Kalau si penjaga NERAKA sudi berkunjung dan meninggalkan komen dalam penulisan aku yang sebelum ini, maknanya apa yang aku tulis ada signifikan. Hey, aku signifikan!
Sigh...
Aku tak peduli pun. Apa yang lebih penting, orang faham apa yang aku tulis dan mengapa aku tulis. Tidak perlu berprosa dan berbunga-bunga dalam penulisan hanya cuma untuk menarik perhatian orang membacanya namun langsung tidak faham apa maksudnya. Atau tidak perlu juga kita tiru gaya penulisan orang lain hanya semata-mata kita suka gayanya namun kita tidak pernah faham maksudnya.
Seperti ada kultus (cult) dalam blogging ini. Apabila ditemui seseorang yang menulis begitu menarik dan mengujakan hati dan jiwa, maka bakal tumbuh bagai cendawan penulis-penulis blog 'wannabe' yang cuba meniru gaya penulisan blog pujaan mereka. Awal 2002 dahulu semasa aku masih baru dalam penulisan blog, Rudy "Blue Hikari" adalah 'cult' kepada pembaca-pembaca blog. Semua orang mahu menjadi sepertinya; menceritakan suram hidup dan kadang-kala diselang selikan dengan bahagia. Dari kalangan mereka itu wujud Geng Jurnal, himpunan penulis-penulis blog Malaysia (90% berbahasa Malaysia) pertama. Sewaktu kemuncaknya dahulu ratusan mahal ribuan senarai blog boleh di lihat di website Geng Jurnal. Sungguh meriah hingga beberapa kali mereka adakan gathering.
Kemudian timbul lagi nama-nama besar dunia blog melayu (aku tidak membicarakan blog politik) seperti Sultan Muzaffar dan Nizam Zakaria yang memberikan pengkhususan kepada penulisan dunia glamer industri hiburan.
Lewat masa sekarang pula adalah giliran penulis rebel yang tidak mengaku rebel atau sekurang-kurangnya melihat orang lain adalah rebel sedang mereka sebenarnya normal. Blog seperti Semusim di Neraka, Aku Tak Peduli, Trankuiliti Tronoh dan beberapa blog lain lagi adalah peneraju imej masa kini penulisan blog.
Sebenarnya setiap dari mereka ini ada pengikut sendiri yang sedaya upaya cuba meniru gaya penulisan penulis asal. Ada yang berjaya dan membangkitkan niche mereka sendiri. Namun ramai dari mereka yang gagal sepenuhnya. Tidak saja ianya menjadi begitu mual untuk dibaca, namun mereka sanggup mengada-adakan cerita hanya kerana mahu mencapai tahap yang sama dengan blog idola mereka.
Rudy "Blue Hikari" yang pernah berhenti, sudah kembali menulis dan masih ada peminat tersendiri. Malah kalau di perhatikan betul-betul, mereka adalah pengikut cult Blue Hikari dengan gaya penulisan dan adunan ayat yang hampir sama gayanya. Sultan Muzaffar dan Nizam Zakaria sudah jarang aku berkunjung namun masih terus aktif dalam blog hiburan mereka.
Masa kini adalah masa Semusim di Neraka. Blog yang cuba memelayukan blog lain (kerana penulisnya mengajak pembaca menulis blog dalam bahasa Malaysia) dengan arak, punk, seks bebas, falsafah-falsafah hasil penulisan nama-nama besar di Barat (yang kebanyakkan orang melayu tidak pernah tahu dan tak mungkin mahu mengetahuinya) dan ideologi-ideologi lagi. Dan lihatlah serpihnya bertaburan jauh di dalam dunia blog. Semua orang mahu meniru gaya penulisannya. Semua orang mahu marah, kutuk dan pujinya. Semua itu adalah penghuni 'cult' baru musim 2007-2008 ini, dan mungkin untuk beberapa tahun akan datang.
Boleh dikira dengan jari (mungkin perlu sedikit ingatan yang kuat) blog-blog yang bersifat 'neutral' yang ada dalam internet. Neutral di sini membawa maksud, ianya tidak membawa apa-apa perubahan kepada pembaca yang membacanya. Tidak mempengaruhi walaupun amat-amat popular. Secara umumnya, blog sebegini yang akan terus bertahan tahun demi tahun dan bertahan terhadap peredaran masa dan perubahan budaya. Sampai masa orang tidak mahu lagi membaca poetik Blue Hikari dan Semusim di Neraka. Sampai masa mereka (pembaca blog - tetapi tidak mahu menulis sendiri) ini akan beredar dan mencari.
"Ye, apa lagi yang menarik?"
"Apa lagi yang berlainan?"
"Apa trend terbaru penulisan?"
Sekali sekala mereka akan kembali berkunjung dan membaca (sebagai isyarat yang mereka sedang mengenang sejarah lalu). Namun mereka tidak lagi terlibat dalam cult-cult segera yang sering tumbuh dalam sfera blog ini.
Terdetiknya aku mahu menulis sebegini kerana aku berkunjung ke blog Blue Hikari dan membaca beberapa post beliau. Kemudian aku membaca Semusim di Neraka (ditambah lagi dengan komen yang ditinggalkan oleh penulis SDN di post aku yang sebelum ini), maka aku terdetik berfikir begini. Mungkin segala telahan aku ini tidak benar. Namun, kalau kamu sudah berada di sini sejak lama dahulu, kamu akan faham maksud aku.
Perlukah aku kemukakan tips untuk bakal penulis blog supaya dapat bertahan lama dan ada pembaca setia yang membacanya? Sedang aku sendiri tidak sehebat blog-blog yang aku sebutkan tadi, maka tips aku cuma 1/10 efektif.
1. Tulis apa yang kamu rasa kamu ingin tulis. Apa saja. Jangan terbeban dengan had/limitasi.
2. Tulis dengan jujur. Kalau kamu bukan perokok, jangan kamu kata aku sedang menulis bait-bait ayat di blog sambil sebatang Dunhill terselit di jari (atau di telinga). Orang akan dapat hidu pembohongan kamu.
3. Jangan meniru. Meniru adalah alasan paling bodoh untuk cepat popular. Kamu tetap tidak akan popular.
4. Gaya kamu sendiri. Ya, seperti di no. 3, kamu takkan boleh tiru gaya orang lain. Kamu takkan boleh tiru Rudy atau AKAB biar kamu tontoni Catch Me If You Can(belajar teknik meniru) sejuta kali pun. Mereka adalah unik.
5. Jangan cerewet dengan ayat. Kalau kamu bukan seorang yang puitis, tulis saja dalam bentuk penulisan biasa. Kalau kamu ingin berpuitis, tulis betul-betul puitis.
6. Jangan menghentam orang lain atau blogger lain kerana ruginya kamu juga. Blogger lain itu mungkin sebenarnya boleh jadi kawan baik kamu di waktu susah.
7. Jangan fikir orang lain akan baca penulisan kamu sebaik saja kamu post 100 post dalam masa sejam. Sfera blog amat-amat besar dan 100 post kamu itu adalah sama seperti suku titik air di lautan. Tulis dan tulis lagi hingga mungkin ada orang yang take notice secara sengaja atau tidak (terjumpa blog kamu).
8. Ya, ini blog, open diary. Jangan terlalu sensitif dengan kritikan orang yang membaca.
9. Ya, ini blog, open diary. Jangan kamu fikir kamu bersembunyi, orang takkan jumpa.
10. Blogger yang baik adalah blog yang bercerita mengenai apa yang ada sekelilingnya, bukan apa yang tiada disekelilingnya.
Bukankah aku kata aku tidak pandai memberi tips?
2 comments:
mungkin kau jujur. Aku juga rasa kau tak pandai memberi tips.
lol.
hihihi.. ares bahar ni.. jujurnya komen..
tp ok apa tips tu.. bagi aku le yg tak pernah tulis blog ni..
Post a Comment