23.6.11

Ini Rumah Kami


Ini rumah kami. Masih kosong. Putih dindingnya tanpa lakaran warna lain, tanpa hiasan.

Hari ini juru elektrik akan memasang lampu, kipas dan pendawaian lain di rumah. Sepatutnya kami lakukan awal lagi. Tetapi kerana jeriji besi masih belum dipasang, kami tangguh kononnya sehingga jeriji besi siap di pasang.

Semalam siang aku menelefon kontraktor yang membuat jeriji besi rumah. Katanya dia dalam perjalanan ke rumah untuk memasangnya.

"Tokay, rumah tu belum ada elektrik tau. Jadi you tak boleh guna electric tools."
"Aiya... Apa macam mau buat kerja?"
"You takde tool biasa ke?"
"Kena pakai elektrik maa... Mau welding lagi."

Ah, sudah. Kenapalah dia tak beritahu aku awal-awal. Aku telefon pun kerana dinasihati saudara supaya memastikan orang yang hendak pasang jeriji besi ada mesin yang menggunakan bateri atau apa-apa alatan bukan elektrik lain. Rupa-rupanya memang kontraktor yang memasang jeriji besi rumah kami perlukan elektrik.

Lalu aku telefon Zura. Untungnya kerja Zura kerana beliau ada ramai pembekal perkhidmatan yang berkaitan dengan khidmat yang diperlukan kami. Pendawaian elektrik contoh. Zura call salah seorang dari mereka.

Terus saja mereka bersetuju untuk datang membuat pendawaian elektrik di rumah kami pada hari ini. Syukur. Malam tadi kami bergegas ke kedai lampu untuk mengambil lampu yang sudah kami tempah tempohari. Mulanya aku letak gambar lampu tersebut di sini. Tetapi aku buang kerana mahu biarkan ianya menjadi 'suprise'. Namun ianya bukan chandelier ribuan ringgit. Untung kami berdua berminat dengan dekorasi kontemporari moden. Jadi set lampu pun dibeli dengan reka bentuk kontemporari. Alasan paling jelas, mudah dibersihkan nanti.

Kami juga beli set lampu untuk ke semua ruang di dalam rumah yang memerlukannya. Termasuk dua kipas siling, harganya masih berpatutan. Kami juga buat keputusan agar ruang tidur utama dihiasi dengan lampu berdiri (stand light) kerana di dalam bilik tersebut hanya ada satu punca pendawaian di siling dan itu kami khaskan untuk kipas siling. Lagipun, bukan sepanjang masa kami perlu buka lampu terang di dalam bilik, ya?

Kami beli mentol jimat tenaga (energy saver) bagi mengurangkan kos bil elektrik. Memang sebiji mentol harganya agak mahal tetapi lebih berbaloi daripada terpaksa membayar bil yang tinggi setiap bulan. Kami pasang mentol jimat tenaga di dalam bilik air (dua buah) dan courtyard kerana kami tahu betapa lecehnya hendak menukar mentol di dalam ruang tersebut. Juga, menggunakan lampu kalimantang di dalam bilik air bukanlah idea yang baik. "Flickers" lampu kalimantang perlukan masa untuk stabil. Kadang-kadang kita hanya ambil masa yang sangat singkat di dalam bilik air, atau courtyard. Jadi lebih baik guna mentol bulat yang boleh bernyala secara "instant".

Perabot? Masih belum dibeli. Tidak ada keperluan yang mendesak. Tetapi ada beberapa perabot yang kami suka. Pertamanya, set meja makan Ikea ini,

LAVER Table & Chair - Image courtesy of Ikea
Orang akan mencemuh, pastinya,

"Oh, tidak ada tempat lain ke nak beli? Ikea bukankah mahal?"

Set dalam gambar di atas cuma berharga RM195. Murah sebenarnya bila memikirkan ianya diperbuat daripada besi dan permukaan meja yang berkaca. Cukup meja makan dengan empat kerusi. Bukan hari-hari di rumah kami itu akan ada ramai orang yang makan di meja makan.

Mulanya kami juga bercadang hendak membeli set "sofa bed" yang kami temui di sebuah pasaraya tidak lama dulu. Dua set sofanya boleh ditukar menjadi katil bila diperlukan. Bagus untuk tetamu yang datang menginap. Tetapi bila difikirkan kembali, pertamanya "sofa bed" mahal dan keduanya, seperti meja makan, bukan setiap masa ada orang yang datang dan tidur di rumah.

Kerana ruang tamu kecil, jadi kami mencari set sofa yang bersaiz sederhana. Masih belum jumpa. Masih belum ada keperluannya buat masa ini. Karpet dan beberapa bantal di atasnya sudah cukup menjadi alas.

Aku secara peribadi mahu membentuk rumah ini menjadi efisien dan jimat ruang. Biar ianya setiap masa kelihatan besar seperti di dalam gambar di atas. Aku mahu tekankan kepada konsep penyimpanan barang dan susun atur yang bertingkat. Selalu bila kita pergi ke rumah orang lain, kita akan dapati hiasan atau susun atur rumah akan bermula dari lantai dan berakhir di separuh ketinggian dinding. Selepas itu hingga ke siling, aku nampak kosong dan ruangnya begitu membazir.

Aku masih ingat ketika menonton rancangan kartun Doraemon mengenai bagaimana ruang yang kecil boleh ditukar menjadi besar kerana susun atur yang efisien. Ya, Doraemon adalah rancangan televisyen yang merepek dan tidak masuk akal. Tetapi ada senario yang boleh kita tiru secara fizikal jika difikirkan secara logik. Aku sangat berminat dengan "floor to ceiling storage compartment" Nampak kemas dan begitu menjimatkan ruang. Tetapi aku dapati untuk membila ruang storan sebegitu memerlukan kos yang banyak. Jadi, sikit demi sikit, inshaAllah.

Ya, aku suka efisiensi. Malah kepala "shower" pun aku tentukan bahawa ianya mesti berkonsep "rain drop". Aku mencari kepala "shower" yang besar dan agak luas. Aku pasti air yang digunakan untuk mandi juga lebih jimat berbanding menggunakan kepala "shower" biasa.

Ini rumah kami. Maaf kerana ianya belum sempurna.



No comments:

Post a Comment