17.10.07

Mengenai "<" dan ">" lagi...

Mengenai '<' dan '>'. Aku belum habis bercerita.

Sebenarnya aku tak faham dengan <. Kenapa dan mengapa mereka perlu persoalkan apa saja tindakan orang lain? Mungkin mereka mahu memperjuangkan semangat dakwah mereka sehingga dalam dunia virtual ini pun boleh dijadikan tapak untuk mereka berdakwah. Cuma, melalui pandangan aku, mereka ini adalah pendakwah naif yang secara amnya mengambil petikan dari blog atau web lain untuk dijadikan intipati tulisan, kritikan, bantahan atau teguran mereka. Akhirnya yang benar atau yang salah jadi amat-amat kabur.

Disebabkan internet bersifat universal dan bergerak pada kelajuan cahaya atau gigabits per saat, informasi doktrin mereka itu mudah tersebar luas dalam sekelip mata. Maka > secara sekelip mata terpopular kerana penulisan rebelius mereka menongkah arus norma hidup melayu biasa (yang majoriti). Sementara > mentafsirkan diri mereka sebagai menjadi lain, keluar dari kekotak hidup dan cuba menjadi yang tidak biasa, < pula menambah cerita dan menegatifkan > secara membabi buta (kenapa babi jadi mangsa? - aku sebenarnya tak pernah tengok babi yang buta, babi kena virus nipah pernah la tengok).

Maka > terus diangkat sebagai 'wira' sekiranya boleh digunakan perkataan itu dikalangan penyokongnya kerana tulisan non-kompromi mereka terhadap golongan <, puak < pula semakin hebat membincangkan kepincangan hidup > (yang takde kena mengena dengan <) dan pengaruh gaya penulisan golongan > terhadap orang lain yang bukan < dan >. Maka orang seperti aku dan ramai lagi yang selalu dianggap oleh parti-parti politik sebagai pengundi atas pagar (walaupun aku tidak pun berada atas pagar, sebaliknya atas kerusi yang empuk) menjadi semakin asyik untuk membaca ulasan dan kritikan, hentaman dan teori-teori kelangsungan hidup masa kini. Ianya sesuatu yang menarik untuk dibaca tetapi tidak menarik untuk diketengahkan secara kritis.

Ada kalanya aku melihat ramai antara mereka ini yang sebenarnya hidup berlandaskan fahaman Will Hunting dalam cerita Good Will Hunting. Baca buku atau apa saja artikel sebanyak mungkin dan berdasarkan pembacaan itu mereka membuat teori dan andaian mengenai dunia sekeliling mereka. Dan berada dikalangan warga yang sekepala dengan mereka, prinsip dan teori yang terbincang oleh mereka pastinya berkisarkan pada dasar yang sama, pengaruh yang sama dan ideologi yang sama.

Maka siapa sebenarnya yang tidak keluar dari kekotak? Tanya diri sendiri.

Suatu masa dahulu, semasa kawan aku sakit (mungkin buatan orang, katanya), aku berkata yang aku akan balas dendam untuk dia. Namun dia tegah. Katanya kalau dia jumpa orangnya yang menyakiti dia, dia akan memohon maaf terhadap orang itu. Aku tanya kenapa perlu mohon maaf kepada orang yang sakitkan kita. Katanya, kalau kita tak sakiti orang itu dahulu, sudah tentu dia takkan sakiti kita balik. Secara teorinya mungkin betul keadaan sebegitu. Dan aku percaya apa saja tindakan kita, ada sebab dan ada akibatnya. Kenapa orang lain perlu persoalkan? Lainlah tindakan kita itu menyebabkan orang lain yang susah. Itupun pastinya bukan niat kita diawal perbuatkan kita secara sengaja.

Maka sudah pasti kalau golongan > hendak menulis tentang seks bebas, anarki dan arak, mereka menulis kerana mereka mahu menulis dan ianya di'benar'kan berbuat begitu akibat daripada orang-orang yang membenarkannya secara tidak langsung. Engkau takkan gigit tangan orang yang bagi engkau makan, begitu? Kecuali kalau kita mahu jadi seperti Burma atau Laos atau mana-mana tempat yang menyekaat kebebasan bersuara secara total, maka hormati walau sedikit kebebasan yang ada. Kalau tiba waktu ianya dirampas dari diri kamu, maka pada masa itu sajalah bergunanya fahaman doktrin anarki yang diperjuangkan oleh sesiapa saja. Tengok Braveheart. Dia mahu hidup seperti orang lain asal jangan ada orang kacau hidup dia. Tapi bila dia dikacau, baru dia memberontak. Memberontak sebelum dikacau adalah bodoh.

Puak < pula perlu faham situasi dan keadaan sekeliling dengan lebih mendalam sebelum membuat ulasan tanpa batas mengenai sesuatu perkara yang mereka cuma faham dipermukaannya saja. Bila orang lain kata pegang babi dan anjing tu salah, mereka pun menyalak macam anjing kata ianya salah. Oh, mereka lupa cerita anjing dalam gua bersama pengikut Allah suatu masa dahulu. Mungkin < kata, itu cuma cerita yang menunjukkan kebaikan dalam Islam. Itu saja ke? Jadi kenapa bagi contoh anjing? Kenapa tidak unta? Keldai? Tak susah nak fikir pasal halal haram. Itu masalah umat <. Malas berfikir. Malas untuk mengurai apa yang ada depan mata. Malas nak kaji dari semua sudut (golongan > tak kurang malasnya juga).

Jadi aku tanya sekali lagi, siapa sebenarnya yang tidak keluar dari kekotak lagi?

Untuk A.K.A.B, email aku: ahmadsharidan@gmail.com. Aku suka penulisan dia, cuma aku fikir dia terlalu 'Will Hunting' dalam penulisannya. Aku lebih senang terima penulisan INI, lebih jujur dari minda, pada pendapat aku.

Mahu aku sambung lagi?

No comments:

Post a Comment