29.9.08
23.9.08
22.9.08
Jaminan Kerja Sebagai Kakitangan Awam!
Kamu kerja dengan kerajaan atau sedang memohon kerja dengan kerajaan? Aku jamin ini adalah sebahagian daripada insentif-insentif pandangan orang ramai terhadap kamu yang kamu akan perolehi:-
1. Kamu dijamin akan dituduh PEMALAS biar betapa rajin sekalipun kamu bekerja. Tidak perlu kamu bersusah payah mengaku kamu bekerja 20 jam sehari, orang masih fikir kamu cuma duduk di meja dan tidak berbuat apa-apa melainkan goyang kaki (aku juga jamin apabila pencen kelak, kaki kamu akan kehabisan ligamen akibat selalu bergoyang).
2. Kamu dijamin akan dituduh buat kerja sambil lewa biarpun kamu sedang buat kerja mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dalam segala standard antarabangsa. Kerja kamu masih tidak bermutu. Tiada kualiti dan tidak sehebat kakitangan swasta. Walaupun kamu sedang menguruskan sistem pengurusan indentiti tercanggih di Malaysia sehingga lebih 100 organisasi kerajaan dan swasta yang turut menggunakannya, kerja kamu itu tetap tidak akan dianggap berkualiti. MS ISO 9001:2000 yang banyak organisasi kerajaan terima? Orang ramai fikir ianya semua dibeli semata-mata.
3. Kamu dijamin akan dituduh kerja makan gaji buta setiap hari walaupun gaji itu tidak pernah cukup untuk menyara diri sendiri, apatah lagi untuk berkeluarga. Orang fikir gaji kamu itu cukup untuk membeli banglo mewah (rumah pangsa tingkat 4, tiada lif), kereta besar (enjin 850cc, tiada NCAP rating) dan pakaian mewah (yang dibeli ketika sales di Jusco). Biasalah orang kerja kerajaan, dapat bonus tiap-tiap tahun; walau hakikatnya bonus dibayar 2 kali setahun dengan kadar minima RM500 (untuk tahun ini) saja. Tapi orang masih anggap ianya bertuah. Aku teringat, awal tahun ini house mate aku yang kerja swasta cakap dia dapat bonus 3.5 bulan gaji (gajinya kira-kira RM5000 sebulan), dia masih kata aku beruntung sebab dapat bonus tiap-tiap tahun kerja kerajaan. Ye lah, aku amat beruntung.
4. Kamu dijamin akan dicop mempunyai mentaliti kelas kedua walaupun kamu lulusan universiti terkemuka, lulusan kamu itu masih dianggap takat cukup makan atau lulusan seni (arts) semata-mata. Kamu tidak perlu mengaku kamu pakar terulung di dunia (melainkan kamu MelayuMinimalis), kerana orang ramai masih anggap kamu takat layak kerja dengan kerajaan saja untuk tahap pengetahuan kamu itu.
5. Kamu yang lebih spesifik kalau kamu itu Melayu dan bekerja dengan kerajaan, jangan risau, semua di atas adalah terjamin buat kamu dan ditambah lagi; kamu adalah anti bangsa asing, kamu anti agama lain, kamu anti budaya lain, kamu anti pembangkang, kamu anti pembangunan, kamu anti perpaduan, kamu tidak cukup bagus, kamu memang tidak berguna kalau cuba juga hendak bekerja dalam sektor swasta, kamu tiada maruah, kamu makan rasuah, kamu penipu, kamu pemalas, kamu tiada kerja lain selain tidur, berbual, mengumpat dan menggoyangkan kaki kamu di dalam pejabat setiap hari.
Itu hakikatnya pandangan ramai rakyat Malaysia (orang awam) terhadap kamu yang bekerja dengan kerajaan. Apa yang orang ramai mahu dari kamu sebagai penjawat awam?
Kalau kamu bekerja di kaunter, kamu mesti layan orang yang datang ke kaunter tidak lebih 5 minit dari waktu dia mula menunggu. Biarpun ada beratus orang lain yang turut beratur menunggu, semua mereka mahu kamu layan mereka secepat mungkin. Bank? Bank takpe, kalau tunggu seharian pun boleh sebab bank simpan duit mereka. Kalau bank tak bagi nanti, susah pula, bukan? Kamu pekerja kaunter mesti kerja sepantas kilat. Aku sarankan aku jalani pembedahan plastik, tambah lagi sepuluh jari, sepasang mata, sepasang telinga dan sebiji otak supaya kamu dapat melayan 2 orang serentak. Oh, sepasang mulut lagi. Hidung tidak perlu (kamu mahu cium bau orang ke?).
Kalau kamu penguatkuasa, sebaiknya kamu tidak perlu ada tangan, kaki, mulut, mata dan telinga. Kamu tidak perlu kejar pendatang haram kerana ada orang Malaysia fikir perbuatan itu kejam (lebih kejam daripada menyamun rakyat Malaysia), tidak perlu menyaman orang ramai kerana mati mereka tanggung sendiri; jadi biarkan mereka merempit, lumba kereta, langgar lampu isyarat dan langgar had laju, salah parking, buka gerai haram dan segalanya. Seperti yang aku cakap, mati mereka tanggung sendiri. Tidak perlu juga kamu pergi meninjau masalah perumahan haram kerana tidak baik merobohkan rumah-rumah haram. Kesian mereka yang tinggal di situ. Mana mereka nak tinggal kalau rumah haram mereka dirobohkan? Eh, takpe, biarkan mereka tinggal disitu terus sebab mereka tidak mampu beli rumah; mereka cuma mampu beli Astro, TV plasma, kereta, motor dan lori.
Kalau kamu kerani back-office, aku sarankan kamu jumpa doktor pakar dan tanya ada atau tidak ubat yang boleh menahan kamu dari tidur; supaya kamu dapat bekerja 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Kamu tidak perlu bercuti, buang masa dan merugikan negara. Aku juga cadangkan kamu bawa segala pinggan mangkuk, bantal, tilam dan katil serta almari baju dan simpan bawah kubikel kamu. Buat apa balik rumah, merugikan. Buat kerja. Kamu dibayar RM1200 sebulan untuk menjadi kerani kerajaan dan bekerja untuk rakyat. Bukan untuk tidur, rehat, makan dan minum. Kejap, pinggan mangkuk, bantal, tilam dan almari tak perlu bawa. Kamu tidak perlukan semua itu. Kamu perlu bekerja dengan penuh dedikasi untuk rakyat. Ingat. Untuk rakyat. RM1200 kamu terima itu adalah duit rakyat. Tak baik mencuri dari rakyat, tau tak?
Okay, sinis, aku faham. Tapi realitinya begitu. Kamu hendak bantah? Suka hati. Kalau kamu tidak pernah bekerja sebagai kakitangan kerajaan, kamu takkan faham.
Kamu Ada Dendam Kesumat?
Apabila membaca blog dan web dalam internet, artikel dan komen yang terdapat dalamnya, aku nampak satu ruang yang semakin lama semakin dipenuhi oleh orang; kebencian dan dendam. Ianya amat jelas kalau membincangkan hal-hal politik di Malaysia. Kenapa dan bagaimana manusia begitu mudah membenci dan berdendam, aku tak mengerti. Mungkin ramai antara kita yang belajar dalam hidup mereka, kebencian dan dendam itu adalah perkara normal dan tidak menjadi masalah sekiranya kita luahkan.
Contohnya Tun Dr. Mahathir (TDM). Kamu lihatlah banyak cacatan blog dan banyak komen yang menghina, menghentam, mengungkit asal usul beliau dan segala keburukan dirinya. Aku sendiri tidaklah menyokong 100% TDM tapi aku tidak pula membenci. Seingat aku dalam hidup aku, tidak sekali pun dia pernah sakiti aku secara langsung. Tidak pernah dia datang ugut aku itu ini atau dia tarik balik rezeki aku (kerana aku sedar rezeki itu di tangan Tuhan). Malah, kalau banyak sekalipun buruk dia, aku mahu nampak yang baik saja. Apa yang baik beliau telah berikan kepada aku (aku tak kisah rakyat Malaysia lain). Pastinya orang akan berkata aku sebenarnya sukakan TDM dan memujanya. Kamu tanyalah emak aku, dia tahu betapa marahnya aku terhadap TDM ketika Anwar dipecat dan ditangkap dulu. Aku pula yang bergaduh dengan emak kerana marahkan TDM.
Kamu tahu kenapa aku tidak mahu lihat yang buruk pada TDM? Tiada guna. Apa lagi yang kita dapat kalau kita cungkil segala buruk orang lain? Kamu lihat kata-kata Anwar Ibrahim sendiri bila ditanya apa akan berlaku jika beliau berjumpa dengan TDM. Anwar kata dia akan menyambutnya seperti biasa. Anwar lebih berlembut daripada kita kerana Anwar faham apa itu silaturrahim sesama Islam. Kenapa kita tak boleh begitu juga? Aku tidak pedulilah apa yang bermain di hati Anwar, tapi jawapannya memperlihatkan jalan yang sepatutnya manusia ini lalui.
Kamu berdendam, okay. Aku faham. Mungkin terjadi akibat dari sesuatu yang buruk telah menimpa kamu dan kamu salahkan orang lain. Jadi, orang lain itu adalah punca dendam kamu. Kalau pemerintah, TDM dan sekarang Pak Lah. Maka segalanya adalah terletak dibahu mereka. Ada hak kamu hendak berdendam dan membenci. Tapi mengapa? Mengapa perlu membenci dan berdendam sesama manusia? Kamu, aku dan sesiapa saja adalah sama saja. Darah pun sama. Isi pun sama, kulit pun sama, akal fikiran pun sama.
Aku selalu fikir, manusia ini amat mudah untuk nampak keburukan orang lain tapi amat sukar untuk melihat kebaikan orang tersebut. Susah sangat ke hendak nampak kebaikan orang? Atau ianya sesuatu yang taboo untuk melihat kebaikan orang dan dendam serta benci adalah norma? Begitu? Siapa ajar kamu? Cuba beritahu aku dalam agama mana yang menyatakan dendam kesumat, benci dan amarah itu adalah perkara yang baik dan perlu disebarkan sementara kebaikan dan budi itu adalah taboo dan tidak layak dipandang.
Ya, fikiran aku terlalu utopian, tapi tak salah bukan? Orang sibuk untuk mencipta emosi dalam robot, kita sibuk mengembangkan emosi marah dan benci kita terhadap orang lain. Orang sibuk mencipta suasana yang lebih mesra alam dan damai, kita sibuk memporak peranda hidup.
Aku suka saja kalau kerajaan bertukar tangan. Aku mahu PR diberi peluang untuk memerintah dan buktikan kemampuan mereka. Kalau mereka berjaya, aku akan terus sokong. Tapi kalau gagal, aku cari alternatif lain. Itu demokrasi. Jadi aku tak berpihak kepada sesiapa, okay.
Perkara pokok yang aku bincangkan sekarang adalah kenapa manusia atau lebih spesifik rakyat Malaysia ini terlalu mudah membenci dan berdendam? Baik terhadap individu, terhadap agama mahupun terhadap sesuatu bangsa.
Persoalannya, bagaimana hendak kita bina BANGSA MALAYSIA kalau kita masih membenci dan berdendam terhadap agama dan bangsa orang lain? Aku tak fikir sesiapa pun buat masa sekarang boleh menyatukan bangsa di Malaysia kerana bangsa utama di Malaysia ini terlalu banggakan semangat bangsa mereka. Kenapa aku berkata begitu? Melayu yang tidak mahu lepas daripada semangat keMelayuan dan ketuannya. Cina dan India yang tidak mahu lepaskan semangat bangsa mereka juga termasuk sekolah aliran kebangsaan (yang pernah aku perkatakan sebelum ini). Masing-masing mahu menegakkan tiang tapi di dalam sempadan masing-masing. Berebut-rebut membina rumah, tapi dalam kandang mereka sendiri. Apabila di tolak kekandang neutral, semua bercakaran dan bertengkar. Betul kan?
Jangan kamu hendak salahkan orang lain. Jangan kamu hendak salahkan TDM, Tun Razak, Tun Tan Cheng Lock, Sambanthan, Tunku Abdul Rahman atau sesiapa saja. Lihat dalam diri sendiri dulu. Bersediakah kita untuk melihat kebaikan orang lain? Bersediakah kita untuk berkongsi dengan orang lain? Bersediakah kita untuk sama-sama masuk dalam dunia yang neutral, sama-sama angkat tiang dan dirikan bangsa Malaysia? Mahukah kita tolak/buang songkok, kopiah, cheong sam, sari dan segalanya yang menunjukkan kita entiti berbeza dan jadi neutral?
Aku teringat orang pergi ke Mekah semasa menunaikan haji. Aku faham sekarang kenapa perlunya berpakaian Ihram; kain putih semata-mata. Agaknya kalau setiap bangsa didunia ini dibenarkan berpakaian ikut budaya masing-masing, maka Mekah itu akan porak peranda semasa musim haji atau bila-bila masa pun. Kalau disitu kita boleh jadi seorang yang neutral, seorang yang dalam dirinya cuma berpaksikan ISLAM, kenapa tidak boleh kita lakukan yang sama di Malaysia ini?
19.9.08
Liku-liku Hidup - 1
Suatu ketika dahulu semasa aku masih tinggal di Gerik, Perak, hari-hari siang sewaktu pergi ke sekolah adalah saat yang mendamaikan.
Dari rumah dengan basikal dan beg digendong bersama bekal nasi yang emak berikan, aku ke sekolah; sekolah petang. Keluar dari rumah di sebuah perumahan awam, aku ke jalan besar dan menyusurinya beberapa puluh meter. Kemudian aku melintas untuk melalui jalan pintas. Dari situ perkara pertama yang aku lalui adalah sebuah jambatan yang merentasi sebuah sungai yang aku tidak pernah tahu apa namanya. Tahu, mungkin aku sudah lupa. Sungai Air Hitam rasanya. Awal dulu ianya cuma jambatan kayu. Dari situ aku menuju ke penghujung simpang kira-kira 300 meter. Sebelah kiri jalan ada perumahan cina dan sekali sekala terdengar salakan anjing. Sebelah kanan dimana sungai menjadi sempadan dan diseberangnya tanah kosong terbiar yang dimasa akan datangnya nanti akan menjadi kawasan perumahan juga.
Aku belok ke kiri dan lalui jalan tar kecil menuju ke sebuah sekolah agama. Hampir di pagar sekolah sebelah kiri ada sebuah rumah rakan sekolah. Hadapan rumahnya ada sepohon pokok gajus. Dari situ aku kenal buah gajus sebenarnya. Aku selalu singgah di situ sebelum ke sekolah. Samada memanjat pohon gajus atau membeli ais kepal (air yang digenggam-genggam menjadi bebola dan kemudian dilitupi pewarna manis) di gerai berhampiran. Cuma 10 sen. Tiba di hadapan pagar sekolah agama, aku belok kiri lagi melalui tepian pagar dan belok ke kanan menuju belakang sekolah. Sana ada jalan yang melalui hutan yang agak tebal. Hutan betul, dengan pokok balak yang besar dan kiri kanan adalah pohon-pohon yang tinggi. Aku lalui jalan balak (hakikatnya jalan yang belum diturap).
Beberapa ratus meter kemudian aku tiba di sebuah kawasan perumahan kerajaan yang diperbuat daripada kayu. Sehingga kini aku masih kagumi seni binanya yang elegan dan moden tetapi klasik. Sebelah kanannya adalah Sekolah Kebangsaan Seri Adika Raja. Aku terus berkayuh ke hadapan sekolah dan belok kekanan turun dari curam dan tiba di sekolah, SRK Mahkota Sari, Gerik, Perak. 1982 sehingga 1984 aku berada di situ.
Kalau tiba musim, di pintu pagar agak makcik yang menjual buah keranji. 20 sen sebungkus dan ianya enak.
Balik petang jalan yang sama aku lalui. Jauh dari sesak jalanraya dan jauh dari sengketa bunyi. Bila petang, bunyi unggas amat kuat di laluan hutan. Entah kenapa, aku tidak pernah takut melalui kawasan tersebut walau seorang diri. Sedang ramai yang berkata laluan tersebut keras dan berpenunggu. Entah, bagi aku, situ adalah mendamaikan.
Kamu tahu, rasanya sampai masanya nanti, aku mahu kembali kesana. Tinggal di Gerik. Hidup di sana lebih senang bagi aku. InsyaAllah.
18.9.08
Mencari Sempurna
Menjelang petang tadi (Rabu) adalah amat menyeksakan. Kerja tiba-tiba datang menimbun. Walaupun cuma dua (2) kerja tapi kerana ianya perlu menggunakan kreativiti dan skil, otak jadi penat dan terasa letih amat sangat. Selepas jam 5 petang, aku rasa sudah habis idea di otak. Itu perkara yang tidak aku duga.
Aku sebenarnya tidak suka bekerja dalam keadaan tidak lengkap. Dulu sewaktu awal ditugaskan dengan menghasilkan buletin dan laporan tahunan, aku mohon dibeli Apple iMac dengan alasan syarikat percetakan menggunakan mesin yang sama. Malah sebenarnya aku pohon dibeli sebuah MacPro yang jauh lebih mahal harganya. Tapi dapat iMac pun sudah kira bertuah. Hasilnya kerja jadi lebih lancar. Pengurusan terdesak untuk dapatkan secepat mungkin iMac kerana selama aku menghasilkan kerja sebelum ini aku menggunakan PC aku sendiri. Alasannya? Kerana hampir semua PC yang ada di jabatan tidak mampu menanggu beban grafik yang tinggi.
Suatu hari PC aku crash dan sebuah hard disk terus rosak (dalam PC tersebut ada dua hard disk). Langsung tidak boleh hasilkan apa-apa kerja dan laporan tahunan yang telah hampir siap, musnah begitu saja walaupun aku dapat juga retrieve balik dari hard disk yang rosak tersebut (nak tahu macamana? Lain kali aku cerita).
Sekarang di pejabat aku ada 3 iMac di mana iMac asal (versi plastik) yang aku mula-mula guna telah diserahkan kepada seorang rakan sekerja supaya dia boleh belajar dan hasilkan kerja yang sama. Dua buah iMac (versi aluminium) ada pada aku di mana satu aku sedang guna dan satu lagi tersadai di bawah meja aku. Tadi aku berkira-kira untuk jalankan iMac di bawah meja aku kerana beban kerja semakin bertambah. Satu aku jalankan Adobe Photoshop, satu lagi aku jalankan Adobe InDesign. Perpindahan fail aku buat secara WiFi saja antara kedua-dua iMac tersebut. Mudah.
Masalah sekarang adalah aku tiada printer. Ada tapi tidak boleh berfungsi kerana satu alat dalamnya sudah sampai had guna. Jadi terpaksa tunggu pesanan baru dan ianya mengambil masa yang lama. Apabila aku telefon khidmat pelanggan syarikat pembekal printer tersebut, mereka menyatakan bahawa barang tersebut terpaksa di pesan terus ke Amerika Syarikat. Aku terkedu sementara. Berapa ramai orang/organisasi di Malaysia yang guna printer yang sama dan kenapa tidak cukup stok tersedia? Berapa lama aku kena tunggu? Kata mereka sekurang-kurangnya dua (2) bulan. Aku sudah tunggu hampir empat (4) bulan dan ianya masih belum tiba.
Aku tidak pilih jenama printer yang aku guna. Ianya tiba-tiba datang dan sebenarnya aku tidak pernah dengar ada jenama printer yang aku guna, Tally Genicom. Kualiti cetakan agak baik dan ianya mengingatkan aku kepada printer keluaran Apple suatu masa dulu yang mampu mencetak duit Ringgit Malaysia dan berharga hampir RM40,000. Printer yang aku guna ini berharga hampir RM10,000.
Namun aku rasa ianya merugikan. Rugi habiskan hampir RM10,000 untuk sebuah printer laser berwarna yang cuma mampu cetak di kertas bersaiz maksima A4 saja. Membazir kerana toner (warna) berharga lebih RM800 setiap warna (ada 4 warna) dan kapasiti cetakan toner cuma setakat 5,000 keping. Membazir kerana setiap kali aku print, kertas pertama keluar dari printer pasti adalah cetakan rosak. Aku sudah buat pelbagai setting namun hasilnya tetap sama.
Kalau aku diberi kuasa untuk membeli, dengan RM10,000 tersebut aku akan beli sebuah printer Xerox atau OKI atau HP pada kadar harga sekitar RM2,500 - RM3,000. Maksudnya berkemampuan sederhana. Aku juga akan beli pencetak inkjet/bubble jet bersaiz kertas maksima A3 untuk cetakan yang memerlukan saiz kertas besar dan juga hasil cetakan yang bermutu. Printer sebegitu berharga sekitar RM2,000. Belum pun sampai RM5,000. Selebihnya aku akan beli stok toner, ink dan barangan printer lain supaya aku tidak perlu tunggu lama setiap kali had penggunaan tamat.
Sekarang aku tiada printer dan kamu bayangkan kerja-kerja grafik yang tiada printer untuk melihat hasilnya secara hard-copy. Susah. Aku cuba terangkan kepada semua orang yang datang kepada aku dan meminta aku hasilkan sesuatu, seterusnya cetak. AKU TIADA PRINTER! Itu saja yang aku mampu jawab.
Tapi hujung petang tadi apabila bos bahagian sendiri telefon aku, apa boleh aku cakap? Tiada apa-apa. Aku cuma iakan saja. Sehingga sekarang kerja yang dipintanya masih belum aku siapkan. Sedang esok pagi beliau mahu guna. Biarkanlah. Aku protes.
17.9.08
15.9.08
Aku Perlu Tahu
Lewat malam. Aku masih membaca artikel-artikel di Wikipedia dan National Geographic mengenai orang Melayu.
Pelik juga bila aku fikirkan bahawa orang asing lebih berminat untuk mengkaji asal usul orang Melayu sedang para pengkaji sejarah di Malaysia dengan mudah membuat kesimpulan asal usul orang Melayu. Aku mahu lebih lanjut. Aku tidak peduli kalau asal usul orang Melayu itu dari Taiwan, Filipina, Mongoloid, Selatan India atau mana saja. Sekurang-kurangnya aku tahu dan bukannya hasil dari kesimpulan mudah.
Cuba kamu fikir, untuk 600 tahun cukup. 600 tahun dari bermulanya empayar Melaka hingga kini, tentu banyak perkara yang terjadi di sekitar tanah Melayu. Tapi apabila kita merujuk buku sejarah, sekitar 1400 hingga hingga 1500 boleh dikatakan penuh dengan sejarah Melaka. Tapi selepas dari itu apa yang berlaku. Aku tahu Portugis menawan Melaka. Tapi apa yang berlaku antara tahun 1511 hingga 1640? Seterusnya apa yang berlaku dari 1640 hingga penghujung 1790an? Kenapa tiada kajian yang mendalam mengenai waktu-waktu ini.
Kenapa perlu? Kerana bermula dari empayar Melaka, secara umumnya dianggap pencetus kebangkitan Islam di kalangan orang Melayu. Jadi selama 500 - 600 tahun kemudian, apa yang menyebabkan Islam menjadi begitu dominan di tanah Melayu sehingga setiap aspek kehidupan dipengaruhi. Memanglah ianya suatu jangkamasa yang lama. Itu juga menjadi persoalan. Kamu fikir, dari 1500 hingga penghujung 1800an, terlalu sedikit atau tiada tokoh-tokoh Islam yang muncul dikalangan orang Melayu. Kenapa?
Sebenarnya aku agak keliru dengan sejarah. Itu saja. Melihat artikel di Wikipedia dan National Geographic juga, aku terpandang beberapa etnik Melayu yang terpisah dari etnik besar Melayu. Seperti orang Moken di Thailand dan Myanmar dan Orang Laut di Riau. Kamu ingat cerita Hikayat Hang Tuah. Dia Orang Laut, bukan? Dia dilantik menjadi Laksamana Melaka. Mengikut kajian, Orang Laut juga dikenali oleh orang Melayu sebagai Lanun, Celates atau Orang Selat. Mereka menguasai perairan di sekitar Selat Melaka dan amat-amat berpengaruh dalam suasana politik kerajaan-kerajaan Melayu lama. Jadi, bukan kebetulan Hang Tuah dilantik menjadi Laksamana. Itu andaian aku. Tapi aku tak baca pun buku sejarah mengenai semua itu.
Apa yang kita tahu Hang Tuah adalah pahlawan Melayu gagah perkasa, keris Taming Sari dan segala cerita mengenai kehebatannya. Kemudian beliau hilang di sungai. Cuma bila kita buka sikit mata baru kita sedar, sejarah Melayu jauh lebih menarik dari itu.
Aku fikir pengkaji sejarah Melayu perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mengkaji sejarah sebegini. Sudah tiba masa orang Melayu dibuka mata dengan informasi asal usul mereka yang jelas dan tersusun.
Baru-baru ini aku dan rakan pejabat (ada projek khas) membuat lawatan ke Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak. Salah satu ruang yang aku tengok adalah koleksi Melayu lama. Mungkin petugas disitu tidak mahir dengan tugasnya atau tidak cukup ilmu pengetahuan. Apabila ditanya ada atau tidak koleksi manuskrip lama dalam tulisan Pallava atau Sanskrit, beliau tidak faham dengan apa yang aku maksudkan. Puncanya kerana ada pemeran manuskrip Melayu lama bertulisan jawi/arabik. Jadi aku ingin tahu sekiranya ada yang lebih tua dari itu.
Memanglah Perpustakaan Negara bukan tempat yang sesuai untuk bertanya. Namun sekurang-kurangnya mereka perlu tahu kerana mereka sanggup membina model batu bersurat Terengganu di situ, jadi mereka juga perlu sanggup pergi lebih jauh dengan memperlihatkan tulisan-tulisan lama dalam bentuk Pallava atau Sanskrit, kalau ada. Masalahnya, manuskrip Melayu lama yang dipamerkan itu pun tidak diletakkan tarikh dan apabila ditanya, mereka sendiri tidak tahu. Dari pemerhatian aku, ianya tidak lebih dari 200 - 300 tahun. Berdasarkan tajuk setiap satu manuskrip tersebut, ianya adalah berkaitan agama Islam dan kemungkinan besar mengenai hukum-hukum dan peraturan dalam Islam. Tiada penerangan jelas. Kamu pergi sendiri ke Perpustakaan Negara jika kamu berminat untuk melihatnya.
Aku bukanlah peminat sejarah atau pengkaji sejarah. Aku cuma berminat untuk tahu dan ingin menambah pengetahuan. Ilmu takkan habis. Jadi setiap masa kita perlu cari. Di waktu kamu berhenti mencari ilmu dan berkata sudah, waktu itu patutnya kamu mati saja.
14.9.08
Melompat Lebih Tinggi
Aku berjalan-jalan di Jusco Equine Park tadi. Entah kenapa, aku rasa lebih selesa sekarang. Tidak rasa berat kaki melangkah dan tidak juga terasa penat. Malah aku boleh melompat-lompat dengan cergas sekarang. Itu baru turun 5kg. Kalau aku turun hingga berat mencecah 75kg nanti, agaknya aku boleh terbang!
Menarik.
Sepanjang Sabtu
Seharian mendengar Death Magnetic. Aku keluar sebelah petang untuk melihat (aku belum mahu beli) CD Metallica terbaru. Tiada. Dua kompleks membeli belah aku cari dan tiada. Lagu-lagu album Death Magnetic yang aku dengar sekarang adalah yang aku download secara haram. Aku pasti akan beli CD original. Aku sudah beli semua album original Metallica sejak 1991. Aku cuma perlu dengar album baru sekarang. Kenapa lembab sangat kedai muzik di Malaysia ni?
Lama juga aku jadi peminat band Metallica ye, 19 tahun. Sejak 1989.
Cukup pasal Metallica dan Death Magnetic. Aku pasti kamu lebih suka Amuk, PeterPan, Faizal Tahir dan Too Phat. Aku dengar juga. Tapi untuk masa beberapa minggu ini, aku akan lebih tertumpu dengan Death Magnetic, terutama lagu All Nighmare Long.
Waktu berbuka tadi aku makan asam laksa di Lemongrass, Alamanda. Sebenarnya aku tak tahu apa yang hendak dimakan untuk buka puasa. Masuk waktu, aku cuma minum air soya dalam tin. Hampir dekat jam 8.00 malam baru aku mencari tempat makan. MacDonald's, sudah semalam. A&W, baru beberapa hari yang lepas. Kenny Rogers, baru kelmarin. Pizza Hut, erm... aku tak pasti aku boleh habiskan pizza seorang diri. Memang semua restoran makanan barat. Aku di Alamanda, ingat. Ada Food Court tapi aku tak makan nasi. Juga mee atau yang lain tidak menyelerakan aku.
Pada mulanya aku tergerak untuk ke Secret Recipe. Aku mahu makan Tom Yam Kung (aku salahkan Aliah kerana perkenalkan aku dengan juadah ini), tapi aku takde tekak (tiru ayat filem Bujang Lapok) nak makan makanan di Secret Recipe. Bukan tak sedap, tapi dah biasa sangat.
Kemudian aku terpandang Lemongrass di aras atas Alamanda berhampiran dengan pasaraya Carrefour. Aku meninjau menu yang terpapar di bunting dan juga di kertas menu. Ada asam laksa. Aku mahu makan laksa. Ya, laksa adalah makanan kegemaran aku.
Hakikatnya asam laksa di Lemongrass tidak sebaik di Laksa Shak. Kedua-dua restoran itu juga tidak sehebat laksa yang emak aku buat sendiri, Laksa Kuala Kangsar (laksa Penang lah tu). Asam laksa di Lemongrass ada rasa masam tapi tiada rasa pedas. Kuahnya agak pekat namun, kurang isi. Lebih pada kuah saja. Laksanya juga agak 'liat' dari biasa. Aku lebih suka laksa basah ala laksa Kuala Kangsar iaitu laksa yang asli, bukan laksa kering yang terpaksa dicelur sebelum dimakan.
Balik dari Alamanda, aku singgah di Port Aroma, Equine Park. Asalnya untuk menonton pelawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manure (yeah, I HATE THEM!). Tapi sempat juga aku pesan kuay teow goreng. Boleh tahan. Penuh dengan udang dan ketulan ayam goreng, RM3.50. Bolehlah tu, ditambah Liverpool menang perlawanan tersebut. Nasib baik ada peminat Liverpool di kalangan ramai peminat Manure di situ. Jadi aku tidaklah berseorangan apabila mengangkat tangan gembira semasa Ryan Babel menjaringkan gol kedua.
Kalau Liverpool bermain begini sepanjang musim (tidak seperti main ndak tak ndak di Villa Park tempohari), mereka pasti boleh mencabar takhta juara liga walaupun masih sukar. Realistik la ni. Melainkan Dubai International Capital (DIC) mengambil alih daripada dua makhluk Amerika yang bodoh (Gillet dan Hick). Aku fikir Gillet dan Hick wajar saja jual Liverpool kepada DIC. Buang masa menjadi pemilik kelab sukan yang mereka tidak faham apa jenis sukan yang dimainkan sebenarnya.
Sudah hampir 3 pagi. Aku perlu tidur. Esok ada banyak perkara yang perlu aku lakukan. Apa dia? Aku nak ubah posisi tilam aku. Heh. Ye lah, setahun setengah berpindah ke rumah ini, aku masih tidur di tempat yang sama. Ada sebabnya. Dulu aku ada PC dan kebetulan punca elektrik di dalam bilik berada di sudut kiri bilik (dari pintu). Aku letak meja komputer berhampiran dengannya. Jadi aku tidur di kanan bilik. Sekarang aku tidak perlukan meja komputer lagi (tidak perlu kerap). Aku boleh menaip di mana-mana dalam rumah ini. Aku mahu alih tilam ke sebelah kiri bilik. Paling utama adalah supaya tilam aku tidak berada betul-betul dihadapan pintu masuk. Psycho la...
Aku ke Carrefour Alamanda tadi untuk membeli kotak plastik yang boleh digunakan untuk menyimpan barang. Aku beli satu dengan harga RM12.90. murah untuk sebuah kotak plastik yang sederhana besar. Kalau yang berjenama dan pada saiz yang sama, harga boleh mencecah RM30. Aku bukan nak duduk atas kotak tu pun. Esok aku boleh simpan semua barang-barang yang tidak perlu bersepah di depan mata lagi. Kalau tak muat, aku beli lagi satu nanti. Kalau masih tidak muat, aku akan beli lagi 10. Baru RM129. 10 kotak adalah banyak, boleh membuat bilik aku kosong dan tinggal kotak-kotak itu saja nanti.
Hmm... tiba-tiba terdetik di fikiran. Kenapa dulu aku tidak menulis diari? Bukankah apa yang aku sedang lakukan ini sekarang adalah menulis sebuah diari peribadi aku? Mungkin aku tidak minat menulis, lebih suka menaip. Mungkin diari tidak se'cool' blog...
13.9.08
Kamu Boleh Terus Memberi Komen, Tanpa Nama
Aku menulis blog sudah lama, lebih 7 tahun. Awalnya dulu aku host sendiri melalui laman web. Kemudian aku berpindah ke uJournal, Diaryland dan akhirnya di Blogspot. Sejak di uJournal sudah ada kemudahan untuk pembaca memberi komen. Tapi awalnya dulu kalau ada pun yang beri komen, mereka adalah kenalan aku yang bertanya khabar, tidak memberi komen mengenai topik yang aku tulis.
Blog sekarang ini boleh dikatakan selalu aku terima komen-komen dari pembaca yang ada kaitan dengan topik yang aku bincangkan. Selalunya aku biarkan saja komen itu terpapar dan aku takkan komen balik. Itu hak masing-masing untuk membahaskan. Kenapa aku perlu menyatakan pendapat mengenai tulisan aku sendiri? Kecuali suatu ketika dahulu mengenai kewajaran JPN mengadakan kursus vokal. Kerana aku mahu menjelaskan pendapat aku dan kewajarannya.
Sehari dua ini aku terima lagi komen-komen kritikal yang aku fikir datangnya tidak jauh. Aku fikir biarkan saja pendapat mereka. Kita boleh kenal persepsi orang apabila melihat gaya penulisan mereka. Apa yang mereka nampak (perkara pertama dalam fikiran mereka) dan apa yang mereka fikir benar dalam sesuatu situasi. Namun, aku hargai setiap komen. Jadi aku tidak delete melainkan aku rasa ianya amat-amat sensitif.
Aku sebenarnya lebih menghargai komen yang meninggalkan nama atau nama gelaran mereka daripada yang berselindung dengan gelaran Anonymous atau Tanpa Nama kemudian membuat kritikan. Dalam hati, aku fikir mereka tidak lebih dari cemburu atau takut, mungkin. Boleh saja aku set supaya setiap komen disertakan dengan nama dan alamat email pemberi komen. Tapi apakah ianya berbaloi? Tidak juga. Malah, pastinya mereka yang mahu memberi kutukan takkan mahu guna nama sebenar mereka. Jadi biarkanlah mereka guna Anonymous atau Tanpa Nama asal mereka selesa.
Kamu juga jangan percaya dengan Hit Counter atau jumlah pengunjung yang tertera di tepi kanan blog ini. 90% daripadanya adalah pengunjung yang tersalah masuk pintu. Melalui carian mereka di Google atau Yahoo, mereka temui blog ini yang mungkin ada menulis salah satu perkataan dalam carian mereka. Carian paling popular yang sering menyebabkan pengunjung terpesong ke blog aku adalah "beli tiket bas secara online" (ini aku pernah tulis mengenai perkhidmatan beli tiket bas secara online oleh MaraLiner), "kerja kerajaan" dan "tips temuduga kerja kerajaan" - dua ini adalah kerana aku sering bercerita mengenai pengalaman bekerja di jabatan kerajaan dan juga dua (2) post blog aku mengenai tips menghadapi temuduga kerja kerajaan. Namun ada juga beberapa pengunjung yang tiba akibat hasil carian mereka mengenai perpaduan kaum, penggunaan bahasa dan bangsa Malaysia. Menarik.
Daripada purata 50 pengunjung sehari, cuma tidak sampai 5 pengunjung sehari adalah pengunjung yang sama (returning visitors). Maksudnya pengunjung tetap. Jadi memang tidak ramai. Selebihnya adalah seperti yang aku kata di atas dan juga boleh jadi pengunjung yang sekali sekala datang. Boleh jadi juga apabila aku beri komen di blog lain, mereka yang turut baca komen ini menekan status nickname aku (frossonice) untuk mengetahui aku siapa.
Menurut StatCounter.com, iaitu penjaga statistik frossonice.com, purata pengunjung (unique visitors) harian aku adalah 48 orang dengan jumlah pengunjung kali pertama purata adalah 41 orang. Maknanya cuma seramai 7 orang saja adalah pengunjung berulang (returning visitors).
Post paling popular? Beli Tiket Bas Secara Online
Menarik? Jadi kesimpulannya, aku perlu lebih menulisan mengenai hal semasa. Begitu? Tidak. Aku akan menulis apa yang aku mahu tulis.
Metallica Kembali!
Apabila mendengar lagu-lagu dari album Death Magnetic, album terbaru Metallica, ianya seperti membawa aku kembali ke 1989. Itulah pertama kali aku mendengar lagu-lagu Metallica dari album ...And Justice For All dan terus meminatinya.
Setelah sekian lama dengan album-album yang 'biasa' seperti Load, Reload dan St. Anger, Metallica telah kembali semula kepada asal mereka. Mendengar "The End Of The Line" sama seperti mendengar lagu dari ...And Justice For All. Tapi paling kagum apabila mendengar lagu "All Nightmare Long". Ahhhh... Masterpiece!
Aku malas nak jelaskan mengenai album ini kerana aku pasti 99% dari kamu yang membaca blog ini tidak pernah meminati Metallica dan kalau ada pun yang mengaku, pastinya mereka akan cakap album Metallica paling best adalah Black Album. Jadi biarkanlah.
Bagi aku, Kill 'em All, Ride The Lightning, Master of Puppets dan ...And Justice For All adalah album Metallica paling aku suka. Aku nak sambung dengar Death Magnetic.
9.9.08
Menulis Dalam Mengantuk
Aku sedang mengalami masalah untuk tidur malam. Paling lama pun setakat 3 jam. Mungkin orang kata bagus, boleh buat solat tahajud. Masalahnya mata aku amat mengantuk tapi aku tak boleh nak lelap. Siang hari di pejabat, mata amat-amat merah. Kerja pula sedang menimbun dan perlu penumpuan. Akibatnya di penghujung hari aku kelihatan seperti zombi.
Sebentar tadi selepas Isyak, sempat aku tidur dalam lelap seketika sehingga jam 12 malam. Itupun aku terjaga kerana rakan serumah sedang asyik mengetuk paku ke dinding di sebelah bilik. Sekarang sehingga waktu ini, aku masih mengantuk namun susah hendak tidur. Entah kenapa. Mungkin terlalu banyak berfikir.
Nasib baik ada Astro di rumah. Aku buang masa menonton siri dokumentari Ewan McGregor "Long Way Down" dan re-run Friends. Kalau orang sibuk masukkan Astro di rumah untuk menonton Aznil di Astro Ria dan Prima, aku lebih suka menonton dokumentari. Pakej wajib ada bagi aku. Cuma peliknya aku dengan Astro ini, kita tidak boleh pilih siaran mana yang kita mahu. Aku tidak menonton Animal Planet dan TVIQ tapi ianya ada. Kalau boleh, biar pengguna pilih siaran mana yang dia mahu dan cas dikenakan terhadap siaran mana yang kita pilih. Kemudian Astro letak syarat itu ini supaya kita ambil beberapa pakej secara terpaksa kerana kita mahu sesuatu pakej lain.
Ah, aku sudah melalut. Bateri laptop ada 37% lagi. Aku hendak discharge sebenarnya. Jadi aku biarkan saja bateri habis. Laptop baru yang aku beli secara ansuran. Kebetulan Asyikin ada seorang kawan yang menjual laptop secara ansuran, jadi aku turut beli. Dia beli Acer Aspire 4715z. Aku sudah pernah guna Acer. Jadi aku beli Compaq Presario C793TU. Aku upgrade RAM dari 1GB ke 2GB dengan kos RM55 saja. Murah sangat RAM sekarang. Nasib baik had RAM laptop ini cuma 2GB. Spesifikasi lain; Intel Pentium Dual-Core 1.86GHz, 120GB HDD, layar 15.4" dan prosesor grafik terbina Intel X3100. Ya, semuanya spesifikasi asas. Aku tidak perlukan sebuah laptop yang hebat. Paling kuat kerja grafik yang aku akan lakukan dengan laptop ini adalah Adobe Photoshop dan Adobe InDesign. itu saja. Ianya tidak perlukan kad grafik yang hebat kerana aku buat kerja-kerja minimal saja dengan laptop ini. Selebihnya, ada iMac di pejabat, 2 unit! Oh, iMac terbaru ye.
Games? Setakat ini aku install Football Manager 2008, Chris Sawyer Locomotion dan Car Tycoon (games yang amat-amat lama). Aku bercadang untuk install SimCity 4 + Rush Hour. Ini adalah permainan kegemaran aku. Lupa, ada lagi satu; Alpha Centauri. Ya, aku akan install kedua-dua games tersebut nanti. Ya, semua games ini sebenarnya adalah permainan strategi. Aku masih minat dengan GTA, Half-Life, Counter Strike, Unreal dan beberapa games lain. Tapi aku tak fikir aku ada masa untuk semua itu.
Aku sudah tidak ekstrem seperti dulu dengan Windows. Tidak lagi aku geledah segala teknik untuk menghebatkan lagi Windows. Aku sekadar load sebuah software yang mengubah antara muka Windows XP menjadi mirip kepada Windows Vista. Aku fikir dalam masa terdekat ini aku mahu upgrade ke Windows Vista. Ya, aku tahu masalah dengan Vista, tapi aku juga dengar begitu semasa XP mula keluar dulu. Sejak 2001 semasa XP mula dikeluarkan aku sudah menggunakannya. Tidak ada masalah sekiranya tahu apa kekuatan dan kelemahannya. Begitu juga Vista. Kalau kamu mendesak Sistem Operasi menjadi sesuatu yang lain atau tidak mampu ia jadi, maka sistem kamu akan mengalami masalah nanti. Nak stabil dan senang hati, guna Mac OSX atau Linux. Cukup.
Bateri sudah semakin berkurangan. Cukup aku membebel.
8.9.08
Perjalanan Manusia
Gambar dari National Geographic
Malam semalam aku sempat menonton rancangan National Geographic di siaran 553 Astro bertajuk Journey of Man. Ia mengisahkan penjelajahan manusia pertama bermula dari puak Bushmen San di Afrika hingga keserata dunia bermula 50,000 tahun lalu. Ia sebenarnya diteorikan melalui kajian genetik DNA manusia, dengan melihat hubungkait seseorang melalui genetik, saintis dapat membuat andaian saintifik bahawa manusia moden kini sebenarnya berasal dari satu kaum Bushmen primitif di Afrika.
Sebenarnya tiada yang Darwinisme mengenai cerita ini. Ia tidak menceritakan manusia berasal dari beruk atau apa saja. Ia lebih menceritakan asal usul manusia moden yang ada disetiap ceruk muka bumi ini. Bagaimana manusia berkembang dari satu kaum yang kecil hingga menjadi bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang berbeza.
Aku fikir rencana ini amat sesuai sekali sekiranya ditunjukkan kepada setiap ahli politik di Malaysia dan juga setiap orang di muka bumi ini yang masih dengan pemikiran semangat bangsa dan keangkuhan bangsa mereka. Kamu akan tersentuh apabila memahami rencana ini.
Aku, kamu dan sesiapa saja di muka bumi ini adalah saudara yang dipisahkan kira-kira 2000 generasi yang lalu, mungkin kurang. Seperti yang Allah nyatakan dalam Kitab-kitabNya, manusia ini berasal dari Adam a.s. Simbolika (kalau kamu masih tidak terima manusia berasal dari Adam a.s.) dari kenyataan dalam Kitab-kitab ini adalah manusia ini berasal dari satu keluarga yang sama. Nah, sains sendiri sudah menghujahkan teorinya melalui ujian DNA (yang kerajaan Malaysia laungkan) amat tepat dan benar.
Jadi, perlu apa lagi membeza-bezakan sesama kaum? Kita sama saja. Kamu tikam aku dan aku tikam kamu, yang keluarnya nanti darah merah pekat. Warna yang sama, melainkan kamu Mahsuri.
Ideologi bangsa, negara bangsa, politik bangsa dan ketuanan bangsa adalah perkara lapuk yang semakin lama semakin tidak signifikan dalam hidup manusia. Kelak, menjelang beberapa puluh tahun atau ratus tahun lagi, bangsa sudah tidak wujud di bumi ini. Cuma yang ada adalah satu bangsa, manusia. Semakin hari kita makin kerap melihat integrasi bangsa-bangsa manusia menjadi entiti yang satu; kembali kepada asal kita 50,000 tahun yang lalu. Itu tidak mustahil. manusia mengambil masa 50,000 tahun lalu untuk berbeza warna, tekstur, rupa dan bahasa. Kelak manusia mungkin akan mengambil masa beberapa ratus tahun saja untuk kembali menjadi manusia singular. Seperti asal. Mustahil? Pasti kalau manusia masih menebal semangat bangsa dalam dirinya. Tidak mustahil kiranya manusia faham dari mana asal mereka.
Journey of Man sesungguhnya sebuah rencana yang bagus dan membuka mata. Ianya tidak tersasar dari pandangan Islam (sekiranya umat Islam melihat dari sudut yang positif). Malah Journey of Man sebenarnya mengesahkan teori manusia berasal dari Adam a.s.
Aku harap ahli politik Malaysia dapat menontonnya. Kalau boleh aku mahu paksa mereka semua menonton Journey of Man. Biar mereka faham hakikat manusia ini.
5.9.08
Semalam Senja
Semalam petang Aliah sakit. Agak teruk. Mulanya aku bawa dia ke klinik kerajaan di Presint 9. Aku sudah desak dia pergi ke hospital terus tapi kenal dengan perangai dia, memang susah hendak didesak. Naik saja kereta dan keluar dari klinik, keadaan Aliah semakin kritikal. Aku desak lagi dia ke hospital namun dia masih tidak mahu. Akhirnya aku buat keputusan sendiri dan terus arahkan kereta ke hospital Putrajaya.
Setiba di hospital, pemeriksaan awal yang dijalankan menunjukkan keadaan dia adalah semi-kritikal. Maklum saja Aliah sedang mengandung anak pertama, aku tak senang duduk. Pertamanya aku tidak dapat menghubungi suami Aliah di Johor Bahru, aku tiada nombor telefon suaminya. Kemudian, telefon Aliah juga sudah kehabisan bateri dan tiada alat pengecas. Akhirnya aku mohon kebenaran jururawat untuk masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Aku minta juga nombor telefon Sani daripada Aliah. Mulanya dia enggan beri kerana fikir Aliah sakitnya tidak seberapa. Aku desak juga dengan mengatakan sekurang-kurangnya suami dia kena tahu apa yang berlaku.
Setelah menelefon suami Aliah, barulah hati aku agak tenang. Jam sudah 6.40 petang. Aku perlu balik ke rumah Aliah untuk dapatkan kad pra-natal dan telefon (untuk aku cabut cip dan guna di telefon aku). Menjelang waktu berbuka, aku tiba kembali di hospital dengan kad pra-natal Aliah, tanpa telefon. Teman rumah dia gagal mencari di mana telefon itu berada.
Aku tinggalkan Aliah di jagaan doktor dan pulang ke rumah untuk berbuka puasa. Dalam perjalanan pulang, aku terperasan ada beg tangan di kerusi hadapan kereta. Dalamnya ada telefon bimbit Aliah. Patutlah teman rumah Aliah tidak jumpa.
Sedang aku hendak selesaikan makanan, kira-kira 8.30 malam, Aliah telefon dan mengatakan bahawa dia sudah boleh keluar. Aku agak hairan. Sakit teruk begitu doktor boleh lepaskan begitu saja.
Setiba di hospital Putrajaya, aku lihat Aliah yang berjalan menuju ke kereta nyata masih amat sakit dan hampir tidak boleh berjalan. Hari ini dia bercuti. Aku pasti sakitnya masih terasa. Telefon masih tutup jadi aku tidak tahu apa keadaannya.
Setiba di rumah malam tadi setelah selesai semua itu, aku berbual-bual dengan teman rumah aku. Setelah menceritakan apa yang berlaku, timbul satu persoalan dari salah seorang dari mereka. Kenapa aku perlu bersusah payah membantu Aliah sedang dia sudah ada suami.
Pertamanya suami Aliah jauh di Johor Bahru. Kedua dan amat penting, dia akan sahabat aku. Kalau aku tak tolong, siapa lagi?
Aku teringat aku pernah menulis dalam blog ini suatu ketika dahulu. Setiap manusia melakukan sesuatu untuk memperolehi sesuatu. Makan untuk kenyang, belajar untuk pandai, buat baik dengan orang untuk mungkin dapatkan orang itu. Semalam aku sedar, ada ketikanya apa yang kita lakukan tidak selalunya untuk kepentingan diri sendiri. juga tidak untuk mendapatkan sesuatu. Kita lakukan kerana kita perlu lakukan demi hidup sebagai seorang manusia yang berakal fikiran.
Teringat juga aku dengan salah satu episod Friends mengenai persoalan Pheobe kepada Joey bahawa dalam dunia ini tiada "selfless good deeds"- tidak kita buat kebaikan tanpa apa-apa tujuan.
Semalam aku katakan, ada.
Setiba di hospital, pemeriksaan awal yang dijalankan menunjukkan keadaan dia adalah semi-kritikal. Maklum saja Aliah sedang mengandung anak pertama, aku tak senang duduk. Pertamanya aku tidak dapat menghubungi suami Aliah di Johor Bahru, aku tiada nombor telefon suaminya. Kemudian, telefon Aliah juga sudah kehabisan bateri dan tiada alat pengecas. Akhirnya aku mohon kebenaran jururawat untuk masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Aku minta juga nombor telefon Sani daripada Aliah. Mulanya dia enggan beri kerana fikir Aliah sakitnya tidak seberapa. Aku desak juga dengan mengatakan sekurang-kurangnya suami dia kena tahu apa yang berlaku.
Setelah menelefon suami Aliah, barulah hati aku agak tenang. Jam sudah 6.40 petang. Aku perlu balik ke rumah Aliah untuk dapatkan kad pra-natal dan telefon (untuk aku cabut cip dan guna di telefon aku). Menjelang waktu berbuka, aku tiba kembali di hospital dengan kad pra-natal Aliah, tanpa telefon. Teman rumah dia gagal mencari di mana telefon itu berada.
Aku tinggalkan Aliah di jagaan doktor dan pulang ke rumah untuk berbuka puasa. Dalam perjalanan pulang, aku terperasan ada beg tangan di kerusi hadapan kereta. Dalamnya ada telefon bimbit Aliah. Patutlah teman rumah Aliah tidak jumpa.
Sedang aku hendak selesaikan makanan, kira-kira 8.30 malam, Aliah telefon dan mengatakan bahawa dia sudah boleh keluar. Aku agak hairan. Sakit teruk begitu doktor boleh lepaskan begitu saja.
Setiba di hospital Putrajaya, aku lihat Aliah yang berjalan menuju ke kereta nyata masih amat sakit dan hampir tidak boleh berjalan. Hari ini dia bercuti. Aku pasti sakitnya masih terasa. Telefon masih tutup jadi aku tidak tahu apa keadaannya.
Setiba di rumah malam tadi setelah selesai semua itu, aku berbual-bual dengan teman rumah aku. Setelah menceritakan apa yang berlaku, timbul satu persoalan dari salah seorang dari mereka. Kenapa aku perlu bersusah payah membantu Aliah sedang dia sudah ada suami.
Pertamanya suami Aliah jauh di Johor Bahru. Kedua dan amat penting, dia akan sahabat aku. Kalau aku tak tolong, siapa lagi?
Aku teringat aku pernah menulis dalam blog ini suatu ketika dahulu. Setiap manusia melakukan sesuatu untuk memperolehi sesuatu. Makan untuk kenyang, belajar untuk pandai, buat baik dengan orang untuk mungkin dapatkan orang itu. Semalam aku sedar, ada ketikanya apa yang kita lakukan tidak selalunya untuk kepentingan diri sendiri. juga tidak untuk mendapatkan sesuatu. Kita lakukan kerana kita perlu lakukan demi hidup sebagai seorang manusia yang berakal fikiran.
Teringat juga aku dengan salah satu episod Friends mengenai persoalan Pheobe kepada Joey bahawa dalam dunia ini tiada "selfless good deeds"- tidak kita buat kebaikan tanpa apa-apa tujuan.
Semalam aku katakan, ada.
3.9.08
Awal Ramadhan
Sehari dua bercuti, sambil menikmati Ramadhan, aku juga sibuk mencari lagu-lagu lama yang aku minati sekitar 80an dan 90an dulu. Ya, aku sudah tua. Bayangkan, semua ada; Metallica, Manowar, Roxette, Lionel Richie, U2, Richard Marx, Phil Collins dan banyak lagi. Ada juga lagu melayu. Tapi aku mencari-cari lagu bahasa Inggeris lama. Banyak yang aku sudah lupa tajuknya. Banyak juga penyanyi yang aku lupa. Bila melihat Wikipedia barulah aku teringat kembali.
Semasa tamat SPM dulu, aku bekerja sementara di Arab-Malaysia Securities, sebuah syarikat urus niaga saham. Perkara pertama aku beli apabila memperolehi gaji pertama adalah sebuah Sony Walkman berharga hampir RM400. Amal mahal ketika itu. Juga amat-amat canggih. Bateri rechargeable dan segala macam fungsi yang hanya boleh diidamkan saja sebelum ini. Pergi kerja dan balik kerja dengan bas mini bernombor 41 dari Taman Sri Gombak, earphone pasti terlekat di telinga. Seperti orang lain di awal 90an, aku beli sepasang track suit paling hebat, cuma peliknya aku pilih warna putih. Mungkin terpengaruh dengan track suit pasukan bolasepak England.
Juga aku beli sehelai Levi's 505 original dan sepasang but 'legend' dengan rantai besi di kompleks Campbell berhampiran Jalan Tunku Abdul Rahman. Seluar Levi's amat selesa. Tapi peritnya memakai sepasang but yang runcing di hujung kerana kaki aku memang aslinya lebar. Awal pakai sebulan dua memang berdarah kaki. Tapi tetap tahan semata-mata untuk bergaya. Tidak lupa sehelai t-shirt hitam lengan panjang. T-shirt sama yang aku guna semasa mengambil keputusan SPM di maktab awal 1993.
Aku juga sempat membeli sebuah basikal lumba entah jenama apa berharga RM500. Ini sinambungan aku aktif berbasikal lumba semasa di maktab dulu. Ya, aku tak beli motosikal atau kereta tapi aku beli basikal lumba. Pelik. Tapi itu realiti aku.
Mungkin kerana aku selesa dengan bas mini yang boleh jadi alasan untuk berhimpit-himpit dengan awek semasa pergi dan pulang dari kerja. Haha. Tapi aku selesa jadi orang biasa, mungkin. Aku hanya berselipar, seluar trek dan t-shirt untuk ke Kuala Lumpur. Aku kena tegur dengan pakcik aku kerana itu. Katanya aku selekeh dan tidak bergaya. Ketika itu, peduli apa aku. Sebenarnya hingga kini aku begitu. Ada waktunya aku cuma berseluar trek, t-shirt dan kasut Crocs tiruan. Cukup untuk aku berjalan-jalan. Kecuali aku pergi dating dan pastinya itu perkara yang sudah amat lama aku tidak lakukan.
Aku langsung tidak mengikuti perkembangan fesyen, itu realitinya. Ketika sekolah, sekejap saja aku berseluar ketat mengikut rakan-rakan yang terpengaruh dengan kumpulan rock ketika itu. Aku upah Joke sebanyak RM5 untuk mengecilkan kaki seluar aku. Tapi apabila naik tingkatan 4 dan 5, aku pakai seluar slack biasa. Baju kemeja T tangan panjang. Aku tidak lagi berfesyen. Cuma rambut aku saja ketika itu panjang di hadapan. Amat panjang. Cikgu tak pernah perasan sebab dahi aku luas. Kalau sekarang kau buat begitu, amat pelik.
Kalau kamu lihat aku sekarang, aku suka memakai t-shirt yang tertera ayat-ayat pelik di dada. Berseluar jeans... aku sudah kembali pakai seluar jeans setelah hampir 10 tahun. Aku suka jadi orang yang biasa. Aku tidak suka dipuji berpakaian hebat. Aku tidak mahu orang memandang rambut aku tegak dengan warna warni. aku biarkan saja rambut aku begini, beruban. Uban kerana terlalu banyak berfikir dan terlalu banyak kerja.
Berat ideal aku adalah sekitar 70kg. Berat aku sebelum tahun 2000 adalah sekitar 63 - 70kg saja. Berat aku sekarang adalah 88kg. Sudah lebih 18kg dari berat ideal. Sebelum bulan puasa tiba berat aku ada mencecah 90kg. Berat bukan? Bukan takat overweight, ini sudah dikira obese tahap 2. Bukan tahap 1.
Setelah dua hari berpuasa, aku congak-congak yang aku sudah kurangkan 700gram dari berat aku sehari sebelum puasa. Jadi maknanya dalam sehari berpuasa aku mampu kurangkan 350gram. Kalau 30 hari aku berpuasa ini aku kekalkan dengan rejim pengurangan berat badan aku, menjelang hari raya nanti berat aku akan jadi lebih kurang 78kg, insyaAllah. Azam aku ialah takkan makan nasi sepanjang Ramadhan ini. Setakat dua hari ini aku sudah berjaya.
Sasaran aku adalah untuk mencapai berat lebih kurang 75kg. Cukup. Tidak perlu terlampau kurus. Jadi aku perlu kurangkan sebanyak 13kg lagi. Boleh...