27.8.10

Rumah Lama, Idea Baru

Dalam perjalanan ke Bahau tadi, aku terpandang rumah-rumah melayu lama yang ditinggalkan. Ada antaranya yang masih kukuh struktur dan bentuk. Seni bina rumah ini sungguh menawan. Lalu aku katakan kepada Zura, alangkah baiknya kalau dapat aku beli saja rumah ini dan dipulihara.

Tetapi kos untuk memulihara rumah sebegini tentulah mahal, apatah lagi kalau hendak membeli keseluruhannya, termasuk tanah di mana rumah berdiri. Tiba-tiba, timbul cadangan yang lebih menarik. Apa kata kalau hanya rumah saja yang dibeli. Kemudian rumah-rumah lama ini dipindahkan (dengan apa cara yang sesuai) ke suatu lokasi dan dibina serta dipulihara kembali.

Timbul masalah penyelenggaraan. Satu idea yang baik adalah dengan menjadikan rumah-rumah lama melayu yang siap dipulihara ini sebagai hotel tema (theme hotel). Hotel ini mengekalkan ciri-ciri asli rumah melayu termasuk hiasan dalaman. Tetapi kelengkapan tempat tidur adalah sama dengan hotel bertaraf 5 bintang lain. Kenapa 5 bintang? Kerana hotel tema lebih sesuai ditumpukan kepada pencinta seni yang berkemampuan. Mereka sanggup belanja besar untuk 'menikmati' suasana autentik persekitaran perkampungan melayu lama.

Seperti yang diberitahu Zura, kalau sekadar rumah, mungkin agak sukar hendak menarik orang datang berkunjung. Jadi persekitarannya juga mesti asli seperti persekitaran kampung-kampung melayu lama. Maka perlu ada item-item minima seperti dusun buah-buahan, sawah padi atau kebun dan kolam ikan atau lebih sesuai, bertepian dengan sungai. Ianya seperti Mini Malaysia di Melaka tetapi lebih asli dan lebih bersifat resort sepenuhnya.

Perkara pertama yang kita perlu fikir adalah kemahuan pemilik asal hendak menjual dan kos yang perlu ditanggung untuk membelinya. Kalau boleh, kita hendak dapatkan rumah lama ini dengan harga yang murah kerana kita perlu juga tanggung kos pemuliharaan dan penyelenggaraannya. Kita tawarkan kepada pemilik asal peluang untuk tinggal di rumah yang diletakkan di resort itu. Contohnya, kita boleh luangkan dua minggu dalam setahun khas untuk bekas pemilik rumah tersebut menginap tanpa cas. Mereka boleh datang bila-bila ada kekosongan dan penuhi tempoh dua minggu yang diberi. Atau mungkin juga kita boleh berikan diskaun kepada mereka bila-bila mereka mahu datang menginap. Paling penting, kita yakinkan mereka bahawa mereka meninggalkan legasi bersejarah disamping berpeluang mengalami suasana zaman kanak-kanak mereka.

Ada banyak lagi cadangan tetapi malam ini aku mahu menulis setakat ini.

1 comment:

DgurLinReD said...

hmm!! ada award utk anda!!

singgah ambik yer!!

Post a Comment