20.6.11

Dua Majlis Resepsi, Dua Tragedi

Dua majlis resepsi (aku pasti perkataan ini tidak ada dalam kamus tetapi aku tidak tahu perkataan yang lebih sesuai), dua cerita tragis.

Resepsi pertama di Kuala Kedah pada 4.6.2011.

Zura sejak awal lagi sudah membeli set pakaian persandingan untuk digunakan pada hari tersebut. Warna hijau pilihannya dan seperti yang sering aku katakan pada Zura,

"Orang Kedah takde warna lain, hijau... kuning..."

Zura mencebik. Dia tidak peduli semua itu. Ketika kami mencuba pakaian tersebut di sebuah kedai di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, ianya sangat padan dan 'ngam'. Kami mencuba set pakaian yang dijadikan 'display set' di kedai tersebut. Bila setuju, tuan kedai mahu berikan set sama yang baru di dalam plastik berbungkus. Jadi, kira okaylah. Set yang sama, tidak perlu cuba lagi. Saiz pasti sama juga.

Tiba sejam sebelum persandingan, barulah aku hendak memakai kembali set pakaian persandingan tersebut. Baju okay. Seluar? Tragedi melanda. Seluar yang sewaktu di kedai tempohari begitu selesa dipakai, kini jadi sangat kecil dan sempit.

Hariman, sahabat merangkap jurufoto rasmi terus berteriak,

"Apa ni Idan? Tragis!!!"

Aku sudah terpaku. Apa yang hendak dilakukan? Majlis persandingan kurang sejam saja lagi. Aku menelefon Zura dan menceritakan apa yang berlaku. Beliau seperti tidak percaya.

Ye lah, semasa kami mencuba di kedai, semuanya okay. Tiba harinya, seluar mengecut? Aneh.

Hariman mencadangkan agar aku dan dia terus ke Pekan Rabu di Alor Star mencari seluar yang hampir sama warna dengan set pakaian tersebut. Aku hampir bersetuju sehinggalah adik Zura tiba di depan home stay tempat aku membuat persediaan. Dia mahu bawa aku berjumpa dengan seorang juru jahit.

Aku ikut sambil menunggang motosikal (di hari perkahwinan aku!) ke rumah juru jahit yang letaknya tidak jauh dari home stay aku.

Seluar aku hulurkan kepada juru jahit tersebut. Beliau melihat dan membeleknya.

"Akak tak boleh nak buat ni. Lebih kain jahitan sikit sangat."

Aku terdiam. Apa lagi yang boleh dibuat? Tiba-tiba juru jahit bertanya,

"Kenapa seluar ni kecil sangat?"

"Kenapa kak?"

Dia tidak menjawab. Sebaliknya mengambil pita pengukur untuk mengukur seluar tersebut.

"Hmm... Tag seluar tanda saiz L. Tapi akak ukur seluar ni saiz M!"

MashaAllah. Patutlah ketat dan sempit. Seluar saiz M dilabel saiz L. Seluar yang aku cuba di kedai tempohari memang bersaiz L; begitu selesa dan lapang. Seluar ini begitu kecil dan sendat.

Sekali lagi aku menelefon Zura. Jam menunjukkan 1.15 petang. Janji majlis persandingan hendak diadakan pada 1.00 petang. Sudah terlewat 15 minit. Setelah puas berfikir, datang Zura dan keluarganya mengambil aku di tepi jalan menuju ke sebuah butik pengantin yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan. Solusi terakhir.

Tiba di butik, kami bertebaran mencari pakaian yang hampir sama warna. Kalau tidak ada warna yang sama, kami sewa saja set yang lain.

Nasib menyebelahi kami. Kebetulan ada sepasang yang warnanya hampir sama. Terus kami ambil dan padankan. Syukur. Sangat sesuai. Ada tengkoloknya juga. Ada keris dan ada bajunya. Terus aku pakai pakaian tersebut di butik. Jam sudah 1.45 petang. Telefon sudah berkali-kali diterima bertanyakan keadaan.

2.15 petang, aku tiba di rumah pengantin perempuan. Keluar dari Volvo (entah siapa punya), kelam kabut pengapit mencari payung. Buka bonet Volvo, ada sekaki payung berwarna hijau. Cantik!

Bila dikembangkan saja payung tersebut, nah, terpampang logo Carlsberg. Kami semua ketawa. Tidak ada apa yang boleh dilakukan selain ketawa dengan situasi yang berlaku. Nasib baik pengantin perempuan menyediakan payung yang cantik.

Semuanya berjalan lancar. Hujan yang sering turun di Kedah pun sempat menangguhkan hasratnya sehingga penghujung petang. Akibatnya, sesi fotografi outdoor aku terhalang. Tetapi tidak mengapa. Ianya jauh lebih baik daripada tragedi seluar pengantin sendat.

Resepsi kedua di Kuala Kangsar pada 11.6.2011.

Aku dan Zura bersiap di rumah keluargaku. Juru solek adalah kenalan adik. Cantik solekannya walaupun pada mulanya aku gusar melihat warna yang ditata pada mata Zura. Sempat aku bertanya kepada juru solek sama ada pasti beliau hendak menggunakan rona warna garang di mata Zura sedangkan pakaian pengantin kami berwarna perak?

Aku sedari tindakan aku itu salah. Juru solek ini sangat berpengalaman. Mungkin sudah jelak dengan persoalan sebegitu dari ramai orang ketika beliau sedang sibuk menghias pelanggannya. Hasil akhirnya sangat memukau. Tidak terlalu ekstrem walaupun aku pasti juru solek sudah menggunakan satu tan pewarna di mata Zura.

Setelah siap kami berpakaian lengkap, aku sedari cuma tinggal aku dan Zura di rumah. Semua orang lain sudah pergi ke lokasi majlis, di sebuah dewan kira-kira 2 kilometer dari rumah. Kenderaan yang mengangkut kami ke sana masih tidak kelihatan. Jam sudah 12.50 tengahari. Perancanganya kami akan tiba di lokasi pada jam 1.00 petang. Ke mana pula kereta pengantin?

Aku menelefon ayah.

"Ada apa? Dah siap? Bila nak datang sini? Ramai orang dah tunggu ni." Terus ayah membebel kerana aku dan Zura masih belum tiba.

"Mana keretanya?" Aku tanya ringkas.

"Hah? Mana ayah nak tahu. Hang suruh siapa ambil?"

"Eh, Idan kena tentukan ke?"

"Mana ayah tahu."

Ah, sudah. Lima minit menjelang 1.00 petang. Kereta belum ada.

Jam 1.00 petang. Aku telefon ayah sekali lagi.

"Dah, ayah dah suruh Syafiq datang ambik hangpa."

"Okay..."

Kami berdua di rumah menunggu. Bayangkan cuma kami berdua, pengantin yang dirai, tersadai di rumah menanti kenderaan untuk membawa kami ke majlis perkahwinan kami!

1.10 petang. Kenderaan masih belum tiba.

Aku memandang Zura. Zura memandang aku. Apa yang sedang berlaku?

"Tak payah pergilah..." Aku mengeluh kepada Zura.

"Okay..." Jawab Zura sambil tersenyum. Dia tahu aku bergurau.

"Penat tunggu ni. Nak duduk pun dah takde selera." Aku tambah lagi.

1.15 petang. Sebuah Honda Civic tiba di depan rumah.

Syafiq, adik aku bergegas keluar dari kereta. Aswad, sepupu aku menunggu di dalam kereta sebagai pemandu.

"Korang pergi mana?" Aku bertanya.

"Pergi ambil kereta la..." Jawab Syafiq.

"Dekat mana?"

"Beluru!" Jawab Aswad...

"Eh, jauhnya?"

"Apasal tak bagitahu awal-awal. Kami pecut laju datang sini tau tak!" Bising Aswad lagi.

"Mana la aku tahu. Aku ingat dah ada kereta." Jawab aku. Sumpah, aku sendiri tidak tahu keadaannya hari itu.

1.20 petang kami sampai di lokasi majlis.

Nampak semua orang tersenyum kecuali beberapa orang.

Semuanya okay. Dugaan hari perkahwinan. Mungkin ada yang lebih sukar dari apa yang kami lalui.

Petang itu, aku dan Zura memandu sendiri kereta untuk sesi fotografi outdoor kami. Dua jam berfotografi, melepaskan geram tidak dapat melakukannya di Kuala Kedah tempohari akibat hujan.

Tragedi di dua majlis resepsi perkahwinan aku dan Zura. Kenangan manis. Semestinya.

5 comments:

Ain said...

Oh, memang biasa kejadian camni berlaku di waktu majlis perkahwinan.. Kalau semua sempurna, kita akan lupa, kurang lah istimewanya...

Bila ada 'peristiwa' macam ni, walaupun pada waktu ia berlaku tu pengantin dah rasa cam nak nangis, dikenangkan kemudian boleh jadi bahan ketawa pula, kan? :)

All the best Idan & Zura ...

Anonymous said...

Abis tu bukan ke pengantin demand nak naik keta besaq...

Che said...

.. dan pasti akan jadi kenangan dan cerita utk dikongsi utk anak cucu. :) maap lah x dpt gi dua2 majlis resepsi kerana jarak yg x mengizinkan :) ape pun alhamdulillah sume dah selamat.. tahniah.

Anonymous said...

betul lar tue...pengantin yg demand nak keta besar...tak nak naik keta kecik ...padan muka...

Aku_ayu said...

Idan.. Mula2 baca..senyum..masih mampu menahan tawa.. Makin lama..senyum makin lebar dan akhirnya ketawa.. Hahaha.. Cam lawak le pulak.. Apa pun..all the best..

Post a Comment