28.6.11

Semasa Pindah

Sabtu tempohari kami berpindah ke rumah baru. Zura jatuh tangga hingga lebam sana sini di badannya sewaktu proses berpindah di rumah lamanya. Aku langsung belum sempat berkemas sepenuhnya. Sekadar pindahkan barang-barang berat dan penting terlebih dahulu.

Mandor Maszura menunggu barang diangkut dari lori.
 Zura dan aku kepenatan walaupun barang nampak tidak banyak. Kali terakhir aku berpindah adalah pada tahun 2007, lebih kurang empat tahun lalu. Ketika itu aku angkat sendiri barang-barang kerana tuan lori tidak menyediakan pekerja untuk mengangkat barang. Tambah RM50 untuk dapatkan pekerja. Aku cakap kepada pemandu, biar kami (rakan serumah ketika itu) saja yang angkat.

Untuk perpindahan kali ini, ada disediakan dua orang tenaga kerja untuk membantu mengangkat barang-barang. Mereka berdua datang dari Chennai, India. Kalau kamu lihat gaya mereka mengangkat barang, kamu dapat bayangkan iana seperti mengangkat timbunan guni di bahu. Mereka ini sungguh gagah. Itu yang aku beritahu mereka.
Sebahagian daripada barang-barang kami.

Tetapi jawab mereka mudah dan menyedarkan aku. Itu saja kerja yang mereka boleh dan biasa lakukan, mengangkut barang dengan kudrat mereka demi sedikit pendapat untuk menyara hidup. Kadang-kadang aku merengek dan mengeluh hanya kerana sebatang pen hilang dari meja kerja. Orang lain hendak cari sesuap nasi pun perlu mengerahkan segala daya yang ada di dalam dirinya.

Teddy bears Zura
Barang aku dan Zura tidak banyak. Setelah selesai dikemas, ruang di rumah nampak kosong dan amat lapang. Malah hingga timbul keadaan tidak ada apa lagi yang hendak dikemas, maka Zura bertindak menyusun koleksi 'teddy bears' beliau.

Buat masa ini cuma ada dua masalah. Pertama, paip untuk disambung ke mesin basuh masih belum disediakan. Kedua, paip air di sinki dapur masih bermasalah, tekanan air yang kurang berlaku ketirisan. Sedangkan paip air di bilik air beroperasi dalam keadaan yang baik dan tekanan juga kuat. Aku tidak mahu memanggil tukang paip hanya untuk membetulkan masalah yang kecil. Aku yakin dapat membaikinya sendiri. InshaAllah.

Makan nasi kandar pun jadilah, ya.
Menjelang lewat tengahari, kami keletihan. Kami bungkus makanan dari kedai makan dan menikmatinya di rumah. Makan tengahari pertama kami di rumah itu. Mak cakap,

"Pelan-pelan, Idan. Buat sikit-sikit."

InshaAllah.




23.6.11

Ini Rumah Kami


Ini rumah kami. Masih kosong. Putih dindingnya tanpa lakaran warna lain, tanpa hiasan.

Hari ini juru elektrik akan memasang lampu, kipas dan pendawaian lain di rumah. Sepatutnya kami lakukan awal lagi. Tetapi kerana jeriji besi masih belum dipasang, kami tangguh kononnya sehingga jeriji besi siap di pasang.

Semalam siang aku menelefon kontraktor yang membuat jeriji besi rumah. Katanya dia dalam perjalanan ke rumah untuk memasangnya.

"Tokay, rumah tu belum ada elektrik tau. Jadi you tak boleh guna electric tools."
"Aiya... Apa macam mau buat kerja?"
"You takde tool biasa ke?"
"Kena pakai elektrik maa... Mau welding lagi."

Ah, sudah. Kenapalah dia tak beritahu aku awal-awal. Aku telefon pun kerana dinasihati saudara supaya memastikan orang yang hendak pasang jeriji besi ada mesin yang menggunakan bateri atau apa-apa alatan bukan elektrik lain. Rupa-rupanya memang kontraktor yang memasang jeriji besi rumah kami perlukan elektrik.

Lalu aku telefon Zura. Untungnya kerja Zura kerana beliau ada ramai pembekal perkhidmatan yang berkaitan dengan khidmat yang diperlukan kami. Pendawaian elektrik contoh. Zura call salah seorang dari mereka.

Terus saja mereka bersetuju untuk datang membuat pendawaian elektrik di rumah kami pada hari ini. Syukur. Malam tadi kami bergegas ke kedai lampu untuk mengambil lampu yang sudah kami tempah tempohari. Mulanya aku letak gambar lampu tersebut di sini. Tetapi aku buang kerana mahu biarkan ianya menjadi 'suprise'. Namun ianya bukan chandelier ribuan ringgit. Untung kami berdua berminat dengan dekorasi kontemporari moden. Jadi set lampu pun dibeli dengan reka bentuk kontemporari. Alasan paling jelas, mudah dibersihkan nanti.

Kami juga beli set lampu untuk ke semua ruang di dalam rumah yang memerlukannya. Termasuk dua kipas siling, harganya masih berpatutan. Kami juga buat keputusan agar ruang tidur utama dihiasi dengan lampu berdiri (stand light) kerana di dalam bilik tersebut hanya ada satu punca pendawaian di siling dan itu kami khaskan untuk kipas siling. Lagipun, bukan sepanjang masa kami perlu buka lampu terang di dalam bilik, ya?

Kami beli mentol jimat tenaga (energy saver) bagi mengurangkan kos bil elektrik. Memang sebiji mentol harganya agak mahal tetapi lebih berbaloi daripada terpaksa membayar bil yang tinggi setiap bulan. Kami pasang mentol jimat tenaga di dalam bilik air (dua buah) dan courtyard kerana kami tahu betapa lecehnya hendak menukar mentol di dalam ruang tersebut. Juga, menggunakan lampu kalimantang di dalam bilik air bukanlah idea yang baik. "Flickers" lampu kalimantang perlukan masa untuk stabil. Kadang-kadang kita hanya ambil masa yang sangat singkat di dalam bilik air, atau courtyard. Jadi lebih baik guna mentol bulat yang boleh bernyala secara "instant".

Perabot? Masih belum dibeli. Tidak ada keperluan yang mendesak. Tetapi ada beberapa perabot yang kami suka. Pertamanya, set meja makan Ikea ini,

LAVER Table & Chair - Image courtesy of Ikea
Orang akan mencemuh, pastinya,

"Oh, tidak ada tempat lain ke nak beli? Ikea bukankah mahal?"

Set dalam gambar di atas cuma berharga RM195. Murah sebenarnya bila memikirkan ianya diperbuat daripada besi dan permukaan meja yang berkaca. Cukup meja makan dengan empat kerusi. Bukan hari-hari di rumah kami itu akan ada ramai orang yang makan di meja makan.

Mulanya kami juga bercadang hendak membeli set "sofa bed" yang kami temui di sebuah pasaraya tidak lama dulu. Dua set sofanya boleh ditukar menjadi katil bila diperlukan. Bagus untuk tetamu yang datang menginap. Tetapi bila difikirkan kembali, pertamanya "sofa bed" mahal dan keduanya, seperti meja makan, bukan setiap masa ada orang yang datang dan tidur di rumah.

Kerana ruang tamu kecil, jadi kami mencari set sofa yang bersaiz sederhana. Masih belum jumpa. Masih belum ada keperluannya buat masa ini. Karpet dan beberapa bantal di atasnya sudah cukup menjadi alas.

Aku secara peribadi mahu membentuk rumah ini menjadi efisien dan jimat ruang. Biar ianya setiap masa kelihatan besar seperti di dalam gambar di atas. Aku mahu tekankan kepada konsep penyimpanan barang dan susun atur yang bertingkat. Selalu bila kita pergi ke rumah orang lain, kita akan dapati hiasan atau susun atur rumah akan bermula dari lantai dan berakhir di separuh ketinggian dinding. Selepas itu hingga ke siling, aku nampak kosong dan ruangnya begitu membazir.

Aku masih ingat ketika menonton rancangan kartun Doraemon mengenai bagaimana ruang yang kecil boleh ditukar menjadi besar kerana susun atur yang efisien. Ya, Doraemon adalah rancangan televisyen yang merepek dan tidak masuk akal. Tetapi ada senario yang boleh kita tiru secara fizikal jika difikirkan secara logik. Aku sangat berminat dengan "floor to ceiling storage compartment" Nampak kemas dan begitu menjimatkan ruang. Tetapi aku dapati untuk membila ruang storan sebegitu memerlukan kos yang banyak. Jadi, sikit demi sikit, inshaAllah.

Ya, aku suka efisiensi. Malah kepala "shower" pun aku tentukan bahawa ianya mesti berkonsep "rain drop". Aku mencari kepala "shower" yang besar dan agak luas. Aku pasti air yang digunakan untuk mandi juga lebih jimat berbanding menggunakan kepala "shower" biasa.

Ini rumah kami. Maaf kerana ianya belum sempurna.



20.6.11

Dua Majlis Resepsi, Dua Tragedi

Dua majlis resepsi (aku pasti perkataan ini tidak ada dalam kamus tetapi aku tidak tahu perkataan yang lebih sesuai), dua cerita tragis.

Resepsi pertama di Kuala Kedah pada 4.6.2011.

Zura sejak awal lagi sudah membeli set pakaian persandingan untuk digunakan pada hari tersebut. Warna hijau pilihannya dan seperti yang sering aku katakan pada Zura,

"Orang Kedah takde warna lain, hijau... kuning..."

Zura mencebik. Dia tidak peduli semua itu. Ketika kami mencuba pakaian tersebut di sebuah kedai di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, ianya sangat padan dan 'ngam'. Kami mencuba set pakaian yang dijadikan 'display set' di kedai tersebut. Bila setuju, tuan kedai mahu berikan set sama yang baru di dalam plastik berbungkus. Jadi, kira okaylah. Set yang sama, tidak perlu cuba lagi. Saiz pasti sama juga.

Tiba sejam sebelum persandingan, barulah aku hendak memakai kembali set pakaian persandingan tersebut. Baju okay. Seluar? Tragedi melanda. Seluar yang sewaktu di kedai tempohari begitu selesa dipakai, kini jadi sangat kecil dan sempit.

Hariman, sahabat merangkap jurufoto rasmi terus berteriak,

"Apa ni Idan? Tragis!!!"

Aku sudah terpaku. Apa yang hendak dilakukan? Majlis persandingan kurang sejam saja lagi. Aku menelefon Zura dan menceritakan apa yang berlaku. Beliau seperti tidak percaya.

Ye lah, semasa kami mencuba di kedai, semuanya okay. Tiba harinya, seluar mengecut? Aneh.

Hariman mencadangkan agar aku dan dia terus ke Pekan Rabu di Alor Star mencari seluar yang hampir sama warna dengan set pakaian tersebut. Aku hampir bersetuju sehinggalah adik Zura tiba di depan home stay tempat aku membuat persediaan. Dia mahu bawa aku berjumpa dengan seorang juru jahit.

Aku ikut sambil menunggang motosikal (di hari perkahwinan aku!) ke rumah juru jahit yang letaknya tidak jauh dari home stay aku.

Seluar aku hulurkan kepada juru jahit tersebut. Beliau melihat dan membeleknya.

"Akak tak boleh nak buat ni. Lebih kain jahitan sikit sangat."

Aku terdiam. Apa lagi yang boleh dibuat? Tiba-tiba juru jahit bertanya,

"Kenapa seluar ni kecil sangat?"

"Kenapa kak?"

Dia tidak menjawab. Sebaliknya mengambil pita pengukur untuk mengukur seluar tersebut.

"Hmm... Tag seluar tanda saiz L. Tapi akak ukur seluar ni saiz M!"

MashaAllah. Patutlah ketat dan sempit. Seluar saiz M dilabel saiz L. Seluar yang aku cuba di kedai tempohari memang bersaiz L; begitu selesa dan lapang. Seluar ini begitu kecil dan sendat.

Sekali lagi aku menelefon Zura. Jam menunjukkan 1.15 petang. Janji majlis persandingan hendak diadakan pada 1.00 petang. Sudah terlewat 15 minit. Setelah puas berfikir, datang Zura dan keluarganya mengambil aku di tepi jalan menuju ke sebuah butik pengantin yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan. Solusi terakhir.

Tiba di butik, kami bertebaran mencari pakaian yang hampir sama warna. Kalau tidak ada warna yang sama, kami sewa saja set yang lain.

Nasib menyebelahi kami. Kebetulan ada sepasang yang warnanya hampir sama. Terus kami ambil dan padankan. Syukur. Sangat sesuai. Ada tengkoloknya juga. Ada keris dan ada bajunya. Terus aku pakai pakaian tersebut di butik. Jam sudah 1.45 petang. Telefon sudah berkali-kali diterima bertanyakan keadaan.

2.15 petang, aku tiba di rumah pengantin perempuan. Keluar dari Volvo (entah siapa punya), kelam kabut pengapit mencari payung. Buka bonet Volvo, ada sekaki payung berwarna hijau. Cantik!

Bila dikembangkan saja payung tersebut, nah, terpampang logo Carlsberg. Kami semua ketawa. Tidak ada apa yang boleh dilakukan selain ketawa dengan situasi yang berlaku. Nasib baik pengantin perempuan menyediakan payung yang cantik.

Semuanya berjalan lancar. Hujan yang sering turun di Kedah pun sempat menangguhkan hasratnya sehingga penghujung petang. Akibatnya, sesi fotografi outdoor aku terhalang. Tetapi tidak mengapa. Ianya jauh lebih baik daripada tragedi seluar pengantin sendat.

Resepsi kedua di Kuala Kangsar pada 11.6.2011.

Aku dan Zura bersiap di rumah keluargaku. Juru solek adalah kenalan adik. Cantik solekannya walaupun pada mulanya aku gusar melihat warna yang ditata pada mata Zura. Sempat aku bertanya kepada juru solek sama ada pasti beliau hendak menggunakan rona warna garang di mata Zura sedangkan pakaian pengantin kami berwarna perak?

Aku sedari tindakan aku itu salah. Juru solek ini sangat berpengalaman. Mungkin sudah jelak dengan persoalan sebegitu dari ramai orang ketika beliau sedang sibuk menghias pelanggannya. Hasil akhirnya sangat memukau. Tidak terlalu ekstrem walaupun aku pasti juru solek sudah menggunakan satu tan pewarna di mata Zura.

Setelah siap kami berpakaian lengkap, aku sedari cuma tinggal aku dan Zura di rumah. Semua orang lain sudah pergi ke lokasi majlis, di sebuah dewan kira-kira 2 kilometer dari rumah. Kenderaan yang mengangkut kami ke sana masih tidak kelihatan. Jam sudah 12.50 tengahari. Perancanganya kami akan tiba di lokasi pada jam 1.00 petang. Ke mana pula kereta pengantin?

Aku menelefon ayah.

"Ada apa? Dah siap? Bila nak datang sini? Ramai orang dah tunggu ni." Terus ayah membebel kerana aku dan Zura masih belum tiba.

"Mana keretanya?" Aku tanya ringkas.

"Hah? Mana ayah nak tahu. Hang suruh siapa ambil?"

"Eh, Idan kena tentukan ke?"

"Mana ayah tahu."

Ah, sudah. Lima minit menjelang 1.00 petang. Kereta belum ada.

Jam 1.00 petang. Aku telefon ayah sekali lagi.

"Dah, ayah dah suruh Syafiq datang ambik hangpa."

"Okay..."

Kami berdua di rumah menunggu. Bayangkan cuma kami berdua, pengantin yang dirai, tersadai di rumah menanti kenderaan untuk membawa kami ke majlis perkahwinan kami!

1.10 petang. Kenderaan masih belum tiba.

Aku memandang Zura. Zura memandang aku. Apa yang sedang berlaku?

"Tak payah pergilah..." Aku mengeluh kepada Zura.

"Okay..." Jawab Zura sambil tersenyum. Dia tahu aku bergurau.

"Penat tunggu ni. Nak duduk pun dah takde selera." Aku tambah lagi.

1.15 petang. Sebuah Honda Civic tiba di depan rumah.

Syafiq, adik aku bergegas keluar dari kereta. Aswad, sepupu aku menunggu di dalam kereta sebagai pemandu.

"Korang pergi mana?" Aku bertanya.

"Pergi ambil kereta la..." Jawab Syafiq.

"Dekat mana?"

"Beluru!" Jawab Aswad...

"Eh, jauhnya?"

"Apasal tak bagitahu awal-awal. Kami pecut laju datang sini tau tak!" Bising Aswad lagi.

"Mana la aku tahu. Aku ingat dah ada kereta." Jawab aku. Sumpah, aku sendiri tidak tahu keadaannya hari itu.

1.20 petang kami sampai di lokasi majlis.

Nampak semua orang tersenyum kecuali beberapa orang.

Semuanya okay. Dugaan hari perkahwinan. Mungkin ada yang lebih sukar dari apa yang kami lalui.

Petang itu, aku dan Zura memandu sendiri kereta untuk sesi fotografi outdoor kami. Dua jam berfotografi, melepaskan geram tidak dapat melakukannya di Kuala Kedah tempohari akibat hujan.

Tragedi di dua majlis resepsi perkahwinan aku dan Zura. Kenangan manis. Semestinya.