Lama tidak update blog, rupa-rupanya interface menulis blog ini juga sudah berubah. Nampak lebih kemas tetapi boring pun ya juga.
Esok ada perhimpunan Bersih. Harap-harap tidaklah seteruk yang digembar-gemburkan. Aku tidak menyokong Bersih tetapi aku menyokong hak demokrasi setiap individu. Hak mereka untuk berpihak, hak untuk mengundi (suka hati kamu, siapa boleh paksa?) dan hak untuk menyuarakan pendapat.
Hak untuk menyuarakan pendapat sudah aku lakukan di sini. Hak untuk berpihak, itu aku masih belum lakukan. Ini kerana tidak ada satu parti politik di Malaysia ini yang aku nampak benar-benar memperjuangkan demokrasi yang ideal. Hak mengundi? Aku sudah lepas tiga kali mengundi. Ada orang tanya kenapa aku tidak mengundi. Jawapan aku kerana aku tidak menyokong mana-mana parti politik yang menjadi calon di kawasan aku. Idealisme mereka tidak dapat diterima oleh aku. Maka, perlukah juga aku pergi mengundi dan memangkah sesiapa saja yang aku suka? Atau aku tidak perlu mengundi kerana semua calon tersebut tidak menepati citarasa aku?
Jadi bagaimana hendak ada perubahan jika aku tidak mengundi, bukan? Lihat, mengundi adalah hak masing-masing. Sama ada kamu pergi atau tidak, ianya tidak menjejaskan taraf kamu sebagai warganegara. Juga tidak menjejaskan semangat patriotik kamu.
Sama seperti kamu hendak menyokong atau tidak perhimpunan Bersih. Itu terpulang kepada kamu. Hak kamu.
Aku tidak menyokong Bersih. Jelas.
Tetapi aku menyokong hak mereka untuk berhimpun secara aman. Jelas.
Kenapa? Kerana ianya termaktub dalam Perlembagaan.
Kalau masih belum faham, maka kesimpulannya mudah; Pertama, kamu mungkin belum pernah membaca Perlembagaan Malaysia. Jadi aku sarankan bacalah. Kedua, kamu mungkin tidak faham erti sebenar demokrasi. Jadi aku sarankan bacalah.
Iqra itu perkataan pertama. Jangan lupa.
No comments:
Post a Comment