18.2.11

Ringkas

Aku baru perasan. Aku hanya ada dua posting untuk bulan Februari ini. Setakat ini aku cuma mencatat 14 posting. Tahun lepas dalam waktu yang sama, aku sudah menulis hampir 80 posting. Gila. Sepertinya keadaan aku sudah tidak ada apa-apa lagi yang hendak diceritakan. Aku lebih suka membaca dan membaca. Aku lebih suka memerhatikan dan mendengar. Itu saja. Menulis menjadi sesuatu yang asing kini.

Aku juga sekarang ada menulis di sebuah forum terbuka Indonesia. Bukan kerana aku tidak patriotik. Aku sering membaca artikel di forum tersebut dan aku dapati banyak informasi yang kurang tepat ditulis sendiri oleh orang Indonesia mengenai Malaysia. Aku cuba memperbetulkan keadaan tersebut.

Sambil aku menulis posting ini, aku menonton filem Yes Man lakonan Jim Carrey. Sebuah filem yang membuka mata, sudah tentu. Memperlihatkan jiwa raga manusia kalau sentiasa berfikiran positif, inshaAllah banyak perkara yang baik juga akan datang kepada kita.

Suatu ketika dulu aku selalunya menjadi seorang 'no man'. Apa saja tidak boleh. Aku tidak mahu lakukan perkara yang aku fikir akan menyusahkan aku kemudian nanti. Hakikatnya aku tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari, bagaimana aku menentukan sesuatu itu susah atau senang? Sediki demi sedikit aku belajar untuk berfikiran positif. Sekarang, lebih banyak yang positif aku nampak dari yang negatif.

Malah untuk tidak menulis di sini pun bukan sesuatu yang negatif. Aku lebih banyak luangkan masa untuk membaca dan memahami lebih mendalam mengenai sesuatu perkara. Itu yang aku lakukan. Ganti malas menulis dengan rajin membaca.

Tapi, mungkin aku perlu menulis dengan lebih kerap. Otak sudah makin berat dengan idea yang tersimpan.

No comments:

Post a Comment