Gambar dari National Geographic
Malam semalam aku sempat menonton rancangan National Geographic di siaran 553 Astro bertajuk Journey of Man. Ia mengisahkan penjelajahan manusia pertama bermula dari puak Bushmen San di Afrika hingga keserata dunia bermula 50,000 tahun lalu. Ia sebenarnya diteorikan melalui kajian genetik DNA manusia, dengan melihat hubungkait seseorang melalui genetik, saintis dapat membuat andaian saintifik bahawa manusia moden kini sebenarnya berasal dari satu kaum Bushmen primitif di Afrika.
Sebenarnya tiada yang Darwinisme mengenai cerita ini. Ia tidak menceritakan manusia berasal dari beruk atau apa saja. Ia lebih menceritakan asal usul manusia moden yang ada disetiap ceruk muka bumi ini. Bagaimana manusia berkembang dari satu kaum yang kecil hingga menjadi bangsa-bangsa dan kaum-kaum yang berbeza.
Aku fikir rencana ini amat sesuai sekali sekiranya ditunjukkan kepada setiap ahli politik di Malaysia dan juga setiap orang di muka bumi ini yang masih dengan pemikiran semangat bangsa dan keangkuhan bangsa mereka. Kamu akan tersentuh apabila memahami rencana ini.
Aku, kamu dan sesiapa saja di muka bumi ini adalah saudara yang dipisahkan kira-kira 2000 generasi yang lalu, mungkin kurang. Seperti yang Allah nyatakan dalam Kitab-kitabNya, manusia ini berasal dari Adam a.s. Simbolika (kalau kamu masih tidak terima manusia berasal dari Adam a.s.) dari kenyataan dalam Kitab-kitab ini adalah manusia ini berasal dari satu keluarga yang sama. Nah, sains sendiri sudah menghujahkan teorinya melalui ujian DNA (yang kerajaan Malaysia laungkan) amat tepat dan benar.
Jadi, perlu apa lagi membeza-bezakan sesama kaum? Kita sama saja. Kamu tikam aku dan aku tikam kamu, yang keluarnya nanti darah merah pekat. Warna yang sama, melainkan kamu Mahsuri.
Ideologi bangsa, negara bangsa, politik bangsa dan ketuanan bangsa adalah perkara lapuk yang semakin lama semakin tidak signifikan dalam hidup manusia. Kelak, menjelang beberapa puluh tahun atau ratus tahun lagi, bangsa sudah tidak wujud di bumi ini. Cuma yang ada adalah satu bangsa, manusia. Semakin hari kita makin kerap melihat integrasi bangsa-bangsa manusia menjadi entiti yang satu; kembali kepada asal kita 50,000 tahun yang lalu. Itu tidak mustahil. manusia mengambil masa 50,000 tahun lalu untuk berbeza warna, tekstur, rupa dan bahasa. Kelak manusia mungkin akan mengambil masa beberapa ratus tahun saja untuk kembali menjadi manusia singular. Seperti asal. Mustahil? Pasti kalau manusia masih menebal semangat bangsa dalam dirinya. Tidak mustahil kiranya manusia faham dari mana asal mereka.
Journey of Man sesungguhnya sebuah rencana yang bagus dan membuka mata. Ianya tidak tersasar dari pandangan Islam (sekiranya umat Islam melihat dari sudut yang positif). Malah Journey of Man sebenarnya mengesahkan teori manusia berasal dari Adam a.s.
Aku harap ahli politik Malaysia dapat menontonnya. Kalau boleh aku mahu paksa mereka semua menonton Journey of Man. Biar mereka faham hakikat manusia ini.
No comments:
Post a Comment