2.11.10

Destinasi

November sudah menjelma. Masa semakin suntuk dengan persiapan, walau hakikatnya, aku masih tidak rasa ada apa-apa persiapan yang sudah dilakukan. Cincin sudah dibeli. Check. Hendak tempah baju, bukan aku wajib ada di lokasi. Lagipun, baju melayu hari raya tempohari hari masih 'baru' dan kebetulan pula, sama warna dengan apa yang Zura akan pakai pada hari tersebut. Dia cadangkan supaya aku pakai baju melayu dengan seluar jeans. Sudah cukup. Betul. Jangan membazir.

Emak dan adik-adik bakal menyiapkan hantaran pertunangan. Aku sediakan lima dan akan dibalas tujuh nanti. Jumlah yang ala kadar. Sekadar makanan, manisan dan perkara yang biasa. Paling penting, tujuannya.

Bila bos di DinaWedding dapat tahu aku akan bertunang sehari selepas Hari Raya Aidil Adha, dia menawarkan perkhidmatan merakam video majlis pertunangan. Ada harga istimewa yang ditawarkan. Syukur kalau jadi nanti. Kamu lihat sendiri hasil kreativiti mereka di SINI. Kalau tidak ada video nanti pun, tidak mengapa. Aku lebih bersyukur kalau semuanya berjalan dengan baik.

Kami sibuk mencari rumah untuk dibeli. Silap aku juga tidak bersedia awal-awal. Sekarang sudah terkial-kial. Setakat ini kami nampak kawasan berhampiran tol Sunway sebagai lokasi yang baik. Harga apartmen di situ juga agak berpatutan walaupun ianya cuma milikan sementara. Kami sendiri menduga, bukan selamanya kami akan berada di Lembah Klang. Lambat laun bila tiba masa dan ketika, kami akan cari tempat yang lebih damai. Aku boleh saja memohon kuaters di Putrajaya yang begitu luas dan tenang. Tetapi kasihan pula Zura nanti yang terpaksa berulang alik jauh ke pejabatnya di Kelana Jaya, meredah sesak lalu lintas dan tol. Kalau aku di sana dan datang ke arah Putrajaya, jalannya kurang sesak. Itu rasionalnya.

Perkara yang bagus mengenai Zura adalah kerana dia tidak cuba menjadi cliche dalam berpasangan. Tidak mendesak agar segalanya berdasarkan apa yang ada disekeliling. Sepanjang lima bulan berkenalan, kami masih belum berbalah kata atau bertegang urat. Mungkin kerana masing-masing sudah faham dan 'lali' dengannya. Maka sebolehnya semua itu dielakkan. We try to be as playful as possible whenever we interact with each other. Ketawa itu bukankah ubat yang terbaik untuk jiwa manusia?

Satu perkara yang aku belajar sepanjang bersama Zura. Tidak perlu terlalu serius dan tegas dengan perbuatan serta prinsip kita. Belajar untuk bertolak ansur. Hakikatnya, tolak ansur adalah perkara yang paling sukar seseorang hendak lakukan. Ada yang mengakui dia melakukannya, namun bila dilihat betul-betul, tidak begitu. Jangan juga sediakan sebuah set peraturan yang perlu dipatuhi oleh pasangan kita. Love suppose to be unconditional. Sikit-sikit boleh kerana secara jujur, kita mahu sesuatu yang sedap di mata dan di hati. Kita minta kalau si dia boleh melakukannya. Kalau tidak boleh, jangan desak lagi.

Paling penting, buang jauh-jauh ego yang ada dalam diri kita. Kita bukan sempurna maka jangan harap orang yang ada berada di sebelah kita sepanjang masa itu juga sempurna. Mereka tidak akan sempurna. Mereka ada kekurangannya. Terima kekurangan itu sebagai motivasi untuk kita lebih menghargai. Contohnya; Aku seorang yang rabun warna. Zura tidak biasa berada di kalangan orang yang rabun warna. Jadi kadang-kadang bila berjalan dan melihat barangan, dia akan bertanya,

"Warna ini cantik tak?"

Kalau aku tahu warna apa, aku akan jawab. Kalau tidak, aku cakap aku tidak kenal warna tersebut. Bila dia sedar kekurangannya aku, dia tidak mengejek atau meremehkannya. Malah dia mohon maaf dan mengaku silapnya walaupun aku langsung tidak kisah mengenainya.

Orang selalu kata, kalau sudah suka, kentut pun baunya wangi. Aku fikir orang yang buat tafsiran begitu sebenarnya orang yang cemburu. Kita tidak sepatutnya jawab persoalan mengapa kita sukakan seseorang itu. Kerana ianya tiada jawapan yang paling agung. Kalau ada pun mungkin kita boleh jawab begini,

"Ianya takdir yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa"

Begitu, boleh?

17 hari lagi. InshaAllah. Doakan.

1 comment:

Ain said...

Salam.

Kalau nak dapatkan info tambahan tentang rumah boleh cari di Hartanah2u Facebook. Banyak iklan di situ.

Dulu pernah berulang dari Keramat ke Putrajaya. Seksa. Jem nak pegi kerja, jem nak balik kerja. Kalau duk Putrajaya tapi kerja di KL tak sure pula sesaknya sama atau mungkin kurang kot (",)

All the best to both of you.

Post a Comment