Dari rumah dengan basikal dan beg digendong bersama bekal nasi yang emak berikan, aku ke sekolah; sekolah petang. Keluar dari rumah di sebuah perumahan awam, aku ke jalan besar dan menyusurinya beberapa puluh meter. Kemudian aku melintas untuk melalui jalan pintas. Dari situ perkara pertama yang aku lalui adalah sebuah jambatan yang merentasi sebuah sungai yang aku tidak pernah tahu apa namanya. Tahu, mungkin aku sudah lupa. Sungai Air Hitam rasanya. Awal dulu ianya cuma jambatan kayu. Dari situ aku menuju ke penghujung simpang kira-kira 300 meter. Sebelah kiri jalan ada perumahan cina dan sekali sekala terdengar salakan anjing. Sebelah kanan dimana sungai menjadi sempadan dan diseberangnya tanah kosong terbiar yang dimasa akan datangnya nanti akan menjadi kawasan perumahan juga.
Aku belok ke kiri dan lalui jalan tar kecil menuju ke sebuah sekolah agama. Hampir di pagar sekolah sebelah kiri ada sebuah rumah rakan sekolah. Hadapan rumahnya ada sepohon pokok gajus. Dari situ aku kenal buah gajus sebenarnya. Aku selalu singgah di situ sebelum ke sekolah. Samada memanjat pohon gajus atau membeli ais kepal (air yang digenggam-genggam menjadi bebola dan kemudian dilitupi pewarna manis) di gerai berhampiran. Cuma 10 sen. Tiba di hadapan pagar sekolah agama, aku belok kiri lagi melalui tepian pagar dan belok ke kanan menuju belakang sekolah. Sana ada jalan yang melalui hutan yang agak tebal. Hutan betul, dengan pokok balak yang besar dan kiri kanan adalah pohon-pohon yang tinggi. Aku lalui jalan balak (hakikatnya jalan yang belum diturap).
Beberapa ratus meter kemudian aku tiba di sebuah kawasan perumahan kerajaan yang diperbuat daripada kayu. Sehingga kini aku masih kagumi seni binanya yang elegan dan moden tetapi klasik. Sebelah kanannya adalah Sekolah Kebangsaan Seri Adika Raja. Aku terus berkayuh ke hadapan sekolah dan belok kekanan turun dari curam dan tiba di sekolah, SRK Mahkota Sari, Gerik, Perak. 1982 sehingga 1984 aku berada di situ.
Kalau tiba musim, di pintu pagar agak makcik yang menjual buah keranji. 20 sen sebungkus dan ianya enak.
Balik petang jalan yang sama aku lalui. Jauh dari sesak jalanraya dan jauh dari sengketa bunyi. Bila petang, bunyi unggas amat kuat di laluan hutan. Entah kenapa, aku tidak pernah takut melalui kawasan tersebut walau seorang diri. Sedang ramai yang berkata laluan tersebut keras dan berpenunggu. Entah, bagi aku, situ adalah mendamaikan.
Kamu tahu, rasanya sampai masanya nanti, aku mahu kembali kesana. Tinggal di Gerik. Hidup di sana lebih senang bagi aku. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment