Aku sedang berada di LCCT Sepang, menunggu penerbangan ke Kuching tengahari nanti. Ada konvensyen 5S di sana dan bos dijemput membuat persembahan. Aku datang sebagai sokongan teknikal.
Kamu tahu apa yang menarik? Selama ini di pejabat, slaid 5S yang dipertonton kepada pengunjung adalah menggunakan Apple Keynote di dalam iMac pejabat. Persembahan di Kuching ini juga memerlukan penggunaan komputer Apple. Tidak mungkin aku mahu angkut iMac seberat 14kg ke sana sini. Jadi aku guna MacBook Pro aku. Aku terpaksa beli kabel khusus yang boleh sambungkan slot grafik ke projektor. Nasib baik bos sanggup bayar.
Dulu lagi aku desak supaya pejabat membeli sekurang-kurangnya sebuah MacBook. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. MacBook jauh lebih senang digunakan berbanding laptop biasa. Kamu tidak perlu fikir pasal virus dan kamu tidak perlu risau sangat kalau sistem tergendala atau tiba-tiba rosak. Lagipun, menggunakan Apple Keynote dalam persembahan kamu, ianya amat-amat cool.
Kemudian, kenapa aku ke Kuching atas urusan rasmi dengan AirAsia? Satu, sekarang kerajaan sudah benarkan staf menggunakan AirAsia untuk urusan rasmi. Dua, ianya jauh lebih murah daripada MAS. Tiga, orang di Bahagian Kewangan tidak banyak komplen kalau kita tempah lambat. Aku tempat penerbangan ini hari khamis, mereka senang hati terima. Cuba kalau guna MAS, banyaklah bunyinya nanti.
Menariknya, walaupun aku guna khidmat penerbangan tambang murah, aku masih dibekalkan dengan kemudahan seperti makan dan minum dalam penerbangan, bagasi percuma sehingga 15kg (kerajaan bayar) dan tempat duduk yang telah ditetapkan. Jadi, tidak banyak sangat bezanya.
Esok aku akan kembali ke Semenanjung. Walaupun di dalam surat, aku dibenarnya berada di Kuching sehingga Selasa, aku perlu balik esok dan balik ke Kuala Kangsar pada hari berikutnya. Pertunangan aku dengan Zura adalah pada hari Khamis. Jadi lebih baik aku balik awal untuk bersiap sedia. Aku boleh jalan-jalan kemudian nanti di Kuching, walaupun tidak ada apa yang menarik sangat hendak dilihat.
Lama aku tidak menulis di sini. Selesai beban kerja di pejabat, harapnya di penghujung tahun ini tidak sesibuk sebelum ini. Jadi boleh aku update blog ini dengan lebih kerap.
Aku perlu siapkan touch-up slaid persembahan bos. Masih ada masa sebelum terbang. :)
No comments:
Post a Comment