Sedang aku berhempas pulas untuk memikirkan corak, warna, design, bentuk dan apa saja yang berkaitan dengan kerja-kerja aku sebagai seorang yang ditugaskan khusus untuk menghasilkan majalah, buku dan apa saja kerja-kerja percetakan jabatan. Nampak selalu aku diam tidak melakukan apa-apa. Sedang dalam kepala mencari-cari idea yang sudah lama hilang. Aku pulang kerumah dengan kepala ini setiap hari dilanda migrain dan tidak ada sesiapa yang tahu. Tidak perlu aku tunjukkan di pejabat kerana nanti aku dituduh mengada-ngada.
Tidak, aku tidak memperlekehkan sesiapa. Setiap orang ada tugas masing-masing. Begitu juga aku. Cuma tugas aku memerlukan aku sentiasa berfikir dengan kreatif sepanjang masa dan ini menyebabkan aku tidak mampu tersenyum dan ketawa di kala mereka sedang bergembira.
Apabila aku ber'cuti' di Port Dickson tempohari, ada yang mempersoalkannya. Ada yang tidak suka dan aku tahu. Aku sudah tahu dari awal. Tetapi aku tidak nampak apa-apa pun lagi yang mereka hasilkan itu kreatif setakat ini. Aku juga tidak persoalkan kemana saja mereka pergi dan kenapa perlu mereka pergi kerana aku sudah bosan dengan retorik bos yang nyata berat sebelah dalam banyak hal.
Inilah permainan pejabat. Kamu kerja di mana-mana saja dan ianya pasti sama. Kalau kamu jenis pendiam dan tidak mesra dengan orang lain, kamu akan terpinggir sedang tanpa sebab yang jelas mereka melakukannya. Jadi aku berasa terpinggir di sini, namun aku biarkan saja. Kerana benak otak ini terlalu banyak memikirkan hal-hal lain daripada memikirkan hipokrasi mereka. Aku lakukan kerja aku sendiri dan aku perlukan masa yang panjang dan mereka tiada yang membantu. Tidak mengapa, aku tidak minta.
Cuma aku terkilan apabila mereka santai mereka. Aku terkilan kerana sedang mereka bersantai, mereka tidak sedar aku terus berhempas pulas di benak otak ini untuk menyiapkan kerja-kerja yang tidak layak aku lakukan.
Jadi lebih baik aku berdiam diri dan menyiapkan apa saja yang ada di hadapan mata. Biarkan mereka gembira dengan hidup mereka; dapat kemana-mana dan dapat setiap hari beberapa jam waktu santai. Aku masih perlu berfikir dan berfikir secara kreatif untuk menyiapkan kerja-kerja aku.
Ah, ini bukan keluhan. Aku cuma terasa mahu menulis.
1 comment:
.... Aku terkilan kerana sedang mereka bersantai, mereka tidak sedar aku terus berhempas pulas di benak otak ini untuk menyiapkan kerja-kerja yang tidak layak aku lakukan....
Buat kerja biar niat kerana Allah Taala..
Post a Comment