24.1.12

Sepuluh Tahun Dari Sekarang, Anak Aku Akan Membaca Ini

"Tahun ke-5 di FB. Tahun ke-3 di Twitter. Tahun ke-10 di Blogger. Live life digitally. :D"
Tertulis di 'wall' Facebook aku tempohari mengenai tempoh masa aku di dalam internet selama ini. Malah, sebenarnya lebih lama dari itu. Laman web aku pertama kali wujud sekitar 1998.

Sepanjang tempoh itu, banyak yang telah aku pelajari. Banyak pengajaran yang aku ambil dan simpan. Antaranya, gambaran manusia realiti jarang sama dengan apa yang dipaparkan di internet. Manusia bila di sini, lebih suka menggunakan alter-ego mereka sebagai sifat sejati terunggul untuk paparan manusia lain yang sebenarnya mungkin melihat semua itu dari mata alter-egonya juga.

Ya, topeng. Dalam internet manusia lebih banyak yang bertopeng dari menunjuk peribadi sebenarnya mereka. Mereka hias avatar mereka di dalam internet sebaik mungkin mengikut acuan kehendak diri mereka. Sekadar 1 dan 0 dalam jalinan infiniti yang kita sangka sangat 'cool'.

Sebab itu juga aku mengambil kata-kata orang di dalam internet seperti secubit garam. Masin tetapi cuma setakat itu. Kerana hanya kita tahu apa yang ada dalam diri kita. Malaikat dan syaitan dalam diri kita, hanya kita yang kenal. Kerana merekalah yang berada di tepi cuping telinga kita menghasut dan memujuk, mendesak dan menasihati.

Ada waktunya aku akan terasa pedas dengan kata-kata orang tetapi aku tahu mereka tidak tahu perkara yang seterusnya. Aku tahu mereka hanya melihat sejauh itu, pada waktu itu. Tidak lebih dari apa yang terpapar di layar di hadapan mereka. Selebihnya dan realitinya hanya kita yang tahu. Kita yang sedang melaluinya.

Sudah kali ke-5 aku putarkan kembali lagu The Sound of Silence nyanyian Simon & Garfunkel, salah sebuah OST filem Watchmen. Lagu tahun 1964; Ayah berusia 18 tahun dan emak masih seusia sembilan tahun, dan sepuluh tahun kemudian mereka adalah suami isteri.

Jangan risau, aku selitkan lagu itu dalam post ini di penghujung cerita. Kamu boleh dengar lagu tersebut sambil membaca tulisan ini. Aku pasti ianya tidak akan dimainkan lebih dari sekali. Begitu keadaannya. Menulis sesuatu mengambil masa panjang kerana banyak perkara dan keadaan yang harus diambil kira. Membaca sekadar itu; membaca. Melainkan ada orang yang cuba memahami setiap baris dan isinya.

Cuti Tahun Baru Cina aku penuhi dengan menziarahi saudara di Bahau, Negeri Sembilan. Zura rindukan anak saudara lelaki tunggalnya yang baru berusia setahun setengah. Dia sudah bijak. Mahu berbicara dengan kita tanpa kita fahami sepatah pun yang diucapkan. Sepanjang perjalanan ke sana, kami lalui jalan luar bandar yang nyaman dan mendamaikan. Gerai buah-buahan ada di mana-mana di tepi jalan dari Ulu Bendol hingga ke Bahau. Selepas Terachi, kami singgah di sebuah gerai dan membeli buah tampoi. Buah yang sangat jarang ditemui ini menjadi kegemaran Zura. Syukur juga dapat temui buah tampoi di situ kerana beberapa hari sebelum itu Zura ada mengatakan hasratnya mahu makan buah tampoi. Malah kami sempat memesan dari saudara Zura yang kebetulan mahu bercuti ke Cameron Highlands untuk membeli buah tampoi di pinggir jalan dari Slim River ke Ringlet. Tiba musimnya, orang asli di situ akan menjual buah tampoi. Tidak sangka pula kami temui buah tampoi di Terachi, Negeri Sembilan. Kata orang, rezeki anak.

Buah tampoi.

Tiga hari dua malam di sana cukup meredakan rindu Zura pada anak saudaranya. Siang malam dihiburkan dengan keletah si kecil. Sekali sekala si kecil akan datang ke dan mencium perut Zura. Dia tahu ada bayi kecil di dalamnya dan mungkin tidak sabar menanti kehadirannya di dunia ini. Tiga bulan lagi, inshaAllah.

InshaAllah cuti Maulidur Rasul yang mendatang ini, kami akan balik ke Kuala Kangsar. Rindu kampung halaman. Rindu emak dan rindu ayah. Jujur aku katakan, aku kurang merindui Kuala Kangsar walaupun itu kampung halamanku. Sepanjang hidup ini dan sejak kami sekeluarga berpindah dari Gerik ke Kuala Kangsar pada tahun 1984, aku cuma kekal bermastautin lama di sana tidak lebih lima tahun; dari tahun 1984 - 1988 dan setahun selepas SPM. Itu saja. Selebihnya aku berkelana di sana sini dari usia 14 tahun.

Aku mencari laksa Kuala Kangsar dan cendol, dan jika dizinkan keadaan, bertemu dengan dua anak saudara kesayangan aku, Raziq dan Raisya. Raziq aku perlu belikan sebuah buku untuknya. Aku mahu dia jadi bijak seperti ibunya. Raisya aku mahu belikan sepasang baju kerana sudah pasti yang memilihnya nanti adalah Zura. Dia sangat sukakan baju budak perempuan. Female bonding agaknya. InshaAllah.

No comments:

Post a Comment