26.8.11

22.8.11

Menghadapi Keadaan Ini

Susah juga hendak hadapi isteri yang sedang mengandung. Simpati memang sangat-sangat simpati dengan keadaan yang sedang dihadapi. Kadang-kadang sampai tidak tahu apa yang harus dibuat. Aku sekadar boleh tengok.

Ye lah, takkan aku nak sedut angin keluar dari mulut dia pula. 

Morning sickness Zura bukan setakat pagi saja, tapi siang malam.

Jadi suami kena banyak bersabar juga sebenarnya dalam keadaan begini. Tidak boleh marah tak tentu pasal jika isteri terbaring lesu dan langsung tidak pedulikan kita. Macam orang selalu kata, kalau kita tidak pernah alaminya, kita tidak tahu bagaimana.

Aku bile hendak mengelakkan rasa susah hati sangat, aku buka komputer dan main games. Lapangkan fikiran dengan bunyi dan aksi di skrin komputer. Tetapi Zura akan selalu panggil aku tanpa sebab. Kadang-kadang semata-mata hendak aku dekat dengannya. Aku jenis bila dipanggil sekali, terus aku bergegas datang. Tidak elok tangguh-tangguh. Mana kita tahu apa yang dia hendak ketika itu.

Kadang-kadang Zura cuma minta aku ambilkan selimut di bilik yang jaraknya dari tempat dia baring cuma lima meter, sedang aku di bilik lain yang lebih jauh. Ambil saja. Jangan banyak ragam. Bukan berat pun selimut yang diminta itu. Ibu mengandung di awal bulan mengandungnya, memang agak teruk keadaannya. Jadi kita kena pandai membantu.

Maka, bila hendak berbuka, aku akan tanya pada Zura apa yang hendak dimakan. Kadang-kadang aku tidak mahu dia masak yang rumit-rumit. Contoh semalam; cukup sekadar nasi goreng. Atau makan di luar saja.

Semasa bujang dulu aku biasa cari makan sendiri, basuh kain sendiri dan seterika baju sendiri. Takkan bila sudah berkahwin, semua skil tersebut hilang? Mustahil. Ianya bukan hilang, tetapi biasanya lelaki akan jadi malas.

Aku tahu bila sampai waktu nanti, aku perlu buat semua itu kembali. Aku tidak risau pasal makan. Aku boleh beli saja. Atau masak apa yang patut. It is not a big deal. Ada perkara lebih penting yang perlu aku berikan tumpuan.

Semoga dipermudahkan olehNya perjalanan ini.

19.8.11

Rezeki Ramadhan


Hendak menulis panjang-panjang, otak masih letih setelah bertungkus lumus menyiapkan kerja pejabat yang dibuat sejak beberapa hari lalu lagi.

Pertamanya, Ramadhan tahun ini membawa berita yang sangat gembira dalam hidup Aku dan Zura. Zura telah disahkan mengandung lima minggu dua hari (sewaktu diperiksa oleh doktor tempohari). Syukur.

Patutlah berlainan benar keadaan Zura sejak kebelakangan ini. Beliau sering mengadu badan tidak selesa. Rupa-rupanya badan Zura sedang dalam proses bersiap sedia untuk ketibaan zuriat kami. Semoga dipermudahkan segala urusan dan dimurahkan rezeki kami berdua.

Aku bertanya dan ditanya (dan oleh orang lain juga), mahu anak lelaki atau perempuan? Jawapan aku dan Zura adalah sama. Anak lelaki atau perempuan, ianya tetap anugerah dunia dan akhirat. Tidak kisah yang mana satu. Kami hanya doakan zuriat yang baik, itu saja.

Kedua, Ramadhan tahun ini juga membuat aku senang hati dengan kerjaya. Aku telah disahkan taraf jawatan baru setelah hampir 10 bulan memangku. 

Langkah seterusnya, inshaAllah aku akan mencuba tahun hadapan untuk memohon jawatan yang lebih tinggi. 

Tetapi seperti posting aku di Facebook tempohari; pangkat dan darjat bukanlah segalanya dalam hidup ini. Ianya tidak seistimewa ketika mendengar khabar gembira dari doktor mengenai keputusan positif ujian mengandung.

Aku gembira di pejabat. Sekarang sudah ditugaskan dengan tugas-tugas baru. Perasaan sedih masih ada mengenangkan aku terpaksa lepaskan kerja yang menjadi minat aku; desain dan grafik. Aku suka berkarya melalui buletin, laporan tahunan, buku-buku dan poster yang aku hasilkan. Tetapi dengan jawatan yang aku miliki sekarang, tugas itu dirasa sudah tidak sesuai lagi untuk aku. Itu pandangan orang atasan.

Dua orang anak buah sedang aku berikan tunjuk ajar dari semasa ke semasa. Nampak mereka dapat menerima baik pandangan, kritikan dan cadangan yang aku berikan. Aku tidak katakan mereka 'diamond in the rough'. Mereka secara jujur aku katakan tidak ada kriteria untuk menjadi designer yang baik. Tetapi sekurang-kurangnya mereka mencuba dan aku hargai usaha mereka itu.

Hidup di rumah baru juga semakin selesa. Ternyata ianya tenang dan mendamaikan. Cuma dalam beberapa hari ini, rumah kami di'ganggu' oleh seekor anak kucing. Anak kucing ini pada malam hari akan naik dan tidur di jeriji besi di bahagian dapur yang bersambung terus dengan koridor apartmen. Mungkin kerana di jeriji itu aku letak helaian kain buruk menjadikan ianya tempat yang selesa untuk anak kucing itu melabuhkan tubuhnya.

Tetapi aku tidak mahu membela kucing tersebut. Awal pagi kucing kecil ini akan meraung meminta makanan. Aku sebolehnya tidak mahu berikan makanan kepada anak kucing ini kerana aku tahu, bila aku mula berikannya makanan, kucing ini tidak akan mahu pergi ke mana-mana lagi.

Ada polisi 'tidak dibenarkan membela haiwan' di apartmen kami dan aku perlu hormatinya. Walaupun ada yang masih berdegil dengan membela anjing, tetapi tidak bermakna aku juga harus melakukannya. Jadi aku dan Zura membuat keputusan untuk membeli jaring dan diikat di jeriji rumah. Kucing itu aku tidak tahu milik siapa kerana di waktu siang hari, ianya tidak kelihatan. Cuma waktu malam saja kucing kecil ini akan tidur di rumah kami. Aku duga ada pemilik rumah yang membela kucing ini dan pada waktu malam, ianya dihalau tidur di luar rumah. Ini kerana kucing ini tidak kurus kering tetapi nampak sihat.

Entahlah. Dulu Zura kata dia mahu membela ikan. Aku kata okay. Akuarium lama aku tertinggal di rumah bujang. Malas hendak ke sana semula. Esok lusa aku mahu cari akuarium di kedai. :D

Cik Ain, mahu anak kucing? Hehehe.

17.8.11

Projek Tukar Layout Baru Dilancarkan.

STICKY! (post terbaru di bawah ~ kalau ada...)

Sudah Ogos. Aku janji Mac tempohari.



Aku beritahu pada penghujung tahun lepas yang aku mahu tukar layout baru. Tetapi bila aku tengok balik, ketika itu aku baru saja tukar ke layout sekarang pada Mac 2010. Jadi aku janji aku akan tukar pada Mac 2011.

Sekarang sudah Ogos 2011.

Okaylah.

InshaAllah aku akan tukar layout baru. Kalau aku tukar layout baru, mengikut konvensyen blog/website aku, ianya sudah versi yang ke-11. Kalau tidak silap aku. Kerana awal tahun ini aku menyambut ulang tahun ke-10 penglibatan aku dalam dunia blogging.

Ya, aku sudah berblog selama lebih 10 tahun. Itu sebelum aku kenal Blogger.com dan terpaksa upload secara manual ke server setiap kali aku update blog. Kerja gila tetapi menyeronokkan. Jam empat pagi masih terkial-kial upload blog walaupun pagi nantinya aku perlu ke pejabat.

Layout sekarang berlatar warna oren. Layout seterusnya warna apa pula yang sesuai ya?

Ini blog aku beberapa tahun lepas.

Ini website aku ketika aku mula-mula menulis blog, lebih 10 tahun lalu. Blog secara manual.

==========

UPDATE 11/8/2011
Adakah anda suka dengan warna dan header baru blog ini? 

11.8.11

Belanja Bonus

Rumah belum ada set sofa dan meja makan. Sebenarnya nasib baik aku belum beli masa bujang dulu. Tengok apa jadi dengan televisyen aku; hancur. Kena tepuk badan TV 100 kali baru nampak gambar. Peti ais dan mesin basuh pun habis kena belasah. Nasib baik dua-duanya masih okay.

Jadi cadangnya dengan rezeki bonus dan gaji, bolehlah beli sofa atau meja makan yang harga murah. Terus terang, biar murah tidak mengapa. Aku dan Zura saja yang akan guna buat permulaan ini. Tetamu pun jarang datang lagi.

Aku teringat sewaktu belajar di Universiti dulu. Salah satu subjek adalah pembuatan perabot. Ya, aku kena buat perabot. Aku hasilkan meja Jepun yang amat kecil. Layak meja tepi sofa saja sebenarnya. Apa tidaknya, aku sibuk tolong orang lain (waktu itu orang lain itu adalah kekasih hati... Hahaha) siapkan perabotnya sampai kerja sendiri terabai. Biasalah.

Betul, kami kena buat perabot sendiri. Ada yang buat kerusi, ada yang buat meja. Aku sudah lupa. Mungkin Bob boleh ingatkan balik. Apa yang kau buat ye Bob?

Aku fikir, kalau ada alatannya, mahu saja aku buat perabot sendiri. Desain dan buat perabot sendiri, dengan kudrat sendiri. Siapa yang tidak respek? Tambah lagi kalau desain dan hasilnya menarik. Dulu dalam majalah Popular Mechanic, kalau tidak salah aku, sentiasa ada lakaran projek DIY yang boleh dihasilkan di rumah. Tetapi perlulah ada peralatan yang sesuai.  Masalahnya, harga peralatan DIY di Malaysia adalah mahal dan kedua, aku tinggal di pangsapuri. Rasanya sangat tidak sesuai kalau aku bertukang. Ada yang mengamuk nanti.

Setakat ini, aku dan Zura bersetuju hendak membeli set meja makan di Ikea yang berharga sangat murah. Sesuai untuk keluarga kecil seperti kami. Buat apa meja makan besar-besar kalau 99% daripada waktu di dalam rumah hanya kami berdua yang akan guna. Set sofa belum ditentukan lagi. Aku tidak suka desain klasik. Itu sudah aku jelaskan kepada Zura. Aku kata desain klasik sukar hendak dipadankan dengan suasana. Adalah lebih baik cari desian kontemporari atau moden. Sesuai dengan keadaan.

Oh, kami juga perlu beli televisyen baru. Aku sudah nampak retak di badan televisyen. Televisyen LCD/LED 40 inci bunyinya sangat bagus... 

9.8.11

Azam

Ye, aku tahu. Sudah berapa kali berazam tapi masih belum ditunaikan.


Aku mahu saiz badan aku seperti di atas kembali. Bawah 80kg, bukan 90kg seperti sekarang. Nampak lebih sihat dan fit. Nampak lebih segak, agaknya. Heh.

Zura agak terkejut aku ada banyak helai baju yang langsung aku tidak pakai padahal ianya masih baru dibeli. Alasan aku, bentuk badan aku tidak mengizinkan. Ramadhan ini pun agak sukar hendak aku penuhi niat aku, menjadi kurus. Makanan yang disediakan oleh Zura sangat sedap dan menyelerakan.

Tapi hari ini awal pagi tadi bila aku pakai seluar kerja, rasa badan lebih kecil sedikit daripada biasa.

:D

There is hope.


8.8.11

Warna-Warna Hari Raya (Yang Masih Terlalu Awal Untuk Disambut)

Tadi terdengar beberapa rakan pejabat berbicara hal duit raya. Mereka sudah mula sibuk untuk menukar duit raya. Tahun lepas ada seorang rakan pejabat yang menguruskannya. Tahun ini sudah tidak ada. 

Aku terfikir; cepatnya. Sekarang pun sudah hari ke-8 berpuasa. Pejam celik, masa berlalu. 

Tahun ini (seperti tahun-tahun sebelumnya), aku tidak ke tukang jahit untuk menyiapkan pakaian 'raya'. Aku dan Zura sudah bersetuju untuk membelinya saja. Lebih mudah. Warna masih difikirkan lagi. Aku serahkan kepada Zura untuk memilih warna kerana pertama, aku rabun warna. Kedua, aku rasa aku sesuai dengan apa saja warna. Kulit aku tidak terlalu gelap dan tidak juga terlalu cerah. 

Tapi biru sudah ada, hitam pun sudah ada. Putih ada. Oren aku pernah pakai dan set baju melayu itu masih ada dalam keadaan yang sangat baik. Warna 'cream' pun pernah. Jadi warna apa lagi ye? Zura berura-ura untuk memilih warna ungu. Aku terima saja. Ungu pun okay, bukan?

Masalahnya aku saban tahun beraya di kampung halaman dan keadaannya begini; mohon maaf dari emak dan ayah, pergi solat sunat hari raya, ziarah kubur saudara mara, tunggu keluarga sebelah ayah datang beraya (kerana ayah paling tua, abang-abangnya sudah meninggal dunia) dan akhirnya duduk terlantar di hadapan televisyen atau di depan komputer. Esok lusa kemudian baru beraya ke rumah sahabat.

Tahun ini ada destinasi lain. Ada rumah mertua yang perlu aku pergi. Ada rumah saudara mara sebelah Zura yang perlu aku ziarah. Banyak pakaian yang perlu dipakai. :-) Agaknyalah.

Cuti amat terhad tahun ini. Ada program di pejabat yang lebih mendesak. Terpaksa berkorban demi berkhidmat untuk negara. Hah! Tidak mengapa. Ada banyak masa lagi untuk beraya. Orang kata raya sebulan, betul?

Sudah dekat hari raya rupanya. Aku belum puas berpuasa!

5.8.11

Ramadhan dan Makan


Lama tidak menulis. Tidak ada alasan. Cuma ada waktu aku mahu menulis tetapi tidak tahu apa yang hendak diceritakan.

Sekarang sudah Ramadhan. Pertama kali berpuasa bersama isteri. Kalau dulu setiap petang sebelum masuk waktu, aku akan mencari juadah makan sama ada di Pasar Ramadhan, makan di restoran atau makan makanan segera. Setiap petang memikirkan apa yang hendak dimakan dan di mana hendak dicari semua makanan tersebut.

Sekarang, balik saja rumah, makanan sudah tersedia dimasak oleh Zura. Ala kadar, seperti yang aku sering mahukan. Kadang-kadang cuma dua jenis lauk pun sudah mencukupi. Sudah menyelerakan. Makanan untuk dua orang rasanya tidak pernah lebih dari RM10. Tempohari Zura buat tempe goreng dengan ikan bilis. Wah, sudah menyelerakan untuk berbuka. 

Aku bukan apa, mungkin sudah sekian lama bila tiba bulan puasa, makan beli di luar. Jadi tidak ada sangat istilah berjimat. Tetapi kali ini terasa begitu menjimatkan. Sahur aku tidak makan. Aku sekadar minum air kosong. Jadi biasanya Zura tidak akan masak banyak. Untung dia juga kerana aku tidak cerewet sangat pasal makan. Maksud aku, cerewet dengan rasa atau jenis makanan. Aku cuma tidak makan beberapa benda dan Zura tahu semuanya. 

Pelik juga bila aku fikirkan ada beberapa benda yang aku tidak makan. Hati ayam contohnya. Suatu ketika dulu, hati ayam merupakan menu utama aku. Hati ayam yang digoreng garing adalah paling menyelerakan. Sekarang aku langsung tidak makan hati ayam. Puncanya apabila aku tahu bahawa hati tempat berkumpulnya bahan kimia berbahaya. Jadi aku cuma makan daging ayam, sama seperti Zura. Zura tidak makan daging lembu atau apa-apa binatang berkaki empat. Aku makan daging lembu tetapi ianya bukan keutamaan. Kalau ada, aku makan. Kalau tidak ada, tidak apa. Kalau aku mengidam, boleh saja ke Ikea dan jamah meatballs, ya? Hehehe.

Lebih menarik apabila sekarang aku suka makan sayur. Aku sentiasa ingat bahawa suatu ketika dahulu aku adalah pembenci sayur-sayuran. Aku sanggup kumpul dan asingkan sayur dari makanan kerana tidak menyukainya. Sekarang ianya jarang berlaku, melainkan sayur itu benar-benar aku tidak suka. Sawi contohnya, atau batang kangkung. Jadi tempohari apabila Zura tanya apa juadah yang aku hendak makan bila berbuka puasa, aku minta Zura buatkan sup sayur. :)

Petang ini aku minta Zura buatkan sohun (betul ke ejaan ni?) goreng. Mungkin aku muak makan nasi. Atau mungkin bercita-cita (dalam hati) untuk mengurangkan makan nasi. 

Kalau orang kenal aku, mereka akan tahu bahawa aku sebenarnya mudah dengan makanan. Sebotol kecil air mineral dan roti pun sudah mencukupi. 

Aku sedar bahawa blog ini semakin banyak menceritakan hal makan. Tetapi aku tidak mahulah letak gambar. Nanti meleleh air liur kamu pula.

Oh, Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak.