8.8.11

Warna-Warna Hari Raya (Yang Masih Terlalu Awal Untuk Disambut)

Tadi terdengar beberapa rakan pejabat berbicara hal duit raya. Mereka sudah mula sibuk untuk menukar duit raya. Tahun lepas ada seorang rakan pejabat yang menguruskannya. Tahun ini sudah tidak ada. 

Aku terfikir; cepatnya. Sekarang pun sudah hari ke-8 berpuasa. Pejam celik, masa berlalu. 

Tahun ini (seperti tahun-tahun sebelumnya), aku tidak ke tukang jahit untuk menyiapkan pakaian 'raya'. Aku dan Zura sudah bersetuju untuk membelinya saja. Lebih mudah. Warna masih difikirkan lagi. Aku serahkan kepada Zura untuk memilih warna kerana pertama, aku rabun warna. Kedua, aku rasa aku sesuai dengan apa saja warna. Kulit aku tidak terlalu gelap dan tidak juga terlalu cerah. 

Tapi biru sudah ada, hitam pun sudah ada. Putih ada. Oren aku pernah pakai dan set baju melayu itu masih ada dalam keadaan yang sangat baik. Warna 'cream' pun pernah. Jadi warna apa lagi ye? Zura berura-ura untuk memilih warna ungu. Aku terima saja. Ungu pun okay, bukan?

Masalahnya aku saban tahun beraya di kampung halaman dan keadaannya begini; mohon maaf dari emak dan ayah, pergi solat sunat hari raya, ziarah kubur saudara mara, tunggu keluarga sebelah ayah datang beraya (kerana ayah paling tua, abang-abangnya sudah meninggal dunia) dan akhirnya duduk terlantar di hadapan televisyen atau di depan komputer. Esok lusa kemudian baru beraya ke rumah sahabat.

Tahun ini ada destinasi lain. Ada rumah mertua yang perlu aku pergi. Ada rumah saudara mara sebelah Zura yang perlu aku ziarah. Banyak pakaian yang perlu dipakai. :-) Agaknyalah.

Cuti amat terhad tahun ini. Ada program di pejabat yang lebih mendesak. Terpaksa berkorban demi berkhidmat untuk negara. Hah! Tidak mengapa. Ada banyak masa lagi untuk beraya. Orang kata raya sebulan, betul?

Sudah dekat hari raya rupanya. Aku belum puas berpuasa!

No comments:

Post a Comment