29.11.10

Urusan dan Tragedi November

Lama aku tidak menulis. Aku berkabung. MacBook Pro aku hilang dicuri orang. Kamera digital juga hilang dan sebuah external harddisk yang terkandung di dalamnya koleksi gambar yang cukup banyak.

Orang lain di keliling ketika mendengar peristiwa itu, mereka marah, memaki hamun pencuri tersebut dan tidak kurang yang bersedih dengan kehilangan barang yang berharga, walaupun itu barang aku. Aku? Aku cuma diam membisu beberapa ketika setelah menyedari kehilangan tersebut. Kemudian seboleh mungkin, merautkan senyuman di wajah. Tidak ada apa yang boleh dilakukan lagi. Terima saja keadaan.

Aku berazam untuk dapatkan MacBook Pro yang lebih berkuasa di masa akan datang. Bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain, tetapi kerana aku perlukannya untuk membuat kerja. Apple Final Cut dan Motion tidak boleh dijalankan di komputer Windows biasa. Ianya perlukan Mac dan hanya Mac saja yang sesuai.

Namun, buat masa ini aku perlu simpan dulu hasrat tersebut. Aku guna Mac di pejabat dan studio saja untuk menyiapkan kerja. Aku perlu simpan duit untuk perkara yang lebih besar.

18 November 2010 lalu aku telah mengikat tali pertunangan dengan Maszura.

InshaAllah, selewatnya Jun 2011, kami akan berkahwin. Itu tempoh pertunangan yang telah dipersetujui. Ikut kehendak, ada yang mahu dilangsungkan perkahwinan pada Februari nanti. Tetapi memandangkan kami ada komitmen lain yang telah dirancang, lebih baik masa dilegakan sebegitu tanpa berasa tertekan nanti.

Puncanya, kami juga telah membeli sebuah rumah. Ianya terletak di Sunway, berhampiran Sunway Pyramid dan kami fikir, ianya pelaburan yang amat baik. Harga juga berpatutan, bersesuaian dengan kemampuan kami. Biar selesai urusan jual beli rumah, barulah kami teruskan dengan majlis perkahwinan, agar nanti bila selesai, rumah sudah tersedia untuk didiami bersama.

Apa jua perancangan yang dilakukan, ianya sekadar perancangan dan usaha. Selebihnya, Tuhan lebih mengetahui. 35 tahun aku menunggu dan aku fikir ianya terlalu lama. Tetapi bila tiba waktu dan tempatnya, aku berasa ianya berlalu begitu pantas dan seperti masa sedang mengejar aku dengan laju.

Moga dipermudahkan segala urusan.

2 comments:

IRA said...

tahniah.

moga berbahagia sampai bila2.

:)

Ain said...

Gambar-gambar tu ada simpan dalam flick/picasa ke? Kalau tak, sayanglah..

Takpe, ada rezeki lain tu.

Post a Comment