Zura akan melansungkan perkahwinannya esok 18 Mac 2006 di Banting. Aku gembira tapi aku sebenarnya bersedih. Aku gembira kerana apa yang dihajatinya telah tercapai. Kerana sebahagian daripada hidupnya telah lengkap. Kerana dia telah memulakan perjalanan yang baru. Cerita baru.
Aku bersedih kerana disinilah titik akhirnya keakraban kami. Aku takkan mungkin dapat rapat dengan dia seperti yang kami pernah lakukan sebelum ini. Banyak halangan dan peraturan yang perlu kami patuhi agar tidak nanti dia menderhaka kepada suaminya. Tidak boleh lagi kami berjalan-jalan kesana kemari mencari tempat yang tidak pernah kami pergi. Kami redah semuanya kerana itulah minat kami, berjalan (naik kereta, motor, jalan kaki dan lain-lain).
Kami tidak lagi boleh keluar malam minum di kedai kopi atau A&W atau McDonalds atau KFC atau dimana saja yang kami biasa lakukan samada untuk berbual-bual mengenai kehidupan mahupun membantu Zura membuat assignment.
Dan aku tidak boleh melihat senyuman dan tawanya sepanjang masa. Aku tidak boleh lagi mendengar celotehnya sepanjang masa.
Paling utama, aku tidak lagi boleh mengharapkan sesuatu akan berlaku.
Dan begitu juga dia...
Apa yang aku rasakan? Aku telah bersedia 2 tahun yang lalu untuk semua ini. Perlukah aku duduk termenung sepanjang masa memikirkannya lagi? Tak perlu. Aku tak perlu apa-apa untuk melihatkan kepada orang lain yang aku sedang bersedih. Aku hanya perlu diam dan meneruskan kehidupan. Aku masih berjalan, aku masih berlari, aku masih bernafas dan aku masih melihat dunia. Aku masih ada aku sendiri untuk aku pedulikan.
Ramai baca tulisan ini yang mengenali aku dan mungkin tidak sedikit yang terkejut dengan keadaan sebenarnya antara aku dan Zura. Inilah realiti tapi masing-masing perlu berpaling dari realiti ini dan mencari arah yang berlainan. Kerana Zura telah ada yang punya sejak dulu lagi dan kerana dia mempunyai sifat-sifat seperti ayahnya, dia begitu setia tanpa mengira keadaan hati (Ibu Zura meninggal dunia lebih 20 tahun dulu dan hingga kini ayahnya masih belum berkahwin, kerana setia.)
Jadi sehebat mana pun perasaan dia terhadap aku, dia perlu akur dengan keadaan yang dia telah berpunya dan berjanji setia dengan orang tersebut. Itu realitinya. Jangan tanya mitos kenapa dia tidak tinggalkan saja orang tersebut kerana aku sudah katakan kenapa.
Dia juga telah tersalah tafsir hati aku hinggakan ianya menjadi terlewat untuk dia mengubah keadaan. Dan aku terlalu terlewat untuk mengetahuinya.
Maka, redhalah aku menghadapi keadaan dalam kenyataan yang perasaan hati aku ini sebenarnya berbalas, tetapi sudah terlewat untuk mengubah takdir. Dan takdir itu telah menjadi ketetapan yang berlaku sekarang. Aku terima dalam menelan perit yang amat sangat.
Jangan risaukan aku.
Aku tetap ketawa gembira dengan orang sekeliling. Aku tetap tersenyum pada sesiapa yang sudi menerimanya. Aku tetap masih hidup dan aku masih gigih untuk meneruskan kehidupan ini.
====
"Saya nak bagi dua hadiah untuk hari perkahwinan awak"
"Apa dia?"
"Takde pasal saya nak bagitau"
"Ala, cakap la."
-diam-
"Takde, kali ni jangan harap nak tau apa-apa pun"
"Pinggan? Cerek? TV? Apadia?"
"Takde pasal!"
"Pooh? Patung Garfield?"
-tercengang-
"Mana ada orang hadiahkan anak patung time kawin?"
"Ala, biar la. Itu yang saya suka!"
"Huh?"
Maka aku belikan dia patung Garfield (sebab aku dah bagi Pooh dulu) untuknya. Tapi itu bukan hadiah hari perkahwinan dia. Itu sebab aku nak tunaikan hajatnya.
====
"Janji pada saya awak takkan datang masa saya kawin nanti"
"Apa pulak? Sukahati la saya nak datang ke tak!"
"Janji jangan datang!"
"Kalau saya datang?"
"Saya taknak awak datang! Janji dengan saya!"
"InsyaAllah"
"InsyaAllah tak datang!"
"Ye, InsyaAllah"
"Jangan datang!..."
-diam-
Esok pagi aku akan kesana. Satu untuk berikan hadiah yang dikirim oleh kawan-kawannya. Dua, untuk berikan Garfield. Tiga, untuk aku memulakan cerita baru dalam hidup ini kerana disitu nanti semua cerita lama berakhir.
====
Jangan marahkan aku kerana menulis sebegini. Jangan simpatikan aku kerana menulis sebegini. Aku sudah terlalu biasa menghadapi semua ini. Kali ini aku perlu lebih tabah.
Kali ini aku tidak akan kecewa lagi...
No comments:
Post a Comment