idea untuk menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu dan dihargai.

Syukur aku memilih untuk menghabiskan masa aku di sini walaupun dalam kesempitan waktu menjadi urus setia kursus. Cukup selesa hari ini dan semalam. Semoga esok juga begitu. 

3.3.08

Idea Kreatif Automatik Dibeli Melalui Mesin Tiket KTM Komuter

Sekali sekala apabila kita melakukan kebaikan kepada orang lain walaupun ianya cuma sekecil zarah, kita dihargai biarpun hanya dengan ucapan terima kasih. Selalunya manusia tidak mencari lebih dari itu, tidak lebih dari ucapan terima kasih. Ianya sudah cukup untuk membuat kita tersenyum puas dengan apa yang telah kita lakukan. Mungkin aku begitu. Aku tidak mahu apa-apa penghargaan yang hebat-hebat. Cukup sekadar terima kasih.

Namun ada juga manusia yang tidak tahu untuk menilai hasil kerja orang lain, apatah lagi mahu memberi sedikit penghargaan atas usaha dan kerja yang telah dilakukan. Selagi boleh, mahu saja mereka mempergunakan kita untuk apa saja dan setiap arahan yang diberikan, diletakkan juga dari mana punca datangnya. Biasanya mereka akan mengatakan bahawa ianya arahan bos. Secara automatik semua kerja wajib disiapkan mengikut tempoh masa yang 'ditetapkan oleh bos'. Aku yakin selalunya bos yang mereka rujuk itu adalah diri mereka sendiri.

Hari ini aku berada dalam keadaan low-point kerja aku. Aku siapkan kerja yang aku bertungkus lumus untuk siapkan semalam. Hari ini aku mahu sekurang-kurangnya dapatlah aku rehat untuk seminggu sebelum aku jalankan kerja-kerja seterusnya. Kerja-kerja grafik (untuk seorang amatur seperti aku) perlu idea dan apabila ianya dilakukan bersendirian, idea-idea selalunya cepat habis. Aku perlu recharge dan perlu dapatkan sumber ilham baru.

Tapi kalau aku terus terperap di dalam kubikel sepanjang masa, entah dari mana boleh aku cari idea untuk hasilkan karya yang seterusnya. Ini pun sudah mencapai tahap tepu. Aku tidak boleh berfikir dengan kreatif.

Malangnya, bertugas di jabatan kerajaan di mana bos biasanya datang dari kalangan lulusan tadbiran awam atau lepasan sekolah tidak kreatif, maka mereka tidak faham apa itu kreativiti. Mereka fikir ianya komoditi yang sentiasa ada dan tidak pernah pudar dari fikiran sesiapa pun. Mereka fikir idea kreatif untuk menghasilkan karya datangnya dengan duduk sepanjang hari di hadapan komputer. Oh, secara mudah, idea kreatif itu adalah automatik, sama seperti mesin tiket KTM Komuter atau LRT.

Biarlah. Aku mahu mogok dalam diam. Seminggu aku tidak dapat penuhi 'rehat' aku ini akan aku penuhi dengan rehat tidak berbuat apa-apa di kubikel melainkan surfing, menonton YouTube, menulis blog dan main games.

Alasan? Mencari idea kreatif.

2.3.08

Politik Untuk Semua

I have found new respect for The Sun. Itu yang aku mahu sebut tetapi tiada istilah yang sesuai dalam Bahasa Malaysia. Aku temui rasa hormat kepada The Sun? Mungkin.

Kerana apabila aku membelek setiap mukasurat akhbar tersebut hari ini, aku rasa aku dapat membaca buat pertama kalinya sebuah akhbar yang neutral dari segi pandangan dan penulisan. Malah tidak keberatan untuk aku katakan walaupun ianya percuma, harga (value) akhbar The Sun adalah 10 kali lebih tinggi dari semua akhbar/media arus perdana lain.

Berita mengenai Pilihanraya Umum ke-12 disiarkan dalam keadaan neutral di mana berita mengenai parti Barisan Nasional dan parti-parti pembangkang adalah sekata dan tidak terlalu memihak kepada mana-mana kem. Itu yang sebaik-baiknya untuk semua media dalam memberi maklumat yang jelas dan adil kepada pembaca. Perlu diingatkan bahawa pembaca masa sekarang sudah bijak terutamanya golongan muda dan tidak terpengaruh dengan dakyah dan hasutan halus dalam penulisan-penulisan berita. Ini tahun 2008, bukan 1998, 1988 atau 1978.

Jangan beritahu aku bahawa The Sun itu lebih kurang sama juga dengan akhbar lain. Cuma kalau dilihat sekarang, ianya jauh lebih bagus dari The Star, Utusan Malaysia (lebih baik ditukar nama jadi UTUSAN PEMBODEK  BARISAN NASIONAL saja) dan lain-lain. Aku tidak ada apa-apa tentangan mengenai Barisan Nasional. Aku cuma mahu berita yang adil dan telus, sama rata dan tidak menggunakan kekuasaan yang ada untuk mengawal keadaan.

Lihat perang kempen pemilihan presiden di Amerika Syarikat. Sekurang-kurangnya negara yang dituduh oleh pembesar Malaysia sebagai menyekat kebebasan manusia masih lagi memberi kebebasan bersuara dan berpolitik dalam negara mereka sendiri. Parti-parti politik tidak kira dari mana mereka datang boleh dibicarakan dan boleh menggunakan media dengan adil dan sama rata. Itu yang penting. Maklumat yang sama rata.

Jadi jangan salahkan orang kalau mereka lebih percaya kepada blog dan penulisan-penulisan artikel politik Malaysia dalam internet. Kerana hanya di situ alternatif bagi golongan yang berfikir untuk membaca dan menilai keadaan persekitaran mereka dengan lebih jujur dan terbuka. Seperti seorang manusia yang disuapkan nasi sepanjang masa dan diberitahu bahawa nasi itu adalah segala-galanya yang diperlukan untuk hidup. Kalau manusia itu bebal, mungkin dia akan terima tanpa banyak soal. Tapi kalau manusia itu ada deria rasa dan citarasa, mungkin lama-kelamaan dia akan bosan dengan nasi. Dia mahukan yang lain. Dia mahu rasa yang lain. Kalau media masih bersifat mono dengan andaian setiap manusia di bumi Malaysia ini boleh menerimanya tanpa banyak soal, kamu media memang bodoh. Begitu juga ahli politik yang menguasai tampuk pemerintahan sekarang. Kamu juga bodoh kerana memikirkan setiap manusia di Malaysia ini boleh dilayan sebegitu.

Perlu ada dan aku fikir wajib diberi ruang untuk parti-parti pembangkang menyuarakan perjuangan mereka di media-media arus perdana tanpa halangan. Ini akan memberi ruang kepada orang ramai membuat penilaian yang jujur dan terbuka. Apa yang hendak ditakutkan kalau sudah 50 tahun pemerintahan Barisan Nasional dianggap bagus? Aku yakin kalau diberi ruang sekalipun, pembangkang tetap akan kalah kerana Barisan Nasional menggunakan data-data dan fakta-fakta yang terbukti dan sedia ada tanpa perlu bersusah payah untuk membuktikan keberkesanan pemerintahan mereka.

Tindakan menghalang dan mengawal media-media utama dari menyiarkan berita dan memberi ruang kepada pembangkang, ianya tidak ubah seperti tindakan orang-orang yang takut atau pengecut. Itu saja yang sesuai.

Kemudian kenyataan sesetengah ahli politik Barisan Nasional yang jelas kalau boleh mahu setiap orang memilih Barisan Nasional saja. Itu adalah ciri-ciri komunisme yang amat-amat jelas. Kamu tentu tidak mahu orang tuduh kamu berfahaman sosialis bukan? Manusia ada kehendak dan akal fikiran yang berbeza. Mereka bukan anjing yang kamu boleh latih untuk terima arahan dengan hanya meniup wisel dan seterusnya melakukan perkara yang sama setiap masa. Manusia boleh berfikir dan boleh bertindak mengikut kapasiti masing-masing. Setiap orang perlu diberi ruang untuk membuat tindakan masing-masing, bukannya disogok dengan nasi sepanjang masa.

Sebenarnya aku masih tercari-cari samada masih wujud media yang benar-benar neutral di Malaysia yang melaporkan berita-berita tanpa pengaruh politik baik dari Barisan Nasional (aku enggan menggunakan Kerajaan kerana ianya sudah dibubarkan) dan parti-parti pembangkang. Itu sebenarnya aspirasi golongan muda masa kini. Mahu sesuatu yang neutral. Aku pasti kebanyakkan golongan muda kini bukan pengikut mana-mana parti politik dan mereka akan memilih parti politik yang telus dan yang membawa keuntungan kepada mereka.

Satu lagi, iklan-iklan Barisan Nasional di dalam akhbar dan media arus perdana. Apa semua itu? Itu adalah statistik dan perkara-perkara wajib yang dilakukan oleh pemerintah. Tidak kira siapa mereka atau dari parti mana. Keselamatan, pendidikan, ekonomi dan apa saja yang dibangunkan untuk rakyat adalah tanggungjawab pemerintah a.k.a Kerajaan Malaysia. Baik ianya didokong oleh Barisan Nasional atau parti-parti pembangkang, semua itu WAJIB dilakukan untuk rakyat yang memilih mereka. Aku rasa ianya tidak wajar dijadikan sebagai statistik dan fakta untuk membeli undi. Itu adalah amat-amat tidak adil. Kenapa? Kerana sejak dari merdeka hingga sekarang, negara Malaysia cuma diperintah oleh Barisan Nasional. Kalau sebelum ini ada parti-parti politik lain yang memerintah dan gagal dalam pemerintahannya, maka fakta-fakta dan statistik itu boleh digunakan sebagai perbandingan.

Sekarang ianya hendak dibandingkan dengan apa? Hendak dibuat perbandingan dengan manifesto parti-parti politik lain? Hendak dibuat perbandingan dengan negeri Kelantan? Sedang negeri-negeri lain diberi peruntukan jauh lebih besar oleh kerajaan Persekutuan, negeri yang majoritinya penduduk melayu terus dipinggirkan kerana ianya diperintah oleh parti pembangkang. Atau mencabar parti-parti pembangkang untuk membuat seperti apa yang Barisan Nasional sudah buat? Aku tidak nampak di mana logiknya. Kalau lihat proses pencalonan presiden Amerika Syarikat yang sedang berlangsung sekarang terutamanya pemilihan calon presiden dari parti Demokrat di antara Barack Obama dan Hillary Clinton, sepanjang masa mereka berdebat berdasarkan manifesto dan janji-janji mereka. Mereka tidak berlandaskan kepada hasil kerja parti politik mereka semasa memerintah negara.

Itu sepatutnya. Membuat perbandingan dengan manifesto atau janji-janji sekiranya menjadi pemerintah. Bukannya menggunakan hasil pemerintahan sebagai janji atau perbandingan. Itu memang sangat-sangat tidak adil. Kerana semasa parti-parti politik memerintah, sepatutnya tidak ada lagi istilah Kerajaan Barisan Nasional, Kerajaan Pas atau Kerajaan DAP. Yang ada cuma satu, Kerajaan Malaysia. Apabila mana-mana parti politik menang pilihanraya dan membentuk kerajaan, maka yang ada hanya kerajaan Malaysia sahaja. Bukan Kerajaan Malaysia Pimpinan .

Kalau diletak juga Kerajaan , maka secara dasarnya kerajaan tersebut hanya berfungsi untuk ahli-ahli dan penyokong parti politik tersebut saja. Maka bagi aku istilah "Satu Lagi Projek Kerajaan Barisan Nasional" atau mungkin "Satu Lagi Projek Kerajaan PAS Kelantan" adalah salah dari segi etika dan undang-undang. Tidak wujud kerajaan Barisan Nasional atau Kerajaan PAS. Cuma wujud Kerajaan Malaysia yang berkhidmat untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira apa perjuangan politik mereka dan hanya wujud Kerajaan Negeri Kelantan yang berkhidmat untuk seluruh rakyat negeri Kelantan.

Kerana ini semua, aku masih tidak berminat hendak menyokong mana-mana parti politik di Malaysia.

1.3.08

Mengundi Hari Ini Untuk Hari Esok

Aku tidak mahu membicarakan hal-hal politik. Politik di Malaysia ini terlalu kotor sifat dan keadaannya. Satu undi aku tidak cukup untuk membersihkannya. Jadi aku tidak mahu membicarakan hal-hal politik.

Setelah aku menghantar seorang rakan ke LCCT pagi tadi, aku lalui jalan dalam (bukan lebuhraya) untuk ke Putrajaya. Tiba di Dengkil dan waktu itu masih hujan walaupun renyai. Aku lihat seorang budak lelaki sedang mengayuh basikal dengan tangan satu memegang handle basikal dan yang satu lagi memegang payung. Tidak ada apa yang menarik kalau ianya dilihat begitu saja. Cuma aku terpandang memek mukanya. Terpandang keringat yang keluar untuk mengayuh basikal sambil memegang payung. Aku tahu susah keadaannya.

Itulah salah satu kelemahan aku. Aku tidak suka melihat budak-budak dengan keadaan muka yang susah atau bermasalah atau bersedih. Aku tidak boleh melihat seorang budak kecil membayar cuma 20sen untuk membeli gula-gula bernilai 30sen. Kemudian pekedai menegur dan meminta baki 10sen yang tidak cukup. Budak tersebut terpinga-pinga dan aku pasti hatinya kecewa kerana tidak dapat apa yang dia mahu. Hidup tidak adil baginya. Tapi dia cuma seorang budak. Apa dia tahu nilai wang dan dari mana ianya diperolehi? Kenapa pekedai itu tidak bertimbang rasa hanya kerana 10sen. Kenapa dia tidak mahu melihat wajah gembira seorang kanak-kanak mendapat sesuatu yang diingininya.

Ya, betul. Aku pastinya tidak akan dapat jadi seorang ayah yang baik kerana berlembut dengan anak-anak terhadap perkara-perkara sebegitu. Tetapi aku pernah lalui waktu susah semasa kecil dahulu dan aku tahu peritnya bagaimana. Jadi aku tidak sanggup untuk melihat orang lain terutamanya orang disekeliling aku susah. Aku tidak sanggup melihat seorang budak yang membawa adik kecilnya mahu membeli sepaket makanan ringan namun tidak cukup duit. Aku tak sanggup lihat muka kecewa budak-budak kecil. Ianya sungguh menyedihkan aku. Mahu saja aku bayar bagi mereka (aku pernah lakukannya) semata-mata untuk melihat mereka tersenyum gembira. Aku tidak minta mereka ucapkan terima kasih (biasanya dipaksa oleh pekedai) kerana gembira mereka itu sudah cukup sebagai ucapan terima kasih bagi aku.

Budak yang mengayuh basikal tadi bukanlah budak kecil. Mungkin sudah bersekolah menengah, namun aku masih tidak sanggup melihat mereka susah. Mereka tidak berhak untuk susah dalam keadaan negara kita sebegini.

Akhirnya, aku terpaksa berpolitik juga. Aku doakan masa mendatang akan lebih menyenangkan bagi anak-anak muda. Ahli-ahli politik yang ada perlu lebih mengambil berat mengenai mereka.