18.10.07

Aku Tahu Macamana Raya

Sewaktu di kampung.

Hari ke-3 berhari raya di kampung. Tiada apa yang menarik sama seperti hari raya yang lalu. Mungkin aku sudah terlalu tua untuk menikmatinya. Mungkin ini masih kawasan bandar. Maka kurang budak-budak kecil yang datang berderetan dari rumah ke rumah untuk berhari raya atau yang lebih penting mengutip duit raya. Kalau di kampung, hari raya ke-3 ini adalah sama seperti hari raya pertama kerana pasti ada budak-budak atau orang yang datang berhari raya. Maka kuih raya mesti banyak dan sentiasa ada. Lemang dan ketupat mesti sentiasa ada. Sekurang-kurangnya cukup sehingga hari raya ke-7 atau budak-budak sudah kembali ke sekolah.

Aku pernah melalui fenomena berhari raya sebegitu semasa zaman budak-budak di Gerik. Sekitar hujung 70an dan 80an ianya perkara yang amat-amat biasa. Sekumpulan budak-budak berjalan kaki atau berbasikal akan singgah dari rumah kerumah untuk makan sebiji dua kuih dan kalau sedap akan tambah sekali lagi dengan harapan untuk dapat duit raya 10 sen atau kalau bernasib baik, 20 sen. Aku sebut ‘harapan’ kerana ianya cuma sebuah harapan. Kalau tak dapat, tidak apa. Rumah lain ada. Selalunya dapat dan pastinya tidak akan ada sarung kertas ala ‘ang pow’ yang cukup popular sekarang. Cukup dengan diletakkan terus duit ketapak tangan. Tidak perlu teka kerana sudah nampak jelas berapa tuan rumah akan beri.

Peliknya kalau pergi 20 rumah sekalipun, tidak akan terasa kenyang sesudah makan di setiap rumah tersebut. Mungkin kerana terlalu gembira berhari raya dan mengumpul duit raya, segala rasa kenyang itu hilang. Entah, mungkin. Pastinya setelah petang, kami akan berkumpul dan mengira hasil usaha kami. Kalau sehari dapat seringgit dua, kira sudah cukup. Cukup banyak buat masa itu yang 5 sen sudah dapat gula-gula 3 biji. Dalam seminggu berhari raya, mungkin kalau bernasib baik dapatlah duit raya dikumpul sebanyak 10 ringgit. Ah, banyak sungguh nilai RM10 itu.

Samada kami guna untuk duit sekolah yang pastinya boleh tahan 2 – 3 bulan, atau emak dan ayah suruh simpannya di dalam tabung atau di bank. Apa pun, duit syiling yang paling banyak dikutip. Duit ringgit kertas adalah suatu kemewahan kalau diterima. Kelibat budak-budak dengan poket berdeting-deting dengan duit syiling adalah perkara biasa. Sekali sekala kalau terjumpa kedai runcit, kami akan pergi untuk membeli air soda atau sarsaparila yang berharga 20 sen sebotol. Air soda orang kampung. Murah.

Baju raya. Cuma ada sepasang dua. Sepasang baju melayu kalau baju melayu lama sudah tidak muat atau lusuh. Sepasang baju t-shirt dan seluar slack. Kasut getah yang dibeli di kedai Bata atau pasar malam. Mungkin ianya tidak lebih RM20. Aku masih ingat sewaktu darjah 4, ayah belikan sepasang kasut sukan berjenama Patrick berharga RM35. Cukup mahal ketika itu. Baju t-shirt pastinya berkolar dan berbelang-belang seperti baju Arnold Palmer.

No comments:

Post a Comment