33 tahun kemudian, aku berada di sini. Putrajaya. Kota Pentadbiran Kerajaan Malaysia. Aku bekerja di sini. Hidup sekarang bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Itu realitinya. Masih belum stabil walau sudah separuh hidup aku lalui.
Namun kali ini aku tidak mengeluh. Tidak perlu. Ya, aku pasti akan sambut hari lahir aku seorang diri di mana-mana fast food yang berdekatan. Itulah yang biasa aku lakukan sejak beberapa tahun yang lalu. Duduk di meja dengan set makanan yang telah dibeli dan senaskah surat khabar atau majalah untuk aku baca. Itu treat aku untuk diri sendiri. Aku gembira dengannya. Tidak perlu menyusahkan sesiapa. Kalau kamu baca ini dan kamu berasa sedih dengan keadaan aku, jangan. Tidak perlu. Kerana aku sedikit pun tidak bersedih. Ini rutin aku dan walaupun ianya membosankan bagi kamu, ianya menggembirakan hati aku. Sekurang-kurangnya pada saat itu aku gembira.
Kemana arah perjalanan aku selepas ini, aku tidak peduli. Aku lalui saja tanpa banyak bicara dan persoalan. Hidup ini lebih senang begitu, tanpa bicara dan persoalan. Langit petang yang damai, cahaya pagi yang indah, malam di kala bintang-bintang berkerdipan, angin dan pantai, hujan... Semua itu lebih indah dinikmati tanpa bicara dan persoalan. Aku cuma perlu duduk diam dan menikmatinya. Kenapa aku perlu persoal dan bicarakan segala teori dan falsafah mengenai sekeliling aku? Aku tidak cukup bijak untuk semua itu.
Sahabat-sahabat, orang yang mengenali dan sesiapa saja; biarkan saja mereka dengan hidup mereka. Aku tidak mahu mereka bersusah payah mengingati hari lahir aku dan mengucapkan selamat kepada aku. Tidak perlu. Kerana mereka tidak seperti aku, mungkin. Mereka tidak perlukan nostalgia untuk hidup. Mereka tidak perlu melihat apa yang ada di hadapan mereka kerana mereka sedang melihat nun jauh di sana. Masa depan mereka. Sedang aku pula sentiasa terhenti-henti dalam perjalanan dan melihat apa yang ada di hujung jari kaki ada selalu juga menoleh kebelakang dan melihat apa yang telah aku lalui. Itu aku, bukan kamu. Aku tidak mahu berlari. Aku mahu berjalan dan menikmati hidup dengan cara aku sendiri.
33 tahun aku di sini dan ianya amat memuaskan. Tidak ada apa dalam dunia yang aku sanggup gadaikan untuk ditukar dengan apa yang telah aku lalui. Aku takkan lakukannya. Ini hidup aku dan aku menghargainya.
Terima kasih kerana sudi membaca.
1 comment:
happy belated birthday..
takpe..aku faham. kerana aku juga pernah melaluinya. suatu masa. lama dulu.
Post a Comment