Sebentar tadi selepas Isyak, sempat aku tidur dalam lelap seketika sehingga jam 12 malam. Itupun aku terjaga kerana rakan serumah sedang asyik mengetuk paku ke dinding di sebelah bilik. Sekarang sehingga waktu ini, aku masih mengantuk namun susah hendak tidur. Entah kenapa. Mungkin terlalu banyak berfikir.
Nasib baik ada Astro di rumah. Aku buang masa menonton siri dokumentari Ewan McGregor "Long Way Down" dan re-run Friends. Kalau orang sibuk masukkan Astro di rumah untuk menonton Aznil di Astro Ria dan Prima, aku lebih suka menonton dokumentari. Pakej wajib ada bagi aku. Cuma peliknya aku dengan Astro ini, kita tidak boleh pilih siaran mana yang kita mahu. Aku tidak menonton Animal Planet dan TVIQ tapi ianya ada. Kalau boleh, biar pengguna pilih siaran mana yang dia mahu dan cas dikenakan terhadap siaran mana yang kita pilih. Kemudian Astro letak syarat itu ini supaya kita ambil beberapa pakej secara terpaksa kerana kita mahu sesuatu pakej lain.
Ah, aku sudah melalut. Bateri laptop ada 37% lagi. Aku hendak discharge sebenarnya. Jadi aku biarkan saja bateri habis. Laptop baru yang aku beli secara ansuran. Kebetulan Asyikin ada seorang kawan yang menjual laptop secara ansuran, jadi aku turut beli. Dia beli Acer Aspire 4715z. Aku sudah pernah guna Acer. Jadi aku beli Compaq Presario C793TU. Aku upgrade RAM dari 1GB ke 2GB dengan kos RM55 saja. Murah sangat RAM sekarang. Nasib baik had RAM laptop ini cuma 2GB. Spesifikasi lain; Intel Pentium Dual-Core 1.86GHz, 120GB HDD, layar 15.4" dan prosesor grafik terbina Intel X3100. Ya, semuanya spesifikasi asas. Aku tidak perlukan sebuah laptop yang hebat. Paling kuat kerja grafik yang aku akan lakukan dengan laptop ini adalah Adobe Photoshop dan Adobe InDesign. itu saja. Ianya tidak perlukan kad grafik yang hebat kerana aku buat kerja-kerja minimal saja dengan laptop ini. Selebihnya, ada iMac di pejabat, 2 unit! Oh, iMac terbaru ye.
Games? Setakat ini aku install Football Manager 2008, Chris Sawyer Locomotion dan Car Tycoon (games yang amat-amat lama). Aku bercadang untuk install SimCity 4 + Rush Hour. Ini adalah permainan kegemaran aku. Lupa, ada lagi satu; Alpha Centauri. Ya, aku akan install kedua-dua games tersebut nanti. Ya, semua games ini sebenarnya adalah permainan strategi. Aku masih minat dengan GTA, Half-Life, Counter Strike, Unreal dan beberapa games lain. Tapi aku tak fikir aku ada masa untuk semua itu.
Aku sudah tidak ekstrem seperti dulu dengan Windows. Tidak lagi aku geledah segala teknik untuk menghebatkan lagi Windows. Aku sekadar load sebuah software yang mengubah antara muka Windows XP menjadi mirip kepada Windows Vista. Aku fikir dalam masa terdekat ini aku mahu upgrade ke Windows Vista. Ya, aku tahu masalah dengan Vista, tapi aku juga dengar begitu semasa XP mula keluar dulu. Sejak 2001 semasa XP mula dikeluarkan aku sudah menggunakannya. Tidak ada masalah sekiranya tahu apa kekuatan dan kelemahannya. Begitu juga Vista. Kalau kamu mendesak Sistem Operasi menjadi sesuatu yang lain atau tidak mampu ia jadi, maka sistem kamu akan mengalami masalah nanti. Nak stabil dan senang hati, guna Mac OSX atau Linux. Cukup.
Bateri sudah semakin berkurangan. Cukup aku membebel.
No comments:
Post a Comment