Jadi bagaimana keadaan setelah lebih sebulan berkahwin dan hampir sebulan tinggal di rumah sendiri?
Kalau hendakkan jawapan paling mudah, sudah tentu jawapannya, sangat menyeronokkan.
Panjang lebarnya...
Ada yang pernah bertanya, tidak menyesalkah aku kerana lambat berkahwin. Ya dan tidak. Ya kerana aku mengambil masa yang lama untuk menemui Zura walaupun suatu ketika dahulu rumah kami tidak jauh berjiran. Mungkin dalam perjalanan hidup sehari-hari ketika itu kami pernah bersua muka, melintasi satu sama lain atau terkilas pandang. Tetapi Tuhan yang menentukan segalanya, selepas lapan tahun barulah dibuka hati masing-masing.
Tidak menyesal kerana aku fikir ianya sangat berbaloi. Penantian yang berbaloi. Aku pernah mengeluh dan kecewa di sini. Aku pernah berputus asa. Tetapi bila diberikan rezeki ini, ianya anugerah paling besar dalam hidup. Maka, 36 tahun penantian bukanlah sesuatu yang merugikan.
Rome tidak dibina dalam masa sehari. Begitu juga perkahwinan.
Ianya tidak dibina dalam masa yang sekejap dan ianya tidak dijamin sentiasa sempurna. Ada waktunya akan ada kesilapan akibat dari kelekaan dan kecuaian kita sendiri. Namun setakat ini, syukur kerana perjalanan yang baru bermula ini masih dalam keadaan tenang dan damai.
Tambahan pula kami sudah menetap di rumah baru, milik sendiri. Maka ianya lebih bermakna. Rumah masih kosong di sana sini. Masih ada banyak yang hendak dilakukan. Tetapi sehari-hari, kami mengambil langkah satu demi satu tanda mendesak atau terdesak. Jika ada, kami teruskan. Jika tiada, kami berhenti seketika. Kelmarin penyambung paip mesin basuh bocor. Akibatnya kain yang sedang dibasuh tidak dapat diselesai. Semalam aku tidak sempat mencari penyambung di kedai kerana tugas di pejabat lewat selesai. Tidak ada masalah. Zura gunakan paip getah dan sambungkannya terus ke mesin basuh.
Tidak perlu kelam kabut dan huru hara dalam hidup. Bangun pagi tadi aku sedari kipas angin di ruang tamu terpasang. Malam tadi orang yang terakhir di ruang tamu adalah Zura. Maka dia yang terlupa menutup kipas angin tersebut. Pagi tadi aku cuma berkata,
"Ooo... Zura tak tutup kipas angin ye."
Itu saja. Bukan masalah besar. Lagipun setelah sebulan tinggal di rumah baru, kami dapati bil air dan elektrik kami ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Selangor. Syukur. Jimat kos. :D
Keep it simple. Itu yang sering aku ingatkan pada diri sendiri. Makan pun senang. Bila Zura tanya aku apa yang hendak dimakan, aku sering jawab,
"Buat apa saja, janji senang..."
Maksud aku senang untuk dia menyiapkannya. Bagi aku, nasi, telur goreng, ikan bilis, ikan goreng atau apa saja yang mudah hendak disediakan, sudah cukup. Tidak perlu makan yang hebat-hebat. Ianya sekadar makan. Kalau hendak makan makanan istimewa, cari restoran yang menyediakannya dengan sedap dan menyelerakan. Seperti yang kami lakukan ketika ulang tahun kelahiran Zura tempohari.
Aku membawa Zura mencuba The Manhattan Fish Market.
Makanan yang sangat istimewa bagi kami berdua. Porsi yang sangat besar hingga menyebabkan kami terpaksa bungkus lebihan makanan dan dibawa pulang.
Setakat sebulan lebih ini, syukur dengan apa yang telah dilimpahkanNya.
3 comments:
simple nyer korunk..suke~ :)
Lalui hidup ini, bukan redah hidup ini. :D
:)
Post a Comment