16.8.10

Keretapi

Sekarang di Kuala Kangsar. Bercuti sehingga Selasa.

Semalam tiba di Ipoh, dari Kuala Lumpur dengan menaiki keretapi. Sudah lama aku tidak melakukannya. Terlalu lama. Begitu jauh berbeza perkhidmatan yang disediakan sekarang berbanding dahulu. Semalam, aku tiba dari KL Sentral dalam masa tiga jam saja. 10 tahun dulu, perjalanan yang sama dengan keretapi akan mengambil masa lebih lima jam. Itu pun aku naik keretapi shuttle yang masih menggunakan lokomotif diesel sebagai penggerak tren.

Esok aku akan balik ke Kuala Lumpur dengan tren ETS (Perkhidmatan Tren Elektrik) yang akan mengambil masa kira-kira dua jam saja. Cukup pantas. Malah, lebih pantas dan selera berbanding bas ekspres. Sepatutnya perkhidmatan tren sebegini sudah diperkenalkan di Malaysia lama dulu. Tetapi tiada inisiatif kukuh daripada kerajaan untuk memberikan mod pengangkutan awam yang lebih efisien menyebabkan hanya baru sekarang kita dapat merasa. Itu pun masih belum menyeluruh. Kerajaan perlu perluaskan perkhidmatan tren ini. Bukan saja menggunakan laluan sedia ada, malah menambah laluan lain di seluruh Malaysia.

Negara ini negara kecil dan kita tidak patut penuhinya dengan lingkaran lebuhraya di sana sini. Keretapi adalah mod pengangkutan awam yang cukup baik dan efisien, sama seperti yang diamalkan di Jepun. Kalau kita bina sekarang, walaupun kosnya besar, ianya bakal memacu pembangunan negara dengan lebih cekap dan pantas, serta dalam masa 20 - 30 tahun dari sekarang, kita akan ada jaringan pengangkutan awam yang sangat efisien. Tidak perlu lagi orang berhijrah ke kotaraya besar untuk bekerja. Sebaliknya mereka boleh tinggal di tempat asal mereka dan menggunakan perkhidmatan awam untuk ke tempat kerja.

Biar rugi sekarang, jangan rugi masa akan datang. Jika aku diberi pilihan dan kemudahan pengangkutan, aku lebih rela guna pengangkutan awam yang efisien daripada membazir masa memandu kereta. Penat tau tak!

1 comment:

Anonymous said...

saya setuju dengan pandangan hang...Kerajaan sepatutnya melabur lebih banyak dalam pembangunan pengangkutan awam..Tapi, diaorang lebih suka melabur dalam lebuhraya...baru boleh masuk duit dalam poket..

Post a Comment