1.3.08

Mengundi Hari Ini Untuk Hari Esok

Aku tidak mahu membicarakan hal-hal politik. Politik di Malaysia ini terlalu kotor sifat dan keadaannya. Satu undi aku tidak cukup untuk membersihkannya. Jadi aku tidak mahu membicarakan hal-hal politik.

Setelah aku menghantar seorang rakan ke LCCT pagi tadi, aku lalui jalan dalam (bukan lebuhraya) untuk ke Putrajaya. Tiba di Dengkil dan waktu itu masih hujan walaupun renyai. Aku lihat seorang budak lelaki sedang mengayuh basikal dengan tangan satu memegang handle basikal dan yang satu lagi memegang payung. Tidak ada apa yang menarik kalau ianya dilihat begitu saja. Cuma aku terpandang memek mukanya. Terpandang keringat yang keluar untuk mengayuh basikal sambil memegang payung. Aku tahu susah keadaannya.

Itulah salah satu kelemahan aku. Aku tidak suka melihat budak-budak dengan keadaan muka yang susah atau bermasalah atau bersedih. Aku tidak boleh melihat seorang budak kecil membayar cuma 20sen untuk membeli gula-gula bernilai 30sen. Kemudian pekedai menegur dan meminta baki 10sen yang tidak cukup. Budak tersebut terpinga-pinga dan aku pasti hatinya kecewa kerana tidak dapat apa yang dia mahu. Hidup tidak adil baginya. Tapi dia cuma seorang budak. Apa dia tahu nilai wang dan dari mana ianya diperolehi? Kenapa pekedai itu tidak bertimbang rasa hanya kerana 10sen. Kenapa dia tidak mahu melihat wajah gembira seorang kanak-kanak mendapat sesuatu yang diingininya.

Ya, betul. Aku pastinya tidak akan dapat jadi seorang ayah yang baik kerana berlembut dengan anak-anak terhadap perkara-perkara sebegitu. Tetapi aku pernah lalui waktu susah semasa kecil dahulu dan aku tahu peritnya bagaimana. Jadi aku tidak sanggup untuk melihat orang lain terutamanya orang disekeliling aku susah. Aku tidak sanggup melihat seorang budak yang membawa adik kecilnya mahu membeli sepaket makanan ringan namun tidak cukup duit. Aku tak sanggup lihat muka kecewa budak-budak kecil. Ianya sungguh menyedihkan aku. Mahu saja aku bayar bagi mereka (aku pernah lakukannya) semata-mata untuk melihat mereka tersenyum gembira. Aku tidak minta mereka ucapkan terima kasih (biasanya dipaksa oleh pekedai) kerana gembira mereka itu sudah cukup sebagai ucapan terima kasih bagi aku.

Budak yang mengayuh basikal tadi bukanlah budak kecil. Mungkin sudah bersekolah menengah, namun aku masih tidak sanggup melihat mereka susah. Mereka tidak berhak untuk susah dalam keadaan negara kita sebegini.

Akhirnya, aku terpaksa berpolitik juga. Aku doakan masa mendatang akan lebih menyenangkan bagi anak-anak muda. Ahli-ahli politik yang ada perlu lebih mengambil berat mengenai mereka.

No comments:

Post a Comment