5.8.11

Ramadhan dan Makan


Lama tidak menulis. Tidak ada alasan. Cuma ada waktu aku mahu menulis tetapi tidak tahu apa yang hendak diceritakan.

Sekarang sudah Ramadhan. Pertama kali berpuasa bersama isteri. Kalau dulu setiap petang sebelum masuk waktu, aku akan mencari juadah makan sama ada di Pasar Ramadhan, makan di restoran atau makan makanan segera. Setiap petang memikirkan apa yang hendak dimakan dan di mana hendak dicari semua makanan tersebut.

Sekarang, balik saja rumah, makanan sudah tersedia dimasak oleh Zura. Ala kadar, seperti yang aku sering mahukan. Kadang-kadang cuma dua jenis lauk pun sudah mencukupi. Sudah menyelerakan. Makanan untuk dua orang rasanya tidak pernah lebih dari RM10. Tempohari Zura buat tempe goreng dengan ikan bilis. Wah, sudah menyelerakan untuk berbuka. 

Aku bukan apa, mungkin sudah sekian lama bila tiba bulan puasa, makan beli di luar. Jadi tidak ada sangat istilah berjimat. Tetapi kali ini terasa begitu menjimatkan. Sahur aku tidak makan. Aku sekadar minum air kosong. Jadi biasanya Zura tidak akan masak banyak. Untung dia juga kerana aku tidak cerewet sangat pasal makan. Maksud aku, cerewet dengan rasa atau jenis makanan. Aku cuma tidak makan beberapa benda dan Zura tahu semuanya. 

Pelik juga bila aku fikirkan ada beberapa benda yang aku tidak makan. Hati ayam contohnya. Suatu ketika dulu, hati ayam merupakan menu utama aku. Hati ayam yang digoreng garing adalah paling menyelerakan. Sekarang aku langsung tidak makan hati ayam. Puncanya apabila aku tahu bahawa hati tempat berkumpulnya bahan kimia berbahaya. Jadi aku cuma makan daging ayam, sama seperti Zura. Zura tidak makan daging lembu atau apa-apa binatang berkaki empat. Aku makan daging lembu tetapi ianya bukan keutamaan. Kalau ada, aku makan. Kalau tidak ada, tidak apa. Kalau aku mengidam, boleh saja ke Ikea dan jamah meatballs, ya? Hehehe.

Lebih menarik apabila sekarang aku suka makan sayur. Aku sentiasa ingat bahawa suatu ketika dahulu aku adalah pembenci sayur-sayuran. Aku sanggup kumpul dan asingkan sayur dari makanan kerana tidak menyukainya. Sekarang ianya jarang berlaku, melainkan sayur itu benar-benar aku tidak suka. Sawi contohnya, atau batang kangkung. Jadi tempohari apabila Zura tanya apa juadah yang aku hendak makan bila berbuka puasa, aku minta Zura buatkan sup sayur. :)

Petang ini aku minta Zura buatkan sohun (betul ke ejaan ni?) goreng. Mungkin aku muak makan nasi. Atau mungkin bercita-cita (dalam hati) untuk mengurangkan makan nasi. 

Kalau orang kenal aku, mereka akan tahu bahawa aku sebenarnya mudah dengan makanan. Sebotol kecil air mineral dan roti pun sudah mencukupi. 

Aku sedar bahawa blog ini semakin banyak menceritakan hal makan. Tetapi aku tidak mahulah letak gambar. Nanti meleleh air liur kamu pula.

Oh, Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak.

No comments:

Post a Comment